Search This Blog
Wednesday, December 10, 2008
MUSA HARUS BERLAKU ADIL
BUKTI... Konsul menunjukkan buku perwakilan persidangan agung yang terdapat pelbagai unsur penipuan.
Ketua Cawangan UMNO Tanjung Labian, Konsul Bin Nahul merayu Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, agar berlaku adil ketika mengadili kes bantahan UMNO Silam bagi mengelakkan perpecahan di kalangan ahli UMNO Silam.
“Kita telah menghantar bantahan rasmi ke Ibu Pejabat Parti di Kuala Lumpur dan Badan Perhubungan UMNO Sabah. Tetapi sehingga kini tidak ada sebarang balasan sama ada bantahan kita diterima atau tidak,” ujar Konsul yang kesal dengan sikap acuh tidak acuh Setiausaha Kerja UMNO yang mengembalikan kes bantahan Silam ke Badan Perhubungan UMNO Sabah.
Menurut Konsul, mereka mempunyai alasan yang kukuh untuk membuat bantahan berdasarkan peruntukan di dalam Perlembagaan UMNO, Tatacara Persidangan dan Tataetika Ahli UMNO yang mendasari tadbir urus parti.
“Tidak ada sebab Majlis Tertinggi UMNO mengambil sikap lepas tangan kerana terbukti Badan Perhubungan UMNO Sabah yang jarang berlaku adil ketika menangani bantahan ahli UMNO terutama yang melibatkan pihak yang mempunyai hubungan yang rapat dengan Musa,” ujar Konsul yang kesal kerana Nasrun menyalahguna sikap toleransi Musa untuk kepentingan diri sendiri.
Sehubungan itu, Konsul mendesak agar Badan Perhubungan UMNO Sabah memutuskan segera kes bantahan UMNO Silam kerana telah sampai kepada pengetahuan umum melalui media masa, youtube dan laman web Malaysia Today.
“Jika Badan Perhubungan UMNO Sabah menganggap kes dan penipuan ini sebagai teknikal, maka ahli akan berpendapat UMNO sudah tidak relevan lagi di Sabah kerana membenarkan penipuan dan konspirasi berlaku secara wewenang,” tegas Konsul yang menimbulkan soal kesahihan kertas undi.
Lebih memalukan kata Konsul, Nasrun melantik Mantan Setiausaha Bahagian, Mohd Firdaus Datuk Alawi yang selama ini menjadi tertuduh utama dalam kes konspirasi di Silam sebagai Setiausaha UMNO Bahagian Silam yang baru.
“Kes pertuduhan ke atas Firdaus ini belum diputuskan lagi, tetapi Nasrun telah mengambil peluang untuk kepentingan dirinya agar Firdaus membuat kenyataan yang menyebelahinya,” ujar Konsul yang mendesak agar Musa menjalankan siasatan rapi berhubung penglibatan Firdaus dan kes penipuan ketika Persidangan UMNO Silam pada 1 November 2008.
Konsul turut mendesak agar Nasrun meletakkan jawatan kerana memperoleh kemenangan secara tipu helah dan persekongkolan dengan Urusetia dan Wakil Badan Perhubungan UMNO.
Memenangi sesuatu jawatan secara culas dan tipu helah, kata Konsul adalah kegiatan yang tidak bermoral dan amat memalukan.
“Firdaus telah merancang kemenangan Nasrun dengan menyediakan buku persidangan yang mengelirukan terutama membenarkan para perwakilan mengundi lebih daripada sekali,” kata Konsul yang mencadangkan agar Firdaus di hadapkan ke Lembaga Disiplin Parti kerana melakukan perbuatan yang menyalahi Tataetika Ahli UMNO.
Konsul turut menggesa agar para penyokong kuat Nasrun tidak bertindak di luar batasan dengan melakukan gangguan mental dan fizikal melalui ugutan dengan pelbagai cara kerana beliau tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya menurut undang-undang.
Kata Konsul, adalah menjadi hak beliau untuk menuntut keadilan mengikut lunas Perlembagaan UMNO dan adalah tidak adil jika beliau diugut kerana menegakkan kebenaran.
Asas dakwaan Konsul boleh ditonton di Youtube bertajuk Silap Mata UMNO Silam yang dapat ditonton di blog ini.
Konsul sebelum ini adalah penyokong kuat Musa yang telah bertungkus lumus membela Musa ketika Musa diserang dengan 81 Dalil oleh Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang masih menjadi misteri sehingga kini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment