Search This Blog

Wednesday, July 29, 2009

UMNO SILAM BERPECAH?



Sumber: www.sabahkini.net


KETIDAK hadiran dua orang Wakil Rakyat UMNO dan penyokong mereka pada majlis perasmian Persidangan Agung Tahunan UMNO Bahagian Silam membuktikan bahawa parti yang kononnya kukuh dan selama ini mendakwa Silam sebagai Kubu Kuat telah berpecah daripada dalam.

"Untuk mengelak malu, Nasrun telah memujuk kumpulan pendesak dalam PKR yang diketuai Hassan Telempeng dan isterinya, Sarina, menyertai UMNO sedangkan Nasrun tahun bahawa Hassan telah dipecat seumur hidup oleh UMNO Pusat kerana bertanding sebagai calon bebas pada 2004," ujar Ketua Bahagian (Cabang) PKR Silam, Johani Abdul Halim.

Menurut Johani, Nasrun telah melakukan kesilapan besar apabila tidak menjemput Ahli Parlimen Silam Haji Salleh Haji Kalbi dan Adun Kunak Nilwan Kabang ke Majlis berkenaan yang dirasmikan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien.

Sikap Nasrun mengabaikan kepentingan 35 cawangan dan lebih 700 ahli UMNO Silam yang enggan bermesyuarat umpama melepaskan anak di pangkuan untuk menyusukan kera di hutan apabila mempelawa Hassan Telempeng dan 16 penyokongnya (setelah semakan rapi dibuat) menyertai UMNO seolah-olah Nasrun telah dilantik sebagai Presiden UMNO kerana boleh menerima ahli yang dipecat seumur hidup.

Ketidak hadiran Salleh dan Nilwan menimbulkan tandatanya yang besar kepada Hishamuddin kerana walaupun kedua-dua mereka adalah Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Silam secara automatik, namun mereka telah menunjukkan belang mereka sebenar dengan 'memboikot' persidangan berkenaan.

Salleh sebelum ini, kata Johani, turut membuat bantahan terhadap kemenangan Nasrun sebagai Ketua UMNO Bahagian Silam melalui Video Klip Silam Mata UMNO Silam dan sejak daripada itu telah menunjukkan penentangan secara terbuka melalui blognya http://1silam.blogspot.com dan ucapannya terhadap kepimpinan Nasrun yang memperoleh kuasa secara culas dan tidak sah.

Sehubungan itu, Johani mencabar Nasrun agar mengosongkan kerusi Dun Lahad Datu untuk bertanding satu lawan satu dengan beliau dalam pilihanraya kecil bagi membuktikan sama ada beliau berpengaruh atau kehilangan sokongan majoriti.

"Kita tidak pernah gentar menghadapi UMNO pada setiap pilihanraya yang dijalankan dengan penuh penipuan, namun kita tetap memperolehi sokongan rakyat jelata," ujar Johani yang menyifatkan sengketa dalaman UMNO memberikan ruang yang cukup besar kepada PKR dan Pakatan Rakyat untuk merebut satu kerusi Parlimen dan tiga kerusi Dun di Parlimen Silam.

Tegas Johani, sokongan terhadap PKR semakin bertambah terutama pada pilihanraya umum lalu apabila calon PKR bagi Dun Lahad Datu, Zainuddin Zulkarnain mendapat 4,976 undi sedangkan ketika itu ahli PKR hanya seramai 968 orang ahli berbanding Nasrun yang mendapat 8,034 undi sedangkan Ahli UMNO Silam yang berada di Dun Lahad Datu seramai 21,890 orang.

"Bukankah ini membuktikan bahawa UMNO Silam hanya kuat di atas kertas iaitu mempunyai 367 cawangan dan ahli seramai 37,302 ahli, namun tidak sampai 22 peratus yang mengundi Nasrun kerana yang lain hanyalah ahli Hantu atau tidak wujud," ujar Johani yang menyifatkan ramai Ahli UMNO tempatan telah memberikan sokongan padu kepada PKR dan Pakatan Rakyat pada setiap pilihanraya.

Berbalik kepada kes 17 ahli PKR yang menyertai UMNO, Johani berkata mesyuarat Jawatankuasa Bahagian yang diadakan pada Isnin, 28 Julai 2009, telah mencadangkan kepada Majlis Tertinggi PKR untuk memecat mereka.

Johani juga mengumumkan bahawa Juwina Kasdi telah dilantik sebagai Pemangku Ketua Wanita PKR Silam berkuatkuasa serta merta bagi menggantikan Che Siti Sarina Che Ismail yang menyertai suaminya menyertai UMNO Silam.

Dengan penghijrahan Hassan kembali ke tampuk UMNO, Johani gembira kerana UMNO mampu dipecahkan daripada dalam apabila Nasrun berura-ura melantik Hassan sebagai Ketua Penerangan UMNO Silam menggantikan Sharif Saidi Sharif Alawi.

No comments: