Search This Blog

Saturday, August 29, 2009

PENGEMIS KEMERDEKAAN YANG TERCICIR?




Ehsan: www.sabahkini.net



Oleh : MUTALIB M.D

NOTA PENTING: Jika Anak Negeri Sabah ini berkata benar, terimalah walaupun pahit. Kenyataan yang disiarkan di sini bukan untuk menjatuhkan maruah atau memalukan sesiapa. Jika terkena batang hidung pemimpin tertentu, insaflah kerana CCTV Tuhan tidak pernah padam. Hukum Karma tetap berjalan. Jangan marah kepada mereka yang memberi maklumat kepada Sabahkini.net atau menyampaikan keluhan mereka kerana isu harus diselesaikan dan bukannya memecat mereka yang mendedahkan rahsia kemungkaran.

KEDENGARAN agak janggal jika Sabah yang membentuk sebuah Negara Malaysia bersama Sarawak, Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu masih mengemis daripada ‘Negara’ yang dibentuk pada 16 September 1963, sedangkan Sabah adalah salah satu entiti daripada empat kompartmen. Sepatutnya selepas Singapura ditalakkan daripada ‘Madu Tiga’ maka Sabah dan Sarawak diberikan hak mutaah yang ditinggalkan Singapura, namun taraf Sabah sudah diturunkan kepada ‘Gundik, Harem atau Perempuan Simpanan’ Persekutuan Tanah Melayu.

Di ambang Kerajaan Persekutuan bersiap sedia mahu menyambut ulang tahun ke 52 Kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos yang dicanangkan sebagai ‘Hari Kebangsaan’ yang sekaligus menafikan Hak Sabah dan Sarawak sebagai ‘isteri’ yang sah kepada Persekutuan Tanah Melayu untuk menuntut hak Fasakh daripada mana-mana Mahkamah kerana ‘Taklik 20 perkara’ tidak pernah dilafazkan.

Oleh itu tidak hairan, jika Amau Bin Apil, 53, yang dilahirkan di Kampung Tagapalang, Beluran merasakan tidak ada maknanya sambutan hari kemerdekaan yang dipaksa dirayakan setiap tahun pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September yang langsung tidak memberi sebarang harapan kepada beliau dan penduduk kampung yang masih bergelumang dengan ‘neraka dunia’ ciptaan UMNO dan Barisan Nasional.

Jika Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengenali Amau sebelum menjadi Perdana Menteri, mungkin beliau malu untuk mengilhamkan cogankata ‘1Malaysia’ yang marfumnya ‘Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’ dan sekaligus melantik Amau sebagai ‘Menteri Yang Tidak Berpotfolio’ di Jabatan Perdana Menteri seperti Idris Jala.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Shafie Haji Apdal mungkin malu untuk berjumpa Amau atau berpura-pura tidak mengenali Amau semata-mata takut jika terpaksa menerima pelawaan Amau untuk melawat dan membangunkan kampungnya sedangkan jalan Kampung Bubul Batu 1, Semporna yang letaknya hanya satu batu daripada Pekan Semporna masih berbatu kelilikir.

Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT) Beluran, Rajibi Haji Aman mungkin terus meluluskan permohonan tanah Amau dan penduduk kampung Tagapalang tanpa banyak karenah jika beliau mengetahui Amau terpaksa ‘menggadai nyawa’ menempuh perjalanan jauh untuk berulang-alik ke pejabat PPHT Beluran semata-mata untuk mendaftar permohonan tanah sedangkan Rajibi sewajarnya meluluskan ‘Tanah Adat’ mengikut ‘Hak Customary Right’ kerana beliau ‘berkuasa penuh’ terhadap tanah adat tanpa perlu merujuk kepada sesiapa.

Pegawai Pembangunan Negeri (SDO), Haji Matusin Sunsang juga sepatutnya meletakkan jawatan kerana meluluskan RM700,000 peruntukan KKLW kepada Ketua UMNO Bahagian Silam, Datu Nasrun Datu Mansur ‘tanpa izin’ Ahli Parlimen Malaysia (Silam), Haji Salleh Haji Kalbi kerana tidak ada satu projek pun yang disenaraikan oleh Amau selaku Pengerusi JKKK Kampung Tagapalang diluluskan, sebaliknya meluluskan dan mengeluarkan lebih 15 Suratkuasa bagi projek yang sama kerana senarai bertindih antara Parlimen Silam dan Adun Lahad Datu.

Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Datuk Normah Gagoh, juga sepatutnya ‘bersara’ awal atau meminta dirinya ditukarkan ke Semenanjung Malaysia bagi membolehkan Kementerian Pelajaran melantik ‘Pengarah Pelajaran’ yang baru bagi melestarikan visi Perdana Menteri dan Unesco untuk memastikan setiap kanak-kanak di luar bandar berpeluang belajar di sekolah sejajar dengan anak pendatang asing yang dapat belajar di Humana sekalipun tidak mempunyai dokumen.

Huguan Siou, Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan sepatutnya membubarkan institusi ‘Huguan Siou’ kerana tidak memberikan sebarang erti kepada penduduk kampung Tagapalang dan lebih 200,000 Anak Negeri yang terperangkap di dalam Hutan Simpan dan dizalimi kerajaan Barisan Nasional termasuk Amau yang telah lebih sepuluh tahun berjuang untuk mendapatkan kebenaran membina jalan melalui Hutan Simpan Lingkabau.

Pengarah Perhutanan Sabah, Datuk Sam Mannan juga sepatutnya tidak kembali ke Jabatan Perhutanan Sabah setelah ditukarkan ke Jabatan Hidupan Liar sekiranya dijadikan alat untuk membakar rumah penduduk kampung di dalam hutan simpan Serudong, menangkap penduduk kampung yang telah beranak pinak di hutan belantara sebelum beliau lahir dan sebelum Kerajaan Berjaya yang membuta tuli mewartakan kawasan kampung di Pedalaman sebagai Hutan Simpan.

Sebagai manusia yang punya hati dan perasaan, Sam Mannan sepatutnya meluluskan permohonan Amau untuk membina jalanraya ke kampungnya sejauh 16 kilometer merentasi Hutan Simpan Lingkabau sebagaimana beliau membenarkan Warisan Jaya Makmur Sdn.Bhd membina jalan sepanjang 60 kilometer di Hutan Simpan Mount Pock dan Tanjung Nagus di Semporna yang mendapat ‘Occupation Permit’ (OP) untuk menuai hasil kelapa sawit yang ditanam penduduk kampung sejak lebih 30 tahun lalu.

Jika dakwaan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Dr Jeffrey benar, maka Sam Mannan juga sepatutnya meletakkan jawatan kerana ‘menutup mata’ ketika meluluskan tiga lesen pembalakan melalui jalan ‘tipuan’ dan ‘jenayah’ kepada Danagaya Sdn.Bhd, syarikat milik Michael Chia Tien Foh, jutawan balak yang dicipta di Zaman BN kerana mampu membawa 16 Juta Dolar Singapura di dalam ‘Brief Case’ ketika menyertai penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Chek Lap Kok di Hong Kong menuju Kuala Lumpur, kononnya untuk membantu BN dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh.

Memandangkan semua garapan di atas hanya utopia atau sesuatu yang tidak mungkin terjadi di era serba-serbi memerlukan dan menggunakan wang untuk menjadi katalis kepada pembangunan, maka Amau Bin Apil yang ‘Buta Huruf’ tetapi celik minda telah bersusah payah datang ke Kota Kinabalu untuk menemui Editor Sabahkini.net dan melalui beberapa orang kenalan, akhirnya usaha Amau berhasil.

Amau yang merupakan generasi ketiga Atong, selepas Apil, terpaksa berjalan kaki selama lapan jam melalui hutan belukar yang tebal merentasi Hutan Simpan Lingkabau sebelum sampai ke Kampung Malinsau Ranau dan menaiki pickup ke Pekan Ranau dan meneruskan perjalanan dengan Bas Mini ke Kota Kinabalu semata-mata untuk menemui Editor Sabahkini.net setelah dua bulan menunggu temu janji yang diatur seorang rakannya.

Amau yang menyara kehidupan dengan bertanam padi dan ubi keledek terpaksa meninggalkan tujuh orang anaknya dan isterinya, Ronsin Binti Sumawan, 54, dan 10 orang cucunya jauh di tengah rimba belantara dan menggadai nyawanya merentasi Hutan Belantara semata-mata untuk memberitahu kepada Kerajaan Malaysia melalui Sabahkini.net bahawa ‘Malaysia Belum Merdeka’ kerana masih ada penduduk kampung yang belum mendapat sebarang kemudahan asas dan hak asasi walaupun tidak pernah mungkir mengundi Barisan Nasional.

“Cukuplah penderitaan kami yang cuba kami diamkan selama ini. Setelah semua aduan kami kepada Wakil Rakyat dan pegawai kerajaan bagaikan ‘meminta nyawa daripada penyamun’, kami bertekad untuk mendedahkan bahawa diri kami teraniaya dan dihina,” ujar Amau dengan nada penuh sebak kerana terbayangkan nasib anaknya yang mewarisi ‘buta huruf’ sepertinya.

Amau merayu agar wakil rakyat mereka tidak menjadikan penduduk kampung Tagapalang sebagai ‘tikus mondok’ (guinea pigs) yang hanya dijenguk lima tahun sekali dan selepas itu ‘batang hidung’ pun tidak kelihatan atau berpura-pura tidak nampak ketika terserempak.

“Kami bukan mahu wang atau pekerjaan. Kami mahu kerajaan bangunkan kampung kami. Apa guna kita cerita tentang kemerdekaan dan kemajuan jika kami masih minum air sungai, pakai pelita, berjalan kaki sejauh 16 kilometer untuk pulang ke rumah kami. Mahu beli panadolpun terpaksa berfikir sepuluh kali kerana tidak ada klinik di kampung kami,” ujar Amau yang menceritakan sejarah perjalanan hidupnya yang amat payah dan terpaksa menerima perlantikan sebagai Pengerusi JKKK kerana kesemua penduduk kampung Tagapalang buta huruf kerana tidak pernah mengikuti persekolahan secara formal.

Bukan sahaja soal pelajaran, rumah ibadah pun, kata Amau, terpaksa mereka dirikan sendiri secara gotong royong kerana kesemuanya beragama Kristian.

“Untuk mengelakkan generasi berikutnya terus buta huruf, kami rayu agar Jabatan Kebajikan Masyarakat (Kemas) membina Taska dan Tabika di Kampung kami kerana lebih 70 kanak-kanak yang sudah layak mendapat pendidikan asas terus tercicir,” tegas Amau yang kecewa kerana permohonannya selama ini tidak mendapat perhatian daripada mana-mana pihak, termasuk Kemas kerana faktor geografi.

Punca masalah kampung mereka tidak dibangunkan, kata Amau, mungkin kerana ketiadaan jalanraya sehingga semua urusan terpaksa melalui sungai yang berjeram dan berlubuk dalam atau berjalan kaki selama lapan jam.

“Jadi kami mintalah Kerajaan bina jalan ke kampung kami agar kenderaan boleh masuk. Kami tidak boleh guna jalan sungai kerana bahaya dan menyusahkan. Kami pula yang angkat perahu dan barang-barang kerana terlalu banyak jeram dan lubuk. Jadi kami tidak ada pilihan melainkan berjalan kaki. Kasihanilah kami. Jika selepas ini rayuan saya melalui Sabahkini tidak Berjaya, saya terpaksa cari jalan untuk bertemu Perdana Menteri,” ujar Amau yang meletakkan sejuta harapan kepada Sabahkini.net untuk mendedahkan penderitaan mereka yang terpencil di desa pingitan setelah akhbar arus perdana enggan menyiarkan penderitaan Amau dan penduduk kampung Tagapalang.

Menurut Amau, beliau kesal kerana pemimpin politik hanya menabur janji pada setiap kali musim pilihanraya, namun sejak mengenali Kerajaan BN, hanya satu projek sahaja yang berjaya dibawa masuk ke kampung Tagapalang iaitu Jambatan Gantung di Kampung Tagapalang Lama pada 7 September 2004 dengan harga RM 30,000.00 yang dilaksanakan oleh M.E.N. Kontraktor.

“Janji mereka untuk membina balairaya, klinik, sekolah , tadika, 46 rumah PPRT dan 2,500 keping zing belum satu pun yang terlaksana. Kami hanya menerima janji yang diperbaharui setiap tahun dan setiap pilihanraya, tetapi belum menerima projek yang dijanjikan,” ujar Amau dalam keadaan tertekan kerana memikul harapan menggunung penduduk kampung Tagapalang.

Kata Amau, jika musim pilihanraya, calon sanggup mengharungi sungai yang berjeram ke kampung mereka untuk mendapatkan sokongan 40 undi, beliau hairan kenapa selepas pilihanraya, begitu sukar untuk menemui pemimpin yang telah terpilih.

“Sampai bila saya mahu menanggung dosa pemimpin yang hanya tahu berjanji kepada kami? Baru-baru ini seorang pengundi dan penduduk kampung Tagapalang, Maiyak Malui mengalami demam panas. Penduduk kampung membuat pengusung untuk membawanya ke Kampung Malinsau sebelum ke Hospital Ranau. Jangankan mangsa sengsara, kami yang memikul juga sengsara mengharungi hutan rimba…,” kata Amau yang sebak kerana terlalu sedih dan tidak dapat meneruskan percakapannya selama beberapa saat bertafakkur dan kemudian memaklumkan mangsa meninggal dunia ketika separuh perjalanan dan menerima kutukan keluarga mangsa atas kecuaian Kerajaan BN.

Mujurlah kampungnya mempunyai bidan kampung yang berpengalaman yang berkhidmat secara sukarela, jika tidak, kata Amau, mungkin ramai ibu mengandung dan anak mati dalam perjalanan ke Hospital Ranau kerana terpaksa berjalan kaki selama lapan jam.

Kampung Tagapalang, kata Amau adalah kampung tradisi yang wujud sejak zaman British, ditadbir urus oleh Ketua Kampung, Dosit Dolah dengan dibantu beliau sebagai Pengerusi JKKK, namun tidak mampu berbuat apa-apa disebabkan masalah perhubungan sehingga meletakkan nasib 258 orang penduduk di ambang dilemma.

“Hasrat kami untuk menjadi petani yang berjaya, tetapi Lembaga Industri Getah tidak dapat membantu kami memberi benih getah kerana tanah kami tidak bergeran. Jadi kami terpaksa mengambil benih liar di kebun getah di Kampung Melinsau, Ranau dan tanam di kebun. Tidak tahulah jadikah tidak. Asal getah, getahlah ba itukan,” ujar Amau dengan nada sedikit berseloroh.

Amau menjelaskan hasil usaha gigihnya beliau telah menanam 900 pokok getah ‘liar’ yang sudah berusia empat tahun di tanah seluas tiga ekar dan teragak-agak mahu memajukan tanahnya kerana bimbang ianya dipohon oleh syarikat lain sebagaimana yang diberitahu rakannya di Tongod dan sebagainya.

Memang diakui, kata Amau, adalah sukar bagi penduduk miskin sepertinya untuk memohon tanah di Pejabat PPHT Beluran kerana selain terpaksa menempuh perjalanan yang meletihkan selama lapan jam, beliau terpaksa menyediakan tambang sebanyak RM10 dari Malinsau ke Bandar Ranau dan RM25 dari Ranau ke Simpang Beluran sebelum menyambung perjalanan dengan bas lain ke Pekan Beluran dengan tambang RM10.

“Saya terpaksa tidur di gerai Beluran kerana tidak cukup duit untuk tinggal di hotel. Sudah lebih tujuh tahun berulang alik ke sini, hanya tahun lalu barulah permohonan tanah saya didaftarkan. Tidak tahulah dapat atau tidak,” ujar Amau yang tidak mengetahui proses permohonan tanah adat kerana beliau dinasihatkan PPHT memohon mengikut prosedur tanah kerajaan negeri melalui PT 20-00082081 sedangkan beliau layak diberikan tanah adat kerana telah menetap dan mengusahakan tanah di Kampung Tagapalang sejak lahir.

Apakah PPHT Beluran belum khatam Undang-Undang ‘Customary Right’ yang disebutkan dengan jelas di dalam Ordinan Tanah Sabah atau berpura-pura tidak mengetahui peraturan permohonan tanah adat kerana beliau mempunyai ‘locus-standi’ meluluskan tanah adat tanpa perlu dikemukakan kepada Pengarah Jabatan dan Ukur atau Ketua Menteri.

Amau pernah mengadu kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) namun tidak sampai ke mana kerana Kerajaan Negeri masih berdegil untuk memberikan mereka hak tanah adat dan hak untuk mendapat kemudahan asas atas alasan yang hanya diketahui oleh Adun dan Ahli Parlimen yang dipilih pada pilihanraya umum lalu dan sebelumnya.

“Sejak Sabah merdeka, kami hanya dikunjungi tiga jabatan kerajaan iaitu Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPPS) dan Jabatan Kesihatan, jabatan lain tidak pernah masuk ke kampung kami. Kami tidak mahu minta apa-apa lagi selain jalan raya dari Kampung Sumbilingon, Melinsau Ranau ke Kampung Tagapalang Lama. Cukuplah itu,” ujar Amau yang sudah muak dengan janji pemimpin dan mula lali dengan kutukan penduduk kampung terhadapnya.

Walaupun keseluruhan 46 buah rumah penduduk Kampung Tagapalang tergolong sebagai rumah miskin tegar, saling tidak tumpah seperti rumah suku Bushman di Kalahari Afrika, namun Amau tidak lagi menaruh harapan terhadap janji wakil rakyat untuk membina 46 PPRT di kampung tersebut kerana Gereja pun mereka terpaksa bina sendiri.

“Bayangkanlah kesengsaraan saya kalau mahu berurusan di Beluran. Saya terpaksa bertolak daripada rumah jam enam pagi. Jam dua petang baru sampai Melinsau. Sampai di Beluran sudah malam dan terus tidur di gerai. Esoknya baru boleh berurusan,” ujar Amau yang bersyukur sekiranya kerajaan membenarkan penduduk kampung berurusan di Ranau, jika tidak menyalahi peraturan.

Amau yang kelihatan resah dan teragak-agak sejak awal pertemuan lagi, akhirnya memberitahu bahawa usaha Ketua Kampung dan beliau untuk mewartakan Kampung Tagapalang sebagai Kampung Tradisi tergendala kerana dibantah Wakil Rakyat yang sedang merancang untuk melaksanakan Projek Agropolitan dan mendesak penduduk kampung berpindah ke kawasan baru dengan memperuntukan tanah seluas 10 ekar setiap keluarga.

“Bagaimana kami boleh bersetuju jika tanah tumpah darah kami mahu dirampas dan diberikan tanah yang bukan milik kami dan menjadi kuli seumur hidup?,” ujar Amau yang tidak tahu bagaimana mahu memujuk generasi belia agar terus mengundi BN yang tidak pernah melayan mereka dengan adil dan akan memikirkan sia-sia mengundi pembangkang yang turut tidak mempedulikan mereka selama ini.

Persoalan yang timbul sekarang, bagaimana Kerajaan BN mahu mengembalikan ‘hak asasi’ penduduk Kampung Tagapalang yang dipalang pada bingkai birokrasi sedangkan Wakil Rakyat dan Pegawai Kanan Kerajaan masih belum mengerti makna sebenar KPI dan NKRA!

Friday, August 28, 2009

PKR DESAK HENTIKAN 'TIMBER LAUNDERING'







Ehsan : www.sabahkini.net

Oleh: HAFIZ JAMAIL

PARTI Keadilan Rakyat (PKR) mendesak Kerajaan Negeri Sabah menghentikan kegiatan ‘Penggubahan Haram Hutan Simpan Komersil Kelas II’ melalui Yayasan Sabah (Rakyat Berjaya Sdn.Bhd) sebelum diserahkan kepada kroni dan proksi tanpa melalui Kelulusan Kabinet Negeri Sabah.

Naib Presiden PKR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan ketika membuat Sidang Akhbar di Pejabatnya di Sokid Villa, Jalan Minintod, Penampang mendedahkan kegiatan ‘Timber Laundering’ ini merupakan modus operandi Kerajaan Negeri Sabah bagi mengelak isu ini dibawa ke Kabinet Negeri Sabah untuk kelulusan bagi penyerahan konsesi melebihi 1,000 ekar.

“Kita mengutuk keras kegiatan jenayah ‘Timber Laundering’ ini atas apa juga sebab kerana ia merupakan satu kegiatan jenayah terancang untuk memusnahkan hutan tropika yang amat bernilai melalui penyimpangan undang-undang dan salahguna kuasa,” ujar Jeffrey yang menekankan perbuatan berkenaan adalah pengkhianatan pemimpin Barisan Nasional terhadap rakyat dan negeri Sabah.

Jeffrey percaya kegiatan ‘Money Laundering’ yang dijalankan oleh seorang kroni Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Aman iaitu Michael Chia adalah berhubung rapat dengan kegiatan haram ‘Timber Laundering’ kerana beliau mempunyai bukti Michael Chia memperolehi pendapatan yang tidak ditaksirkan cukai dan memperolehi harta secara tidak sah melalui kegiatan tersebut.

Penangkapan Michael Chia di Hong Kong atas kegiatan ‘Money Laundering’ pada 14 Ogos 2008 di Lapangan Terbang Hong Kong telah membongkar misteri di sebalik enigma apabila kes berkenaan tidak pernah dilaporkan mana-mana media cetak melainkan media internet sekalipun laporan polis di buat oleh pemimpin Pakatan Rakyat (DAP) di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Sehubungan itu kata Jeffrey, beliau mendesak agar kegiatan mengeluarkan Hutan Simpan Kelas II yang dikawalselia oleh Jabatan Perhutanan Sabah kepada Yayasan Sabah atau anak syarikatnya hendaklah dihentikan serta merta kerana menyalahi Dasar Perhutanan Kerajaan Negeri dan Enakmen Perhutanan Sabah melalui beberapa modus operandi yang mencabul undang-undang Negara.

“Kenapa Hutan Simpan Komersil harus diserahkan kepada Yayasan Sabah sedangkan Yayasan Sabah mempunyai kawasan mereka sendiri. Tambahan pula Yayasan Sabah tidak mempunyai pekerja melainkan menyerahkan kontrak pembalakan kepada beberapa syarikat kroni pemimpin kanan BN tanpa kelulusan Kabinet. Bukankah ini satu konspirasi?,” ujar Jeffrey yang mempersoalkan tindakan Kabinet Negeri Sabah yang ‘membenarkan’ amalan ‘Timber Laundering’ dan Pengarah Jabatan Perhutanan yang kelihatan seperti ‘Kerbau Di Cucuk Hidung’.

Kegiatan pembalakan di Konsesi Yayasan Sabah yang berada di dalam Kawasan Hutan Simpan adalah sama taraf dengan ‘penjenayah alam sekitar’ yang ‘merompak’ harta dan khazanah alam untuk kepentingan mereka dengan menghalalkan cara termasuk meminda atau memalsukan pelan pembalakan dengan subahat Pegawai Kanan Jabatan Perhutanan Sabah dan Yayasan Sabah.

Sebagai contoh, kata Jeffrey, beliau mengesan pelan pembalakan bagi dua kompartment dalam satu konsesi di Hutan Simpan Kelas II Kuamut telah dipalsukan sehingga Jabatan Perhutanan Sabah mengeluarkan lesen pembalakan bagi kawasan yang tidak boleh dibalak kerana berada di kawasan tanah tinggi melebihi 25 darjah dan kesemuanya terdiri daripada spesis yang dilindungi.

“Penjenayah alam sekitar ini bukan sahaja licik menjalankan kegiatan mereka, malah mencuri kayu balak di kawasan tanah tinggi kerana peta yang dikemukakan tidak termasuk kawasan tanah tinggi. Cuba lihat peta Lesen Konsesi YS 3/07 (A) dan YS 3/07 (B). Lihat pelan asal yang bertanda merah ini adalah tanah tinggi keseluruhannya. Tetapi Yayasan Sabah dan Jabatan Perhutanan telah memperakui pelan yang telah diubah atau dipalsukan ini sehingga mengeluarkan lesen pembalakan bagi kawasan seluas 2,370.94 hektar yang langsung tidak boleh di balak,” ujar Jeffrey yang mendedahkan bahawa Pengarah Perhutanan Sabah ‘tahu’ apa yang sebenarnya berlaku.

Kata Jeffrey, bagi konsesi YS 3/07 (A) keluasan kawasan tanah tinggi yang tidak boleh dibalak ialah 1,205.62 hektar dan konsesi YS 3/07 (B) seluas 1,165.32 hektar, namun Jabatan Perhutanan Sabah telah mengesahkan peta palsu yang mencatatkan kawasan tanah tinggi bagi dua konsesi tersebut masing-masing 284.82 hektar (A) dan 129.52 (B).

Sehubungan itu kata Jeffrey, Jabatan Perhutanan Sabah, antara sedar atau tidak telah mengeluarkan lesen pembalakan bagi kawasan berkenaan seluas 1,042.45 hektar bagi Konsesi A dan 916.15 hektar bagi Konsesi B bagi tempoh selama tiga tahun bermula 22 Ogos 2009 dan berakhir pada 21 Ogos 2012 sedangkan pada prinsipnya, tidak ada satu incipun kawasan berkenaan boleh di balak.

Merujuk kepada peta yang dipalsukan tersebut, sama ada oleh kakitangan Jabatan Perhutanan atau Yayasan Sabah, dua kompartmen tersebut, tegas Jeffrey adalah satu tetapi telah dipecahkan kepada dua kawasan bagi menyukarkan ianya dikesan melainkan setelah menyemak pelan kontur atau mencantumkan dua pelan membalak berkenaan secara teliti.

Perbuatan jenayah ini kata Jeffrey harus disekat segera yang disifatkan sebagai mensabotaj ekonomi negeri Sabah dan menyebabkan imej Kerajaan Negeri tercemar kerana melupuskan hutan simpan secara tidak sah dengan menghalalkan pembalakan di kawasan tanah tinggi.

“Bagi mengukuhkan desak ini, sewajarnya Bank Dunia bertindak membekukan sebarang dana, sama ada dalam bentuk gran atau pinjaman yang akan disalurkan ke Sabah sehingga siasatan menyeluruh diselesaikan dan kertas putih dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Sabah, jika tidak Bank Dunia juga turut bersubahat,” desak Jeffrey yang turut menggesa Persekutuan Alam Sekitar Sedunia (WWE) dan Persekutuan Hidupan Liar Sedunia (WWF) menjalankan siasatan rapi bagi menghentikan amalan songsang ini.

Bank Dunia, WWE dan WWF hendaklah mendesak Kerajaan Negeri membatalkan semua pembalakan menggunakan Helikopter kerana dijalankan secara tipuan dan lakonan sahaja sedangkan pembalakan yang dilakukan tidak mengikut prosedur yang ditetapkan iaitu melalui kaedah konvensional, apatah lagi laporan EIA yang dikemukakan pemegang konsesi, Asiatic Lumber Industries Sdn.Bhd tidak diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar Sabah.

“Jika benar ianya dijalankan melalui kaedah Reduce Impact Logging (RIL) atau Heli Lumber, sila buktikan kepada media dan apa logiknya masih menggunakan pangkalan balak yang sudah ditutup di Silam Kennedybay untuk mengeksport balak ‘ala pencuri’?,” ujar Jeffrey yang mendakwa bahawa ‘Heli Logging’ hanyalah ‘Gimik’ untuk mendapatkan bantuan Bank Dunia sedangkan pembalakan haram sudah mencecah masuk ke Imbak Canyon, Buffer Zone di Lembah Danum dan Maliau Basin.

Memandangkan kawasan konsesi pembalakan berkenaan adalah kawasan larangan, maka pemilik konsesi boleh melakukan apa sahaja sehingga memusnahkan alam sekitar, namun kata Jeffrey, dengan teknologi satelit dan maklumat yang berada di hujung jari, pihaknya mempunyai mekanisme untuk mengesan ‘kemungkaran’ yang berlaku di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, Jeffrey turut membidas Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang hanya berani mendenda penduduk perumahan membakar sampah di tempat terbuka namun tidak berani mendakwa penjenayah Alam Sekitar terutama kuari haram, pembalakan helikopter dan kawasan tanah tinggi serta projek paip Gas dari Kimanis ke Bintulu yang tidak diluluskan Jabatan Alam Sekitar.

Tambah Jeffrey, untuk apa menyediakan Laporan EIA jika tidak digunakan secara mandatori bagi semua pembangunan atau projek yang memerlukan EIA kerana banyak projek yang tidak diluluskan namun dijalankan tanpa sebarang penguatkuasaan, termasuklah pembalakan menggunakan helikopter di Ulu Segama-Malua.

“Mungkin kerana SPRM tidak berfungsi, maka penjenayah semakin berani,” ujar Jeffrey yang kesal kerana permintaannya agar Pegawai SPRM datang ke pejabatnya ditolak sedangkan ketika itu seramai 20 orang daripada seluruh Sabah mahu memfailkan laporan salah laku dan rasuah kepada SPRM yang melibatkan tokoh penting, sebaliknya pegawai berkenaan meminta Jeffrey ke pejabat SPRM untuk membuat laporan menyebabkan Jeffrey hanya membuat laporan polis di Balai Polis Donggongon sejurus selepas pemimpin PKR daripada seluruh Sabah mengadakan tunjuk perasaan secara aman di Sokid Villa.

Wednesday, August 26, 2009

SENAMAN TENAGA BATIN BUAT PEMBACA BLOG IC PALSU




Salam Sejahtera dan Selamat Berpuasa Ahli Kelab Mutalibmd,

Kesibukan tugas seharian menjadikan kita tidak sempat bersenam dan membuat kita lemah segala-galanya. Untuk memulihkan segala yang lemah kita amalkan senama ini. Saya ingin kongsikan video yang menunjukkan gerakan senaman
tenaga batin. Harap video ini dapat membantu meningkatkan kehebatan
seksual anda.

Antara gerakan yang ditunjukkan:

1. Menjejak Puteri Kebayan
2. Nafas Kamasutra
3. Nyut-Nyut Tugut Di Air
4. Geliat Kucing
5. Hang Tuah Mengantuk Di Anjung Istana
6. Duduk Anak Buluh Betong
7. Pheonix Menyapu Awan
8. Harimau Berantai Mencari Jejak

Anda boleh menonton video tersebut di :

http://tricajushebat.com/2009/08/video-senaman-tenaga-batin/


Selamat Bersenam,

JEFFREY KITINGAN BOLEH BUKTIKAN MUSA AMAN KENAL MICHAEL CHIA!





MICHAEL CHIA.... Lelaki Istimewa kepada Musa Aman!

Gambar selebihnya di www.sabahkini.net


Oleh: HAFIZ JAMAIL

“Ketika berita Michael Chia Tien Foh diberkas di Lapangan Terbang Hong Kong pada jam 2.35 petang khamis, 14 Ogos 2008 atas tuduhan penggubahan wang haram, saya tidak begitu percaya. Walaupun Pengerusi DAP Sabah membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi Kuala Lumpur, namun saya tidak mengambil berat isu Michael Chia ini,” ujar Pengerusi Yayasan Warisan Borneo (BHF), Datuk Dr Jeffrey Kitingan selepas membuat Laporan Polis di Balai Polis Donggongon, Penampang.

Bagaimanapun apabila nama Michael Chia dikaitkan dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, Jeffrey memberitahu beliau terkesima kerana kelicikan Michael Chia mengguna saluran diplomatik dan menjadi ‘agen khas’ yang dilabelkan sebagai ‘adik angkat’ Musa Aman, maka beliau begitu berminat untuk mengikuti cerita di sebalik berita Michael Chia yang tiba-tiba sahaja menjadi kaya raya kerana hubungannya dengan Ketua Menteri Sabah.

“Saya tidak terkejut apabila Musa menafikan yang beliau pernah mengenali atau berurusan dengan Michael Chia kerana penafian itu sebenarnya jawapan yang saya tunggu selama ini sehinggalah kes demi kes Michael Chia dibongkar melalui media internet seperti Malaysia-Today.net dan Sabahkini.net,” ujar Jeffrey yang menekankan betapa pentingnya bagi Musa untuk menyelesaikan isu berkenaan dan bukannya melalui penafian media.

Tegas Jeffrey, rakyat Sabah ingin tahu apa hubungan antara Michael Chia dengan Musa Aman atau siapa sebenarnya Michael Chia yang digelar ‘Kembar Siam’ Musa Aman di kalangan pembalak di Sabah.

Walaupun kes penggubahan wang haram yang dilakukan oleh Michael Chia senyap begitu sahaja dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cuba menutup kes berkenaan dengan mendakwa ianya berlaku di luar Negara dan di luar bidang kuasa SPRM, namun kata Jeffrey, kes berkenaan menimbulkan pelbagai tandatanya tanpa sebarang jawapan daripada semua pihak yang terlibat.

“Hari ini, jawapan yang saya cari selama ini hampir selesai apabila ada orang meletakkan beberapa dokumen penting di cermin kereta saya dan hampir menyelesaikan kebuntuan siapakah Michael Chia sebenarnya yang dilaporkan pernah ditangkap polis Hong Kong di Lapangan Terbang Chek Lap Kok, Hong Kong menjelang pilihanraya kecil Permatang Pauh,” tegas Jeffrey yang agak kesal kerana 81 Dalil yang difailkan terus kepada SPRM tidak mendapat reaksi sewajarnya, sekalipun turut menyebut nama dan penglibatan Michael Chia.

Daripada maklumat yang beliau dapat melalui dokumen rahsia dan sulit yang diletakkan di atas cermin hadapan kereta beliau, kata Jeffrey beliau menemui beberapa formula yang boleh menghubungkan Musa Aman dengan Michael Chia dan menuntut penjelasan Ketua Menteri Sabah berhubung isu ini.

“Jika benar Musa Aman mengatakan kepada umum bahawa beliau tidak kenal atau tidak pernah berurusan dengan Michael Chia, maka saya inginkan jawapan secara jujur dan terus terang daripada Musa Aman. Jika beliau tidak kenal Michael Chia, bagaimana lima konsesi pembalakan di Hutan Simpan Kuamut boleh diluluskan kepada Michael Chia atau syarikat proksi Michael Chia?,” tanya Jeffrey yang mengatakan bahawa amalan yang berjalan di Sabah sejak era Tun Mustapha bahawa semua konsesi pembalakan harus mendapat izin atau kelulusan Ketua Menteri Sabah sebelum sebarang lesen boleh dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Sabah.


Sebagai Mantan Pengarah Yayasan Sabah, kata Jeffrey, beliau arif benar dengan semua peraturan dan amalan yang dilakukan sebelum sesuatu lesen atau konsesi pembalakan diluluskan.

Adalah mustahil kata Jeffrey, Musa Aman boleh meluluskan lima konsesi pembalakan di Hutan Simpan Kuamut kepada syarikat Sabapioneer Sdn Bhd, Danagaya Sdn Bhd, Sinabumi Sdn Bhd , Wangsajadi (Sabah) Sdn Bhd dan Rimba Kita Sdn Bhd sedangkan kesemuanya adalah syarikat milikan Michael Chia melalui nominee dan proksi iaitu seorang wanita Cina yang berasal daripada Semenanjung Malaysia, Yap Siaw Lin, yang dikenalpasti sebagai teman wanita atau isteri keduanya.

“Perlu saya tegaskan di sini, Musa Aman harus menjelaskan kepada rakyat Sabah kenapa Kawasan Hutan Simpan Kelas II Kuamut yang dikenalpasti sebagai Hutan Simpan Pengurusan Semulajadi boleh diserahkan kepada Yayasan Sabah yang kemudiannya melantik syarikat konsesi untuk membalak kawasan berkenaan. Kenapa mahu musnahkan semua hutan simpan di Sabah?,” tanya Jeffrey yang memerlukan penjelasan kerajaan berhubung isu kelulusan kawasan pembalakan kepada satu orang sahaja.

Kelulusan terbaru kata Jeffrey ialah merupakan perbuatan jenayah terancang yang dilakukan secara kolektif oleh Yayasan Sabah, Jabatan Perhutanan Sabah, Hasil Bumi dan Jabatan Ketua Menteri kerana memperakui pelan pembalakan yang telah diubah suai dan dipalsukan bagi membolehkan kawasan berkenaan dibalak.

“Kawasan yang diluluskan kepada Danagaya Sdn.Bhd ini pada dasarnya tidak boleh dibalak sama sekali mengikut dasar dan Enakmen Perhutanan Sabah kerana mempunyai kecuraman melebihi 25 darjah dan menceroboh kawasan riparian,” kata Jeffrey yang menyatakan pemalsuan yang dilakukan amat licik sehingga Jabatan Perhutanan Sabah ‘terpedaya’ mengeluarkan Lesen Pembalakan SFMLA 09/97 seluas 4,729.95 hektar selama tiga tahun bermula 22 Julai 2009.

Pemalsuan pelan sebenar menunjukkan kawasan yang boleh dibalak terlalu luas sedangkan mengikut kontor, kawasan tersebut begitu curam dan ada yang mencapai 90 darjah dan kata Jeffrey adalah kawasan yang diharam sebarang aktiviti pembalakan.

Melalui laporan polis dan SPRM yang dibuatnya, Jeffrey mendesak Kerajaan Negeri Sabah membatalkan lesen pembalakan dan menghentikan segera semua kegiatan pembalakan bagi konsesi yang disebutkan dan menyerah kembali kawasan berkenaan kepada Jabatan Perhutanan Sabah untuk program pemuliharaan bagi menyelamatkan hutan simpan berkenaan daripada musnah dan mendatangkan kesan pencemaran kepada alam sekitar.

“Kita akan mengheret isu ini ke peringkat antarabangsa jika lesen ini tidak dibatalkan dan pembalakan tidak dihentikan. Ketua Menteri Sabah patut malu dan meletakkan jawatan kerana meluluskan lima konsesi ini kepada ‘lelaki yang beliau tidak kenali’,” usul Jeffrey yang mendesak Kerajaan Negeri menyediakan ‘kertas putih’ berhubung isu pembalakan di konsesi Blok YS 03/07 (5) yang merupakan satu jenayah alam sekitar dan pengkhianatan kepada rakyat Sabah.

Hutan Simpan Tanah Tinggi Kuamut ini begitu cantik dan menjadi habitat semula jadi Orang Utan , maka kata Jeffrey, tindakan Michael Chia dengan Izin Musa Aman telah memusnahkan hutan ini yang setaraf dengan perbuatan membunuh Orang utan dan khazanah alam semula jadi.

“Sebagai Pengerusi Yayasan Warisan Borneo (BHF) yang bertanggung jawab memelihara warisan hutan dan khazanah alam semula jadi Borneo, saya akan melaporkan pencerobohan ini kepada Bank Dunia untuk menghentikan sementara saluran dana kepada Jabatan Perhutanan dan Kerajaan Negeri Sabah kerana mencabul Dasar Perhutanan Sedunia,” tegas Jeffrey yang akan menghantar kawat bantahan kepada Bank Dunia dan Perdana Menteri Malaysia.

Menyentuh laporan polis yang dibuatnya hari ini, kata Jeffrey adalah tindakan mengikut undang-undang dan terpulang kepada polis dan SPRM untuk menjalankan siasatan mengikut budibicara mereka sendiri.

Berikut adalah laporan penuh yang dibuat Jeffrey iaitu Laporan bernombor: PPG/RPT/5914/09

“Pada jam lebih kurang 8.30 pagi hari ini (25 Ogos 2009) bertempat di hadapan Restoran New Man Tai, Jalan Bundusan, saya mendapati satu envelop disisipkan di cermin kereta saya. Apabila dibuka, saya mendapati beberapa dokumen yang merujuk kepada Hutan Simpan Kuamut seperti yang saya nyatakan dalam www.sabahkini.net. Saya telah menyemak dan memanggil Jawatankuasa Yayasan Warisan Borneo (BHF) untuk berbincang. Hasil daripada perbincangan, kami datang ke balai untuk membuat laporan agar kerajaan Negeri Sabah membatalkan lesen pembalakan kepada Danagaya Sdn Bhd (SFMLA 09/97) dan memberhentikan semua kegiatan pembalakan SERTA MERTA kerana kawasan berkenaan melebihi kecerunan 25 darjah yang mana tidak boleh dibalak mengikut dasar dan Enakmen Perhutanan Negeri Sabah.


Laporan ini juga dibuat agar polis menyiasat dan menangkap semua pihak yang terlibat dipercayai memalsukan pelan pembalakan dan memberikan maklumat palsu sehingga Jabatan Perhutanan Sabah terpedaya mengeluarkan lesen pembalakan kepada Danagaya Sdn Bhd. Laporan ini juga di buat agar Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap kaedah pemberian konsesi kerana kesemua 5 lesen konsesi di Hutan Simpan Kuamut dikhuatiri diberikan secara tidak teratur kepada seorang lelaki bernama Michael Chia Tien Foh yang sebelum ini dilibatkan dengan kes penggubahan wang haram sebanyak 16 juta Dollar Singapura di Hong Kong. Michael Chia menggunakan proksi iaitu teman wanitanya bernama Yap Siaw Lin (742710-14-5364) berasal dari Semenanjung Malaysia.


Laporan ini juga dibuat agar SPRM dan Polis menyiasat Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman yang sebelum ini beliau mengakui tidak mengenali Michael Chia tetapi kini memberikan 5 lesen konsesi, kerana mengikut prosedur semua lesen pembalakan harus mendapat kelulusan Ketua Menteri. Syarikat-syarikat tersebut adalah Sabapioneer Sdn Bhd (731099-D), Danagaya Sdn Bhd (747769-D), Sinabumi Sdn Bhd (754997-P), Wangsajadi (Sabah) Sdn Bhd (745208-K) dan Rimba Kita Sdn Bhd (671086-H). Laporan ini dibuat atas kapasiti saya sebagai Pengerusi Yayasan Warisan Borneo yang bertanggungjawab menjaga warisan hutan dan khazanah alam semulajadi Borneo. Bersama-sama dengan ini dilampirkan dokumen-dokumen yang di maksudkan.”