Search This Blog

Wednesday, May 6, 2009

SIJIL PALSU , MAJLIS ANAK NEGERI PENIPU?


OKK HASSNAR M.P.EBRAHIM

Saudara Pengarang,

Pada 15 April 2009, seorang lelaki Cina bernama Lim Jock Teck, suami kepada Ngui Thou Chin dan ayah kandung kepada Lim Vun Hui telah memfailkan diregistri Mahkamah Rayuan, Malaysia satu Afidavit Menyokong dimana penama tersebut eksibitkan sepucuk surat daripada Pejabat Pengarah Hal Ehwal Anak Negeri yang kandungannya memperakui kedua penama di atas, sebagai anak negeri dari bangsa sino kadazan, layak memiliki tanah bertaraf Native Title (NT). Perakuan Pejabat Hal Ehwal Anak Negeri itu adalah berasaskan pengesahan bertulis daripada Mahkamah Anak Negeri, Sandakan melalui surat Bil.MAN/SKN: 600 – 0/6 Klt.1/119 bertarikh 17 Julai, 2008.

Untuk makluman saudara, pada tahun 1982 pengeluaran Sijil Anak Negeri telah diberhentikan oleh Kerajaan Parti Berjaya atas beberapa sebab:

1. terdapat sebilangan kakitangan Mahkamah Anak Negeri sesuka hati dan secara arbitari keluarkan Sijil Anak Negeri kepada bukan anak negeri. Sijil-sijil yang dikeluarkan sama sekali TIDAK mengikut prosedur Mahkamah; dan

2. terdapat juga sijil anak negeri palsu yang direka dan dikeluarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk tujuan menipu dengan membolehkan bukan anak negeri membeli dan memilik tanah NT. Sijil sijil palsu ini telah digunakan dan diterima sebagai tulen oleh kakitangan beberapa Jabatan kerajaan terutama tanpa soal siasat.

Kesannya, kepentingan kaum anak negeri menerima padah seawal tahun 1984 disebabkan pemimpin dari kalangan kaum anak negeri yang memegang tampuk pemerintahan Negeri Sabah selepas era Kerajaan Berjaya hanya pentingkan kocek mereka.

Hak kaum anak negeri disegi memilik tanah NT telah terus menerus dirampas oleh bukan pribumi yang lebih berkemampuan. Saya adalah antara ribuan mangsa yang terlibat dan tidak dibela.

Lebih mendukacitakan walaupun penggunaan sijil anak negeri yang direka secara palsu ini adalah jenayah di bawah penal code tetapi anggota Polis DiRaja Malaysia, yang 99% dianggotai oleh orang MALAYA, membiarkan saja hak kaum anak negeri Sabah dirampas. Laporan Polis mengenai penggunaan dokumen palsu digunakan oleh mereka berkenaan langsung tidak diambil perhatian dan tindakan.

Permohonan pembatalan Sijil Anak Negeri, dikeluarkan oleh Mahkamah Anak Negeri Sandakan, kepada penama Ngui Thou Chin dan Lim Vun Hui, telah saya failkan diregistri Mahkamah Rayuan Anak Negeri Daerah Sandakan dan A B M Fajeer, telah keluarkan perintah bahawa sijil Anak Negeri yang diterbitkan kepada kedua penama diatas sah “tidak teratur”.


Latar belakang dan dokumen peribadi milik Puan Ngui Thou Chin serta anak nya tidak melayakkan mereka diberi pengiktirafan sebagai anak negeri Sabah. Selain dokumen, dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia, suami penama Ngui Thou Chin, ketika disoal dalam perbicaraan diMahkamah Tinggi Sandakan dalam kes HASSNAR HJ EBRAHIM Lwn TAPAH BIN UTONG dan 6 lain, menyatakan isterinya (NGUI THOU CHIN) TIDAK SIUMAN sejak lahir! Secara ringkasnya - penama Ngui Thou Chin adalah anak kandung kepada mendiang Ngui Ah Kui dan Puan Chung Kim Fung. Kedua – dua mendiang berasal dari Negeri Cina tetapi berhijrah ke Sabah sebelum merdeka dimana mereka berniaga.

Sejarah Taukey NAK Hotel, Sandakan itu (NAK adalah singkatan daripada nama mendiang Ngui Ah Kui) bukan rahsia kepada penduduk asal daerah Sandakan. Bandar Kim Fung diBatu 4, Jalan Utara, Sandakan adalah nama yang diambil dari nama isteri mendiang Ngui Ah Kui. Adakah NAK Hotel, Sandakan dan Bandar Kim Fung milik bumiputera?




PERTIKAI.....Apakah Locus standi Said Hinayat untuk mengesahkan Sijil yang dikeluarkan oleh Mahkamah Anak Negeri sedangkan Mahkamah Anak Negeri Sandakan mengesahkan sijil berkenaan tidak teratur?


Saya dengan ini mencabar Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah agar menjelaskan secara betulis susur galur keluarga penama Lim Vun Hui dan ibunya bernama Ngui Thou Chin yang melayakkan mereka sebagai anak negeri berasal dari Sabah berbangsa Sino Kadazan sedangan dokumen kelahiran dan kematian mereka sekeluarga menyatakan sebaliknya.

Melalui surat ini juga saya sampaikan supaya, dalam tempoh yang sama, pihak berkenaan mengumumkan dalam bahasa Malaysia di dua buah akhbar tempatan penarikan balik pengesahan yang dikeluarkan. Tindakan anda melalui surat Mahkamah Anak Negeri Sandakan bilangan Bil.MAN/SKN:600-0/6 Klt.1/119 bth. 17 Julai, 2008 adalah tidak bertanggungjawab.


Sebagai pemimpin kaum anak negeri, sepatutnya mereka yang berjawatan memelihara serta menjaga kepentingan dan masa depan kaum anak negeri. Mengesahkan sijil anak negeri yang statusnya telahpun diputuskan oleh Mahkamah Anak Negeri Daerah Sandakan kepada mereka yang bukan anak negeri semata mata untuk melayakkan mereka membeli dan memilik tanah NT adalah berupa menjual hak dan kepentingan anak negeri Sabah kepada bangsa asing. Saya menganggap tindakan anda sebagai mengkhianiati kaum anak negeri.

AMBIL PERHATIAN saya tidak akan teragak agak mulakan tindakan di Mahkamah Tinggi Sandakan memohon perintah sewajarnya terhadap sesiapa juga jika notis ini diabaikan. Segala kos akan saya tuntut supaya di tanggung oleh pihak berkenaan secara peribadi.



OKK HASSNAR BIN HJ EBRAHIM



NOTA: KES INI TELAH DILAPORKAN SABAHKINI.NET. SILA KLIK SURAH SETAN

Monday, May 4, 2009

NOTIS KEPADA KOMENTAR



BLOG ini mengamalkan konsep saringan. Cukup sekali anda hantar komen anda kerana ianya akan diperiksa dan diperhalusi sebelum di upload. Seberapa boleh, komen tidak akan diedit. Tidak perlu hantar komen banyak kali. Jika komen tidak masuk dalam tempoh satu minggu maka ianya tidak dapat disiarkan. Saya menggalakkan anda menggunakan nama sendiri kerana di zaman sekarang tidak perlu takut jika komen anda benar. Bagaimanapun nama samaran boleh juga digunakan.

Saya mengucapkan jutaan terima kasih di atas teguran yang membina walaupun mengkritik saya secara terbuka. Komen yang serius dan bertanggung jawab amat di alu-alukan. Kita sudah hampir 46 tahun merdeka dan sewajarnya tidak gentar untuk memberikan komen yang membina. Blog ini tidak akan menyiarkan komen yang memaki hamun atau mencarut secara keterlaluan.

MUTALIB M.D

Harap Maklum!

BAPA BOREK, ANAK RINTIK?


HAZREEQ PUTRA HASMAN


SUMBER: WWW.SABAHKINI.NET



PERDANA Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak disaran mengambil tindakan tegas terhadap Ahli Parlimen UMNO yang salah laku dan mencemarkan imej Barisan Nasional dengan melakukan perkara yang tidak bermaruah.

"Bukan hanya menteri yang dinilai prestasi mereka tetapi Wakil Rakyat yang selama ini bersultan di mata dan beraja di hati sewajarnya digugurkan kerana mencemar konsep 1Malaysia yang cuba digarapkan Najib," ujar Hazreeq Putra Hasman yang menghubungi sabahkini.net untuk mengadu masalah rakannya dibelasah anak lelaki Ahli Parlimen Labuan, Yusani Yusof.

Menurut Hazreeq, rakannya, Hanizam Rasiol Mohammad adalah rakan kongsi dan pemilik saham utama dalam Utarakita Sdn.Bhd yang mendapat projek pembangunan untuk Kerja-Kerja Tanah Tapak Komersial Bumiputera, Kompleks Letak Kereta Bertingkat & Esplanade Di Teluk Victoria, Wilayah Persekutuan, Labuan bernilai RM8.2 juta.

Projek milik Perbadanan Labuan berkenaan diluluskan kepada Utarakita Sdn.Bhd pada 10 Mac 2008 dan mereka memulakan kerja pada 05 Mei 2008 dan tarikh siap yang ditetapkan pada 29 Jun 2009.

Namun sehingga berita ini ditulis, projek berkenaan sudah terlewat daripada jadual lebih 45 % dan memaksa Perbadanan Labuan memanggil mesyuarat di tapak binaan gunasama dengan Labindo Engineering Sdn.Bhd, milik Ahli Parlimen Labuan, Datuk Yusof Mahal.

"Rakan saya dijemput menghadiri mesyuarat berkenaan kerana beliau merupakan pemegang saham terbesar Utarakita Sdn.Bhd, tetapi rakan kongsinya (Yusani) telah bertindak ganas dengan menyerang dan mencederakan rakan saya di khalayak ramai," ujar Hazreeq yang dihubungi rakannya daripada Labuan setelah berlaku kejadian berkenaan.

Akibat daripada serangan mengejut tersebut, kata Hazreeq, mesyuarat di tapak binaan telah ditangguhkan oleh Pengarah Pembangunan Projek Perbadanan Labuan, Ahmad Khir menyebabkan Yusani bertindak ganas mengarahkan orangnya mencederakan Hanizam dan dua rakannya yang datang bersama menghadiri mesyuarat berkenaan.

"Hanizam telah dicederakan dengan begitu teruk dan diserang bertubi-tubi oleh Yusani dan rakan-rakannya sehingga polis berpakaian preman datang dan meleraikan mereka serta membawa Hanizam dan rakannya keluar daripada kawasan tersebut," ujar Hazreeq yang memuji tindakan pantas polis Labuan kerana jika terlambat rakannya mungkin menemui ajal kerana dibelasah dengan teruk sehingga berdarah muka, kepala dan tangan.




TERGENDALA....Projek ini tergendala tetapi Perbadanan Labuan tidak mengambil sebarang tindakan terhadap kontraktor kerana kedudukannya sebagai anak Ahli Parlimen Labuan.


Lebih membimbangkan, kata Hazreeq, Yusani bertindak mengunci pintu bilik mesyuarat dan enggan membenarkan pegawai Perbadanan Labuan keluar dan mengetahui perkara sebenar iaitu beliau membuat akuan palsu dan menipu rakan kongsinya, Hanizam.

"Saya dimaklumkan bahawa Yusani telah mengugut Pengarah Pembangunan Projek, Ahmad Khir dan menuduh beliau mendalangi semua ini," kata Hazreeq yang kesal dengan sikap Yusani yang meletakkan undang-undang di tangan beliau sendiri.

Kata Hazreeq lagi, beliau terkejut kerana Yusof Mahal telah menelefon Ahmad Khir dan menyalahkan beliau dan mahu perkara ini dirahsiakan daripada pengetahuan orang ramai terutama akhbar kerana tidak mahu anaknya dijadikan bahan cerita.

"Daripada apa yang saya tahu, Yusani turut mengancam untuk menumbuk Ahmad Khir kerana menangguhkan mesyuarat," kata Hazreeq yang menggesa Polis Labuan melengkapkan siasatan bagi memudahkan beliau membantu rakannya mengambil tindakan guaman terhadap Yusani dan bapanya.

Dalam hal ini, kata Hazreeq, Yusani tidak sepatutnya menuduh Hanizam sebagai penceroboh kerana beliau dijemput oleh Perbadanan Labuan selaras dengan kedudukannya sebagai pemegang saham terbesar.

