Search This Blog

Monday, May 4, 2009

MANA JANJI MANISMU?


ILUSI.... Gambar foto ciptaan anak peneroka Felda ini memberikan gambaran yang cukup besar dalam menyampaikan keluhan mereka berhubung layanan Felda terhadap generasi kedua Felda dan mesyarakat sekitar yang menderita akibat penubuhan Felda.


SUMBER: WWW.SABAHKINI.NET

PERDANA Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak disaran menunaikan janji manis Lembaga Pembangunan Persekutuan (FELDA) untuk melaksanakan Program Pembangunan Masyarakat Setempat (PPMS) yang dilancarkannya pada 5 Februari 2007 di Lahad Datu.

Ketua Bahagian Parti Keadilan Rakyat Silam, Johani Abdul Halim (gambar) membuat saranan demikian setelah Felda gagal menunaikan janji kepada rakyat Silam yang selama ini cukup menderita apabila Felda merampas hak asasi mereka sejak 1976 sehingga mereka terpinggir serba-serbi.

"Apakah Perdana Menteri (yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri yang menjaga Felda) terlupa bahawa beliau sendiri yang mengumumkan peruntukan RM50 juta iaitu RM25 juta untuk melaksanakan pelbagai program pembasmian kemiskinan untuk meningkatkan pendapatan serta kualiti hidup penduduk miskin di pantai timur Sabah," kata Johani yang menyebut bakinya RM25 juta lagi diserahkan kepada kerajaan Negeri Sabah untuk tujuan yang tidak dikenalpasti.

Kata Johani, ketika itu Najib juga mengumumkan bahawa projek perintis PPMS dimulakan di Sabah sebagai penghargaan dan timbal balas kerajaan negeri Sabah yang meluluskan kawasan tanah kepada Felda.

"Saya mendengar dengan mata dan kepala saya sendiri bahawa Najib berkata bahawa Felda telah mencatat sejarah pertamanya apabila menyalurkan dana RM50 juta bagi melaksanakan PPMS yang melibatkan masyarakat bukan peneroka. Kini saya mahu tanya sejarah apa yang beliau maksudkan dan ke mana wang tersebut di belanjakan?," tanya Johani yang kesal kerana sehingga kini hanya sepuluh buah rumah PPRT yang tidak mengikut piawaian yang berjaya dilaksanakan dan diserahkan secara terburu-buru ketika pelancaran berkenaan di Kampung Sabah Baru.




HILANG.... Ke mana hilangnya RM25 Juta yang Najib sampaikan kepada Wakil JPPS ini setelah JPPS dimansuhkan dan digantikan dengan Jabatan Pembangunan Negeri Sabah? Jika wang tersebut masih ada, kenapa projek PPRT berkenaan dihentikan?


Setelah dua tahun berlalu, sepuluh orang 'bertuah' di Silam yang mendapat rumah PPRT di tanah setinggan Sabah Baru terpaksa hidup seperti pelarian Rohingya kerana tangki air yang dibekalkan kepada mereka telah diambil balik, tidak bekalan air paip, tiada bekalan elektrik, sistem tandas curah tidak berfungsi sehingga mereka terpaksa meminta-minta daripada sanak saudara untuk membeli air dan menyambung elektrik secara haram daripada jiran.

Dalam masa yang sama kata Johani, hati masyarakat Tiong Hua telah terguris kerana tanah yang mereka timbus dengan wang dan keringat mereka telah dirampas untuk membangunkan projek PPMS pertama tanpa sebarang pampasan daripada kerajaan.

"Namun kami (Keadilan) bersyukur kerana kemarahan masyarakat Tiong Hua dan mangsa yang teraniaya oleh janji Felda telah meningkatkan undi kami di dewan Undangan Negeri Lahad Datu, Tungku dan Parlimen Silam. Kita harap pada pilihanraya umum akan datang, kita akan dapat merampas dua kerusi DUN dan satu kerusi parlimen kerana Kerajaan Persekutuan tidak akan mampu melaksanakan projek berkenaan secara saksama menjelang pilihanraya umum ke 13," ujar Johani lagi.

Belum pernah terjadi dalam sejarah Sabah kata Johani, hak masyarakat Tiong Hua yang telah diluluskan lot tanah dirampas kembali tanpa merujuk atau membayar pampasan dan sekaligus mencabul Fasal 13 Perlembagaan Persekutuan iaitu hak terhadap harta.

Dalam masa yang sama, kata Johani, peruntukan RM25 juta yang disampaikan sendiri Najib pada tarikh keramat tersebut disalurkan terus kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah (JPPS) dan apabila JPPS dimansuhkan, tidak ada sebarang berita lagi berhubung wang sumbangan terus daripada Felda berkenaan.

