Search This Blog

Monday, December 15, 2008

53 TAHUN MENANTI WARGANEGARA?


BUKTI...Maria menunjukkan pasport Malaysia kedua ibubapanya yang membuktikan bahawa beliau adalah warganegara Malaysia dari segi Perlembagaan Persekutuan.


MUNGKIN tidak keterlaluan jika seorang warga asing mengambil masa antara sepuluh hingga 12 tahun untuk memohon warganegara Malaysia mengikut jalan yang sah.

Namun adalah amat menyedihkan jika seorang suri rumah, Maria Asunta Chu dan kakaknya, Hilda Claudra Chu terpaksa menanti sejak lebih 53 tahun lalu untuk menjadi warganegara Malaysia walaupun kedua-dua ibu bapanya dan lima adik beradik yang lain adalah Warganegara.


LAHIR...Maria menunjukkan sijil kelahiran Brunei yang telah koyak rabak.

“Apakah kerana saya dan kakak saya dilahirkan di Brunei maka saya hilang hak menjadi warganegara?” ujar Maria yang dilahirkan pada 29 Oktober 1955 di Seria, Bandar Seri Begawan, Brunei ketika bapanya bertugas sebagai Jurugambar di Shell Brunei.

Namun kata Maria, mereka sekeluarga kembali ke Kampung Dambai Penampang sebelum hari Malaysia iaitu pada 21 September 1957 bersama seorang adik lelaki yang juga dilahirkan di Brunei pada 4 Februari 1957.

“Ibu bapa saya telah bersusah payah mendaftar permohonan kami, tetapi hanya adik saya sahaja yang memperoleh warganegara Malaysia. Saya dan kakak saya tidak tahu warganegara mana dan masih menunggu tanpa menaruh sebarang harapan lagi,” kata Maria yang terkilan dengan pemberian taraf kewarganegaraan songsang kepada warga Indonesia, Filipina, India dan Pakistan yang hanya mengambil masa tidak sampai dua bulan.



TARAF...Mykad Maria menunjukkan tarafnya sebagai Penduduk Tetap.


Kata Maria, dia dan kakaknya layak mendapat taraf Warganegara Malaysia mengikut Fasal 15A dan 16A, Perlembagaan Persekutuan, namun harapan mereka tidak kesampaian apabila Jabatan Pendaftaran memberikan pelbagai alasan.

“Bayangkanlah jika anda di tempat kami. Kami hilang semua hak dan sebaliknya hak kami diberi untuk dinikmati oleh orang asing,” ujar Maria yang tidak mendapat sebarang peluang keistimewaan anak negeri walaupun Mahkamah Anak Negeri Penampang mengiktiraf dirinya dan semua ahli keluarganya sebagai Anak Negeri Sabah (Native) melalui pemberian Sijil Anak Negeri pada 14 Januari 1974.

Maria menegaskan setelah bapanya meninggal dunia, ibu mereka sudah berputus asa untuk meneruskan permohonan pengesahan taraf mereka berdua kerana merasakan perjuangan selama 53 tahun sudah melampau batasan hak asasi manusia.

Kisah lengkap dan sedih Maria akan dimasukkan kepada dalam buku Saya Anak Malaysia? yang akan diterbitkan pertengahan tahun hadapan.

1 comment:

Anonymous said...

Kisah aunty Maria pun ada...