Jelas Hazreeq lagi, beliau diberitahu, seramai 20 orang berkumpul di pejabat tapak Labindo-Utarakita dan mengancam untuk 'melenyapkan' Hanizam dan rakan-rakannya kerana Yusani telah mengarahkan orang-orangnya membawa Hanizam dan kawan-kawan ke gudang untuk tujuan berkenaan.

"Mujur polis sampai dan menyelamatkan Hanizam tetapi saya hairan kenapa mereka tidak menahan Yusani yang mencederakan dengan niat dan berhasrat untuk 'melenyapkan' Hanizam," kata Hazreeq yang meminta polis tidak pilih kasih kerana Hanizam telah membuat laporan polis dan melakukan pemeriksaan di Hospital setelah diserang Yusani dan rakannya.

Selain,Yusani dan rakan-rakannya, Hazreeq dimaklumkan, adik Yusani iaitu Saiful juga turut memukul Haniizam berkali-kali tetapi Hanizam tidak membalas.

"Polis wajar menyoal siasat pegawai Perbadanan Labuan yang menyaksikan kejadian berkenaan dan mengambil tindakan di bawah undang-undang jenayah terhadap Yusani, adik dan bapanya," ujar Hazreeql lagi.

Hazreeq turut kesal kerana Ahli Parlimen Labuan itu mengeluarkan kata-kata kesat dengan memaki hamun Hanizam melalui telefon bimbit.

"Saya kasihan apabila Hanizam memberitahu matanya lebam, dahinya berdarah dan cermin matanya pecah," ujar Hazreeq yang sedih kerana rakan-rakan Hanizam yang tidak bersalah turut dipukul, ditendang dan dihina sehinggakan Yusani menuduh mereka merosakkan nama baik keluarga Yusof dengan menyebarkan risalah berhubung kes rasuah dan skandal seks bapanya.

Kata Hazreeq, semasa di hadapan polis Yusani bersikap kurang ajar dengan menendang Hanizam sambil menjerit kepada beberapa orang polis, "Siapa kau datang sini menyibuk?."

"Yusani turut merampas mykad Nizam dan kawan-kawannya walaupun pada mulanya mereka enggan menyerah, tetapi setelah dipukul bertalu-talu mereka menyerahkannya," ujar Hazreeq yang menyifatkan Yusani tidak berperi kemanusiaan dan tidak langsung bertimbang rasa ketika mencederakan Hanizam.

Sebelum ini, Hazreeq, yang mewakili syarikatnya, Nautika Innovasi Sdn. Bhd. telah membuat laporan polis di Balai Polis Karamunsing, Kota Kinabalu setelah menyedari beliau di tipu oleh Yusof Mahal yang menjadi Pemilik Saham terbesar dan Pengarah Urusan, Labindo Engineering Services Sdn. Bhd.

"Dia mencuri 93 batang piling (cerucuk) saya dan menipu saya sejumlahd RM1.5 juta dan berpakat dengan subkontraktor saya untuk kerja menanam cerucuk, Box Piling Co. Limited yang saya bawa dari Brunei untuk meneruskan kerja tanpa rasa malu atau rasa bersalah," ujar Hazreeq yang meminta polis memaklumkan hasil siasatan polis terhadap Yusof Mahal.

Hazreeq turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya lebih bertanggung jawab melengkapkan siasatan dan tidak hanya menyerahkan isu berkenaan kepada polis kerana terdapat unsur rasuah apabila Yusof Mahal menggunakan kedudukannya sebagai Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan mendapatkan dua projek yang beliau mempunyai kepentingan.

MANA JANJI MANISMU?


ILUSI.... Gambar foto ciptaan anak peneroka Felda ini memberikan gambaran yang cukup besar dalam menyampaikan keluhan mereka berhubung layanan Felda terhadap generasi kedua Felda dan mesyarakat sekitar yang menderita akibat penubuhan Felda.


SUMBER: WWW.SABAHKINI.NET

PERDANA Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak disaran menunaikan janji manis Lembaga Pembangunan Persekutuan (FELDA) untuk melaksanakan Program Pembangunan Masyarakat Setempat (PPMS) yang dilancarkannya pada 5 Februari 2007 di Lahad Datu.

