Search This Blog
Thursday, December 11, 2008
MENINGGAL DUNIA 2001 TETAPI MASIH TUNGGU MYKAD?
SEDIH…Majiming menunjukkan kad pengenalan bermutu tinggi yang dirampas JPN ketika beliau merujuk kes berkenaan ke JPN Putrajaya pada 2006.
HASRAT lelaki Rungus, Majiming Magumpol untuk memiliki Mykad seperti warganegara lain belum kesampaian apabila Jabatan Pendaftaran Negara terus mendesak beliau menyerahkan anaknya untuk disiasat kerana dituduh memalsukan kematiannya.
“Kenapa ketika mereka mematikan saya, mereka tidak siasat? Kenapa bila saya minta taraf saya dihidupkan semula daripada kematian yang belum tiba, mereka mengemukakan pelbagai alasan,” tanya Majiming yang kesal kerana kemelut identiti dirinya masih berpanjangan sejak lima tahun lalu.
Majiming yang dilahirkan di Kampung Nangka, Kudat pada 19 Disember 1951, kesal kerana JPN begitu mudah 'mematikannya' ketika beliau masih bernafas dan mempunyai kudrat untuk bekerja menyara keluarga.
Beliau memeluk agama Islam melalui Persatuan Islam Seluruh Sabah (USIA) pada 1972, melalui Ustaz Muhammad Nor di Labuan dan menggunakan nama, Mohd Jaafar Bin Abdullah.
“Ketika bekerja sebagai tukang kayu di Kuala Penyu, saya bernikah dengan gadis Bisaya, Saadiah Binti Uji di Kampung Karukan, Kuala Penyu pada 1975 dan dikurniakan empat orang anak,” ujar Majiming yang semakin gelisah kerana permohonannya untuk mendapatkan Mykad masih menemui jalan buntu.
Setelah bercerai dengan isteri pertama 1983, Majiming pindah ke kampung Bongkol, Pitas mengusahakan tanah sendiri dengan tanaman getah dan buah-buahan dengan bantuan isteri kedua, Gizong @ Norma K.K. Nakandung dan dikurniakan tujuh anak.
Kata Majiming, isteri beliau meninggal kerana kanser rahim pada tahun 2000, manakala Majiming menderita sakit batu karang dalam buah pinggang dan hanya pulih sepenuhnya sekitar 2003.
Pada tahun 2003 Majiming bernikah lagi dengan seorang balu beranak tiga, Maulinting @ Nur Fatimah Mapangkat dan dikurniakan seorang anak pada Julai 2005, Nur Fatinah tetapi apabila mahu mendaftar surat lahir, JPN Kota Marudu memaklumkan bahawa beliau (Majiming @ Mohd Jaafar) telah meninggal dunia pada tahun 2001.
“Saya terkejut dan hampir pitam kerana mereka kata saya sudah mati 2001 lagi,” ujar Majiming yang dimaklumkan bahawa beliau dilaporkan meninggal dunia di Langkon, Kudat.
Akibatnya, beliau gagal mendaftarkan kelahiran anak perempuannya yang belum mendapat taraf warganegara semata-mata kerana mengikut rekod JPN beliau telah mati!
“Saya telah membuat semakan di JPN Putrajaya dan berjumpa secara peribadi serta membuat aduan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Mohd Nazri Aziz, Tan Sri Bernard Dompok dan hampir semua pemimpin di Sabah, namun semuanya hanya menabur janji palsu,” tegas Majiming yang mula berputus asa kerana karenah birokrasi
yang menafikan hak asasinya. .
Tegas Majiming lagi, beliau turut kesal kerana JPN Putrajaya menyoalsiasatnya bagaikan seorang penjenayah dan merampas kad pengenalan bermutu tingginya sehingga beliau kini menjadi warga terapung, tanpa Negara seolah-olah berada di alam kubur.
Majiming telah membuat surat akuan dan mengemukakan kepada Pegawai Pendaftaran Pitas yang kemudiannya menulis surat pengesahan kepada Pengarah Pendaftaran Sabah mengakui kad pengenalan bermutu tinggi Mohd Jaafar @ Majiming telah dituntut pada 22 Mei 2001 namun tidak menyatakan siapakah penuntutnya.
Katanya lagi, Pegawai Pendaftaran Pitas memberitahunya bahawa beliau meninggal dunia pada 18 September 2001 dan Sijil Mati beliau dikeluarkan pada Oktober 2001.
“Mykad saya, 511219125057 (H0593078) telah dituntut pada 28 Mac 2001 oleh seseorang di JPN Pitas, tetapi sampai hari ini saya belum terima mykad saya dan sekarang mereka kata saya sudah mati,” ujar Majiming yang kesal dengan sikap JPN yang enggan menukar statusnya.
Mengikut rekod, Majiming pernah dilantik sebagai Wakil Ketua Anak Negeri Pitas 1988 oleh Kerajan Parti Bersatu Sabah sebelum dipecat pada 2001 oleh UMNO. Majiming masih lagi membuang undi pada pilihanraya umum 2004 di SK Mangkapon, Kudat namun tidak lagi dapat mengundi pada pilihanraya 2008..
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment