Search This Blog

Monday, May 9, 2011

IBU PATI, IBU AYAM, IBU KOTA DAN IBU JARI!



Oleh: MUTALIB M.D

‘SELAMAT Hari Ibu’ buat semua ibu di seluruh dunia, terutama ibu PATI (pendatang asing tanpa izin yang terlalu produktif); ‘Ibu Ayam’ yang bukan sahaja rajin bertelur malah menjadi jenama kepada pelacur; Ibu Kota yang dipenuhi segala jenayah dan maksiat dan ‘Ibu Jari’ yang dijadikan mangsa untuk mendapat IC Projek.

Hari Ibu salah satu sambutan yang ganjil di seluruh dunia kerana tidak disambut secara serentak pada hari yang sama di seluruh dunia, sebaliknya berlainan hari dan di Malaysia disambut pada Ahad minggu kedua Mei berbanding 12 Ogos di Thailand dan 22 Disember di Indonesia.

Mengikut catatan sejarah ‘Hari Ibu’ wujud ekoran satu aliran pemikiran mengakui bahawa perayaan ini lahir dari satu adat pemujaan ibu di Yunani Purba, yang menyambut satu perayaan untuk ‘Cybele’, ibu dewa-dewi Yunani yang agung. Perayaan ini diadakan sekitar equinoks musim bunga di Asia Kecil dan tidak lama kemudian di Rom dari 15 hingga 18 Mac.

Orang Rom Purba juga menyambut sebuah perayaan bernama ‘Matronalia’ yang memperingati Dewi Juno dan ibu lazimnya diberi hadiah pada hari mulia ini, sebagaimana yang diamalkan di Malaysia.

Selain Malaysia, Negara yang turut menyambut hari ibu pada hari ini ialah Afrika Selatan, Amerika Syarikat, Anguilla, Aruba, Australia, Austria, Bahamas, Bangladesh, Barbados, Belanda, Belgium, Belize, Bermuda, Bonaire, Brazil, Brunei, Bulgaria, Chile, Republik Rakyat China, Colombia, Croatia, Cuba, CuraƧao, Cyprus, Republik Czech, Denmark, Ecuador, Estonia, Filipina, Finland, Ghana, Greece, Grenada, Honduras, Iceland, India, Itali, Jamaica, Jepun, Jerman, Kanada, Latvia, Malta, Malaysia, Myanmar, New Zealand, Pakistan, Peru, Puerto Rico, Slovakia, St. Lucia, Saint Vincent dan Grenadines, Suriname, Switzerland, Trinidad dan Tobago, Turki, Ukraine, Uruguay, Venezuela dan Zimbabwe.

Walaupun ibu saya masih hidup, namun saya bermalas-malas untuk mengucapkan selamat hari ibu kepada ibu saya pada hari ini kerana bagi saya setiap hari yang saya lalui adalah ‘Hari Istimewa’ untuk ibu yang melahirkan saya ke dunia ini.

Kemalasan ini ditambah oleh kebingungan saya terhadap ‘Ibu PATI’ yang melahirkan lebih 1.7 juta warga asing di Sabah, sebahagian besarnya tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri, manakala 600,000 daripadanya telah mendapat MyKad daripada Kerajaan Prihatin, Malaya De’ Malaysia.

Tidak ada negara di dunia yang mencatatkan ‘demografi’ sehebat Sabah kerana berjaya melahirkan begitu ramai anak dalam masa 30 tahun, peningkatan lebih daripada 300 % melalui ‘Skandal X-Files’ yang disimpul mati dalam ‘Rahsia’ Kementerian Dalam Negeri; sekalipun maklumat berada di hujung jari.

Terlalu ramai ‘Ibu PATI’ di Sabah melahirkan begitu ramai ‘Ibu Ayam’ yang kini menjual ‘daging mentah’ di Pusat Karaoke dan Pusat Hiburan yang semakin tidak terkawal di Sabah dan Labuan; sehingga ramai yang berhijrah ke Semenanjung Malaysia untuk memperdagangkan nasib berbekalkan ‘kimah selebar dua inci’ untuk kegiatan bercucuk tanam ‘cendawan’ di rumah istirehat yang dihalalkan kerajaan.

Anak daripada ‘Ibu Ayam’ ini kebanyakannya menjadi mangsa keganasan manusia kerana dibuang di tong sampah atau diselamatkan dan dipelihara di Pusat Jagaan Kanak-Kanak namun terus berada dalam dilemma kerana menjadi ‘Anak Penyu’ kerana tidak mempunyai ‘Warganegara’.