"Jika wang tersebut masih ada dan tidak digunakan untuk tujuan lain, kenapa tidak melaksanakan segera projek yang dijanjikan kepada rakyat? Begitu lama rakyat tempatan yang rumah mereka dirobohkan dalam Ops Nyah II bersepadu 2002 menunggu rumah yang dijanjikan kepada mereka. Jika tidak ada, katalah tidak ada, kenapa mau berdalih?," ujar Johani yang kesal dengan sikap pilih kasih Kerajaan Barisan Nasional di dalam agehan projek.

Sehubungan itu, Johani menggesa Najib agar melestarikan konsep 1Malaysia di Silam atau melupakan sahaja cogankata 'Rakyat didahulukan, pembangunan diutamakan' yang diwar-warkan Najib sebagai dasar baru yang akan dilaksanakan setelah menjadi Perdana Menteri Malaysia.

"Bayar dahulu hutang kepada rakyat Silam sebelum melangkah lebih jauh dan bercakap tentang 1Malaysia. Mereka hanya menuntut hak mereka kerana tanah yang mereka usahakan dan bakal menjadi hak milik generasi akan datang telah diserahkan Kerajaan Berjaya kepada Felda tanpa bayaran walau sepuluh sen pun," kata Johani yang melemparkan keluhan panjang disebabkan Sahabat Pinggir dan Zon Keselamatan yang dikeluarkan daripada Felda diluluskan kepada syarikat luar dan pemimpin yang mengkhianati janji kepada rakyat sebelum ini.

Setelah tiga puluh tahun merintih, meminta dan merayu, akhirnya pada 2007 Felda mengeluarkan 'derma saguhati' sejumlah RM50 juta, namun kata Johani, jumlah tersebut hanya didengar dan diumumkan sahaja tetapi tidak dinikmati oleh rakyat Silam yang menerima tempias kesengsaraan langsung daripada pembukaan tanah rancangan Felda sahabat.

"Dahulu kami hidup dengan berburu di kawasan hutan rimba dan menjala ikan di sungai, tetapi kini semuanya sudah tiada dan sungai tercemar. Tiada lagi permit berburu dikeluarkan dan kami tidak boleh sebarangan masuk menjala ikan di sungai yang sebahagian besarnya diluluskan kepada Felda kerana dicemari sisa kumbahan kilang yang tidak dirawat dengan baik," ujar Johani yang menggesa Najib mengubah dasar Felda kepada mesra alam dan mesra rakyat.

Jika mahukan generasi pertama dan kedua Felda serta masyarakat di sekitar Felda menghormati dan menghargai jasa Felda, kata Johani, Felda harus menebus dosa mereka dengan membangunkan kawasan kampung tradisi yang menerima impak langsung daripada pembangunan tanah rancangan Felda.

Selama ini kata Johani, masyarakat yang teraniaya oleh dasar Felda hanya menjadi pemerhati pembangunan dan bukannya menikmati pembangunan yang dicanangkan setiap kali pilihanraya umum.

Dalam pada itu, sepuluh orang penerima rumah PPRT yang dibina dengan sumbangan Dana Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) merayu keprihatinan Najib untuk mengakhiri penderitaan mereka yang terpenjara di dalam syurga ciptaan Ahli Parlimen lalu, Datuk Samsu Baharun Haji Abdul Rahman.

Jurucakap penduduk, Utoh Salleh Nahul, 63, berkata, mereka terpaksa menjalani kehidupan bagaikan penduduk Afrika yang tidak mempunyai kemudahan asas seperti bekalan air paip, elektrik dan tandas.

"Kami terpaksa menyambung elektrik secara haram daripada jiran di Taman Warisan. Membeli air daripada jiran di Kampung Sabah Baru dan membina tandas di atas air di belakang rumah kerana tandas yang sedia ada tidak mempunyai sistem pelupusan," ujar Utoh Salleh yang mengakui mereka menjadi mangsa permainan politik.

Menurut Utoh, mereka telah memfailkan aduan rasmi kepada pelbagai pihak, namun tidak ada pihak yang tampil untuk menyelesaikan kemelut yang mereka hadapi.

"Kami dijanjikan pelbagai kemudahan ketika rumah kami dilancarkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak. Tetapi apabila selesai perasmian, tangki air kami diambil balik, kami terpaksa bergelap kerana tiada elektrik. Kami jadi perhiasan untuk media," ujar Utoh yang akan menemui Salleh Kalbi dalam masa yang terdekat untuk mengemukakan rayuan mereka.

No comments: