Search This Blog

Sunday, December 14, 2008

POLIS SEMAKIN MALAS: HASSNAR


LAPOR…. Hassnar menunjukkan dua laporan polis yang dibuatnya.

PEGAWAI polis Sabah kini semakin malas walaupun pelbagai insentif diberikan namun mereka tidak mesra pelanggan dan kurang pro-aktif terhadap aduan jenayah.

Tidak sampai 48 jam, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Noor Rashid Ibrahim memberi jaminan polis akan bertindak pantas menyiasat aduan orang awam dalam pertemuan dengan sebuah NGO di Ibu Pejabat Polis Kepayan baru-baru ini, namun sikap yang ditunjukkan pegawai polis berlainan sekali.

Mantan Ketua Daerah Sandakan, OKK Hassnar MP Ebrahim, menyifatkan polis wanita bersifat seperti ‘ular sawa’ dan polis lelaki sebagai ‘naga’ kerana sikap mereka yang menjengkelkan apabila mengendalikan aduan orang awam.

“Saya kesal kerana ketua mereka cakap lain tetapi mereka bersikap lain,” ujar Hassnar yang menggesa agar Datuk Noor Rashid turun gelanggang melihat cara pegawai polis berpangkat Inspektor ke atas melayan orang awam.

Hassnar meluahkan rasa kecewa kerana apabila beliau melihat jenayah berlaku di hadapan mata, beliau telah memanggil seorang pegawai polis agar menyaksikan kejadian seorang wanita Islam yang berpakaian menjolok mata secara keterlaluan di khalayak awam dan menghina agama rasmi Malaysia.

“Pegawai berkenaan bukan sahaja enggan menghantar anggota untuk menyaksikan jenayah berkenaan malah tidak mempedulikan aduan saya,” ujar Hassnar yang kesal kerana polis bersubahat dengan penjenayah yang mempersendakan agama Islam sewenangnya.

Kata Hassnar lagi, jika kes seperti ini gagal ditangani polis, bagaimana pula apabila beliau ingin melaporkan kejadian pergaduhan atau pembunuhan?

“Kalau beginilah sikap pegawai polis, kejadian jenayah akan terus berlaku dan tidak hairan jika orang awam tidak lagi membantu polis mengurangi kadar jenayah di Sabah,” tegas Hassnar lagi.

Hassnar kemudiannya datang ke balai polis Karamunsing dan membuat dua laporan polis agar siasatan segera dijalankan.

Laporan polis Luyang/003894/08 yang dibuat pada 13 Disember 2008 sekitar jam 8.47 malam di Balai Polis Karamunsing menyebut;.

“Pada 13/12/2008 jam lebih kurang 2000 hrs, bertempat di Restoran Masakan Sedap. Hill Top, Luyang, Kota Kinabalu, saya melihat/saksikan sendiri seorang wanita bernama Zarifah Chung @ Karen Chung Lin Lin, berbangsa Cina berpakaian tidak senonoh melanggar tatatertib berpakaian penganut agama Islam. Oleh kerana tertuduh telah memeluk agama Islam maka saya membuat aduan ini supaya PDRM tahan, siasat dan dakwa tertuduh di bawah Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sabah dan atau merujuknya kepada Jabatan relevan untuk tindakan di bawah enakmen yang sama atas kesalahan mempersenda agama Islam."

Manakala satu lagi laporan polis, Luyang/003895/08 yang dibuat pada Jam 9.03 malam tarikh yang sama berbunyi;

“Pada 13/12/2008, jam lebih kurang 2000hrs dari Restoran Masakan Sedap, saya ada menghubungi seorang anggota polis, nama Insp. Fazura, agama Islam memohon daripadanya bantuan pihak polis menangani jenayah yang dilakukan seorang wanita berasal agama Buddha kemudian memeluk Islam semata-mata mempersenda agama Islam bagi tujuan mendapat keuntungan peribadi. Permohonan saya tidak mendapat layanan. Saya buat laporan ini supaya PDRM ambil tindakan terhadap pegawai terbabit dan semua yang menasihatinya di bawah Penal Code atau di bawah Police act. Aduan juga dibuat supaya pegawai/anggota terbabit dirujuk kepada jawatankuaa disiplin dan atau tindakan tatatertib di bawah bidang kuasa perlantikan anggota polis pangkat pegawai.”

Untuk rekod, Hassnar pernah mencabar polis untuk menangkap dan mendakwanya di Mahkamah jika inginkan keterangannya berhubung Sindiket Kad Pengenalan Projek yang didedahkannya dalam buku IC Projek-Agenda Tersembunyi Mahathir?; Justice For Sabah dan 007 Lelaki Malaysia Terakhir?

Hassnar kini sedang dalam proses untuk mendakwa Ketua Polis Daerah Kinabatangan atas kes jenayah dan salahguna kuasa.

Hassnar juga masih dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Sandakan dalam kes saman terhadap pegawai kanan polis yang menangkapnya ketika beliau meminta penduduk kampung BDC membuat laporan polis apabila polis meroboh rumah mereka dalam OPS NYAH II BERSEPADU.

1 comment:

Anonymous said...

Kes ini di luar bidang kuasa polis. Sepatutnya kes ini di rujuk ke Jabatan Hal Ehwal Islam. Banyak lagi kes besar yang polis kena selesai.