Search This Blog

Monday, May 4, 2009

BAPA BOREK, ANAK RINTIK?


HAZREEQ PUTRA HASMAN


SUMBER: WWW.SABAHKINI.NET



PERDANA Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak disaran mengambil tindakan tegas terhadap Ahli Parlimen UMNO yang salah laku dan mencemarkan imej Barisan Nasional dengan melakukan perkara yang tidak bermaruah.

"Bukan hanya menteri yang dinilai prestasi mereka tetapi Wakil Rakyat yang selama ini bersultan di mata dan beraja di hati sewajarnya digugurkan kerana mencemar konsep 1Malaysia yang cuba digarapkan Najib," ujar Hazreeq Putra Hasman yang menghubungi sabahkini.net untuk mengadu masalah rakannya dibelasah anak lelaki Ahli Parlimen Labuan, Yusani Yusof.

Menurut Hazreeq, rakannya, Hanizam Rasiol Mohammad adalah rakan kongsi dan pemilik saham utama dalam Utarakita Sdn.Bhd yang mendapat projek pembangunan untuk Kerja-Kerja Tanah Tapak Komersial Bumiputera, Kompleks Letak Kereta Bertingkat & Esplanade Di Teluk Victoria, Wilayah Persekutuan, Labuan bernilai RM8.2 juta.

Projek milik Perbadanan Labuan berkenaan diluluskan kepada Utarakita Sdn.Bhd pada 10 Mac 2008 dan mereka memulakan kerja pada 05 Mei 2008 dan tarikh siap yang ditetapkan pada 29 Jun 2009.

Namun sehingga berita ini ditulis, projek berkenaan sudah terlewat daripada jadual lebih 45 % dan memaksa Perbadanan Labuan memanggil mesyuarat di tapak binaan gunasama dengan Labindo Engineering Sdn.Bhd, milik Ahli Parlimen Labuan, Datuk Yusof Mahal.

"Rakan saya dijemput menghadiri mesyuarat berkenaan kerana beliau merupakan pemegang saham terbesar Utarakita Sdn.Bhd, tetapi rakan kongsinya (Yusani) telah bertindak ganas dengan menyerang dan mencederakan rakan saya di khalayak ramai," ujar Hazreeq yang dihubungi rakannya daripada Labuan setelah berlaku kejadian berkenaan.

Akibat daripada serangan mengejut tersebut, kata Hazreeq, mesyuarat di tapak binaan telah ditangguhkan oleh Pengarah Pembangunan Projek Perbadanan Labuan, Ahmad Khir menyebabkan Yusani bertindak ganas mengarahkan orangnya mencederakan Hanizam dan dua rakannya yang datang bersama menghadiri mesyuarat berkenaan.

"Hanizam telah dicederakan dengan begitu teruk dan diserang bertubi-tubi oleh Yusani dan rakan-rakannya sehingga polis berpakaian preman datang dan meleraikan mereka serta membawa Hanizam dan rakannya keluar daripada kawasan tersebut," ujar Hazreeq yang memuji tindakan pantas polis Labuan kerana jika terlambat rakannya mungkin menemui ajal kerana dibelasah dengan teruk sehingga berdarah muka, kepala dan tangan.




TERGENDALA....Projek ini tergendala tetapi Perbadanan Labuan tidak mengambil sebarang tindakan terhadap kontraktor kerana kedudukannya sebagai anak Ahli Parlimen Labuan.


Lebih membimbangkan, kata Hazreeq, Yusani bertindak mengunci pintu bilik mesyuarat dan enggan membenarkan pegawai Perbadanan Labuan keluar dan mengetahui perkara sebenar iaitu beliau membuat akuan palsu dan menipu rakan kongsinya, Hanizam.

"Saya dimaklumkan bahawa Yusani telah mengugut Pengarah Pembangunan Projek, Ahmad Khir dan menuduh beliau mendalangi semua ini," kata Hazreeq yang kesal dengan sikap Yusani yang meletakkan undang-undang di tangan beliau sendiri.

Kata Hazreeq lagi, beliau terkejut kerana Yusof Mahal telah menelefon Ahmad Khir dan menyalahkan beliau dan mahu perkara ini dirahsiakan daripada pengetahuan orang ramai terutama akhbar kerana tidak mahu anaknya dijadikan bahan cerita.

"Daripada apa yang saya tahu, Yusani turut mengancam untuk menumbuk Ahmad Khir kerana menangguhkan mesyuarat," kata Hazreeq yang menggesa Polis Labuan melengkapkan siasatan bagi memudahkan beliau membantu rakannya mengambil tindakan guaman terhadap Yusani dan bapanya.

Dalam hal ini, kata Hazreeq, Yusani tidak sepatutnya menuduh Hanizam sebagai penceroboh kerana beliau dijemput oleh Perbadanan Labuan selaras dengan kedudukannya sebagai pemegang saham terbesar.

Jelas Hazreeq lagi, beliau diberitahu, seramai 20 orang berkumpul di pejabat tapak Labindo-Utarakita dan mengancam untuk 'melenyapkan' Hanizam dan rakan-rakannya kerana Yusani telah mengarahkan orang-orangnya membawa Hanizam dan kawan-kawan ke gudang untuk tujuan berkenaan.

"Mujur polis sampai dan menyelamatkan Hanizam tetapi saya hairan kenapa mereka tidak menahan Yusani yang mencederakan dengan niat dan berhasrat untuk 'melenyapkan' Hanizam," kata Hazreeq yang meminta polis tidak pilih kasih kerana Hanizam telah membuat laporan polis dan melakukan pemeriksaan di Hospital setelah diserang Yusani dan rakannya.

Selain,Yusani dan rakan-rakannya, Hazreeq dimaklumkan, adik Yusani iaitu Saiful juga turut memukul Haniizam berkali-kali tetapi Hanizam tidak membalas.

"Polis wajar menyoal siasat pegawai Perbadanan Labuan yang menyaksikan kejadian berkenaan dan mengambil tindakan di bawah undang-undang jenayah terhadap Yusani, adik dan bapanya," ujar Hazreeql lagi.

Hazreeq turut kesal kerana Ahli Parlimen Labuan itu mengeluarkan kata-kata kesat dengan memaki hamun Hanizam melalui telefon bimbit.

"Saya kasihan apabila Hanizam memberitahu matanya lebam, dahinya berdarah dan cermin matanya pecah," ujar Hazreeq yang sedih kerana rakan-rakan Hanizam yang tidak bersalah turut dipukul, ditendang dan dihina sehinggakan Yusani menuduh mereka merosakkan nama baik keluarga Yusof dengan menyebarkan risalah berhubung kes rasuah dan skandal seks bapanya.

Kata Hazreeq, semasa di hadapan polis Yusani bersikap kurang ajar dengan menendang Hanizam sambil menjerit kepada beberapa orang polis, "Siapa kau datang sini menyibuk?."

"Yusani turut merampas mykad Nizam dan kawan-kawannya walaupun pada mulanya mereka enggan menyerah, tetapi setelah dipukul bertalu-talu mereka menyerahkannya," ujar Hazreeq yang menyifatkan Yusani tidak berperi kemanusiaan dan tidak langsung bertimbang rasa ketika mencederakan Hanizam.

Sebelum ini, Hazreeq, yang mewakili syarikatnya, Nautika Innovasi Sdn. Bhd. telah membuat laporan polis di Balai Polis Karamunsing, Kota Kinabalu setelah menyedari beliau di tipu oleh Yusof Mahal yang menjadi Pemilik Saham terbesar dan Pengarah Urusan, Labindo Engineering Services Sdn. Bhd.

"Dia mencuri 93 batang piling (cerucuk) saya dan menipu saya sejumlahd RM1.5 juta dan berpakat dengan subkontraktor saya untuk kerja menanam cerucuk, Box Piling Co. Limited yang saya bawa dari Brunei untuk meneruskan kerja tanpa rasa malu atau rasa bersalah," ujar Hazreeq yang meminta polis memaklumkan hasil siasatan polis terhadap Yusof Mahal.

Hazreeq turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya lebih bertanggung jawab melengkapkan siasatan dan tidak hanya menyerahkan isu berkenaan kepada polis kerana terdapat unsur rasuah apabila Yusof Mahal menggunakan kedudukannya sebagai Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan mendapatkan dua projek yang beliau mempunyai kepentingan.

No comments: