Search This Blog

Saturday, August 1, 2009

APA PBS BUAT SELAMA 9 TAHUN MEMERINTAH?

Ehsan: sabahkini.net

CERAH.... Mungkin nasib anak-anak Mazlan ini akan lebih cerah selepas ini kerana Ahli Parlimen Silam akan melancarkan Jom Ke Sekolah selepas pulang daripada misi negara di Melbourne, Australia.



MUNGKIN tidak dapat anda bayangkan bagaimana hidup di tanah tumpah darah sendiri selama 41 tahun tanpa sebarang dokumen pengenalan diri dan mempunyai lima anak yang tidak bersekolah serta tiga anak yang masih kecil yang mungkin mewarisi nasib malang bapa.

Itulah hakikat yang terpaksa dilalui oleh Mazlan Saliawa, 41, bersama anak-anaknya, Elia, 13; Sylvester, 12; Elistowie, 10; Edry, 8; Ezny, 6; Herly, 4; Ezlin Farhana, 2 dan Adly, 3 bulan.

Walaupun isteri Mazlan, memiliki kad pengenalan, namun dirinya dan anak-anaknya benar-benar terpinggir dan dipinggirkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara dan Kerajaan Negeri Sabah, terutama Parti Bersatu Sabah yang telah memerintah negeri ini selama 9 tahun.

"Saya pernah menemui Datuk Pairin ketika PBS perintah, minta tolong selesaikan masalah saya dan keluarga, dia janji mau tolong, tapi sampai sekarang kami belum ada apa-apa dokumen. Terima kasih kepada Ahli Parlimen Silam kerana menerima aduan saya dan saya harap masalah saya selesai tahun ini," ujar Mazlan yang menaruh harapan setinggi gunung Silam terhadap Haji Salleh Kalbi kerana sanggup turun padang menyelesaikan masalah rakyat.

Mazlan yang datang ke majlis bersama rakyat di balairaya antik yang hampir menyembah bumi, bersyukur kerana aduannya diberikan perhatian dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya agar anak-anaknya dapat bersekolah.

"Walaupun saya miskin tetapi saya sedar pentingnya anak-anak saya bersekolah, tapi apa boleh buat sekolah tidak mahu terima kerana semua anak-anak saya tidak ada sijil lahir," ujar Mazlan yang telah berulang alik ke Jabatan Pendaftaran Lahad Datu, namun jawapan yang diterima agak mengecewakan.

Mazlan memberitahu, beliau pernah menemui Adun Tungku, Datuk Ustaz Suhaili Mohd Said dan Adun Lahad Datu, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur, namun mereka berdolak dalih kononnya Mazlan bukan pengundi dan tinggal di perbatasan sempadan Dun N 49 dan N 50.

"Saya benar-benar kecewa bukan kerana layanan buruk ke dua adun berkenaan yang tidak langsung mahu mendengar penjelasan, jauh lagi membantu, malah mereka menganggap saya pendatang asing kerana tidak mempunyai dokumen. Mereka kata mereka hanya boleh layan warganegara Malaysia. Jadi saya ini bagaimana?," tanya Mazlan meluahkan kekesalan dan sebak di dadanya.

Persoalan yang menghantui Mazlan, kenapa Kerajaan Persekutuan boleh memberi kerakyatan secara tidak sah kepada hampir sejuta warga asing Indonesia dan Filipina di Sabah, kenapa Kerajaan tidak boleh menerima mereka sebagai warganegara?

Dengan kelonggaran yang diberikan Kerajaan Malaysia yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Najib Tun Razak, Mazlan mendambakan slogan 'rakyat didahulukan' diamalkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara yang patut turun gelanggang mengadakan pendaftaran bergerak.

Selain Mazlan, lebih 30 penduduk Kampung Bukit Belacon, Segama mengemukakan pelbagai masalah kad pengenalan terutama nenek yang berusia 70 tahun masih menunggu mykad yang belum siap sejak tujuh tahun lalu!

Thursday, July 30, 2009

IKLAN JABATAN PERKHIDMATAN KEBAJIKAN AM

Penemuan bayi baru lahir dibuang ibu kandung pada 22 jun 2009 jam 7 pagi di kawasan Masjid Daerah Lahad Datu. Bayi dalam keadaan sihat seberat 3 kilogram semasa lahir. Bayi diberi nama Ashraf berumur 1 bulan 8 hari, lelaki , berkulit cerah kini di bawah jagaan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah. Sebarang maklumat atau keluarga ibu kandung yang datang menuntut hendaklah menghubungi pegawai pelindung Jabatan Merangkap Pegawai Kebajikan Daerah, Cik Sarina Abdul Ganih di talian 089-881044 Pejabat Kebajikan Daerah Lahad Datu sebelum tindakan susulan oleh pihak Jabatan lakukan dalam masa terdekat.

Wednesday, July 29, 2009

UMNO SILAM BERPECAH?



Sumber: www.sabahkini.net


KETIDAK hadiran dua orang Wakil Rakyat UMNO dan penyokong mereka pada majlis perasmian Persidangan Agung Tahunan UMNO Bahagian Silam membuktikan bahawa parti yang kononnya kukuh dan selama ini mendakwa Silam sebagai Kubu Kuat telah berpecah daripada dalam.

"Untuk mengelak malu, Nasrun telah memujuk kumpulan pendesak dalam PKR yang diketuai Hassan Telempeng dan isterinya, Sarina, menyertai UMNO sedangkan Nasrun tahun bahawa Hassan telah dipecat seumur hidup oleh UMNO Pusat kerana bertanding sebagai calon bebas pada 2004," ujar Ketua Bahagian (Cabang) PKR Silam, Johani Abdul Halim.

Menurut Johani, Nasrun telah melakukan kesilapan besar apabila tidak menjemput Ahli Parlimen Silam Haji Salleh Haji Kalbi dan Adun Kunak Nilwan Kabang ke Majlis berkenaan yang dirasmikan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien.

Sikap Nasrun mengabaikan kepentingan 35 cawangan dan lebih 700 ahli UMNO Silam yang enggan bermesyuarat umpama melepaskan anak di pangkuan untuk menyusukan kera di hutan apabila mempelawa Hassan Telempeng dan 16 penyokongnya (setelah semakan rapi dibuat) menyertai UMNO seolah-olah Nasrun telah dilantik sebagai Presiden UMNO kerana boleh menerima ahli yang dipecat seumur hidup.

Ketidak hadiran Salleh dan Nilwan menimbulkan tandatanya yang besar kepada Hishamuddin kerana walaupun kedua-dua mereka adalah Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Silam secara automatik, namun mereka telah menunjukkan belang mereka sebenar dengan 'memboikot' persidangan berkenaan.

Salleh sebelum ini, kata Johani, turut membuat bantahan terhadap kemenangan Nasrun sebagai Ketua UMNO Bahagian Silam melalui Video Klip Silam Mata UMNO Silam dan sejak daripada itu telah menunjukkan penentangan secara terbuka melalui blognya http://1silam.blogspot.com dan ucapannya terhadap kepimpinan Nasrun yang memperoleh kuasa secara culas dan tidak sah.

Sehubungan itu, Johani mencabar Nasrun agar mengosongkan kerusi Dun Lahad Datu untuk bertanding satu lawan satu dengan beliau dalam pilihanraya kecil bagi membuktikan sama ada beliau berpengaruh atau kehilangan sokongan majoriti.

"Kita tidak pernah gentar menghadapi UMNO pada setiap pilihanraya yang dijalankan dengan penuh penipuan, namun kita tetap memperolehi sokongan rakyat jelata," ujar Johani yang menyifatkan sengketa dalaman UMNO memberikan ruang yang cukup besar kepada PKR dan Pakatan Rakyat untuk merebut satu kerusi Parlimen dan tiga kerusi Dun di Parlimen Silam.

Tegas Johani, sokongan terhadap PKR semakin bertambah terutama pada pilihanraya umum lalu apabila calon PKR bagi Dun Lahad Datu, Zainuddin Zulkarnain mendapat 4,976 undi sedangkan ketika itu ahli PKR hanya seramai 968 orang ahli berbanding Nasrun yang mendapat 8,034 undi sedangkan Ahli UMNO Silam yang berada di Dun Lahad Datu seramai 21,890 orang.

"Bukankah ini membuktikan bahawa UMNO Silam hanya kuat di atas kertas iaitu mempunyai 367 cawangan dan ahli seramai 37,302 ahli, namun tidak sampai 22 peratus yang mengundi Nasrun kerana yang lain hanyalah ahli Hantu atau tidak wujud," ujar Johani yang menyifatkan ramai Ahli UMNO tempatan telah memberikan sokongan padu kepada PKR dan Pakatan Rakyat pada setiap pilihanraya.

Berbalik kepada kes 17 ahli PKR yang menyertai UMNO, Johani berkata mesyuarat Jawatankuasa Bahagian yang diadakan pada Isnin, 28 Julai 2009, telah mencadangkan kepada Majlis Tertinggi PKR untuk memecat mereka.

Johani juga mengumumkan bahawa Juwina Kasdi telah dilantik sebagai Pemangku Ketua Wanita PKR Silam berkuatkuasa serta merta bagi menggantikan Che Siti Sarina Che Ismail yang menyertai suaminya menyertai UMNO Silam.

Dengan penghijrahan Hassan kembali ke tampuk UMNO, Johani gembira kerana UMNO mampu dipecahkan daripada dalam apabila Nasrun berura-ura melantik Hassan sebagai Ketua Penerangan UMNO Silam menggantikan Sharif Saidi Sharif Alawi.

KENAPA BELANJA RM50,000 UNTUK KUTIP DENDA RM25?


Sumber: sabahkini.net

Oleh: HAFIZ JAMAIL

MUNGKIN kes ini bakal tercatat dalam buku Guinness of World Record sekiranya Mantan Ketua Anak Negeri Sandakan, OKK Hassnar M.P.Ebrahim tewas dalam perbicaraan tiga kes kesalahan kecil yang 'direka' atau pertuduhan yang tidak berasas ke atas beliau di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu.

"Saya pun tidak tahu kenapa saya dituduh dengan tiga kesalahan kecil tersebut yang tidak pernah saya lakukan. Mungkin mereka cuba menghalang atau melengahkan saya menyampaikan saman dan sapena kepada pegawai kanan polis terutama Pesuruhjaya Polis sabah yang telah mendatangkan kerugian kepada saya dalam kes serangan dan salahguna kuasa polis diladang saya di Latangon, Kinabatangan," ujar Hassnar yang ditemani peguamnya, Haji Ansari Abdullah.

Tegas Hassnar, adalah tidak masuk akal, jika kerajaan terpaksa membayar gaji hakim, pembantu mahkamah, elaun saksi, gaji Timbalan Pendakwa Raya, Elaun Anggota polis dan sebagainya yang dianggarkan melebihi RM50,000 sedangkan jika beliau didapati bersalah dendanya hanya RM25 sahaja.

"Mereka seperti mengejar pelangi dan meminta saya mengaku salah. Tetapi saya mempunyai maruah untuk dipertahankan," ujar Hassnar yang agak berang dan menggelarkan polis yang menghantar saman dan menurut perintah ketua mereka sebagai 'Anjing Punya Polis' dan 'Polis Rasuah'.

Hassnar kesal kerana PDRM telah menyalahguna dana awam untuk menutup kelemahan pegawai atasan mereka dengan melengah-lengahkan beliau menyampaikan saman melalui tiga tuduhan yang langsung tidak berasas.

Bagaimanapun, Hassnar mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan berkenaan yang menurut beliau sengaja direka-reka oleh Polis untuk menghalang beliau daripada membongkar salah laku Polis terhadap rakyat dan meminta dibicarakan.

JANGAN YAHUDIKAN FELDA: SALLEH


PERANG.... Rakyat 13 buah kampung memprotes penggalian parit ini yang seolah-olah mengisytiharkan Perang Khandak dengan mereka.


SIKAP tidak profesional pegawai kanan Felda di Sabah menggali parit di sekeliling ladang Felda Sahabat yang bersempadan dengan tanah adat penduduk 13 buah kampung tradisi di Zon Labian menimbulkan kurang senang Ahli Parlimen Malaysia (Silam) dan para penduduk kampung berkenaan.

"Saya menegaskan di sini, hentikan sebarang usaha untuk me'yahudi'kan Felda. Sikap menggali parit besar berkenaan adalah sikap provokatif dan menghina rakyat Sabah yang selama ini bersabar dengan karenah pegawai kanan Felda yang lupa diri dan menyalahguna kuasa mereka," ujar Ahli Parlimen Malaysia, Haji Salleh Haji Kalbi ketika dihubungi melalui telefon.

Tindakan ala Yahudi berkenaan, kata Salleh telah mencetuskan kontroversi sehingga menyebabkan rakyat marah dan benci kepada kerajaan dan wakil rakyat yang enggan membela nasib mereka.

Sehubungan itu, Salleh menggesa Felda menutup semula parit besar yang digali di sekeliling kampung berkenaan kerana perbuatan tersebut akan mencetuskan perbalahan yang berpanjangan dengan pemohon asal tanah berkenaan yang dituduh mencuri buah kelapa sawit Felda.

"Biarlah isu kecurian buah ditangani pihak polis dan bukannya meletakkan undang-undang ditangan mereka sendiri," ujar Salleh yang kesal kerana menuduh penduduk kampung mencuri buah tanpa bukti sama seperti menjatuhi hukuman sebelum perbicaraan.

Salleh turut mendesak agar jalan ke Sekolah Rendah Kebangsaan Lok Buani yang digali parit ditimbus semula bagi membolehkan kanak-kanak sekolah dan guru melalui jalan berkenaan yang hanya sejauh 1.2 kilometer berbanding jalan yang digunakan sekarang sejauh 20 kilometer.

Berita lanjut dapat diikuti di dalam blog beliau http://1silam.blogspot.com

Sunday, July 26, 2009

BUKAN 1,000 TETAPI HANYA 10 ORANG?


LUCU.... Johani menunjukkan simbol jari yang bermaksud 10 tetapi mempunyai double meaning sebagai mempersenda berita kemasukan 1,000 ahli PKR ke dalam UMNO.

UMNO Silam yang masih berkemelut semakin kehilangan pengaruh akibat perpecahan dalaman parti itu kerana gagal mendapat sokongan seorang wakil rakyat dan seorang ahli Parlimen daripada bahagian tersebut sehingga tergamak membuat dakyah palsu kononnya 1,000 orang ahli PKR Silam menyertai UMNO.

"Siapa Hassan Melempeng? Dia seorang desperado dan tidak langsung mempunyai pengaruh dan merupakan katak politik yang mudah diternak oleh mana-mana parti. Dakwaan 1,000 orang ahli PKR hanyalah cerita dongeng yang direka oleh Hassan dan Ketua UMNO Bahagian Silam, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur," ujar Ketua Bahagian (Cabang) PKR Silam, Johani Abdul Halim.

Menurut Johani, beliau sentiasa memantau pergerakan Hassan dan ketika Majlis Makan Malam di Dewan Tun Mustapha baru-baru ini, beberapa ahli dan AJK PKR turut diundang dan mereka diperangkap dengan pengumuman terbuka Hassan dan isterinya, Che Sitti Sarina Che Ismail sehingga menyebabkan AJK dan ahli PKR yang turut serta tertipu.