Ketua Bahagian Parti Keadilan Rakyat Silam, Johani Abdul Halim (gambar) membuat saranan demikian setelah Felda gagal menunaikan janji kepada rakyat Silam yang selama ini cukup menderita apabila Felda merampas hak asasi mereka sejak 1976 sehingga mereka terpinggir serba-serbi.

"Apakah Perdana Menteri (yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri yang menjaga Felda) terlupa bahawa beliau sendiri yang mengumumkan peruntukan RM50 juta iaitu RM25 juta untuk melaksanakan pelbagai program pembasmian kemiskinan untuk meningkatkan pendapatan serta kualiti hidup penduduk miskin di pantai timur Sabah," kata Johani yang menyebut bakinya RM25 juta lagi diserahkan kepada kerajaan Negeri Sabah untuk tujuan yang tidak dikenalpasti.

Kata Johani, ketika itu Najib juga mengumumkan bahawa projek perintis PPMS dimulakan di Sabah sebagai penghargaan dan timbal balas kerajaan negeri Sabah yang meluluskan kawasan tanah kepada Felda.

"Saya mendengar dengan mata dan kepala saya sendiri bahawa Najib berkata bahawa Felda telah mencatat sejarah pertamanya apabila menyalurkan dana RM50 juta bagi melaksanakan PPMS yang melibatkan masyarakat bukan peneroka. Kini saya mahu tanya sejarah apa yang beliau maksudkan dan ke mana wang tersebut di belanjakan?," tanya Johani yang kesal kerana sehingga kini hanya sepuluh buah rumah PPRT yang tidak mengikut piawaian yang berjaya dilaksanakan dan diserahkan secara terburu-buru ketika pelancaran berkenaan di Kampung Sabah Baru.




HILANG.... Ke mana hilangnya RM25 Juta yang Najib sampaikan kepada Wakil JPPS ini setelah JPPS dimansuhkan dan digantikan dengan Jabatan Pembangunan Negeri Sabah? Jika wang tersebut masih ada, kenapa projek PPRT berkenaan dihentikan?


Setelah dua tahun berlalu, sepuluh orang 'bertuah' di Silam yang mendapat rumah PPRT di tanah setinggan Sabah Baru terpaksa hidup seperti pelarian Rohingya kerana tangki air yang dibekalkan kepada mereka telah diambil balik, tidak bekalan air paip, tiada bekalan elektrik, sistem tandas curah tidak berfungsi sehingga mereka terpaksa meminta-minta daripada sanak saudara untuk membeli air dan menyambung elektrik secara haram daripada jiran.

Dalam masa yang sama kata Johani, hati masyarakat Tiong Hua telah terguris kerana tanah yang mereka timbus dengan wang dan keringat mereka telah dirampas untuk membangunkan projek PPMS pertama tanpa sebarang pampasan daripada kerajaan.

"Namun kami (Keadilan) bersyukur kerana kemarahan masyarakat Tiong Hua dan mangsa yang teraniaya oleh janji Felda telah meningkatkan undi kami di dewan Undangan Negeri Lahad Datu, Tungku dan Parlimen Silam. Kita harap pada pilihanraya umum akan datang, kita akan dapat merampas dua kerusi DUN dan satu kerusi parlimen kerana Kerajaan Persekutuan tidak akan mampu melaksanakan projek berkenaan secara saksama menjelang pilihanraya umum ke 13," ujar Johani lagi.

Belum pernah terjadi dalam sejarah Sabah kata Johani, hak masyarakat Tiong Hua yang telah diluluskan lot tanah dirampas kembali tanpa merujuk atau membayar pampasan dan sekaligus mencabul Fasal 13 Perlembagaan Persekutuan iaitu hak terhadap harta.

Dalam masa yang sama, kata Johani, peruntukan RM25 juta yang disampaikan sendiri Najib pada tarikh keramat tersebut disalurkan terus kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah (JPPS) dan apabila JPPS dimansuhkan, tidak ada sebarang berita lagi berhubung wang sumbangan terus daripada Felda berkenaan.

"Jika wang tersebut masih ada dan tidak digunakan untuk tujuan lain, kenapa tidak melaksanakan segera projek yang dijanjikan kepada rakyat? Begitu lama rakyat tempatan yang rumah mereka dirobohkan dalam Ops Nyah II bersepadu 2002 menunggu rumah yang dijanjikan kepada mereka. Jika tidak ada, katalah tidak ada, kenapa mau berdalih?," ujar Johani yang kesal dengan sikap pilih kasih Kerajaan Barisan Nasional di dalam agehan projek.

Sehubungan itu, Johani menggesa Najib agar melestarikan konsep 1Malaysia di Silam atau melupakan sahaja cogankata 'Rakyat didahulukan, pembangunan diutamakan' yang diwar-warkan Najib sebagai dasar baru yang akan dilaksanakan setelah menjadi Perdana Menteri Malaysia.

"Bayar dahulu hutang kepada rakyat Silam sebelum melangkah lebih jauh dan bercakap tentang 1Malaysia. Mereka hanya menuntut hak mereka kerana tanah yang mereka usahakan dan bakal menjadi hak milik generasi akan datang telah diserahkan Kerajaan Berjaya kepada Felda tanpa bayaran walau sepuluh sen pun," kata Johani yang melemparkan keluhan panjang disebabkan Sahabat Pinggir dan Zon Keselamatan yang dikeluarkan daripada Felda diluluskan kepada syarikat luar dan pemimpin yang mengkhianati janji kepada rakyat sebelum ini.

Setelah tiga puluh tahun merintih, meminta dan merayu, akhirnya pada 2007 Felda mengeluarkan 'derma saguhati' sejumlah RM50 juta, namun kata Johani, jumlah tersebut hanya didengar dan diumumkan sahaja tetapi tidak dinikmati oleh rakyat Silam yang menerima tempias kesengsaraan langsung daripada pembukaan tanah rancangan Felda sahabat.

"Dahulu kami hidup dengan berburu di kawasan hutan rimba dan menjala ikan di sungai, tetapi kini semuanya sudah tiada dan sungai tercemar. Tiada lagi permit berburu dikeluarkan dan kami tidak boleh sebarangan masuk menjala ikan di sungai yang sebahagian besarnya diluluskan kepada Felda kerana dicemari sisa kumbahan kilang yang tidak dirawat dengan baik," ujar Johani yang menggesa Najib mengubah dasar Felda kepada mesra alam dan mesra rakyat.

Jika mahukan generasi pertama dan kedua Felda serta masyarakat di sekitar Felda menghormati dan menghargai jasa Felda, kata Johani, Felda harus menebus dosa mereka dengan membangunkan kawasan kampung tradisi yang menerima impak langsung daripada pembangunan tanah rancangan Felda.

Selama ini kata Johani, masyarakat yang teraniaya oleh dasar Felda hanya menjadi pemerhati pembangunan dan bukannya menikmati pembangunan yang dicanangkan setiap kali pilihanraya umum.

Dalam pada itu, sepuluh orang penerima rumah PPRT yang dibina dengan sumbangan Dana Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) merayu keprihatinan Najib untuk mengakhiri penderitaan mereka yang terpenjara di dalam syurga ciptaan Ahli Parlimen lalu, Datuk Samsu Baharun Haji Abdul Rahman.

Jurucakap penduduk, Utoh Salleh Nahul, 63, berkata, mereka terpaksa menjalani kehidupan bagaikan penduduk Afrika yang tidak mempunyai kemudahan asas seperti bekalan air paip, elektrik dan tandas.

"Kami terpaksa menyambung elektrik secara haram daripada jiran di Taman Warisan. Membeli air daripada jiran di Kampung Sabah Baru dan membina tandas di atas air di belakang rumah kerana tandas yang sedia ada tidak mempunyai sistem pelupusan," ujar Utoh Salleh yang mengakui mereka menjadi mangsa permainan politik.

Menurut Utoh, mereka telah memfailkan aduan rasmi kepada pelbagai pihak, namun tidak ada pihak yang tampil untuk menyelesaikan kemelut yang mereka hadapi.

"Kami dijanjikan pelbagai kemudahan ketika rumah kami dilancarkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak. Tetapi apabila selesai perasmian, tangki air kami diambil balik, kami terpaksa bergelap kerana tiada elektrik. Kami jadi perhiasan untuk media," ujar Utoh yang akan menemui Salleh Kalbi dalam masa yang terdekat untuk mengemukakan rayuan mereka.