Search This Blog

Tuesday, August 11, 2009

EKSKLUSIF: MA TZU DIGANTUNG TIDAK BERTALI?



Ehsan: www.sabahkini.net


WALAUPUN tiga panel Hakim Mahkamah Rayuan telah sebulat suara memutuskan bahawa Yayasan Thean Hou adalah pertubuhan haram dan tidak mempunyai locus standi untuk mengemukakan saman terhadap kesemua defendan terbabit, namun Mahkamah Rayuan telah menggantung tidak bertali Projek Ma Tzu.

Memandangkan tidak ada sebarang keputusan dibuat berhubung projek berkenaan yang masih dalam dilema, maka Sabahkini.net telah menemui Pengerusi Yayasan Thean Hou, Tan Sri Chong Kah Kiat untuk mendapat gambaran sebenar berhubung tindakan yang bakal diambil oleh beliau berikutan Keputusan Mahkamah Rayuan berkenaan.

Sebelum menemui Chong Kah Kiat, ketika bersembahyang Jumaat pada 7 Ogos lalu di Masjid Bandaraya di Likas, Khatib Masjid Bandaraya telah memulakan mukadimah khutbah yang amat mengejutkan Datuk Seri Panglima Musa Aman dan Jemaah yang turut bersembahyatng di Masjid berkenaan dengan mengatakan; "Janganlah sakitkan hati orang bukan Islam kerana mereka juga cucu Nabi Adam."

WAWANCARA SABAHKINI.NET DENGAN TAN SRI CHONG KAH KIAT


Sabahkini.net: Selamat Petang Tan Sri. Nampaknya Tan Sri gembira dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang disifatkan sebagai memihak kepada Defendan?

Tan Sri Chong Kah Kiat (CKK): Selamat petang kembali. Ya, saya gembira kerana walaupun mahkamah rayuan telah memutuskan bahawa Yayasan Thean Hou adalah sebuah pertubuhan yang tidak sah mengikut undang-undang yang berkuatkuasa dan tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan sebarang saman, namun mahkamah tidak membatalkan pembinaan patung Dewi Laut Ma Tzu atau menghalang pembinaan daripada diteruskan. Ramai rakyat berpendapat keputusan mahkamah rayuan tidak memberi sebarang makna kepada Musa atau saya kerana persoalan pokok ialah adakah Musa Aman atau Pihak Berkuasa Tempatan mempunyai locus standi untuk memberhentikan pembinaan patung Ma Tzu? Saya ingin bertanya, aspek mana dan peruntukan perlembagaan mana, Musa gunakan untuk campurtangan dalam isu agama lain sedangkan perlembagaan negara membenarkan pembinaan patung berkenaan.

Sabahkini.net: Jadi Tan Sri tidak gusar dengan keputusan tersebut yang dilihat sesetengah pihak sebagai berakhirnya perjuangan Tan Sri mendapat keadilan melalui Mahkamah Undang-Undang?


CKK: Oh tidak sama sekali. Namun sebagai Pengerusi Yayasan Thean Hou yang kini diharamkan Mahkamah Rayuan, saya merasakan adalah menjadi keperluan kepada saya untuk menjelaskan apa juga keraguan yang timbul. Biar rakyat Sabah mengetahui apa yang berlaku kepada dua kes saman saya. Saman pemula Ma Tzu dan saman sivil yang saya kemukakan. Adalah penting bagi rakyat Sabah dan Malaysia mengetahui implikasi keputusan mahkamah rayuan yang mengenepikan kedua-dua kes Ma Tzu. Semua tiga hakim di Mahkamah rayuan membuat keputusan bahawa Yayasan saya, malah saya sendiri tidak mempunyai locus standi untuk pergi ke mahkamah untuk mendapatkan keadilan kerana Mahkamah Rayuan mengatakan Yayasan saya adalah ‘Pertubuhan Haram’ dan tidak berdaftar di bawah Akta Pertubuhan sedangkan Mahkamah Rayuan bukanlah forum yang sesuai untuk memutuskan bahawa Yayasan saya adalah tidak sah.

Sabahkini.net: Apa reaksi Tan Sri dan ahli Pertubuhan Yayasan Thean Hou apabila Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Pertubuhan yang Tan Sri pimpin sebagai tidak sah atau tidak mempunyai Locus Standi?


CKK: Inilah keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan. Sehubungan itu saya perlu menjelaskan isu ini sebaik mungkin berhubung apa juga kekeliruan yang ahli Yayasan dan orang awam mahu tahu. Saya menerima banyak panggilan telefon selepas keputuan Mahkamah Rayuan. Rakyat mesti tahu bahawa Mahkamah Rayuan tidak menyatakan bahawa Projek Ma Tzu yang diluluskan oleh Lembaga Bandaran Kudat adalah Haram. Mahkamah Rayuan juga tidak mengatakan bahawa saya tidak boleh membina atau melaksanakan projek yang telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan. Mahkamah Rayuan juga tidak menyatakan bahawa projek saya adalah Haram. Bagaimanapun, yang paling penting Mahkamah Rayuan tidak menyatakan tindakan pihak berkuasa tempatan seperti Lembaga Bandaran Kudat, Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Ketua Menteri dan pihak yang mengambil tindakan atau apa yang mereka lakukan ke atas projek saya adalah sah. Keputusan Mahkamah Rayuan tidak ada katakan apa-apa. Tidak apa sebarang keputusan. Mahkamah Rayuan tidak membuat sebarang keputusan tentang projek saya, oleh itu tidak member sebarang kesan terhadap projek saya. Tidak ada sebarang keputusan. Saya harap anda faham. Kalau tak faham sila tanya kerana penting bagi anda untuk mengetahui situasi dan posisi fakta sebenar.

Sabahkini.net: Tadi Tan Sri melihat kes ini dari aspek psikologi untuk mententeramkan penganut Ma Tzu, namun dari aspek Undang-Undang, Tan Sri harus melakukan sesuatu untuk memastikan isu Ma Tzu tidak berakhir begitu sahaja. Apakah tindakan selanjutnya?

CKK: Memang benar. Sekarang semua kes Ma Tzu sudah tidak ada, melainkan saya bawa ke Mahkamah Persekutuan. Untuk ke Mahkamah Persekutuan, saya harus memohon leave daripada Mahkamah Persekutuan terlebih dahulu. Saya percaya saudara ada membaca surat khabar beberapa hari lalu. Ya, memang saya akui, saya telah mengarahkan Peguam saya, Haji Ansari untuk memohon leave daripada Mahkamah Persekutuan dengan alasan akan merayu di Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang mengharamkan Yayasan saya (sambil tergelak kecil). Inilah posisi yang akan saya buat seperti mana arahan yang saya berikan kepada peguam saya. Sebab jika saya tidak memohon kepada Mahkamah Persekutuan dan biarkan seperti mana pada hari ini, bermakna tidak lagi kes Ma Tzu di mahkamah.

Sabahkini.net: Apakah jaminan atau mekanisme bahawa Mahkamah Persekutuan akan menerima atau menolak leave yang difailkan Tan Sri sebelum kes ini boleh diteruskan di Mahkamah Tinggi?

CKK: Inilah sebenarnya persoalan yang berlegar di kepala saya. Apa senarionya jika saya tidak mengambil sebarang tindakan?. Apa akan terjadi kepada projek yang telah diluluskan kerajaan tetapi kemudiannya dibatalkan? Sedangkan pada dasarnya projek berkenaan hampir siap atau telah siap, hanya menunggu patung Ma Tzu dipasang pada tempatnya. Projek sudah berjalan atau sedia ada, bukan belum bermula. Apa yang akan terjadi jika saya tidak mengambil tindakan lanjut di mahkamah?. Apa yang akan terjadi? Ini bermakna, soalan pertama ialah apakah jika projek yang telah diluluskan, Projek Mazu di Kudat ini, sah atau tidak sah? Adakah keputusan kerajaan menarik balik kelulusan yang telah diberi itu sah atau tidak? Perkara inilah yang harus diputuskan oleh Mahkamah atau oleh suatu badan atau seseorang atau sesuatu institusi, harus membuat keputusan, samada mahkamah, atau Lembaga Pusat Perancang Bandar yang sehingga ke hari ini tidak pernah wujud. Jadi siapa sebenarnya yang akan buat keputusan?

Sabahkini.net: Pada pandangan Tan Sri, apakah Kerajaan boleh, berhak atau pernah menarik balik kelulusan yang telah diberikan kepada sesuatu institusi?

CKK: Saya tidak tahu kes sebelum ini. Tapi dalam kes ini, saya rasa seluruh rakyat Malaysia mahu tahu kenapa Kerajaan menarik balik kelulusan yang telah diberikan kepada pemaju swasta, di atas tanah swasta dan dibiayai sepenuhnya oleh dana swasta. Kita tidak menggunakan satu senpun wang kerajaan. Rakyat Malaysia mahu tahu. Adakah kita mempunyai cara untuk mencari penyelesaian, memutuskan hal ini? Jika saya tutup saja kes ini dan jika saya tidak kemukakan kepada Mahkamah Persekutuan,dan hanya terima keputusan Mahkamah Rayuan, ini bermakna kerajaan, Ketua Menteri, Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Lembaga Bandaran Kudat, Lembaga Pusat Perancang Bandar tidak lagi perlu menjelaskan kepada rakyat tindakan songsang mereka dan memberi justifikasi apa yang mereka lakukan ke atas projek saya. Persoalannya, apakah mereka akan dilepas atau bebaskan begitu sahaja oleh mahkamah?

Sabahkini.net: Bukankah jika Mahkamah Rayuan telah membuat keputusan, maka segala rayuan Tan Sri tidak berguna lagi sekalipun dikemukakan ke Mahkamah Persekutuan? Ini penting di sini ialah Locus Standi. Apakah ia ada ditimbulkan di dalam prosiding?

CKK: Nah inilah yang rakyat nak tahu. Keputusan Mahkamah Rayuan hanya berkisar kepada masalah teknikal dan locus standi. Tetapi kenapa isu ini tidak pernah ditimbulkan sejak hari pertama sehingga tiga tahun lalu dan hanya ditimbulkan selepas Peguam Negeri Sabah, atas sebab peribadi meletakkan jawatan. Rakyat mahu tahu. Kenapa rakyat mahu tahu? Sebab Kali pertama Kerajaan Negeri Sabah mencampuri projek saya pada 25 Mei 2005 melalui surat Lembaga Bandaran Kudat yang dialamatkan kepada saya. Jika saya tidak mempunyai locus standi, kenapa surat itu ditujukan kepada saya. Surat itu yang ditandatangani oleh Pegawai Eksekutif Lembaga Bandaran Kudat menyatakan bahawa, beliau telah diarah oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, iaitu melalui telefon daripada Pegawai Menteri, untuk memaklumkan kepada saya secara peribadi supaya memberhentikan projek pembinaan Patung Dewi Laut Ma Tzu dan ini yang paling penting, iaitu sehingga mendapat persetujuan atau arahan selanjutnya daripada Ketua Menteri Sabah. Surat ini bertarikh 25 Mei 2005, berikutnya, secara kebetulan iaitu sepuluh hari selepas insiden tongkang di Sipadan,kalau anda boleh ingat iaitu 15 Mei 2006, kurang seminggu atau kurang 10 hari kemudian iaitu pada 6 Jun 2006. Saya ada semua hitam putih. Satu hari akan saya tulis buku, Saga Ma Tzu di Kudat.

Sabahkini.net: Bagaimanapun Tan Sri, undang-undang yang diamalkan di Malaysia sering kali tidak berpihak kepada dokumen atau hitam putih kerana dokumen tidak boleh berbicara atau menjawab soalan hakim di Mahkamah. Jadi bagaimana Tan Sri begitu yakin boleh menggunakan dokumen berkenaan sebagai alibi untuk meyakinkan Mahkamah Persekutuan?

CKK: Mereka tidak boleh melarikan diri atau menafikan kewujudan surat ini kerana sekalipun fail hilang tetapi saya ada surat asal. Surat ini tidak menyatakan alasan kenapa projek saya diberhentikan. Sepuluh hari kemudian, 6 Jun, Surat kedua yang ditulis oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, kerana itu saya namakan dia sebagai Defendan, kerana dia memberhentikan projek saya dengan memberi dua asas spesifik iaitu berdekatan dengan Masjid As-Syakirin dan bantahan awam. Dua asas spesifik. Mereka memberhentikan saya. Dua alasan. Saya terima. Selepas itu, bila Pemimpin Persekutuan datang untuk meminta mereka menimbang semula dan membenarkan saya meneruskan projek yang seperti saya nyatakan dalam bundle of pleading, termasuk Perdana Menteri juga dimaklumi. Kerajaan Negeri Sabah menulis surat, setahun selepas mereka memberhentikan projek saya dan kali ini mereka menarik balik kelulusan atau membatalkan kelulusan tersebut pada November 2007 dengan menyatakan alasan yang lebih spesifik iaitu ketidak patuhan kepada Seksyen 15, Ordinan Perancang Bandar dan Wilayah. Dengan kata lain permohonan saya tidak dikemukakan kepada Lembaga Pusat Perancang Bandar. Mereka tidak nyatakan itu kesalahan sesiapa ataupun kesilapan mereka. Itu bukan tugas pemaju atau tugas saya, itu tugas Lembaga Bandaran Kudat untuk menghantar atau tidak menghantar.

Sabahkini.net: Apakah alasan yang kukuh untuk meneruskan kes ini di Mahkamah Tinggi jika Mahkamah Persekutuan menyebelahi Tan Sri?

CKK: Asas penting di sini adalah alasan spesifik, iaitu projek saya tidak dikemukakan ke Lembaga Pusat Perancang Bandar.Saya terlibat dan Yayasan saya terbabit dan saya tidak dapat kemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan kerana tidak ada Lembaga Rayuan atau dengan kata lain, Lembaga Rayuan tidak pernah wujud sebagai sebuah institusi yang sah. Jadi saya tidak mempunyai pilihan melainkan terpaksa mengadu kepada mahkamah untuk memberitahu Mahkamah bahawa alasan yang Kerajaan berikan tidak munasabah dan tidak berasas menurut undang-undang yang berkuatkuasa di Malaysia. Apakah yang logik yang harus kerajaan lakukan? Mereka harus memberitahu dan meyakinkan Hakim Mahkamah Tinggi bahawa alasan yang mereka gunakan menamatkan projek saya adalah berasas dan sah. Mereka gunakan alasan ini. Ketika mereka berhentikan projek saya mereka tidak katakan, “Heeiii kami hentikan projek Yayasan Thean Hou kerana ia adalah Pertubuhan haram. Mereka tidak katakan itu. Mereka batalkan kelulusan projek saya bukan kerana Yayasan saya haram tetapi kerana dekat dengan Masjid. Tidak. Mereka hentikan saya kerana dua asas yang dangkal dan tidak masuk akal.

Sabahkini.net: Bukankah keputusan Mahkamah Rayuan telah membebaskan mereka daripada menjawab atau memberikan alasan terhadap tindakan mereka, apatah lagi ianya berkaitan isu Locus Standi?


CKK: Jika mereka berani membatalkan projek saya, mereka harus berani ke mahkamah. Jika mereka gentlemen, harus beranilah, mereka harus pergi Mahkamah Tinggi dan beritahu dan yakinkan hakim. Apakah ada undang-undang di Sabah dan Malaysia, yang tidak membenarkan projek seperti saya yang dibina berdekatan dengan masjid atau kerana ada orang komplen, lalu mereka katakan ada hak untuk berhentikan projek saya. Mereka harus memberitahu mahkamah kenapa mereka gunakan Seksyen 15. Mereka harus menjelaskan kenapa mereka gunakan Seksyen 15 sehingga memaksa projek saya dirujuk kepada Lembaga Pusat. Betul tak?. Tetapi sekarang dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan atas asas yang mengejut iaitu yayasan saya adalah pertubuhan haram. Bukan itu sebab kenapa projek saya dibatalkan atau dihentikan. Apa yang terjadi?. Belum lagi. Belum lagi Kerajaan atau saya ada peluang memberitahu hakim bahawa apa yang mereka lakukan adalah betul dan sah. Kita tidak berpeluang memberitahu mahkamah untuk bahawa apa yang kerajaan buat tidak betul. Kita tidak lagi berpeluang, melainkan jika saya membawa perkara ini ke mahkamah Persekutuan dan jika keputusan Mahkamah Persekutuan berpihak kepada saya, maka kita akan kembali kepada Mahkamah Tinggi. Inilah peluang saya yang terakhir. Jika usaha saya ke Mahkamah Persekutuan berhasil dan Tuhan membantu saya mendapatkan leave daripada Mahkamah Persekutuan, maka saya berpeluang untuk memberitahu mahkamah bahawa tiga alasan yang mereka kemukakan untuk membatalkan projek saya adalah tidak sah. Selepas itu terpulanglah kepada kerajaan untuk memberitahu mahkamah tiga alasan yang mereka gunakan. Kenapa mereka gunakan pada 2005 alasan berdekatan masjid atau komplen umum? Mereka harus beritahu mahkamah kenapa komplen orang awam atau Seksyen 15 boleh membatalkan kelulusan yang diberikan kepada projek saya. Mereka harus meyakinkan Mahkamah dan terpulang kepada hakim untuk memutuskannya.

Sabahkini.net: Tan Sri kata tadi bahawa isu Locus Standi tidak pernah ditimbulkan sepanjang perbicaraan dan kenapa tiba-tiba ianya diputuskan oleh Mahkamah Rayuan? Apakah ini akan membuatkan Mahkamah akan memutuskan tidak ada kes untuk dibicarakan kerana Tan Sri tidak mempunyai Locus Standi?

CKK: Ya memang benar. Tidak pernah timbul sepanjang perbicaraan. Tetapi jika mereka mahu mengemukakan isu pertubuhan haram, maka Kerajaan harus mengubah atau meminda dokumen kenyataan mempertahankan diri (Defend Statement) yang dikemukakan kepada mahkamah kerana tidak ada menyebut atau membangkitkan isu locus standi tentang pertubuhan haram. Mereka tidak pernah mencabar saya, tentang locus standi. Asas itu bukan asas, tetapi hanya dijadikan senjata teknikal dan taktikal dengan memutuskan bahawa yayasan saya adalah haram. Tapi itu bukan asas, tidak pernah digunakan. Tidak pernah dibangkitkan pula mulai dari hari pertama bila mereka berhentikan projek saya atau dibangkitkan. Ini penting kerana keputusan kelmarin tidak ada kena mengena berhubung legaliti atau dengan tindakan yang diambil kerajaan terhadap Ma Tzu. Keputusan Mahkamah Rayuan tidak bahawa ada kena mengena sama ada projek saya sah atau haram, bukan juga keputusan bahawa tindakan kerajaan terhadap saya adalah sah.

Sabahkini.net: Dengan keputusan dan perkembangan terbaru ini, apakah Tan Sri masih yakin dengan Sistem dan ketelusan Merit Perundangan atau Mahkamah di Malaysia?

CKK: Ya. Saya masih lagi percaya bahawa masih ada keadilan undang-undang di Malaysia kerana Mahkamah Rayuan tidak mengharamkan projek saya. Saya akan menggunakan semua saluran undang-undang dan jika masih juga tidak Berjaya, saya terpaksa budibicara atau cara saya sendiri. Tapi itu adalah jalan terakhir setelah semua peluang tertutup.

Sabahkini.net: Apakah antara jalan yang terbaik yang Tan Sri akan lakukan? Boleh berikan sedikit bayangan?

CKK: (Ketawa) Banyak cara. Oleh kerana tapak Ma Tzu telah di zon sebagai Kawasan Pelancongan, sekalipun Kerajaan Negeri tidak membenarkan saya mendirikan patung Ma Tzu, saya mungkin terpaksa membuka komponen Patung Ma Tzu yang sudah lebih tiga tahun berada di dalam kontena dan saya hanya letakkan di atas lantai di tapak yang dicadangkan. Tidak perlu dipasang. Saya rasa, asalkan dia Ma Tzu, sama ada dipasang atau tidak, penganut Ma Tzu akan datang. Saya kena beritahu seluruh dunia bahawa Ma Tzu dibenarkan untuk didirikan dan biarkan begitu sahaja. Apakah Kerajaan boleh buat terhadap saya? Tetapi itu hanyalah pilihan terakhir jika segala usaha menemui jalan buntu. Ada juga pihak yang meminta saya mendirikan Ma Tzu di tempat mereka, tetapi saya hanya mengikut ‘divine’ yang diarahkan Ma Tzu kepada saya.


Sabahkini.net: Berbalik kepada dua isu pembatalan projek Ma Tzu iaitu berdekatan Masjid dan bantahan orang awam, sejauh mana benarnya dakwaan berkenaan?

CKK: Dakwaan tersebut tidak berasas sama sekali. Ketika memberi keterangan di dalam Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Pengerusi Jawatankuasa Masjid As-Syakirin sendiri mengakui bahawa jarak di antara tapak Ma Tzu dengan Masjid adalah 700 meter. Sedangkan Masjid Tuaran dengan Pagoda letaknya hanya 300 meter antara satu sama lain. Menurut Pengerusi Masjid berkenaan juga, mereka tidak pernah membantah pembinaan patung Ma Tzu kerana mereka yakin dengan kebebasan beragama sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Sabahkini.net: Difahamkan bahawa ada pemimpin kanan Kerajaan Persekutuan cuba menyelesaikan isu ini secara setiakawan, namun kenapa belum mendatangkan sebarang hasil?.

CKK: Saya tidak pasti secara rasmi, tetapi pada 5 Mei 2009, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ada membuat kenyataan menasihatkan pihak yang bertelagah agar menyelesaikan kes berkenaan di luar mahkamah kerana yakin pintu rundingan sentiasa terbuka bagi kita untuk duduk bersama dan berbincang mengenainya. Najib yang mengakui wujudnya keperluan supaya kes itu diselesaikan dalam suasana persahabatan berdasarkan kepada konsep 1Malaysia. Saya tidak menolak atau tidak membantah asalkan tidak melibatkan projek saya. Saya secara peribadi telah menemui Datuk Seri Najib dan berbincang dari hati ke hati. Dia simpati dan menyokong saya. Namun hambatan tugas dan kekangan politik menyebabkan usaha beliau belum berhasil.

Sabahkini.net: Berhubung cadangan sesetengah pihak untuk mendirikan satu lagi Patung Ma Tzu di Kudat, apakah Tan Sri akan membantah?

CKK: Oh tidak. Kenapa saya harus membantah? Lagi banyak Patung Ma Tzu lagi bagus. Saya mengalu-alukan mereka membina segera Patung Ma Tzu. Oleh kerana Patung Ma Tzu saya masih tergendala. Maka saya menyokong penuh sebarang pembinaan Patung Ma Tzu.

Sabahkini.net: Akhir sekali apa pesanan dan aspirasi Tan Sri kepada rakyat Sabah dan penganut Ma Tzu berhubung isu ini?


CKK: Saya meminta rakyat Sabah yang menyokong saya selama ini agar dapat bersabar dan menyerahkan isu ini kepada kepada kebijaksanaan Mahkamah Persekutuan kerana saya yakin kes ini akan diteruskan kerana Mahkamah harus membuat keputusan yang masih tergantung setakat ini. Aspirasi saya ialah melihat Ma tzu didirikan di tempat yang asal. Terima kasih atas keprihatinan Sabahkini.net.


NOTA: WAWANCARA ini dibuat secara bebas dan Sabahkini.net tidak terikat dengan pandangan peribadi Tan Sri Chong Kah Kiat dan tidak terniat untuk mempertikaikan keputusan Mahkamah Rayuan.