"Hassan pernah memujuk saya menyertai UMNO apabila kami tidak terpilih pada pilhanraya umum 2008, namun saya kekal dengan prinsip perjuangan PKR," ujar Johani lagi yang merupakan Mantan AJK Bahagian UMNO Silam selama tiga penggal dan pernah menjadi Pengarah Bilik Gerakan Pilihanraya UMNO Silam sebelum menyertai PKR pada Julai 2005.

Kata Johani, sebenarnya UMNO hanya sesuai untuk pendatang asing tanpa izin yang mendapat kad pengenalan projek yang ditaja UMNO dan tidak sesuai bagi rakyat Sabah yang cintakan negara ini.

Oleh itu kata Johani, beliau mengucapkan selamat berangkat kepada Hassan suami isteri dan beberapa AJK yang terpengaruh dengan janji palsu Nasrun.

"Jika terdapat enam jiran keluarga Tiong Hua hidup dalam kemelaratan di belakang rumahnya, bagaimana Nasrun boleh membela Hassan dan ahli UMNO yang gilakan projek kecil?," ujar Johani yang menekankan bahawa Angkatan Muda PKR telah membuat laporan polis dan SPRM terhadap Nasrun yang telah menyalahgunakan kedudukannya sebagai Ketua UMNO Bahagian memberi projek kecil kepada Ketua Cawangan UMNO dan kroninya.

Sehubungan itu, Johani berharap agar Ahli PKR dan Pucuk Pimpinan PKR Pusat tidak gelisah kerana hanya sepuluh orang sahaja yang menyertai UMNO dan bukannya 1,000 seperti yang digembar-gemburkan oleh Nasrun dan tergelak besar ketika menunjukkan simbol 1 kosong menggunakan jari kedua belah tangannya.

Johani turut menggesa SPRM agar menyiasat amalan politik wang yang diamalkan Nasrun yang didakwa melesapkan lebih RM850,000 daripada peruntukan ahli parlimen Silam untuk menanam pengaruh politiknya dengan memberikan lebih 37 projek kecil kepada Ketua Cawangan dan kroninya.

"Jika Nasrun boleh membeli perwakilan UMNO, adalah tidak hairan jika beliau juga membuat tawaran projek kecil dan biasiswa untuk anak tiri Hassan," ujar Johani yang telah mengenalpasti 10 orang ahli PKR yang menyertai UMNO.

Mereka ini, kata Johani telah dijanjikan projek kecil termasuk rumah PPRT oleh Nasrun sebagai imbalan kemasukan mereka ke dalam UMNO. Begitu juga dengan Hassan yang memerlukan sokongan Nasrun dalam jawatankuasa LUC untuk kelulusan tanah yang dipohonnya.

Johani menegaskan beliau tidak hairan dengan amalan politik katak Hassan kerana sebelum ini beliau meninggalkan UMNO masuk PBS tetapi mengekalkan keahlian di dalam UMNO cawangan Kampung Berigas, kemudian apabila bertanding sebagai Calon Bebas 2004, dipecat seumur hidup oleh Lembaga Disiplin UMNO.

"Kini dia masuk UMNO balik. Apa nak hairan? Tapi bagaimana UMNO boleh terima ahli yang dipecat seumur hidup?," tanya Johani yang meminta ahli PKR bertenang dengan ribut dalam cawan di Silam.

Johani berkata beliau agak hairan dengan sikap YB Papantanda (Billboard) iaitu Nasrun yang hanya mencari populariti dengan menumpang glamor Ketua Menteri Sabah di sepuluh billboard yang tidak ditukar selama hampir setahun dan tidak mempedulikan kebajikan ahli UMNO yang hampir kesemuanya adalah miskin tegar.

"Jika 36 cawangan UMNO Silam enggan bermesyuarat dan tidak menghantar wakil ke Persidangan Agung UMNO Silam hari ini, bagaimana Hassan dan kumpulannya boleh mempercayai Nasrun?," tanya Johani yang masak dengan politik kampungan Nasrun yang bertenggek di sebalik jawatannya sebagai Pembantu Menteri yang kini ghairah untuk melobi jawatan Pengerusi Barisan Nasional Silam.