Search This Blog

Friday, June 5, 2009

SIDANG ATAS JETI KERANA TIADA BALAIRAYA?


Cerita Asal daripada www.sabahkini.net

PENDUDUK kampung Tong Batu, tujuh batu nautika daripada tanah besar Lahad Datu terpaksa bersidang di atas jeti 'kayu rejek' yang baru siap kerana tidak mempunyai balai raya.

Menurut Ahli Parlimen Malaysia (Silam), Haji Salleh Haji Kalbi, beliau terkejut kerana kampung berkenaan dipinggirkan daripada arus perdana pembangunan negara sehingga tidak langsung mempunyai kemudahan asas sedangkan ianya menjadi kubu kuat Kerajaan Barisan Nasional sejak 1994.

"Saya tidak tahu di mana silapnya kerana ketika saya tiba ramai orang di atas jeti, saya menyangkakan ada kecelakaan atau kematian. Kasihan, mereka tidak mempunyai balairaya untuk tempat berhimpun. Surau mereka juga sudah terlalu uzur," ujar Salleh yang terpaksa menyampaikan ucapan di atas jeti berkenaan walau dibakar mentari terik.

Kata Salleh, senario ini amat memalukan kerana ianya berlaku di zaman Malaysia menghantar Angkasawan ke angkasa lepas, namun masih mempunyai kampung yang terjatuh ke jurang kemiskinan sedangkan ianya terletak di tubir mata para pemimpin yang hanya datang untuk meraih undi dan meninggalkan mereka dalam kebingungan selepas pilihanraya atau pemilihan pucuk pimpinan UMNO.

Bagi memastikan kampung tradisi ini tidak terpinggir, Salleh telah memasukkan kampung ini sebagai salah satu destinasi pelancongan maritim untuk produk Homestay kerana mempunyai alam sekitar yang indah dan kaya dengan nilai estetika masyarakat Bajau.

Tidak boleh tidak, kata Salleh, Pejabat Daerah Lahad Datu dan Jabatan Pembangunan Sabah (SDO) harus turun padang untuk menaikkan taraf kampung berkenaan yang sewajarnya sudah dibangunkan tiga dekad lalu.

"Kita seperti berada di sebuah daerah terasing sedangnya ianya berada di Pulau Sakar yang boleh dilihat daripada Bandar Lahad Datu. Kenapa mereka harus menderita atas kecuaian pemimpin terdahulu," ujar Salleh yang telah meluluskan beberapa projek kecil termasuk membantu penduduk kampung mewartakan kampung berkenaan.




INDAH.... Alam semula jadi Kampung Tong Batu mempunyai nilai pelancongan yang tinggi jika penduduk kampung mampu mentafsir makna homestay.


Jika boleh kata Salleh, beliau akan memastikan Kemas mendirikan sekolah tadika kerana bilangan kanak-kanak pra sekolah semakin ramai namun ibu bapa mereka tidak dapat menghantar anak mereka ke tanah besar yang agak jauh dan membahayakan.

"Mereka patut membina sekolah kerana penduduk sudah meningkat melebihi 300 orang dan terpaksa bersekolah di Sekolah Tanjung Paras selepas mengharung ombak," ujar Salleh yang sedang merancang kerangka pembangunan kampung berkenaan agar bersedia menerima pelancong pada penghujung tahun ini.

Untuk mengetahui cerita lanjut sila layari http://1silam.blogspot.com.

GERAKAN PENDAFTARAN SIJIL LAHIR DAN KAD PENGENALAN DI PARLIMEN SILAM


SURAT.... Salleh menunjukkan surat yang diterima daripada jabatan pendaftaran Kota Kinabalu berhubung program berkenaan.

SEDUTAN daripada www.sabahkini.net

GERAKAN pendaftaran sijil lahir dan Kad pengenalan bagi penduduk tempatan akan diadakan pada 9 hingga 12 Jun 2009 di Daerah Tungku di Parlimen Silam bermula pada jam 7.30 pagi sehingga selesai permohonan pada hari berkenaan.

Ahli Parlimen Malaysia (Silam), Tuan Haji Salleh Haji kalbi memaklumkan kepada Sabahkini.net bahawa gerakan pendaftaran berkenaan dilakukan bagi membolehkan penduduk luar bandar yang selama ini tersepit oleh karenah birokrasi dapat mendaftar dengan mudah.

"Tetapi pendaftaran ini hanya untuk warganegara Malaysia dan bukannya untuk warga asing. Hanya mereka yang telah mengisi borang maklumat keluarga (BMK) dan disahkan oleh Ketua kampung sahaja yang akan didaftarkan," ujar Salleh yang menolak tanggapan serong sesetengah pihak apabila beliau menganjurkan operasi berkenaan.

Tegas Salleh, lokasi pendaftaran ditetapkan di Sekolah Kebangsaan Tanjung Labian pada 9 hingga 10 Jun dan SMK Tungku pada 11 hingga 12 Jun 2009.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar penduduk asal Lahad Datu yang sebelum ini gagal memperolehi dokumen sijil lahir dan kad pengenalan atas apa juga sebab disaran datang ke program berkenaan.

"Kita dimaklumkan seramai 34 orang pegawai pendaftaran daripada Ibu Pejabat akan didatangkan khas ke program ini bagi melicinkan operasi dan memastikan tidak ada warga asing mengambil kesempatan," ujar Salleh yang meminta pihak berkuasa terutama polis, Rela dan Imigresen membantu membuat pemantauan.

PERLANTIKAN SAKARAN MENGHINA PERLEMBAGAAN?



PERLEMBAGAAN.... Tiada siapa yang boleh mengatasi perlembagaan.

NOTA: Rencana ini dipetik daripada www.sabahkini.net adalah pandangan peribadi Mutalib M.D dan bukannya mencerminkan atau pendapat Sabahkini.net atau blog ini.

INSIDEN saya cuba dibelasah di khalayak ramai dengan niat untuk mencederakan oleh seorang Mantan VIP Sabah yang pernah mendapat jolokan ‘Lellajali’ iaitu Datuk Haji Mohd Yusof Amat Jamlee, menunjukkan Mantan Tuan Yang Terutama Yang DiPertua Negeri Sabah, Tun Sakaran Dandai atau yang seangkatan dengannya cuba memberi mesej yang jelas agar saya menghentikan pembongkaran identiti beliau yang disembunyikan selama ini.

Sebelum ini, Sakaran telah ‘mengarahkan’ adik Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal iaitu Haji Hamid Apdal membuat laporan polis berhubung pendedahan pertama saya dalam Sabahkini.net yang bertajuk Pesta Lepa-Lepa Untuk Siapa?

Beliau juga turut mengarahkan ‘cucunya’ Zainuddin Hassan menarik balik kenyataan di Sabahkini.net yang mendedahkan bahawa Sakaran berketurunan Tidung (Rumpun KadazanDusun) dan bukannya ‘Bajau’ iaitu suku masyarakat yang mendewakannya selama ini.

Sebagai Ketua Bahagian USBO Lahad Datu, Yusof Jamlee sepatutnya menggunakan peguam terkenalnya, Sugumar Balakrishan menyaman saya jika kenyataan saya berunsur fitnah atau hasutan; bukannya menggunakan tenaga tuanya yang dijangkiti ‘Angin Ahmar’ (Stroke) untuk membelasah saya dengan lagak seorang pengecut yang memukul curi daripada belakang.

Jika saya tidak menghormati isteri dan anak-anaknya, saya tidak perlu menumbuk atau menolak beliau dengan hujung jari, saya hanya perlu meludah ke mukanya di khalayak ramai pun sudah memadai untuk membuatkannya ‘stroke’ sekali lagi dan kemungkinan Innalillah!

Astagfirullah hul azim. Saya tidak sebegitu kejam terhadap isteri-isteri dan anak-anaknya yang tidak berdosa dan masih dapat berfikir sebagai seorang dewasa yang dikurniakan akal untuk menahan sabar dan bertindak secara waras mengikut undang-undang.

Sebagai Pengarah Biro Aduan Awam Persatuan Pengguna Sabah (CASH) saya boleh mencadangkan kepada Kerajaan Negeri Sabah agar menarik balik pangkat ‘P.G.D.K’ yang dikurniakan kepada Yusof Jamlee kerana perlakuannya menumbuk Allahyarham Jimmy Panji ketika Persidangan UMNO Silam, ‘mengupah’ Mad Saat Draat menyerang saya secara berkumpulan dan kini menumbuk kepala saya di khalayak ramai; namun saya memaafkan beliau yang ‘mereng’ atau ‘kurang siuman’ oleh tekanan perasaan dan tidak lagi dihormati melainkan penyokongnya, hanya segelintir pendatang asing tanpa izin yang masih bersetinggan di dalam UMNO Silam.


