Search This Blog

Wednesday, August 26, 2009

JEFFREY KITINGAN BOLEH BUKTIKAN MUSA AMAN KENAL MICHAEL CHIA!





MICHAEL CHIA.... Lelaki Istimewa kepada Musa Aman!

Gambar selebihnya di www.sabahkini.net


Oleh: HAFIZ JAMAIL

“Ketika berita Michael Chia Tien Foh diberkas di Lapangan Terbang Hong Kong pada jam 2.35 petang khamis, 14 Ogos 2008 atas tuduhan penggubahan wang haram, saya tidak begitu percaya. Walaupun Pengerusi DAP Sabah membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi Kuala Lumpur, namun saya tidak mengambil berat isu Michael Chia ini,” ujar Pengerusi Yayasan Warisan Borneo (BHF), Datuk Dr Jeffrey Kitingan selepas membuat Laporan Polis di Balai Polis Donggongon, Penampang.

Bagaimanapun apabila nama Michael Chia dikaitkan dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, Jeffrey memberitahu beliau terkesima kerana kelicikan Michael Chia mengguna saluran diplomatik dan menjadi ‘agen khas’ yang dilabelkan sebagai ‘adik angkat’ Musa Aman, maka beliau begitu berminat untuk mengikuti cerita di sebalik berita Michael Chia yang tiba-tiba sahaja menjadi kaya raya kerana hubungannya dengan Ketua Menteri Sabah.

“Saya tidak terkejut apabila Musa menafikan yang beliau pernah mengenali atau berurusan dengan Michael Chia kerana penafian itu sebenarnya jawapan yang saya tunggu selama ini sehinggalah kes demi kes Michael Chia dibongkar melalui media internet seperti Malaysia-Today.net dan Sabahkini.net,” ujar Jeffrey yang menekankan betapa pentingnya bagi Musa untuk menyelesaikan isu berkenaan dan bukannya melalui penafian media.

Tegas Jeffrey, rakyat Sabah ingin tahu apa hubungan antara Michael Chia dengan Musa Aman atau siapa sebenarnya Michael Chia yang digelar ‘Kembar Siam’ Musa Aman di kalangan pembalak di Sabah.

Walaupun kes penggubahan wang haram yang dilakukan oleh Michael Chia senyap begitu sahaja dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cuba menutup kes berkenaan dengan mendakwa ianya berlaku di luar Negara dan di luar bidang kuasa SPRM, namun kata Jeffrey, kes berkenaan menimbulkan pelbagai tandatanya tanpa sebarang jawapan daripada semua pihak yang terlibat.

“Hari ini, jawapan yang saya cari selama ini hampir selesai apabila ada orang meletakkan beberapa dokumen penting di cermin kereta saya dan hampir menyelesaikan kebuntuan siapakah Michael Chia sebenarnya yang dilaporkan pernah ditangkap polis Hong Kong di Lapangan Terbang Chek Lap Kok, Hong Kong menjelang pilihanraya kecil Permatang Pauh,” tegas Jeffrey yang agak kesal kerana 81 Dalil yang difailkan terus kepada SPRM tidak mendapat reaksi sewajarnya, sekalipun turut menyebut nama dan penglibatan Michael Chia.

Daripada maklumat yang beliau dapat melalui dokumen rahsia dan sulit yang diletakkan di atas cermin hadapan kereta beliau, kata Jeffrey beliau menemui beberapa formula yang boleh menghubungkan Musa Aman dengan Michael Chia dan menuntut penjelasan Ketua Menteri Sabah berhubung isu ini.

“Jika benar Musa Aman mengatakan kepada umum bahawa beliau tidak kenal atau tidak pernah berurusan dengan Michael Chia, maka saya inginkan jawapan secara jujur dan terus terang daripada Musa Aman. Jika beliau tidak kenal Michael Chia, bagaimana lima konsesi pembalakan di Hutan Simpan Kuamut boleh diluluskan kepada Michael Chia atau syarikat proksi Michael Chia?,” tanya Jeffrey yang mengatakan bahawa amalan yang berjalan di Sabah sejak era Tun Mustapha bahawa semua konsesi pembalakan harus mendapat izin atau kelulusan Ketua Menteri Sabah sebelum sebarang lesen boleh dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Sabah.


Sebagai Mantan Pengarah Yayasan Sabah, kata Jeffrey, beliau arif benar dengan semua peraturan dan amalan yang dilakukan sebelum sesuatu lesen atau konsesi pembalakan diluluskan.

Adalah mustahil kata Jeffrey, Musa Aman boleh meluluskan lima konsesi pembalakan di Hutan Simpan Kuamut kepada syarikat Sabapioneer Sdn Bhd, Danagaya Sdn Bhd, Sinabumi Sdn Bhd , Wangsajadi (Sabah) Sdn Bhd dan Rimba Kita Sdn Bhd sedangkan kesemuanya adalah syarikat milikan Michael Chia melalui nominee dan proksi iaitu seorang wanita Cina yang berasal daripada Semenanjung Malaysia, Yap Siaw Lin, yang dikenalpasti sebagai teman wanita atau isteri keduanya.

“Perlu saya tegaskan di sini, Musa Aman harus menjelaskan kepada rakyat Sabah kenapa Kawasan Hutan Simpan Kelas II Kuamut yang dikenalpasti sebagai Hutan Simpan Pengurusan Semulajadi boleh diserahkan kepada Yayasan Sabah yang kemudiannya melantik syarikat konsesi untuk membalak kawasan berkenaan. Kenapa mahu musnahkan semua hutan simpan di Sabah?,” tanya Jeffrey yang memerlukan penjelasan kerajaan berhubung isu kelulusan kawasan pembalakan kepada satu orang sahaja.

Kelulusan terbaru kata Jeffrey ialah merupakan perbuatan jenayah terancang yang dilakukan secara kolektif oleh Yayasan Sabah, Jabatan Perhutanan Sabah, Hasil Bumi dan Jabatan Ketua Menteri kerana memperakui pelan pembalakan yang telah diubah suai dan dipalsukan bagi membolehkan kawasan berkenaan dibalak.

“Kawasan yang diluluskan kepada Danagaya Sdn.Bhd ini pada dasarnya tidak boleh dibalak sama sekali mengikut dasar dan Enakmen Perhutanan Sabah kerana mempunyai kecuraman melebihi 25 darjah dan menceroboh kawasan riparian,” kata Jeffrey yang menyatakan pemalsuan yang dilakukan amat licik sehingga Jabatan Perhutanan Sabah ‘terpedaya’ mengeluarkan Lesen Pembalakan SFMLA 09/97 seluas 4,729.95 hektar selama tiga tahun bermula 22 Julai 2009.

Pemalsuan pelan sebenar menunjukkan kawasan yang boleh dibalak terlalu luas sedangkan mengikut kontor, kawasan tersebut begitu curam dan ada yang mencapai 90 darjah dan kata Jeffrey adalah kawasan yang diharam sebarang aktiviti pembalakan.

Melalui laporan polis dan SPRM yang dibuatnya, Jeffrey mendesak Kerajaan Negeri Sabah membatalkan lesen pembalakan dan menghentikan segera semua kegiatan pembalakan bagi konsesi yang disebutkan dan menyerah kembali kawasan berkenaan kepada Jabatan Perhutanan Sabah untuk program pemuliharaan bagi menyelamatkan hutan simpan berkenaan daripada musnah dan mendatangkan kesan pencemaran kepada alam sekitar.

“Kita akan mengheret isu ini ke peringkat antarabangsa jika lesen ini tidak dibatalkan dan pembalakan tidak dihentikan. Ketua Menteri Sabah patut malu dan meletakkan jawatan kerana meluluskan lima konsesi ini kepada ‘lelaki yang beliau tidak kenali’,” usul Jeffrey yang mendesak Kerajaan Negeri menyediakan ‘kertas putih’ berhubung isu pembalakan di konsesi Blok YS 03/07 (5) yang merupakan satu jenayah alam sekitar dan pengkhianatan kepada rakyat Sabah.

Hutan Simpan Tanah Tinggi Kuamut ini begitu cantik dan menjadi habitat semula jadi Orang Utan , maka kata Jeffrey, tindakan Michael Chia dengan Izin Musa Aman telah memusnahkan hutan ini yang setaraf dengan perbuatan membunuh Orang utan dan khazanah alam semula jadi.

“Sebagai Pengerusi Yayasan Warisan Borneo (BHF) yang bertanggung jawab memelihara warisan hutan dan khazanah alam semula jadi Borneo, saya akan melaporkan pencerobohan ini kepada Bank Dunia untuk menghentikan sementara saluran dana kepada Jabatan Perhutanan dan Kerajaan Negeri Sabah kerana mencabul Dasar Perhutanan Sedunia,” tegas Jeffrey yang akan menghantar kawat bantahan kepada Bank Dunia dan Perdana Menteri Malaysia.

Menyentuh laporan polis yang dibuatnya hari ini, kata Jeffrey adalah tindakan mengikut undang-undang dan terpulang kepada polis dan SPRM untuk menjalankan siasatan mengikut budibicara mereka sendiri.

Berikut adalah laporan penuh yang dibuat Jeffrey iaitu Laporan bernombor: PPG/RPT/5914/09

“Pada jam lebih kurang 8.30 pagi hari ini (25 Ogos 2009) bertempat di hadapan Restoran New Man Tai, Jalan Bundusan, saya mendapati satu envelop disisipkan di cermin kereta saya. Apabila dibuka, saya mendapati beberapa dokumen yang merujuk kepada Hutan Simpan Kuamut seperti yang saya nyatakan dalam www.sabahkini.net. Saya telah menyemak dan memanggil Jawatankuasa Yayasan Warisan Borneo (BHF) untuk berbincang. Hasil daripada perbincangan, kami datang ke balai untuk membuat laporan agar kerajaan Negeri Sabah membatalkan lesen pembalakan kepada Danagaya Sdn Bhd (SFMLA 09/97) dan memberhentikan semua kegiatan pembalakan SERTA MERTA kerana kawasan berkenaan melebihi kecerunan 25 darjah yang mana tidak boleh dibalak mengikut dasar dan Enakmen Perhutanan Negeri Sabah.


Laporan ini juga dibuat agar polis menyiasat dan menangkap semua pihak yang terlibat dipercayai memalsukan pelan pembalakan dan memberikan maklumat palsu sehingga Jabatan Perhutanan Sabah terpedaya mengeluarkan lesen pembalakan kepada Danagaya Sdn Bhd. Laporan ini juga di buat agar Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap kaedah pemberian konsesi kerana kesemua 5 lesen konsesi di Hutan Simpan Kuamut dikhuatiri diberikan secara tidak teratur kepada seorang lelaki bernama Michael Chia Tien Foh yang sebelum ini dilibatkan dengan kes penggubahan wang haram sebanyak 16 juta Dollar Singapura di Hong Kong. Michael Chia menggunakan proksi iaitu teman wanitanya bernama Yap Siaw Lin (742710-14-5364) berasal dari Semenanjung Malaysia.


Laporan ini juga dibuat agar SPRM dan Polis menyiasat Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman yang sebelum ini beliau mengakui tidak mengenali Michael Chia tetapi kini memberikan 5 lesen konsesi, kerana mengikut prosedur semua lesen pembalakan harus mendapat kelulusan Ketua Menteri. Syarikat-syarikat tersebut adalah Sabapioneer Sdn Bhd (731099-D), Danagaya Sdn Bhd (747769-D), Sinabumi Sdn Bhd (754997-P), Wangsajadi (Sabah) Sdn Bhd (745208-K) dan Rimba Kita Sdn Bhd (671086-H). Laporan ini dibuat atas kapasiti saya sebagai Pengerusi Yayasan Warisan Borneo yang bertanggungjawab menjaga warisan hutan dan khazanah alam semulajadi Borneo. Bersama-sama dengan ini dilampirkan dokumen-dokumen yang di maksudkan.”

1 comment:

NAGA KINABALU said...

Tahniah Datuk Dr.Jeffry kerana membuat laporan kepada kebathilan kerja2 yg telah d lakukan dan d buat oleh Musa Aman.....D samping itu juga saya meminta kepada Datuk Dr.Jeffry janganlah dahulu meninggalkan PKR buat seketika....Kita tunggulah sekejap lagi, Biarpun Pucuk Kepimpinan PKR Malaysia tidak pernah ternampak atau sengaja tidak nampak siapa Kepimpinan d Negeri Sabah ini yg boleh d jadikan Pengarusi Perhubungan PKR Negeri ini.......Biarlah 1 hari nanti Pucuk kepimpinan PKR akan tahu sendiri siapakah dia Sdra Ansari dan Sdra Thamrin Zaini......