Search This Blog

Friday, May 15, 2009

BACK TO SCHOOL?


KEMPIS.... Antara tahi lembu dan bola kempis ini adalah katalis kepada kemunduran Tambisan dan kejahilan pemimpin mengatasi masalah yang berlarutan sejak sekian lama

SELEPAS insiden 'Sekolah Kandang Kambing dan Reban Ayam' di Sekolah Kebangsaan Silam pada 1995, , kini sejarah berkenaan berulang lagi di Parlimen Silam apabila sebuah sekolah di Tambisan layak dianugerahkan 'Sekolah Kandang Lembu'.

Ahli Parlimen Malaysia (Silam), Haji Salleh Kalbi yang mengadakan lawatan mengejut ke Sekolah Kebangsaan Tambisan terkejut dengan program 'Back to School' yang 'dianjurkan' oleh Kementerian Pelajaran kerana sekitar kawasan sekolah berkenaan dipenuhi tahi lembu.

Program 'Back To School' kata Salleh sebenarnya tidak wujud tetapi sebagai tamsilan kerana kementerian tidak membina pagar sekolah sehingga lembu dan binatang ternakan lain bebas keluar masuk dan adalah tidak adil untuk meletakkan tanggung jawab mengajar lembu agar jangan datang ke sekolah!

"Saya amat kesal dengan keadaan ini yang berlarutan sejak sekian lama. Apakah pegawai Pelajaran tidak pernah turun padang melihat kesengsaraan pelajar dan guru sekolah ini yang terlalu daif dan memalukan?" ujar Salleh ketika dihubungi sabahkini.net.

Menurut Salleh, beliau tidak mampu berbuat apa-apa kerana pentadbiran sekolah berkenaan terletak di bawah jurisdiksi Daerah Kinabatangan dan bukannya Lahad Datu atau Daerah Kecil Tungku.

"Dari segi legislatif, saya tidak tidak mempunyai sebarang kuasa untuk membuat keputusan kerana walaupun sekolah ini terletak di parlimen Silam namun ianya ditadbir urus oleh Pejabat Pelajaran Kinabatangan dan masalah tanah tapak sekolah pula ditadbir oleh Daerah Kinabatangan," ujar Salleh yang mengakui hanya bertanggung jawab terus kepada pembangunan insan dan bukannya fizikal.


BAHAYA....Bom jangka ini akan meletup pada bila-bila masa dan mengancam nyawa pelajar tetapi pegawai pendidikan masih mempunyai masa untuk minum kopi atau bermain golf?

Tegas Salleh, walaupun para pengundi telah membantu menambah majoriti beliau pada pilihanraya umum 2008, namun beliau tidak boleh mencampuri urusan pentadbiran daerah Kinabatangan.

"Saya menggesa agar Setiausaha Kerajaan Negeri dan Setiausaha Persekutuan menyelesaikan masalah ini secara bijaksana bagi mengatasi masalah legislatif dan locus-standi yang tertangguh sejak 1995 apabila Tambisan telah diserahkan kepada Daerah Lahad Datu sedangkan Lahad Datu pula belum dapat melaksanakan daerah penuh Tungku sekalipun masih-masing mempunyai adun," kata Salleh lagi.

Persempadanan kawasan pilihanraya berkenaan, kata Salleh, mendatangkan lebih banyak masalah kepada kemajuan dan dasar urbanisasi disebabkan tidak ada pihak yang mempunyai kata pemutus berhubung urusan pentadbiran dan perancangan.

"Saya pun hairan kerana urusan perpindahan pentadbiran belum dapat diselesaikan sejak 1995 dan tidak tahu apa pegawai ini buat?," tanya Salleh yang keliru untuk membangunkan Tambisan sebagai Tapak Warisan Sejarah.

Dalam pada itu, ketika mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan Tambisan, kata Salleh, selain daripada masalah tahi lembu yang menyebabkan pelajar tidak dapat bersukan dan mengotorkan alam sekitar, masalah paling serius ialah pendedahan pencawang elektrik di bilik darjah.

"Cuba bayangkan mereka itu anak kita. Mampukah kita tersenyum jika mereka sentiasa terdedah kepada bahaya renjatan elektrik atau pencawang meletup disambar kilat. Siapa boleh beri jaminan tidak berlaku apa-apa? Ini nyawa manusia...tolonglah realistik sikit...?" ujar Salleh seraya merayu pegawai Jabatan Pembangunan Sabah (JPN) agar memperkenalkan sistem penyelarasan dan pengawalseliaan yang lebih sistematik untuk memastikan insiden yang memalukan ini tidak berulang.

Tegas Salleh, kontraktor harus membina pondok untuk menempatkan pencawang elektrik yang menggunakan tenaga solar sama seperti hibrid yang terdapat di sekolah berkenaan dan bukannya memikirkan untung dan membahayakan nyawa pelajar yang sentiasa dalam ketakutan.

Salleh menekankan beliau akan menimbulkan isu ini di parlimen pada persidangan Jun akan datang kerana isu ini amat serius dan memerlukan campurtangan dan komitmen semua pihak demi kemajuan penduduk Tambisan dipencilkan kerana masalah pentadbiran.

Sementara itu, Salleh turut menegur sikap kontraktor yang mengabaikan tatacara kontrak kerajaan dengan tidak membina sebarang papantanda bagi projek membina rumah guru dan semua projek di sekolah tersebut menyebabkan masyarakat Tambisan menggelarkan projek berkenaan sebagai 'Projek Hantu'.

Pembaca boleh melayari blog Salleh Kalbi melalui http://1silam.blogspot.com