Saya bersyukur kerana Shafie tidak terlibat dan Hamid membuat laporan polis atas kapasiti peribadi ‘mengangkat kaki’ bapa saudara ‘angkatnya’ dengan harapan polis akan menangkap saya di bawah akta hasutan sebagaimana nasib yang dialami oleh Pengendali Laman Web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin yang kini berada dalam buruan polis kerana gagal hadir di mahkamah.

Namun saya berterima kasih kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan kerana beliau yakin saya berada di pihak yang benar dan’ mungkin’ turut kesal kerana Sakaran cuba mendapat ‘suaka polis’ yang berpendapat pangkat ‘Tun’ yang diterimanya daripada Duli yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agong mempunyai ‘imuniti’.

Setelah turunnya Sakaran daripada ‘Takhta’ Singgahsana, beliau tidak mempunyai sebarang ‘Imuniti’ dan tidak boleh menyalahgunakan kuasa polis untuk kepentingan peribadi sekalipun anak saudara ‘angkat’nya seorang Naib Presiden UMNO atau Menteri Kabinet Malaysia.

Jika tulisan atau pembongkaran yang saya buat dianggap ‘menghina atau memfitnah’ beliau, maka Sakaran sewajarnya memfailkan saman malu atau saman fitnah di Mahkamah Undang-Undang kerana saya menulis menggunakan nama saya sendiri dan di laman web ternama di Sabah, bukannya sebagai ‘Ghost Writer’.

Saya berbangga dengan dua pegawai polis yang menyiasat saya secara profesionalisme, berbanding cerita seram Kua Kia Soong dalam bukunya, ‘Policing The Malaysian Police’ berhubung laporan polis yang dibuat oleh Hamid yang juga suku sakat Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Aman kerana Hamid berkahwin dengan anak saudara Musa.

Walaupun Hamid sering ‘mendesak’ dan mengganggu tugas polis, namun pegawai polis berkenaan terus menjalankan siasatan untuk mengetahui Siapakah Tun Sakaran sebenarnya kerana kes ini dianggap paling istimewa yang disiasat oleh Bahagian Jenayah Komersil Polis di-Raja Malaysia.

Jika Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman yang dilucutkan jawatannya setelah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu atas tuduhan memalsukan keterangan diri dan membuat akuan palsu, kenapa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak ‘menangkap dan mendakwa’ Sakaran sedangkan mereka tahu bahawa Sakaran bukanlah ‘Anak Jati’ Sabah dan memalsukan keterangan dirinya untuk menjadi ‘Warga Penyu’ yang dinaiktaraf sebagai ‘Warganegara Mi Segera’ dengan cara masukan.

Saya percaya tembuni Sakaran ditanam di Tidung, Bolongan, Indonesia dan bukannya di Kampung Air sebagaimana dinyatakan dalam Biografinya, TUN SAKARAN Membina Jati Diri Dalam Perjuangan Politik yang disusun oleh Datuk Hamzah Amir dan Dr Chacho Bullah.

Sakaran adalah ‘anak angkat’ tetapi dibinkan kepada Dandai iaitu datuk kepada Shafie Afdal sedangkan bapa Sakaran berada di Tidung, Indonesia yang bernama Abdullah.

Walaupun Sakaran datang ke Sabah sebelum Merdeka, namun ‘pemalsuan’ dokumen pengenalan diri yang dilakukan membolehkan beliau mendapat Kad Pengenalan H 0000013 dan mykad 300415-12-5003 yang ‘melayakkan’ beliau menjadi ‘Menteri Persekutuan, Ketua Menteri dan Yang di-Pertua Negeri’.

Sakaran yang bertopengkan keluarga terhormat Dandai daripada Legasi Magindora telah membuat akuan palsu atau bersubahat membuat akuan palsu menyatakan beliau adalah anak darah daging kepada Dandai sedangkan beliau adalah anak angkat yang ‘dipungut’ oleh Keluarga Ternama Dandai yang ketika itu menetap di Menampilik, Semporna.

Saya dengan ini mencabar Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Said Hamdan dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien mengarahkan SPRM dan polis menjalankan siasatan secara telus dan professional kerana Sakaran telah menggunakan ‘dokumen palsu atau dipalsukan’ untuk menjadi Yang di-Pertua Negeri Sabah.

Mengikut Fasal 2 (1) Perlembagaan Negeri Sabah;
“Seseorang yang bukan warganegara atau seseorang warganegara dengan cara naturalisasi tidaklah boleh dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri.”

Sekiranya Sakaran tidak layak menjadi Yang di-Pertua Negeri Sabah mengikut Akta Tafsiran terhadap Perlembagaan Negeri Sabah, maka beliau sewajarnya diambil tindakan menurut undang-undang dan terpaksa membayar balik semua kemudahan selama memegang jawatan berkenaan kerana wang saraan diambil daripada setiap kocek rakyat miskin dan penduduk Sabah amnya.

Dalam hal ini, selaku Naib Presiden UMNO, Shafie tidak harus membayangi siasatan polis kerana beliau tidak bersalah dan tidak harus menanggung malu disebabkan beliau adalah ‘mangsa’ kepada pemalsuan yang dilakukan Sakaran untuk kepentingan diri dan keluarganya sendiri. Sebagai pemimpin Sabah yang mendapat sokongan padu daripada Waris Legasi Magindora, Shafie harus keluar daripada kepompong atau bayang Sakaran yang selama ini dianggap sebagai ‘Dewa’ oleh penduduk Semporna.

Kerjaya politik Shafie mungkin telah lama berkubur jika tidak mendapat sokongan Waris Legasi Magindora (Penduduk Asal Pulau Omadal) kerana Sakaran telah cuba beberapa kali membunuh kerjaya politik Shafie semata-mata untuk menghidupkan ‘Legasi Sakaran’ kerana masih cuba melonjakkan anaknya, Nasir, sebagai ‘Pemimpin’ selepasnya.

Atas sebab tertentu (yang tidak dapat disebutkan di sini kerana bersifat peribadi), Sakaran terpaksa akur kepada kehendak dan desakan Waris Legasi Magindora kerana datuk Shafie (Bapa kepada ibunya) adalah daripada Jurai Keturunan Magindora, Dandai memberikan laluan kepada Shafie sehingga mencapai puncak di kerjaya politik Malaysia pada hari ini.

Saya memohon maaf jika pendedahan ini membuatkan Shafie, rakan paling saya hormati dalam hidup saya, merasa terkilan atau kecil hati, namun sebagai ‘Teman Sejati’ saya perlu menegur sebelum terlambat kerana melibatkan Nasab Keturunan dan Hukum- Hakam Islam yang tidak ada alternatifnya.

Semoga Shafie tidak tergelincir iman dan memusuhi saya yang cuba membersihkan nama beliau daripada palitan ‘Legasi Sakaran’ kerana sekalipun Nasab Legasi Magindoranya agak kabur, namun beliau adalah ‘Wira’ yang meneruskan Legasi Magindora daripada dicantas ‘Legasi Sakaran’.

Saya berdoa semoga Tuhan membuka hati Sakaran untuk bertaubat dan bermuhasabah diri mencari jati diri sebenar selagi dikurniakan kesihatan sebagaimana ajaran gurunya di Tanah Jambi, Abah Anom (Kiyai Ariffin) yang mendoakan kesejahteraan beliau selagi berpaksikan kepada ajaran Islam yang syumul.

Sakaran harus membuka hijab dunia yang menabiri kesombongannya selama ini dengan mengakui bahawa beliau adalah ‘Anak Darah Daging Abdullah’ dan ibunya Aisyah Binti Yusof daripada Tidung Bolongan, Indonesia dan menuntut maaf secara terbuka daripada rakyat Sabah kerana telah membohongi mereka selama ini untuk memperolehi kedudukan, kekayaan dan penghormatan secara tidak sah.

Selagi nyawa masih terkandung di dalam badan, Sakaran harus memperbetulkan nasabnya dengan menukarkan kembali namanya kepada Hashim @ Sakaran Bin Abdullah mengikut landasan hukum Islam yang mengharamkan amalan membinkan anak angkat sebagai anak kandung.

Sistem dan strata sosial Islam telah musnah sama sekali apabila Sakaran melafazkan ijab Kabul dengan menggunakan nama Hashim @ Sakaran Bin Dandai kerana apalah malang yang bakal menimpa Nasir dan adik beradiknya jika pernikahan Sakaran dengan Halimah Datuk Panglima Abdullah dan Toh Puan Hajjah Rokaiyah Datuk Panglima Abdullah ditakrifkan sebagai pernikahan ‘Syubahat’ dan ‘mungkar’.

Semoga Allah memberi hidayah kepada Sakaran dan ‘adik kesayanganya’, Yusof Jamlee agar tidak menggunakan undang-undang rimba memukul saya di khalayak ramai atau menghantar amaran bunuh dalam pelbagai bentuk kerana saya yakin ajal, jodoh, rezeki dan maut saya di tangan Tuhan.

Jika Sakaran ingin menjadi ‘Anak Jantan’, beliau harus melakukan ujian DNA dan mengheret saya ke Mahkamah setelah mendapati keputusan ujian berkenaan yang boleh menafikan dakwaan saya selama ini.

Sakaran boleh menutup mulut ramai saksi seperti adik iparnya, Haji Wahab Panglima Abdullah, Pejuang USNO Ridi Aliwangsa, cucunya Zainuddin Hassan dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Namun Sakaran mungkin tidak mampu menutup minda saya, menutup mulut tokoh yang hampir menumpaskan anaknya, Nasir pada pilihanraya umum 1994 iaitu Abdullahsani Haji Abdul Salleh; Waris Legasi Magindora seperti Datuk Basalie Abdul Hamid, Samsu Baharun Haji Abdul Rahman, Haji Salleh Kalbi sebagainya kerana mereka mengetahui salasilah Legasi Magindora yang tidak tercatat nama Sakaran selepas Dandai.

Sakaran tidak dapat menutup rahsia yang tersembunyi di sebalik kuburan Allahyarham Dandai (di satu tempat nun jauh di sana) kerana rahsia DNA Sakaran masih terdapat di situ.

Bertaubatlah sebelum terlambat. Semoga Allah membuka hati Sakaran agar tidak meninggal dunia dalam keadaan hina kerana rahsia yang cuba disimpannya selama enam dekad berjaya saya bongkar semata-mata untuk memperbetulkan sejarah yang cuba ditulis oleh Sakaran dengan penanya sendiri.

Sekiranya, selepas ini Sakaran, Yusof Jamlee atau yang setaraf dengannya mahu mencederakan atau membunuh saya, saya tidak gentar untuk menemui mati dalam keadaan tersenyum kerana saya percaya Allah tetap bersama saya menentukan qada dan qadar saya.

Hampir semua yang terlibat mencederakan atau memudaratkan saya telah meninggal dunia dalam keadaan daif seperti Mohd Saat Draat dan Lipae Anta atas ‘arahan’ Yusof Jamlee dan saya menaruh harapan yang tinggi agar Sakaran atau Yusof Jamlee melupakan niat buruk mereka.

Dengan nama Allah yang menentukan hari pembalasan, saya menyeru kepada mereka yang diupah oleh ‘dua makhluk’ ini agar berfikir panjang sebelum mencederakan atau berniat untuk membunuh saya kerana keluarga saya sudah pasti akan membalas ‘dendam’ atau menuntut bela, sedangkan perlakuan ini sebenarnya tidak menyelesaikan masalah.

Jika mereka berada di pihak yang benar, sila guna saluran undang-undang dan bukannya mengguna hukum rimba melainkan mereka mengaku mereka bukan warganegara Malaysia yang selama ini menjunjung tinggi tata susila Rukun Negara yang mendaulatkan Perlembagaan Persekutuan.

Mungkin tiba masanya Kerajaan Negeri Sabah perlu membuat dasar bahawa calon Yang di-Pertua Negeri Sabah perlu mendapat pengesahan ‘Salsilah’ daripada Mahkamah Syariah’ sebelum boleh dilantik memegang jawatan ‘Tertinggi’ berkenaan bagi mengelakkan rakyat Sabah bertuankan ‘Umang-Umang’ (Hermit Crab).

EDITOR SABAHKINI CEDERA DIPUKUL?


Sedutan daripada www.sabahkini.net

PENGERUSI Angkatan Hebat Sdn.Bhd, Datuk Haji Mohd Yusof Amat Jamlee telah bertindak di luar batasan atau berkelakuan di luar tabii dengan menyerang curi Editor Sabahkini.net, Mutalib M.D di Restoran Auliah, Lahad Datu.

Mutalib yang dihubungi Krew Sabahkini.net berkata, ketika serangan dilakukan, beliau sedang bersarapan dengan dua orang rakan di kakilima restoran berkenaan dan hanya menyedari Yusof Jamlee berada di belakangnya apabila diberitahu rakannya.

Saya tidak cedera teruk, hanya tumbukan sipi di belakang kepala. Tidak juga bengkak,” kata Mutalib ketika dihubungi krew Sabahkini.net selepas mendapat makluman daripada orang awam.

Menurut Mutalib, beliau tidak tahu kenapa Yusof Jamlee memukul curi beliau kerana penyerangnya dating secara tiba-tiba dari belakang dan terus menumbuknya namun sempat dielak.

Katanya, Yusof cuba menarik bajunya namun Mutalib sempat melorotkan baju T maroon yang dipakainya ketika itu sehingga Yusof terlepas pegangan dan melemparkan baju tersebut ke lantai restoran.

Saya rasa ianya ada kaitan dengan beberapa rencana saya di Sabahkini.net berhubung pemboingkaran identiti Tun Sakaran. Yusof selama ini menganggap Sakaran abangnya,” ujar Mutalib lagi.

Sebelum kejadian, kata Mutalib, beliau menerima beberapa panggilan telefon dan sms yang mengugut untuk mencederakan dan membunuh beliau, namun Mutalib menganggap ianya sebagai ‘gertak pengecut’ keluarga Tun Sakaran yang sebelum ini membuat laporan polis berhubung artikelnya, Pesta Lepa-Lepa Untuk Siapa?

Saya tidak melawan kerana memikirkan Yusof sudah tua dan tidak mahu mencemarkan nama baik saya. Jangankan saya tumbuk, jika saya ludah muka beliau ketika itu mungkin beliau terus stroke. Jadi saya fikir lebih baik biarkan sahaja kerana saya tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujar Mutalib yang memaklumkan orang awam turut meleraikan ‘pergaduhan’ yang cuba dicetuskan oleh ‘Samseng VIP’ berkenaan.

Menurut Mutalib lagi, beliau sudah memaklumkan kejadian berkenaan kepada Ketua Polis Negara, Pesuruhjaya Polis Sabah dan Ketua Cawangan Khas Lahad Datu melalui sms.

Saya tidak membuat laporan polis kerana dua laporan polis yang saya buat sebelum ini (1997) tidak mendapat sebarang tindakan daripada PDRM sedangkan penyerangnya dikenalpasti,” ujar Mutalib yang akan merujuk kes berkenaan kepada peguamnya terlebih dahulu.

Dalam pada itu, menurut saksi yang melihat kejadian berkenaan yang membahasakan dirinya sebagai Muhammad, beliau melihat Yusof Jamlee sudah mahu memasuki kereta apabila melihat Mutalib berada di restoran berkenaan beliau meluru dan cuba melepaskan tumbukan padu dari belakang.

Mutalib sempat elak. Saya nampak Yusof hanya tumbuk angin dan tarik baju Mutalib sahaja,” ujar Muhammad yang memberitahu Yusof melepaskan geram dengan melemparkan gelas kaca dan menumbuk meja sehingga pelanggan restoran berkenaan menghindar daripada restoran tersebut.

Namun kata Muhammad, tindakan luar tabii Yusof dapat dileraikan oleh pelanggan lain namun agak memalukan apabila bekas pemimpin berkenaan gagal mengawal kemarahan dan bertindak ganas di khalayak ramai.

Mengikut rekod, ini adalah kali ketiga Mutalib cuba dicederakan Yusof Jamlee dan kuncu-kuncunya terutama apabila kes pendatang asing yang menjadi pengikut Yusof Jamlee naik berang ketika tembelang mereka didedahkan di dalam buku IC Palsu Merampas Hak Anak Sabah dan surat khabar.