Search This Blog

Friday, June 5, 2009

SIDANG ATAS JETI KERANA TIADA BALAIRAYA?


Cerita Asal daripada www.sabahkini.net

PENDUDUK kampung Tong Batu, tujuh batu nautika daripada tanah besar Lahad Datu terpaksa bersidang di atas jeti 'kayu rejek' yang baru siap kerana tidak mempunyai balai raya.

Menurut Ahli Parlimen Malaysia (Silam), Haji Salleh Haji Kalbi, beliau terkejut kerana kampung berkenaan dipinggirkan daripada arus perdana pembangunan negara sehingga tidak langsung mempunyai kemudahan asas sedangkan ianya menjadi kubu kuat Kerajaan Barisan Nasional sejak 1994.

"Saya tidak tahu di mana silapnya kerana ketika saya tiba ramai orang di atas jeti, saya menyangkakan ada kecelakaan atau kematian. Kasihan, mereka tidak mempunyai balairaya untuk tempat berhimpun. Surau mereka juga sudah terlalu uzur," ujar Salleh yang terpaksa menyampaikan ucapan di atas jeti berkenaan walau dibakar mentari terik.

Kata Salleh, senario ini amat memalukan kerana ianya berlaku di zaman Malaysia menghantar Angkasawan ke angkasa lepas, namun masih mempunyai kampung yang terjatuh ke jurang kemiskinan sedangkan ianya terletak di tubir mata para pemimpin yang hanya datang untuk meraih undi dan meninggalkan mereka dalam kebingungan selepas pilihanraya atau pemilihan pucuk pimpinan UMNO.

Bagi memastikan kampung tradisi ini tidak terpinggir, Salleh telah memasukkan kampung ini sebagai salah satu destinasi pelancongan maritim untuk produk Homestay kerana mempunyai alam sekitar yang indah dan kaya dengan nilai estetika masyarakat Bajau.

Tidak boleh tidak, kata Salleh, Pejabat Daerah Lahad Datu dan Jabatan Pembangunan Sabah (SDO) harus turun padang untuk menaikkan taraf kampung berkenaan yang sewajarnya sudah dibangunkan tiga dekad lalu.

"Kita seperti berada di sebuah daerah terasing sedangnya ianya berada di Pulau Sakar yang boleh dilihat daripada Bandar Lahad Datu. Kenapa mereka harus menderita atas kecuaian pemimpin terdahulu," ujar Salleh yang telah meluluskan beberapa projek kecil termasuk membantu penduduk kampung mewartakan kampung berkenaan.




INDAH.... Alam semula jadi Kampung Tong Batu mempunyai nilai pelancongan yang tinggi jika penduduk kampung mampu mentafsir makna homestay.


Jika boleh kata Salleh, beliau akan memastikan Kemas mendirikan sekolah tadika kerana bilangan kanak-kanak pra sekolah semakin ramai namun ibu bapa mereka tidak dapat menghantar anak mereka ke tanah besar yang agak jauh dan membahayakan.

"Mereka patut membina sekolah kerana penduduk sudah meningkat melebihi 300 orang dan terpaksa bersekolah di Sekolah Tanjung Paras selepas mengharung ombak," ujar Salleh yang sedang merancang kerangka pembangunan kampung berkenaan agar bersedia menerima pelancong pada penghujung tahun ini.

Untuk mengetahui cerita lanjut sila layari http://1silam.blogspot.com.

1 comment:

Kecewa said...

Bravoooo kpd MP Salleh Kalbi...semoga semangat pemimpin ini tidak akan dilemahkan oleh orang2 tertentu dalam kerajaan.
pastinya beliau akan cuba dijatuhkan oleh mereka2 yg berkepentingan kerana YB salleh kalbi begitu berani bersuara demi kebenaran..

kepada YB...teruskan perjuanganmu..semoga lebih ramai lagi pemimpin di Sabah spt YB........amin.