Kumpulan ‘Gipsi’ yang lahir daripada ‘Ibu PATI dan Ibu Ayam’ di ‘Ibu Kota’ inilah kelak yang akan membentuk masyarakat moden Malaysia yang bebas daripada sebarang anutan agama dan akar budaya untuk menghidupkan suasana kosmopolitan atau metropolitan di Ibu Kota; namun gagal menandingi kehebatan ‘Agripolitan’ yang bakal dilaksanakan di Sabah.

Ibu Kota Malaysia, Kuala Lumpur kini sudah menjadi Little India, Little China, Little Thailand, Little Indonesia, Little Pakistan, Little Bangla, Little Mynmar dan Mini Malaysia.

Brickfield kini sudah boleh dijenamakan sebagai penempatan masyarakat India, sebahagian besarnya daripada India; Chowkit dan Kampung Baru sudah ditawan masyarakat Indonesia; Kawasan Dang Wangi dan Masjid India menjadi koloni Pakistan; Petaling Street sudah hampir sinonom dengan Bangkok atau Pattaya di Thailand; Shah Alam dipenuhi oleh warga Filipina; Cheras dan Klang kini menjadi penempatan Bangla dan Myanmar; manakala Rumah Sabah kini menjadi Mini Malaysia!

Oleh itu tidak hairan jika Kerajaan Malaysia baru sedar daripada lamunan dan baru teringat ‘Ibu Jari’ yang diciptakan berlainan identiti bagi lebih enam billion manusia di dunia dan terhegeh-hegeh mahu memperkenalkan ‘Sistem Biometrik’ sedangkan sudah berjuta-juta PATI telah berkoloni di Malaysia (Sabah, Sarawak dan Malaya) sejak 1970-an lagi.

Melaksanakan ‘Sistem Biometrik’ bagi warga asing yang masuk ke Malaysia adalah Cinematografi yang paling unggul setelah filem Merong Mahawangsa yang berjaya memesongkan fakta sejarah dan merupakan pembohongan teragung di abad ini apabila Burung Garuda (Jentayu) dijenamakan semula sebagai ‘Lanun’ dalam filem yang mendapat biaya Finas.

Mungkin menteri yang menjaga Finas tidak pernah belajar sejarah dan hanya menerima bulat-bulat skrip filem Merong Mahawangsa sehingga menjadi filem epik termahal dengan kos RM8 juta, lebih teruk daripada filem ‘2 Alam’ yang mendapat pulangan paling ciput dalam sejarah filem di Malaysia.

Bagaimana Sistem Biometrik yang bakal dilaksanakan boleh mengatasi masalah 1.2 juta warga asing yang tidak berdokumen di Sabah kerana mereka tidak mungkin memberi ‘Ibu Jari’ mereka untuk direkodkan melainkan untuk mendapat IC Projek sebagaimana yang dinikmati lebih lebih 600,000 rakan mereka yang kini berbangga menjulang Parti Keramat Orang Melayu, UMNO.

Ahli UMNO di Sabah kebanyakannya ‘Siluman PATI’ kerana beridentitikan Malaysia tetapi bertubuhkan warga Filipina, Indonesia, Pakistan, India dan China, telah bertukar menjadi ‘Fixed Deposit’ sejak 1994; sehingga mendorong Seorang Siluman, Datu Akjan Datu Ali Muhammad mentauliahkan dirinya sebagai ‘Sultan Sulu’ dengan gelaran Paduka Mahasari Maulana Al-Marhum Sultan Shariful-Hashim II pada 2 Februari 2011 kerana meyakini mempunyai pengikut yang ramai di Sabah.

‘Kehilangan’ Datu Akjan daripada Sabah semakin menjadi misteri kerana PDRM tidak tahu di mana Akjan berana mungkin disebabkan dia meninggalkan Sabah melalui ‘Back Door’ dan Sistem Biometrik belum dilaksanakan sepenuhnya.

Jika seorang siluman seperti Akjan gagal dikesan, bagaimana mahu mengatasi 1.2 juta warga asing di Sabah dan 600,000 siluman yang mendapat suaka politik di dalam UMNO dan parti komponen BN yang lain. Hanya Akjan tahu jumlah sebenar pengundi yang direkrutnya dan majoriti Wakil Rakyat BN mengenali Akjan kerana beliau sebenarnya menjadi Raja ‘Pengundi Hantu’ setiap kali Pilihanraya Umum di Sabah!