Search This Blog

Wednesday, December 10, 2008

PR kesal polis tidak siasat isu IC palsu



Suara Keadilan
26 November 2008.

Buku dedah SPR turut bersubahat


KeADILAN menyatakan kekesalan kepada sikap lewa polis dalam menangani gejala IC palsu yang parah di negeri Sabah. Terbaru, pihak polis mengakui tiada siasatan dibuat keatas ‘dakwaan-dakwaan’ yang dibangkitkan buku ‘IC Palsu: Merampas Hak Anak Sabah”, meskipun buku tersebut mendedahkan sindiket-sindiket jahat yang terbabit dalam gejala ini.

Ahli Parlimen Johari Abdul berkata meskipun kerajaan menyedari kewujudan isu ini, namun ketidakpedulian pihak berkuasa menunjukkan kerajaan tidak peka kepada implikasi gejala IC palsu ke atas rakyat Sabah.

Abdul Mutalib Mohd Daud, seorang penganalisa politik dan aktivis sosial menonjolkan isu pendatang harama memiliki kad pengenalan palsu dalam buku “IC Palsu: Merampas hak Anak Sabah”. Buku setebal 1000 mukasurat itu adalah hasil kajian bertahun lama oleh Mutalib, memaparkan secara terperinci dan spesifik gejala IC Palsu yang didalangi sindiket-sindiket jahat.

Buku yang diterbitkan Januari 1999 itu turut mendedahkan pemilik-pemilik IC Palsu ini mengundi dalam PRU12 yang lalu bagi memastikan kemenangan BN di negeri itu. Apa yang lebih mengejutkan adalah, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) turut terbabit dalam sindiket ini.

Selain dari mengakui bahawa pihak polis tidak menyiasat bukti yang diketengahkan oleh buku tersebut, Menteri Dalam negeri Syed Abdul Hamdi Albar dalam jawapannya kepada Johari turut berkata polis tidak akan menyiasat sebarang penyelewengan yang dilakukan SPR.

“Dalam jawapan bertulis yang diberikan oleh Menteri Dalam Negeri bagi pertanyaan lisan saya ke-21 hari ini, saya merasa amat kecewa kerana jawapan menteri mengatakan bahawa ‘pihak polis tidak pernah menyiasat dakwaan-dakwaan yang dibangkitkan dalam buku berkenaan’ dan ini memperlihatkan kegagalan kerajaan untuk menyelesaikan masalah IC palsu yang selama ini wujud di Sabah.”

Johari menegaskan dakwaan yang dibangkitkan dalam buku ini amat serius kerana ia melibatkan isu hak kewarganegaraan tanahair. Bukan sahaja kedaulatan Negara tidak terjamin selagi isu IC palsu ini tidak diatasi, bahkan juga kehadiran pekerja-pekerja ‘kos murah’ ini turut menggugat peluang pekerjaan anak-anak Sabah.

“Maka sepatutnya pihak polis mengambil sifat proaktif untuk menyiasat dakwaan tersebut. Paling tidak, pihak polis wajar memulakan siasatan awal, dan bukan menyerahkan kerja siasatan kepada Badan Pencegah Rasuah.”

Ribuan pendatang rebut IC Malaysia

Sistem kad pengenalan di Malaysia menetapkan tiga warna mewakili jenis status kerakyatan di negara ini: biru untuk warganegara, merah untuk penduduk tetap dan hijau untuk sementara.

Dikatakan bahawa setakat tahun ini, 1.7 juta pendatang haram menetap di negeri Sabah dan 600,000.darinya memilik kad pengenalan warganegara Malaysia. Mereka juga turut mengambil status bumiputera dan sekurang-kurangnya 70,000 telah didaftarkan SPR dalam senarai pengundi Sabah.

Selain itu, terdapat 371,234 pemegang kad pengenalan merah di Negara ini yang mana 15,535 orang daripadanya adalah orang Melayu, Cina (40,733), India (63,441), kadazan (119), Iban (472) dan kaum lain (250,934).

Rakyat Sabah juga turut tidak berpuas hati dengan pendekatan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengemukakan kad pengenalan hijau secara massa ketika masih rramai lagi warga Sabah tidak mempunyai dokumentasi diri.

Ribuan dan ratusan menghurungi pejabat-pejabat JPN di Kota Kinabalu dan Tawau, dua bandar yang dipenuhi pendatang asing Indonesia dan Filipina untuk memohon kad-kad hijau tersebut.

Mereka yang tidak mepunyai sebarang dokumentasi boleh memohon untuk kad hijau sekiranya ditaja oleh majikan masing-masing.

No comments: