Search This Blog

Saturday, December 13, 2008

HENRY VOON, JOKER ATAU BROKER BPR?


JOKER… Joker Henry Voon yang menghakis keyakinan orang awam terhadap BPR.

Mantan Timbalan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Malaysia, Datuk Dr Jeffrey Kitingan menggesa Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan menyiasat dakwaan seorang lelaki Cina, Henry Voon, bahawa beliau adalah Penasihat Kanan kepada Ketua Pengarah BPR.

“Belumpun Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)diluluskan di Parlimen, Penasihat sudah dilantik?,” tanya Jeffrey yang menyebut tindakan lelaki berkenaan sebagai keterlaluan,mempersenda Undang-Undang serta menconteng arang ke muka Ahmad Said.

Jeffrey menekankan, senario ini adalah tidak sihat bagi sebuah Negara yang berusaha membebaskan diri daripada cengkaman rasuah dan mencerminkan Integriti BPR benar-benar tiris.

Kata Jeffrey lagi, Pak Lah telah berjanji untuk menstruktur semula BPR kepada suruhanjaya dan akan selesai sepenuhnya sebelum hujung tahun ini.

”Setelah itu, barulah Lembaga Penasihat dilantik. Tetapi sekarang macam mana? Apakah BPR telah melantik Henry Voon?,” tanya Jeffrey yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat yang meminta penjelasan segera daripada Ketua Pengarah BPR.

Walaupun Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz, mengumumkan kepada media bahawa BPR tidak pernah melantik Lembaga Penasihat, namun kata Jeffrey kenapa Henry Voon secara terbuka mendakwa dirinya sebagai Penasihat Kanan kepada Ketua Pengarah BPR?

“Dia ini Jokerkah atau Broker?,” tanya Jeffrey dalam nada sinis selepas menghadiri mesyuarat Yayasan Warisan Borneo (Borneo Heritage Fundation)d Sokid Villa.

Dakwa Jeffrey, Henry telah membeli iklan bernilai ribuan ringgit di dalam beberapa akhbar tempatan dan membuat iklan palsu kononnya Ketua Pengarah BPR mengucapkan tahniah di atas perkahwinan anaknya.

“Paling memalukan beliau meletakkan namanya sebagai Penasihat Kanan Kepada Ketua Pengarah BPR? Kenapa BPR tidak siasat dan mengambil tindakan terhadap Henry?” sindir Jeffrey yang sering melihat Henry bersama beberapa pegawai kanan BPR ketika melakukan operasi pembalakan haram di Keningau sedikit masa lalu.

Sehubungan itu, Jeffrey menggesa Ketua Pengarah BPR mengambil tindakan sewajarnya untuk membersihkan namanya terutama membuat laporan polis jika benar BPR tidak pernah melantik lelaki berkenaan sebagai Peasihat Kanan BPR.

Menurut Jeffrey, beliau menerima banyak aduan dan rungutan para peniaga dan rakyat Sabah yang jengkel dengan sikap dan perangai Henry Voon yang bertindak sebagai Broker untuk menyelesaikan masalah rasuah yang mereka hadapi.

“Ada yang datang berjumpa saya mengadu bahawa mereka tidak lagi mempercayai BPR dan polis apabila secara bebas seorang lelaki yang dikenali sebagai Henry Voon meminta mereka untuk membayar sejumlah tertentu bagi menutup kes rasuah mereka,” ujar Jeffrey yang kesal kerana kelonggaran undang-undang membenarkan perkara ini berlaku di sebuah negeri yang telah 44 tahun merdeka.

Kata Jeffrey, pengadu telah memberi nombor telefon lelaki ini, 0138802222 dan 088219520 yang memintanya agar berjumpa dan menyerahkan wang jika mahu kesnya ditutup dan tidak didakwa di mahkamah.

“Saya tanya pengadu benarkah dia lakukan rasuah? Dia kata tidak, tetapi diperangkap dan kerana itu dia tidak mau memberi rasuah dan sanggup ke mahkamah?,” ujar Jeffrey yang menjelaskan pengadu enggan membuat laporan kepada polis dan BPR kerana hilang kepercayaan kepada dua institusi tersebut.

Mengikut maklumat daripada pengadu, Henry tinggal di Taman Kepayan Kota Kinabalu. Beliau dipercayai melantik dirinya sebagai Penasihat Kanan kepada Ketua Pengarah BPR dan dengan bangganya mendakwa Datuk Ahmad Said sebagai ‘Abang’ nya.

“Ramai saksi melihat Henry bersama Pengarah Risikan BPR, Datuk Jamidan Mohamad,” tegas Jeffrey yang tidak menyalahkan persepsi orang ramai bahawa Henry Voon mampu mempengaruhi pegawai kanan BPR menutup kes BPR Di Sabah, kononnya dengan bayaran antara RM30,000 sehingga RM6 juta!

Tetapi kata Jeffrey, beliau hanya mendengar aduan dan adalah menjadi tugas BPR untuk menyiasat Henrry Voon dan tidak menjadikan dirinya sebagai target.

“Jika benar Henry boleh menutup kes rasuah, maka tidak ada gunanya Kerajaan menambah jumlah anggota dan pegawai penguat kuasa antirasuah daripada 2,000 orang sekarang kepada 5,000 dalam tempoh lima tahun akan datang, “ kata Jeffrey lagi.

Jeffrey turut menggesa agar BPR membuka kembali atau meneruskan siasatan 81 Dalilnya dan banyak kes berprofail tinggi yang dilaporkannya tetapi belum didakwa di mahkamah.

“Saya mengambil kesempatan ini juga untuk bertanya kenapa Pengarah BPR Sabah, Puan Hajjah Latifah dipindahkan serta merta ke Pulau Pinang? Apakah kerana peranan lelaki ini atau ada hubungan dengan kes siasatan terhadap pemimpin BN yang dikaitkan dengan Penggubahan Wang Haram di Hong Kong,” tanya Jeffrey yang menimbulkan pelbagai tandatanya.

No comments: