Search This Blog

Friday, August 28, 2009

PKR DESAK HENTIKAN 'TIMBER LAUNDERING'







Ehsan : www.sabahkini.net

Oleh: HAFIZ JAMAIL

PARTI Keadilan Rakyat (PKR) mendesak Kerajaan Negeri Sabah menghentikan kegiatan ‘Penggubahan Haram Hutan Simpan Komersil Kelas II’ melalui Yayasan Sabah (Rakyat Berjaya Sdn.Bhd) sebelum diserahkan kepada kroni dan proksi tanpa melalui Kelulusan Kabinet Negeri Sabah.

Naib Presiden PKR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan ketika membuat Sidang Akhbar di Pejabatnya di Sokid Villa, Jalan Minintod, Penampang mendedahkan kegiatan ‘Timber Laundering’ ini merupakan modus operandi Kerajaan Negeri Sabah bagi mengelak isu ini dibawa ke Kabinet Negeri Sabah untuk kelulusan bagi penyerahan konsesi melebihi 1,000 ekar.

“Kita mengutuk keras kegiatan jenayah ‘Timber Laundering’ ini atas apa juga sebab kerana ia merupakan satu kegiatan jenayah terancang untuk memusnahkan hutan tropika yang amat bernilai melalui penyimpangan undang-undang dan salahguna kuasa,” ujar Jeffrey yang menekankan perbuatan berkenaan adalah pengkhianatan pemimpin Barisan Nasional terhadap rakyat dan negeri Sabah.

Jeffrey percaya kegiatan ‘Money Laundering’ yang dijalankan oleh seorang kroni Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Aman iaitu Michael Chia adalah berhubung rapat dengan kegiatan haram ‘Timber Laundering’ kerana beliau mempunyai bukti Michael Chia memperolehi pendapatan yang tidak ditaksirkan cukai dan memperolehi harta secara tidak sah melalui kegiatan tersebut.

Penangkapan Michael Chia di Hong Kong atas kegiatan ‘Money Laundering’ pada 14 Ogos 2008 di Lapangan Terbang Hong Kong telah membongkar misteri di sebalik enigma apabila kes berkenaan tidak pernah dilaporkan mana-mana media cetak melainkan media internet sekalipun laporan polis di buat oleh pemimpin Pakatan Rakyat (DAP) di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Sehubungan itu kata Jeffrey, beliau mendesak agar kegiatan mengeluarkan Hutan Simpan Kelas II yang dikawalselia oleh Jabatan Perhutanan Sabah kepada Yayasan Sabah atau anak syarikatnya hendaklah dihentikan serta merta kerana menyalahi Dasar Perhutanan Kerajaan Negeri dan Enakmen Perhutanan Sabah melalui beberapa modus operandi yang mencabul undang-undang Negara.

“Kenapa Hutan Simpan Komersil harus diserahkan kepada Yayasan Sabah sedangkan Yayasan Sabah mempunyai kawasan mereka sendiri. Tambahan pula Yayasan Sabah tidak mempunyai pekerja melainkan menyerahkan kontrak pembalakan kepada beberapa syarikat kroni pemimpin kanan BN tanpa kelulusan Kabinet. Bukankah ini satu konspirasi?,” ujar Jeffrey yang mempersoalkan tindakan Kabinet Negeri Sabah yang ‘membenarkan’ amalan ‘Timber Laundering’ dan Pengarah Jabatan Perhutanan yang kelihatan seperti ‘Kerbau Di Cucuk Hidung’.

Kegiatan pembalakan di Konsesi Yayasan Sabah yang berada di dalam Kawasan Hutan Simpan adalah sama taraf dengan ‘penjenayah alam sekitar’ yang ‘merompak’ harta dan khazanah alam untuk kepentingan mereka dengan menghalalkan cara termasuk meminda atau memalsukan pelan pembalakan dengan subahat Pegawai Kanan Jabatan Perhutanan Sabah dan Yayasan Sabah.

Sebagai contoh, kata Jeffrey, beliau mengesan pelan pembalakan bagi dua kompartment dalam satu konsesi di Hutan Simpan Kelas II Kuamut telah dipalsukan sehingga Jabatan Perhutanan Sabah mengeluarkan lesen pembalakan bagi kawasan yang tidak boleh dibalak kerana berada di kawasan tanah tinggi melebihi 25 darjah dan kesemuanya terdiri daripada spesis yang dilindungi.

“Penjenayah alam sekitar ini bukan sahaja licik menjalankan kegiatan mereka, malah mencuri kayu balak di kawasan tanah tinggi kerana peta yang dikemukakan tidak termasuk kawasan tanah tinggi. Cuba lihat peta Lesen Konsesi YS 3/07 (A) dan YS 3/07 (B). Lihat pelan asal yang bertanda merah ini adalah tanah tinggi keseluruhannya. Tetapi Yayasan Sabah dan Jabatan Perhutanan telah memperakui pelan yang telah diubah atau dipalsukan ini sehingga mengeluarkan lesen pembalakan bagi kawasan seluas 2,370.94 hektar yang langsung tidak boleh di balak,” ujar Jeffrey yang mendedahkan bahawa Pengarah Perhutanan Sabah ‘tahu’ apa yang sebenarnya berlaku.

Kata Jeffrey, bagi konsesi YS 3/07 (A) keluasan kawasan tanah tinggi yang tidak boleh dibalak ialah 1,205.62 hektar dan konsesi YS 3/07 (B) seluas 1,165.32 hektar, namun Jabatan Perhutanan Sabah telah mengesahkan peta palsu yang mencatatkan kawasan tanah tinggi bagi dua konsesi tersebut masing-masing 284.82 hektar (A) dan 129.52 (B).

Sehubungan itu kata Jeffrey, Jabatan Perhutanan Sabah, antara sedar atau tidak telah mengeluarkan lesen pembalakan bagi kawasan berkenaan seluas 1,042.45 hektar bagi Konsesi A dan 916.15 hektar bagi Konsesi B bagi tempoh selama tiga tahun bermula 22 Ogos 2009 dan berakhir pada 21 Ogos 2012 sedangkan pada prinsipnya, tidak ada satu incipun kawasan berkenaan boleh di balak.

Merujuk kepada peta yang dipalsukan tersebut, sama ada oleh kakitangan Jabatan Perhutanan atau Yayasan Sabah, dua kompartmen tersebut, tegas Jeffrey adalah satu tetapi telah dipecahkan kepada dua kawasan bagi menyukarkan ianya dikesan melainkan setelah menyemak pelan kontur atau mencantumkan dua pelan membalak berkenaan secara teliti.

Perbuatan jenayah ini kata Jeffrey harus disekat segera yang disifatkan sebagai mensabotaj ekonomi negeri Sabah dan menyebabkan imej Kerajaan Negeri tercemar kerana melupuskan hutan simpan secara tidak sah dengan menghalalkan pembalakan di kawasan tanah tinggi.

“Bagi mengukuhkan desak ini, sewajarnya Bank Dunia bertindak membekukan sebarang dana, sama ada dalam bentuk gran atau pinjaman yang akan disalurkan ke Sabah sehingga siasatan menyeluruh diselesaikan dan kertas putih dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Sabah, jika tidak Bank Dunia juga turut bersubahat,” desak Jeffrey yang turut menggesa Persekutuan Alam Sekitar Sedunia (WWE) dan Persekutuan Hidupan Liar Sedunia (WWF) menjalankan siasatan rapi bagi menghentikan amalan songsang ini.

Bank Dunia, WWE dan WWF hendaklah mendesak Kerajaan Negeri membatalkan semua pembalakan menggunakan Helikopter kerana dijalankan secara tipuan dan lakonan sahaja sedangkan pembalakan yang dilakukan tidak mengikut prosedur yang ditetapkan iaitu melalui kaedah konvensional, apatah lagi laporan EIA yang dikemukakan pemegang konsesi, Asiatic Lumber Industries Sdn.Bhd tidak diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar Sabah.

“Jika benar ianya dijalankan melalui kaedah Reduce Impact Logging (RIL) atau Heli Lumber, sila buktikan kepada media dan apa logiknya masih menggunakan pangkalan balak yang sudah ditutup di Silam Kennedybay untuk mengeksport balak ‘ala pencuri’?,” ujar Jeffrey yang mendakwa bahawa ‘Heli Logging’ hanyalah ‘Gimik’ untuk mendapatkan bantuan Bank Dunia sedangkan pembalakan haram sudah mencecah masuk ke Imbak Canyon, Buffer Zone di Lembah Danum dan Maliau Basin.

Memandangkan kawasan konsesi pembalakan berkenaan adalah kawasan larangan, maka pemilik konsesi boleh melakukan apa sahaja sehingga memusnahkan alam sekitar, namun kata Jeffrey, dengan teknologi satelit dan maklumat yang berada di hujung jari, pihaknya mempunyai mekanisme untuk mengesan ‘kemungkaran’ yang berlaku di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, Jeffrey turut membidas Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang hanya berani mendenda penduduk perumahan membakar sampah di tempat terbuka namun tidak berani mendakwa penjenayah Alam Sekitar terutama kuari haram, pembalakan helikopter dan kawasan tanah tinggi serta projek paip Gas dari Kimanis ke Bintulu yang tidak diluluskan Jabatan Alam Sekitar.

Tambah Jeffrey, untuk apa menyediakan Laporan EIA jika tidak digunakan secara mandatori bagi semua pembangunan atau projek yang memerlukan EIA kerana banyak projek yang tidak diluluskan namun dijalankan tanpa sebarang penguatkuasaan, termasuklah pembalakan menggunakan helikopter di Ulu Segama-Malua.

“Mungkin kerana SPRM tidak berfungsi, maka penjenayah semakin berani,” ujar Jeffrey yang kesal kerana permintaannya agar Pegawai SPRM datang ke pejabatnya ditolak sedangkan ketika itu seramai 20 orang daripada seluruh Sabah mahu memfailkan laporan salah laku dan rasuah kepada SPRM yang melibatkan tokoh penting, sebaliknya pegawai berkenaan meminta Jeffrey ke pejabat SPRM untuk membuat laporan menyebabkan Jeffrey hanya membuat laporan polis di Balai Polis Donggongon sejurus selepas pemimpin PKR daripada seluruh Sabah mengadakan tunjuk perasaan secara aman di Sokid Villa.

No comments: