Search This Blog

Saturday, June 20, 2009

RAMAI DESAK KEKALKAN NAMA HOTEL MIDO?



Sumber: www.sabahkini.net



RAMAI penduduk Lahad Datu merayu pemilik bangunan Hotel Mido agar tidak menukar nama hotel itu kepada Silam Dynasty kerana mempunyai nilai sejarah yang tidak dapat dilupakan oleh Masyarakat Lahad Datu agar mereka sentiasa waspada apabila melihat bangunan berkenaan.

Daripada lebih 2,300 responden yang menghantar email dan sms kepada Sabahkini.net, sejak sebulan lalu mendesak agar usaha pemilik hotel menukar nama hotelnya kepada Silam Dynasty harus dihalang kerana Hotel Mido mempunyai sejarah tersendiri yang sukar dilupakan.

Kebanyakan responden yang menghantar email dan sms memberitahu bahawa Hotel Mido telah mengingatkan mereka betapa rapuhnya sistem pertahanan Malaysia ketika itu yang boleh diperdaya oleh sekumpulan 15 orang lanun yang berkaki ayam berpakaian celoreng menawan Bandar Lahad Datu selama 15 minit sebelum bebas melarikan diri tanpa sebarang tentangan daripada Polis Di-Raja Malaysia.

Menurut email Halim Ismail, tragedi seram itu berlaku ketika beliau menghantar bapa saudaranya ke Standard Chartered Bank yang berhadapan dengan Hotel Mido untuk mengambil wang dan beliau menunggu di dalam kenderaan kerana ketiadaan tempat letak kereta.

Mujur bapa saudaranya sempat keluar sebelum 15 org lanun berpakaian celoreng memasuki bank berkenaan dan melepaskan tembakan rambang dan melarikan RM250,000 dan membunuh enam orang awam sebelum melarikan diri ke perairan antarabangsa.

Halim sempat memecut kenderaannya yang diletakkan tidak jauh daripada bank berkenaan setelah mendengar bunyi tembakan.


Walaupun tragedi tersebut amat memilukan keluarga mangsa, namun kata Halim, nama Hotel Mido harus dikekalkan dan membantah jika pengusaha hotel tersebut mahu menghilangkan kesan peluru lanun pada dinding hotel kerana ianya kesan paling bersejarah di Lahad Datu.

Manakala seorang bekas anggota polis yang menamakan dirinya sebagai Sarjan Pencen yang menghantar email daripada Semporna, memberitahu ketika itu beliau bertugas di Balai Polis Lahad Datu.

Kejadian serangan lanun sekitar 25 September 1985 menjadi igauan ngeri kepada beliau kerana ketika lanun berkenaan menyerang Balai Polis Lahad Datu beliau berada ditandas dan mendengar tembakan dan letupan yang kuat.

Mujur tidak ada kematian di kalangan anggota polis yang bertugas ketika itu kerana mereka sempat mencari perlindungan apabila melihat beberapa orang lelaki berpakaian celoreng berkaki ayam yang lengkap bersenjata cuba menyerang Balai Polis berkenaan yang terletak di atas bukit, tidak jauh daripada bank yang dirompak.

Namun beliau agak kesal kerana mendapat berita bahawa pihak berkuasa Malaysia telah Berjaya mengejar lanun-lanun berkenaan dan berlaku pertempuran di Pulau Maranas yang mengorbankan lebih 53 mangsa yang mendapat bantahan Kerajaan Filipina yang menduduh Malaysia menceroboh Perairannya.




SEJARAH.... Majlis Daerah Lahad Datu harus mengekalkan nama Hotel Mido sebagai salah satu kesan sejarah pertahanan negara.



Tambah Sarjan Pencen tersebut dalam emailnya, kesan kejadian rompakan dan serangan lanun tersebut berpanjangan yang melibatkan hubungan diplomatik Malaysia dan Filipina agak tegang disebabkan risikan Malaysia mendapati kejadian berkenaan dilakukan oleh beberapa tentera Filipina dengan dibantu oleh Lanun yang menguasai Lautan Sulu tetapi mempunyai pengaruh di dalam Pentadbiran Kerajaan Filipina.

Laporan separa ketenteraan yang dikeluarkan oleh Malacanang yang dikeluarkan di Zamboanga, Selatan Filipina menuduh Kerajaan Malaysia menceroboh kedaulatan wilayahnya dengan menyerang Pulau Maranas.

Menurut siaran tersebut, Ketua Polis Wilayah Kepulauan Tawi-Tawi, Leftenan Kolonel Gene Tulawei, memaklumkan empat kapal bersenjata yang dibantu helikopter telah menyerbu Pulau Maranas, milik Filipina, yang terletak 160 kilometer di sebelah timur Sabah.

Serangan itu, kata Tulawei telah mengorban 53 orang awam dan sebahagiannya masih ditawan oleh pihak berkuasa Malaysia ketika itu.

Menurut Sarjan Pencen itu lagi, Komandan Briged Marin Filipina yang berpangkalan di Zamboanga turut menyebut bahawa serangan tersebut sebagai balasan atas serbuan lanun Filipina ke Lahad Datu tetapi tidak ada penyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Kerajaan Filipina.

Bagaimanapun Jurucakap Kementeria Luar Negara Filipina hanya mengatakan, Angkatan Bersenjata Filipina masih terus mengadakan penyelidikan dan menganggap ada ‘kekuatan asing yang sengaja menciptakan pertikaian antara Filipina dan Malaysia yang masih berbalah tentang kedaulatan Sabah.

Namun akhbar pro-pemerintah, The Metro Manila Times, yang mengutip sumber-sumber ‘pejabat tinggi Filipina’, mengatakan bahawa serangan ke Pulau Maranas dilakukan oleh "sejumlah tentera upahan Malaysia yang diorganisasi Agensi Inteligen Amerika (CIA)".

Bagaimanapun kata sarjan Pencen itu lagi, menurut Pegawai Turus Polis Di-Raja Malaysia, Datuk Kudus Alias, operasi pengejaran lanun hanya dijalankan sampai sekitar Pulau Mataking yang masih termasuk dalam wilayah perairan Malaysia.

Sementara itu, kata Sarjan Pencen lagi, Panglima Komando Selatan Filipina, Major Jenderal, Delfin Castro, melaporkan pasukannya berhasil menahan tiga orang yang disyaki melakukan serangan bersenjata ke atas bandar Lahad Datu termasuk seorang wanita.

Menurut sumber-sumber ketenteraan Filipina, rompakan bersenjata itu didalangi oleh seseorang yang di kenal sebagai Salip Jafar yang menggunakan sebuah kampung di pesisir Zamboanga sebagai batu loncatan namun kes itu senyap begitu sahaja kerana Malaysia bimbang jika kerjasama serantau membanteras lanun akan digunakan oleh Tentera Filipina untuk memburu seorang Ketua Moro yang dikehendaki, James R. Lapian yang bersembunyi di Malaysia.

Dalam pada itu, seorang pegawai Marin yang memperkenalkan dirinya sebagai ‘A.R.’ mengesahkan bahawa pihaknya mengejar lanun terbabit dengan kapal peronda Polis Marin PX16 dan berlaku insiden berbalas tembakan dengan kumpulan lanun namun menyebabkan ramai rakannya cedera parah terkena tembakan.

A.R memaklumkan pihaknya berjaya membunuh seramai tujuh orang lanun dan memberkas 20 yang lain yang berada bersama lanun berkenaan ketika digempur.

Banyak email dan sms lain mendesak agar bangunan berkenaan dikekalkan pada bentuk asal dan hanya melibatkan pengubahsuaian dalaman tanpa mengganggu struktur luaran yang terdapat kesan serangan lanun.

“Pembangunan tanpa menghilangkan kesan sejarah adalah pembangunan yang berkekalan,” kata Asakil dalam smsnya kepada sabahkini.net.

Bagaimanapun seorang bekas pekerja bank berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Ho berkata beliau masih trauma ketika melalui kawasan berkenaan kerana hampir maut di muncung senjata api lanun berkenaan jika beliau tidak menyorok di bawah meja.

Ho yang bertugas sebagai juruwang segera menyorokkan diri sebaik sahaja mendengar bunyi tembakan dan hanya membatukan diri dalam serangan yang begitu pantas dan hairan kenapa CCTV bank tersebut gagal merakam kejadian berkenaan.

“Kalau boleh saya tidak mau ingat kejadian itu. Saya takut melalui kawasan bank,” catat Ho dalam emailnya yang menerangkan beliau mendapat tahu bank berkenaan kini telah ditutup tetapi Hotel Mido masih menjadi sebahagian episod hitam dalam hidupnya.

Friday, June 19, 2009

PBS HARUS HENTIKAN PEMBOHONGAN: PBRS

Ehsan: www.sabahkini.net




MAHMUD (kiri) dan Tan Yong Tain.






PARTI Bersatu Sabah (PBS) harus menghentikan pembohongan dan sikap yang suka menikam rakan gabungan di dalam Komponen Barisan Nasional serta merta jika masih ingin dihormati oleh komponen yang lain.

Ketua Bahagian Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Bahagian Silam, Mahamud Ahmad, kesal dengan sikap Ketua Bahagian PBS Lahad Datu, Tan Yong Tain yang membuat kenyataan terbuka media dan mengkritik rakan gabungannya yang membuat keputusan sebulat suara berhubung cadangan perlantikan Pengerusi Barisan Nasional Silam.

"Kita dijemput oleh Pengerusi MCA, Datuk Teah Heok Kuin untuk makan malam dan selepas itu kita bersetuju mengadakan mesyuarat tergempar kerana kesemua ketua parti komponen hadir melainkan UMNO. Tan sendiri di beri peluang untuk menyuarakan sebarang cadangan atau bantahan. Beliau bersetuju dengan keputusan mesyuarat iaitu untuk mencadangkan calon tunggal, Ahli Parlimen Malaysia yang mewakili Silam, YB Haji Salleh Haji Kalbi," kata Mahamud lagi yang memaklumkan mesyuarat pada malam itu bersetuju menubuhkan Badan Bertindak BN Silam yang diketuai Datuk Teah Heok Kuin.




SUKARELA.... Mesyuarat Bandan Bertindak BN Silam dijalankan dalam suasana ceria tanpa sebarang paksaann dan hanya dihadiri ketua parti komponen Silam. Tan (kiri sekali) sedang memberikan pandangan sambil didengar oleh Mahmud (dua dari kiri) dan Ketua Parti komponen BN yang lain.



Tegas Mahamud lagi, Salleh yang kebetulan makan di restoran yang sama tidak mengetahui butiran perbincangan mereka pada malam itu dan tidak menghadiri mesyuarat tersebut kerana beliau bukan Ketua Parti Komponen BN Silam.

"Sehubungan itu, dakwaan Tan, bahawa beliau dipaksa atau menafikan beliau menolak Datuk Nasrun Datu Mansur sebagai Pengerusi Barisan Nasional Silam adalah sebagai sikap menikam rakan dari belakang," ujar Mahamud yang menghormati keputusan Badan Bertindak Komponen BN Silam yang sebulat suara bersetuju mencalonkan Ahli Parlimen sebagai calon tunggal Pengerusi BN Silam sejajar dengan tradisi yang diamalkan sejak 1991.



TANDATANGAN.... Semua ketua parti Komponen BN Silam termasuk Tan Yong Tain menandatangani resolusi mesyuarat yang memutuskan calon tunggal Pengerusi BN Silam.



Mahamud kesal kerana Tan telah diberi peluang berhujah dan ketika itu beliau bersetuju dengan keputusan dan menandatangani resolusi mesyuarat yang diadakan pada jam 8.30 malam, 24 Mei 2009 di Restoran Dovist, Lahad Datu.

"Saya harap, semua ketua parti Komponen BN Silam agar mematuhi resolusi yang ditetapkan dan menjaga imej parti masing-masing dengan menghindari terlibat dengan kegiatan yang tidak bermoral dan jenayah. Sebagai ahli Komponen BN, kita kota apa yang kita kata dan kita serius setiap keputusan kita," ujar Mahamud lagi yang akan memanggil mesyuarat kedua sekiranya tidak mendapat sebarang keputusan daripada Pengerusi BN Sabah.

Tegas Mahamud, jika isu Pengerusi BN Silam tidak dapat diselesaikan oleh Pengerusi BN Sabah, mereka telah memutuskan untuk menemui Pengerusi BN Malaysia.

Mahamud tidak menafikan antara lain resolusi yang dipersetujui ialah untuk membubarkan Barisan Nasional Silam dan meneruskan perjuangan mengikut halatuju dan halacara parti masing-masing.

"Tidak ada ertinya kita berada dalam gabungan BN hanya pada nama sedangkan pada praktiknya kita tBN) tidak lagi wujud sejak pilihanraya tahun lalu," tegas Mahamud yang kesal kerana kronisme dan favoritisme masih berakar umbi di dalam BN Sabah yang pada dasarnya tidak wujud di Silam.

JKM MELINDUNGI PENDATANG TANPA IZIN?



Sumber: www.Sabahkini.net

ASAL.... Surat asal ini dikenalpasti asli yang menunjukkan PATI boleh memanipulasi undang-undang Malaysia untuk kepentingan diri dan malangnya diterima pakai selama ini.

KEMENTERIAN Dalam Negeri digesa menyiasat kegiatan pihak tertentu menggunakan pejabat Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Tingkat 16, Wisma Innoprise, Kota Kinabalu sebagai tempat 'menghalalkan' pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan pihak berkuasa atas kesalahan imigresen.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Dr Jeffrey Kitingan mendedahkan sindiket ini sudah terlalu lama menjalankan kegiatan haram bersubahat membebaskan PATI yang ditahan di Pusat Tahanan Sementara atas kesalahan memasuki negara ini tanpa dokumen dan melibatkan 'penjualan' surat daripada Setiausaha Sulit Menteri di Jabatan Ketua Menteri.

Dalam kes terbaru kata Jeffrey, seorang pemegang pas lawatan IMM13, Arum Bin Alisan (IP/12081-5798) yang menetap di kampung Inanam telah mengemukakan rayuan kepada Pengarah Imigresen Sabah untuk membebaskan isterinya, Satra Bin Adul yang ditahan reman (0461) pada 16 Disember 2008 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

"Walaupun perayu tidak menandatangani surat rayuan berkenaan dan surat perayu bertarikh 3 Jun 2009 namun setiausaha Sulit Menteri Di Jabatan Ketua Menteri telah menulis surat sokongan kepada Pengarah Jabatan Imigresen Sabah melalui surat bil. MJKM:DNTS/SUS/100/009 bertarikh 18 Februari 2009, iaitu empat bulan lebih awal daripada surat perayu, menyokong rayuan pemohon," ujar Jeffrey yang menyifatkan kejadian ini seperti harapkan pagar, pagar menimpa padi.

Isteri perayu telah ditahan di Pusat Tahanan Sementara Kem Paradise Kota Belud sejak ditangkap pihak berkuasa kerana hanya memiliki Sijil Banci bernombor B 017668 yang kini kononnya dalam proses permohonan IMM 13.

"Bukankah IMM 13 hanya dikeluarkan oleh kepada Pelarian Filipina yang datang ke Sabah sekitar 1970-an dan bukan kepada PATI yang baru datang ke Sabah seperti isteri perayu yang dibanci pada 19 Mei 1990 ketika gerakerja pendaftaran PATI dilancarkan Pasukan Petugas Khas Persekutuan?," ujar Jeffrey yang menggesa agar Unit Penempatan di Jabatan Ketua Menteri dimansuhkan serta merta.

Unit Penempatan JKM, Kata Jeffrey, yang selama ini digelar penduduk tempatan Sabah sebagai ladang ternakan PATI yang dilesenkan di Sabah dan tindakan mereka melindungi PATI menggunakan jentera kerajaan adalah kegiatan subversif dan mengancam kedaulatan negara.

"Kita juga merayu agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak berpeluk tubuh di dalam bilik berhawa dingin dan menyiasat bagaimana PATI ini boleh berada di Sabah dan diberi dokumen melalui sindiket yang mempunyai hubungan rapat dengan menteri terbabit," ujar Jeffrey yang memaklumkan bahawa PATI boleh memiliki surat berkenaan dengan harga antara RM300 hingga RM3,000.

PATI yang mendapat 'suaka' daripada JKM ini, kata Jeffrey, bebas bergerak ke sana ke mari sekalipun tidak memiliki sebarang dokumen kerana ramai saudara mara mereka bekerja di Jabatan Imigresen, Polis dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Sehubungan itu kata Jeffrey, beliau mendesak JKM mengeluarkan kenyataan bertulis di akhbar tempatan memaklumkan senarai nama pemegang IMM 13 yang sebenar kerana jumlah pelarian Filipina semakin bertambah ramai sedangkan Kerajaan tidak pernah menandatangani Protokol 1967 berhubung Orang Pelarian.

Sejak penutupan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Berhubung Orang Pelarian (UNHCR), jumlah pelarian Filipina masih menjadi misteri seolah-olah mereka tidak pernah mati sekalipun ramai daripada mereka telah memiliki kad pengenalan Malaysia melalui jalan songsang.

"Kini ramai daripada mereka telah diberi taraf penduduk tetap dan sekaligus mencabul Perlembagaan Negara, namun masih ramai lagi yang memohon status Pelarian IMM 13 sedangkan Selatan Filipina bukan lagi di kancah peperangan," ujar Jeffrey yang kesal kerana Kerajaan Persekutuan gagal menangani isu Pelarian Perang ini sejak 1970-an walaupun telah menimbun pelbagai janji manis setiap kali menjelang pilihanraya umum semata-mata untuk memancing undi.