Search This Blog

Friday, June 19, 2009

JKM MELINDUNGI PENDATANG TANPA IZIN?



Sumber: www.Sabahkini.net

ASAL.... Surat asal ini dikenalpasti asli yang menunjukkan PATI boleh memanipulasi undang-undang Malaysia untuk kepentingan diri dan malangnya diterima pakai selama ini.

KEMENTERIAN Dalam Negeri digesa menyiasat kegiatan pihak tertentu menggunakan pejabat Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Tingkat 16, Wisma Innoprise, Kota Kinabalu sebagai tempat 'menghalalkan' pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan pihak berkuasa atas kesalahan imigresen.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Dr Jeffrey Kitingan mendedahkan sindiket ini sudah terlalu lama menjalankan kegiatan haram bersubahat membebaskan PATI yang ditahan di Pusat Tahanan Sementara atas kesalahan memasuki negara ini tanpa dokumen dan melibatkan 'penjualan' surat daripada Setiausaha Sulit Menteri di Jabatan Ketua Menteri.

Dalam kes terbaru kata Jeffrey, seorang pemegang pas lawatan IMM13, Arum Bin Alisan (IP/12081-5798) yang menetap di kampung Inanam telah mengemukakan rayuan kepada Pengarah Imigresen Sabah untuk membebaskan isterinya, Satra Bin Adul yang ditahan reman (0461) pada 16 Disember 2008 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

"Walaupun perayu tidak menandatangani surat rayuan berkenaan dan surat perayu bertarikh 3 Jun 2009 namun setiausaha Sulit Menteri Di Jabatan Ketua Menteri telah menulis surat sokongan kepada Pengarah Jabatan Imigresen Sabah melalui surat bil. MJKM:DNTS/SUS/100/009 bertarikh 18 Februari 2009, iaitu empat bulan lebih awal daripada surat perayu, menyokong rayuan pemohon," ujar Jeffrey yang menyifatkan kejadian ini seperti harapkan pagar, pagar menimpa padi.

Isteri perayu telah ditahan di Pusat Tahanan Sementara Kem Paradise Kota Belud sejak ditangkap pihak berkuasa kerana hanya memiliki Sijil Banci bernombor B 017668 yang kini kononnya dalam proses permohonan IMM 13.

"Bukankah IMM 13 hanya dikeluarkan oleh kepada Pelarian Filipina yang datang ke Sabah sekitar 1970-an dan bukan kepada PATI yang baru datang ke Sabah seperti isteri perayu yang dibanci pada 19 Mei 1990 ketika gerakerja pendaftaran PATI dilancarkan Pasukan Petugas Khas Persekutuan?," ujar Jeffrey yang menggesa agar Unit Penempatan di Jabatan Ketua Menteri dimansuhkan serta merta.

Unit Penempatan JKM, Kata Jeffrey, yang selama ini digelar penduduk tempatan Sabah sebagai ladang ternakan PATI yang dilesenkan di Sabah dan tindakan mereka melindungi PATI menggunakan jentera kerajaan adalah kegiatan subversif dan mengancam kedaulatan negara.

"Kita juga merayu agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak berpeluk tubuh di dalam bilik berhawa dingin dan menyiasat bagaimana PATI ini boleh berada di Sabah dan diberi dokumen melalui sindiket yang mempunyai hubungan rapat dengan menteri terbabit," ujar Jeffrey yang memaklumkan bahawa PATI boleh memiliki surat berkenaan dengan harga antara RM300 hingga RM3,000.

PATI yang mendapat 'suaka' daripada JKM ini, kata Jeffrey, bebas bergerak ke sana ke mari sekalipun tidak memiliki sebarang dokumen kerana ramai saudara mara mereka bekerja di Jabatan Imigresen, Polis dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Sehubungan itu kata Jeffrey, beliau mendesak JKM mengeluarkan kenyataan bertulis di akhbar tempatan memaklumkan senarai nama pemegang IMM 13 yang sebenar kerana jumlah pelarian Filipina semakin bertambah ramai sedangkan Kerajaan tidak pernah menandatangani Protokol 1967 berhubung Orang Pelarian.

Sejak penutupan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Berhubung Orang Pelarian (UNHCR), jumlah pelarian Filipina masih menjadi misteri seolah-olah mereka tidak pernah mati sekalipun ramai daripada mereka telah memiliki kad pengenalan Malaysia melalui jalan songsang.

"Kini ramai daripada mereka telah diberi taraf penduduk tetap dan sekaligus mencabul Perlembagaan Negara, namun masih ramai lagi yang memohon status Pelarian IMM 13 sedangkan Selatan Filipina bukan lagi di kancah peperangan," ujar Jeffrey yang kesal kerana Kerajaan Persekutuan gagal menangani isu Pelarian Perang ini sejak 1970-an walaupun telah menimbun pelbagai janji manis setiap kali menjelang pilihanraya umum semata-mata untuk memancing undi.

No comments: