Search This Blog

Wednesday, November 17, 2010

SAMBUT AIDIL ADHA DALAM KEMISKINAN?



Oleh: MUTALIB M.D

PENGUMUMAN Bank Dunia bahawa Sabah merupakan negeri yang termiskin di Malaysia sudah cukup untuk memalukan semua makhluk termasuk saya, anda, Ketua Menteri Sabah dan juga Perdana Menteri Malaysia; alasannya amat mudah, kerana Sabah sebuah ‘Negara’ yang tidak mampu berdikari di Malaysia.

Kaedah mana yang diguna pakai Bank Dunia untuk mengukur darjah ‘pariah’ ‘Kemiskinan’ di Malaysia, tidak saya ketahui kerana saya bukan pakar ekonomi; namun pembangkang mengguna pakai kaedah ‘Sindirlogi’ untuk memperlekehkan usaha berterusan kerajaan membasmi kemiskinan sehingga menjadi ‘senda gurau’ di kalangan para pemimpin pembangkang; terutama sejak pilihanraya kecil Parlimen Batu Sapi lagi.

Ledakan ‘peluru’ politik ini yang dimuntahkan rentaka Bank Dunia, sekaligus mengenai ‘dada’ Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak kerana Legasi Tun Razak di Sabah, FELDA, gagal membasmi kemiskinan; setelah Kerajaan Persekutuan menukar dasar FELDA daripada fungsi membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat kepada Dasar Pengkorporatan (mirip kemelaratan).

“Walaupun tahap telah menurun, kemiskinan tegar masih berlaku di Sabah Sabah mempunyai kira-kira 10 peratus daripada penduduk Malaysia tetapi lebih 40 peratus daripada penduduk miskin di Malaysia tinggal di Sabah,” kata Pengarah Sektor Pembangunan Insan Bank Dunia (Wilayah Asia Timur dan Pasifik), Emmanuel Jiminez ketika membentangkan Laporan Monitor Ekonomi Malaysia (MEM) baru-baru ini.

Tambah Jiminez, kebanyakan penduduk miskin di Malaysia ada di Sabah dan mereka tinggal di kawasan luar bandar (kebanyakannya daripada kumpulan) etnik Rungus, Suluk dan Orang Sungai; mengikut statistik, masih sangat tinggi.

Pengakuan Jiminez ini sebenarnya merupakan ‘senjata tidak kelihatan’ yang dilepaskan Bank Dunia tanpa sebarang amaran; bagaikan menikam Kerajaan BN daripada belakang, sedangkan maruah dan integrity peminjam adalah tanggung jawab Bank Dunia yang memberikan pinjaman.

Penganugerahan 254,410 ekar ‘Tanah Rakyat Sabah’ (TRS) termasuk ‘Tanah Adat’ di Semenanjung Dent secara percuma kepada FELDA pada 1979; tidak termasuk tanah yang ‘dirompak’ oleh Pegawai FELDA di Sahabat Pinggir dan Zon Keselamatan; bagaikan menyuap makanan ke mulut naga iaitu Bank Dunia!

Bagi membangunkan tanah berkenaan, Kerajaan Malaysia telah memohon pinjaman sejumlah USD 71.5 Juta atau RM185.9 juta (kadar 1988 RM2.60) secara jangka panjang selama 17 tahun; termasuk lima tahun masa senggang tanpa perlu membayar faedah pinjaman kepada International Bank For Reconstruction and Development (IBRD) dan mengenakan caj kadar keuntungan pinjaman sebanyak 25 peratus.

Kos keseluruhan untuk membangunkan Tanah Gugusan FELDA Sahabat pada 1988 sebanyak USD 216 juta yang masing-masing ditampung melalui biaya Kerajaan Persekutuan sejumlah USD 143.8 juta; Bank Dunia USD 71.5 juta; Kerajaan Negeri Sabah USD 0.2 juta dan UNDP sejumlah USD 0.5 juta.

Pinjaman tersebut tidak termasuk USD 12.0 juta untuk membiayai penanaman koko seluas 6,600 hektar (kos pembangunan sahaja, tidak termasuk penyelenggaraan) di Gugusan FELDA Sahabat.

Melalui pinjaman LN 3039-MA yang dimaterai pada 18 Julai 1989 dan ditandatangani oleh Regional Vice President IBRD Asia, Attila Karaosmanoglu dan Wakil Kerajaan Malaysia, Albert S. Talalla; Kerajaan Malaysia sudah sedar bahawa ‘bom jangka’ akan meledak pada bila-bila masa; namun pemimpin Malaysia terus terlena di bantal impian.

Ketika pinjaman diberikan Bank Dunia pada 1988, FELDA sudahpun memungkiri janji untuk membasmi kemiskinan dan menempatkan semula masyarakat kerana hanya 925 keluarga sahaja yang ditempatkan di Gugusan FELDA Sahabat berbanding 3,500 keluarga daripada jumlah penempatan yang disasarkan pada 1992.


Jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada 111,728 keluarga yang ditempatkan di 441 tanah rancangan seluruh Malaysia dengan keluasan keseluruhan seluas 752,000 hektar.

Di Sabah, seluas 119,600 hektar (295,412 ekar) berdasarkan keluasan masing-masing FELDA Umas-Umas Tawau seluas 9,700 hektar (23,959), FELDA Kalabakan 6,900 hektar (17,043 ekar) dan FELDA Sahabat seluas 103,000 hektar (254,410 ekar) telah dibangunkan FELDA; lebih luas daripada Pulau Labuan yang menjadi punca kejatuhan Kerajaan Berjaya.

Dengan keluasan 254,410 ekar, Gugusan FELDA Sahabat dibahagikan kepada 13 kampung yang mengandungi 54 tanah rancangan dan ditukarkan kepada Sistem Estet FELDA pada Januari 1990; namun bilangan penerokanya tidak bertambah.

Mengikut rekod, Bank Dunia telah membiayai kesemua program FELDA sejak 1968 melalui lapan pinjaman jangka panjang. Oleh itu, Bank Dunia tidak keberatan apabila FELDA memulakan operasinya di Sabah pada 1979; dengan niat asal untuk memajukan 90,000 hektar ladang kelapa sawit dan menempatkan semula 12,700 keluarga di Gugusan FELDA Sahabat, Lahad Datu.

Pembangunan FELDA Sahabat bermula pada 1980 siap sepenuhnya pada 1990-an turut mensyaratkan pemuliharaan alam sekitar di Pusat Perlindungan Hidupan Liar Tabin seluas 120,500 hektar; Hutan Simpan Kulamba 20,700 hektar yang menjadi habitat semula jadi gajah pygmy dan badak sumbu.

Namun kejayaan FELDA ke pasaran Global menyebabkan mereka lupa tanggung jawab sosial mereka untuk membasmi kemiskinan dan menempatkan semula masyarakat miskin yang melukut di tepi gantang mereka.

Semua sungai tempat penduduk kampung mencari makan dan mendapatkan air bersih telah dicemar dengan pelbagai bahan buangan daripada Kilang Sawit FELDA sehingga mutu kehidupan mereka yang mewah sebelum ini bagaikan merempat di negeri sendiri.

Peluang kerja, peluang kontrak dan peluang berniaga dibolot oleh bukan Anak Negeri sehingga ‘Anak Di Pangkuan’ mati kelaparan kerana dasar yang tidak jelas dan digubal sendiri oleh Pegawai kanan FELDA sehingga gejala rasuah sudah membudaya dalam pentadbiran FELDA sejak 1988 lagi.

Menurut laporan tahunan 2009, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) seramai 700 penduduk kampung telah menyerbu mereka ketika sesi pertemuan dengan penduduk kampung di Dewan Masyarakat Tanjung Labian, terutama daripada Kampung Tegupi dan Lok Sambuang, Tungku.

Penduduk kampung tersebut menegaskan mereka telah tinggal di kampung tersebut sejak 1918 dan mendakwa FELDA telah menceroboh dan menanam lebih 17,000 ekar tanah adat mereka. Hanya 1,500 ekar sahaja yang berjaya dikembalikan setelah memperoleh geran, manakala bakinya masih belum dikembalikan sehinggi kini; sedangkan berstatus tanah adat yang tidak memerlukan geran.

Senario ini jelas menunjukkan seolah-olah Bank Dunia mengamalkan sikap ‘Pukul Anak Sindir Menantu’ kerana jika FELDA berjaya melaksanakan dasar penubuhannya, sudah pasti kemiskinan di Sabah pada taraf ‘ZERO’, mengulangi kecemerlangan di Zaman pemerintahan USNO dan BERJAYA.

Walaupun zaman tersebut digelar zaman ‘Zero-Zero’ atau zaman mencuri kayu balak, namun semua rakyat Sabah hidup aman damai, cukup makan pakai dan mempunyai peluang pekerjaan yang mudah membuat wang, hatta menjual ikan sekalipun kerana kuasa beli rakyat amat tinggi.

Rakyat yang sudah kaya dikayakan lagi dengan pelbagai Program Kemasyarakatan Yayasan Tun Mustapha (Yayasan Sabah) sehingga ditawarkan biasasiswa dan kemudahan asas pendidikan sebelum dimusnahkan kerajaan negeri berikutnya.

Zaman kegemilangan Sabah telah sirna bersama sejarah; namun hakikatnya ketidak cekapan menggunakan sumber manusia menjadi punca kemunduran Sabah terutama apabila ‘Warga Asing’ direkrut sebagai pengundi melalui ‘Skandal X-Files’ dan FELDA masih mengamalkan dasar memberi SUAKA kepada PATI sehingga kini.

Kekayaan Yayasan Sabah ketika itu mengatasi kekayaan FELDA Global sekarang kerana mempunyai kekayaan yang Infiniti. Hanya Tun Mustapha tahu jumlah sebenar kekayaan Yayasan Sabah. Menurut maklumat daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia, sayap komersial FELDA, iaitu Felda Holdings Berhad hanya mencatat pendapatan sejumlah RM15.3 bilion dan keuntungan bersih sejumlah RM635.7 juta pada tahun kewangan 2008.

Pada masa yang sama, syarikat tersebut memiliki wang simpanan tetap sejumlah RM 1.4 bilion dan wang tunai serta simpanan bank sejumlah RM 222.7 juta pada akhir tahun 2008.

FELDA kini memiliki 850,000 hektar tanah tanaman, 38 buah anak syarikat, 75 buah kilang minyak kelapa sawit dan 7 buah kilang pengekstrak minyak kelapa sawit dan merupakan penanam dan pengurus tanaman yang terbesar di dunia.

Malah, FELDA menakluki 20% pasaran kelapa sawit di dunia. Secara puratanya, pendapatan FELDA mencecah RM15 bilion setahun dan memperolehi keuntungan sebelum cukai sebanyak RM1.3 bilion pada tahun 2008; jauh lebih rendah daripada kekayaan Yayasan Sabah jika diurus secara bestari.

Kini, FELDA merancang untuk mengembangkan sayapnya ke peringkat global mengikut jejak Petronas setelah FELDA Global Venture Holdings telah ditubuhkan untuk mengambil alih dan membangunkan perusahaan pelaburan komersial di bawah FELDA.

Malah, Felda Global telah mengumumkan kesediaannya untuk melabur lebih daripada RM 6 bilion untuk memperluaskan perusahaannya dalam masa lima tahun yang akan datang.

Namun daripada jumlah tersebut hanya RM50 juta sahaja yang didermakan kepada Kerajaan Negeri Sabah sebagai ‘saguhati’ daripada 254,410 ekar tanah yang diberikan secara percuma kepada FELDA. Tetapi tidak siapa yang tahu apa jadi kepada wang RM50 juta tersebut kerana tidak ada Nampak sebarang mercu tanda sedangkan tujuan saguhati tersebut untuk membina rumah PPRT dan PBR kepada Anak Negeri Sabah yang layak setelah rumah mereka yang dirobohkan dalam Ops Nyah II Bersepadu 2002 belum berganti.

Dalam kebangkitan rakyat Sabah memperjuangkan hak mereka ke atas tanah, Kerajaan Negeri Sabah telah berjaya menjinakkan mereka melalui pengeluaran ‘Geran Kommunal’ bagi kawasan seluas 10,000 hektar atau 24,700 ekar; merupakan geran yang pertama di Malaysia kepada lebih 1,700 penduduk di Tongod dan Kinabatangan, Sandakan.

Pengarah Jabatan Tanha dan Ukur, Datuk Osman Jamal memperakui sistem Geran Kommunal merupakan geran yang terbaik yang pernah diperkenalkan di Sabah dan julung kalinya di Malaysia kerana ciri-cirinya mampu mempertahankan Hak Asasi Anak Negeri Sabah.

Kumpulan pertama seramai 680 keluarga di Nabawan telah menerima geran berkenaan pada Jun 2009 dalam masa memproses paling singkat iaitu selama lima bulan sahaja.

Menurut Osman, sehingga April 2010, Kerajaan Negeri Sabah telah mengeluarkan 28,000 hektar Hutan Simpan tidak produktif sebagai Geran Kommunal termasuk di Hutan Simpan Sook dan Mandalom di Keningau bagi kawasan seluas 24,000 hektar yang melibatkan 28 buah kampung; 839 buah rumah dan 7,297 penduduk.

Dengan usaha mengeluarkan Geran Kommunal ini, dipercayai dapat menghalang Anak Negeri Sabah daripada menjual tanah meraka kepada orang lain seperti amalan lumrah sebelum ini. Kawasan yang begitu luas juga, memudahkan Kerajaan Negeri membangunkan tanah berkenaan dengan segala prasrana bagi menempatkan semula mereka.

Sebelum ini, seramai 1,400 ketua keluarga di Kampung Salarom Taka, Nabawan menerima Geran Kommunal bagi kawasan seluar 3,650 hektar (9,015 ekar) yang mewakili lebih 5,000 penduduk kampung yang terperangkap di dalam kawasan Hutan Simpan ketika kerajaan mewartakannya pada 1984.

Pakar Ekonomi percaya, jika pengurusan Geran Komunal ini berjaya dilaksanakan secara efektif, efisyen dan ekonomik, kadar kemiskinan semasa Sabah pada tahap 16 peratus akan lenyap dalam masa tiga hingga empat tahun kerana 1,400 penduduk miskin yang memiliki 3,650 hektar tanah ini akan memperoleh RM46 juta daripada hasil penjualan buah sawit semasa; kira-kira RM2,716 sebulan bagi setiap keluarga, iaitu lima atau enam kali ganda daripada gaji minima.

Mengikut rancangan asal, Kerajaan Sabah akan memberikan kira-kira 12,000 hektar tanah kepada penduduk asal di luar kampung untuk melaksanakan projek pemilikansama tanah ini dan usaha masih giat dijalankan.

Persoalannya, bagaimanakah kerajaan Negeri Sabah akan mengeluarkan Sabah daripada ‘PENGHINAAN’ Bank Dunia ini dan menghilangkan ‘najis’ yang terpalit di muka kita ketika umat Islam di seluruh dunia menyambut Aidil Adha dengan menyembelih korban.

Apakah kita akan mengorbankan masa hadapan anak cucu kita dengan menyandarkan sebuah harapan palsu kepada FELDA untuk memulihkan keyakinan rakyat yang semakin sayang kepada Perdana Menteri Malaysia demi untuk menebus maruah kita di peringkat Global; dengan menolak ‘tohmahan’ dunia bahawa negeri kita termiskin di Malaysia?