Search This Blog

Tuesday, December 16, 2008

DILEMA TIADA SIJIL LAHIR DAN MYKAD


MALANG...Keluarga yang tidak hampir tidak mempunyai dokumen. Dua dari kiri berdiri Sam, Antiang, Tinuim, Pinah dan empat anaknya.



BERITA EHSAN DAILY EXPRESS
Tulisan: Rozie Jumat

Keningau : “ Saya tidak tahu apa lagi cara yang membolehkan saya memiliki dokumen sah, kerana pelbagai usaha suami terhadap kami anak beranak tidak berhasil, hakikatnya kami adalah warganegara dan rakyat Malaysia sejak dilahirkan,” keluh Maina Gurungot, 43 tahun yang tidak mempunyai kad pengenalan. Kedua anak beliau yang telah berkahwin juga tidak memiliki kad pengenalan diri.

Maina, nenek bercucu lima dari Kampung Donggiluang , Bundu Apin-Apin, 25km dari sini berkata, beliau dan suaminya, Nini Sondokiri , 50 tahun telah banyak kali turun naik pejabat pendaftaran untuk mendapatkan kad pengenalan. Namun amat menghampakan kerana meskipun dikepilkan dengan dokumen yang berkaitan termasuk sijil kahwin, gambar sekeluarga namun beliau masih gagal mendapatkan dokumen yang penting itu disini.

“ Kami orang kampong banyak perkara yang kami tidak faham dengan JPN kerana apabila kami datang membawa borang yang diisi mereka kata tidak lengkap, dan meminta kami mengisi semula borang…dan apabila diserahkan semula borang itu dikatakan tidak lengkap. Tolonglah beritahu kami, tolonglah ajar kami jangan buat kami seperti bola,” kata Nini..

Kata Nini, meskipun beliau mempunyai kad pengenalan tetapi isteri dan kedua anaknya tidak mempunyai dokumen secara langsung menafikan hak-hak mereka sebagai warganegara.

“ Tanpa kad pengenalan isteri dan anak-anak tidak mendapat caruman pekerja (KWSP), insuran, tabungan di bank ,mereka juga tidak layak memohon tanah…mereka umpama orang asing di tempat sendiri, tolong bantu kami, saya sendiri sudah buntu dan mengharapkan pihak terbabit membantu kami…perkara ini sudah berlaku berpuluh puluh tahun,” kata Nini.

Lebih menyedihkan ialah empat orang kanak-kanak yang berusia antara 3- 8 tahun tidak mendapat surat beranak kerana bapa mereka tidak memiliki kad pengenalan. Pinah Malaya, 26 tahun isteri kepada Edon Antiang, 28 tahun yang mengandung anak ke lima berkata, kesemua anak-anak mereka yang dilahirkan di Klinik Nabawan tidak dapat surat beranak kerana masalah pengenalan diri suaminya.

“Saya risau memikirkan masa depan anak-anak saya, mungkinkah mereka akan dilayan seperti orang asing kerana mereka tidak memiliki surat beranak, Pada ketika ini saya bersandarkan kad klinik anak-anak yang membuktikan mereka adalah orang tempatan,” kata Pinah, seorang Murut dari Kampung Saupi, Nabawan. Beliau juga turut merayu kerajaan agar memberi perhatian kepada anak-anaknya dengan memberi bantuan memproses surat beranak termasuk menyelesaikan masalah yang sama terhadap suami beliau yang seringkali gagal mendapatkan maykad.

Sementara itu adik kembar kepada Edon, Sam berkata ketika masih dibangku sekolah beliau menggunakan surat beranak beliau dalam setiap kejohanan sukan bagi mewakili sekolah. Bagaimanapun katanya, yang tidak melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat sekolah menengah, beliau telah meninggalkan kampong kerana bekerja.

“ Sehinggalah satu ketika saya memerlukan kad pengenalan dan berusaha membuat kad pengenalan. Semua usaha itu menemui kegagalan, malahan sehingga dicaci maki oleh mereka yang berkaitan, tetapi itu tidak mematahkan semangat saya,” kata Sam, yang kini membantu keluarganya bertani.

“ Kami sekeluarga tidak akan berputus asa mengusahakan proses permohonan sijil lahir dan MyKad. Namun atas segala usaha kami selama ini yang menemui jalan buntu, kami merayu agar JPN datang ke kampung kami…,” kata Sam.

Ayah mereka, Antiang Yupit, 60 berkata, kesukaran mendapatkan kad pengenalan yang dihadapi oleh kedua anak kembarnya disebabkan, kedua beradik itu meninggalkan kampung pada usia muda pada tempoh yang lama.

“Saya juga tidak faham kenapa anak-anak saya sukar dapat kad pengenalan sedangkan saya dan isteri ( Tinuim Tangkok) mempunyai dokumen yang membuktikan mereka adalah anak-anak saya dan layak diberikan kad pengenalan,” kata Antiang.

Keadaan yang serupa berlaku juga kepada Adrian Michael , Michael Sondokiri, Larry Nini, Laisah Nini di kampong itu. Wakil Daily Express juga melihat surat-surat beranak pengadu yang sepatutnya boleh menjadi asas kepada permohonan untuk mendapatkan kad pengenalan maykad mereka

Sementara itu Pengerusi Jawatan Kuasa Keselamatan Kampung (JKKK), Michael Lundi bmerayu kepada wakil-wakil rakyat untuk turun membantu rakyat Malaysia di kampong itu yang tidak memiliki surat beranak mahupun kad pengenalan diri. Lebih kurang 8 orang di kampong itu tidak memiliki maykad dan 6 tidak memiliki sijil lahir.

Menurut Micahel, awal tahun 1980an terdapat perkhidmatan JPN secara bergerak datang ke kampong itu.

“ Pada masa itu caranya amat mudah JPN hanya ambil gambar dan nama. Bagi mereka yang mengetahui kehadiran JPN Bergerak mereka bernasib baik tetapi mereka yang kebetulan tidak berada di kampong itulah yang tidak dapat membuat kad pengenalan mereka seperti Maina,” kata Michael yang membawa sendiri wakil Daily Express ke kampong tersebut.

Kata Michael yang baru dipilih sebagai PJKK di kampong itu, beliau amat simpati dan kasihan kepada penduduk dikampung itu yang tidak memiliki sama ada surat beranak atau maykad.

“ Ini sepatutnya tidak berlaku kerana dokumen amat penting untuk rakyat. Simpati apabila ada diantara mereka hanya memandang dengan sayu apabila yang lain sibuk membuat permohonan tanah dan banyaklah keistemewaan yang mereka tidak dapat sebagai rakyat tempatan, “ kata Michael.

Namun katanya , beliau tidak mahu menyalahkan sesiapa kerana perkara tersebut telah berlaku dan apa yang paling penting masalah tersebut dapat diatasi dengan segera.

2 comments:

bunga said...

assalamualaikum..sebagai anak malaysia,saya juga peka terhadap kes penipuan ic mahupun surat lahir ni.saya orang semporna sabah.saya ada kenal sama satu keluarga PTI di pekan semporna ni.rumah kami tidak jauh dari tempat mereka menyewa rumah bah.anak perempuan mereka ni sudah darjah 5.pada 1 hari anak saya pulang dari sekolah dan terus cakap sama saya bahawa,ada satu kelasnya yang tiba2 namanya bukan lagi nama yang di daftar masa darjah satu dulu.(SK PEKAN 1 SEMPORNA.)saya pun terkejut.rupa rupanya dengan memperalatkan orang tempatan kita yang langsung tak bermoral ni,anak mereka pun dah tukar nama dan jadi anak kepada warga tempatan di sini.saya rasa ni satu kes yang tidak adil.saya sebagai anak malaysia tidak mahu bah negara kita yg tercinta ni akan di kuasai anak2 pendatang haram ni.di orang sekolah dengan berbapakkan orang tempatan yang pentingkan wang ringgit semata mata.besok lusa,orang yang duduk dalam posisi yang tinggi ialah anak2 PTI ni.tidak adil ba saya rasa.saya tahu mereka ni ada buat salah tapi tidak tahu kemana dan bagaimanakah saya harus buat untuk suara saya ni dapat di dengar oleh warga malaysia yang cintakan negara kita ni.saya perlukan pertolongan.tolonglah..! siasatlah penipuan ic/surat lahir di pekan kami ni.

SubulNabigu said...

Kasihan org sendiri di anaktirikan. Org luar senang2 dapat IC. Org sendiri sengsara dibumi sendiri.