Search This Blog
Sunday, December 14, 2008
USBO SAMBUT BAIK SPRM
PERTUBUHAN Bajau Sabah Bersatu (USBO) menyambut baik keputusan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membentangkan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)2008 di Dewan Parlimen baru-baru ini.
Presidennya, Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said memuji tindakan berani dan bertanggung jawab Pak Lah menjadikan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia sebagai realiti.
“Kita sokong penuh usaha murni ini dan akan sentiasa menyokong apa juga langkah drastik untuk membanteras rasuah sehingga ke akar umbi,” ujar Salleh yang dihubungi ketika singgah di Jeddah dalam perjalanan balik ke tanah air selepas menunaikan fardu haji di Makkatul Mukarramah.
Salleh menarik perhatian walaupun agak sukar untuk menafikan peranan ahli politik dalam menentukan dasar yang akan diguna pakai oleh suruhanjaya ini kelak, namun Salleh berharap suruhanjaya ini benar-benar bebas dari kekangan politik.
“Apabila rang undang-undang ini diluluskan kelak, kerajaan perlu bertindak membersihkan rasuah secara berkesan dan sayugianya pemimpin yang rasuah harus mengundur diri. Jika engkar, tindakan pendakwaan dan penyingkiran adalah jalan terbaik,” tegas Salleh yang berpandangan untuk lebih maju Malaysia harus benar-benar bebas daripada rasuah.
Salleh akui memang agak payah untuk memastikan SPRM menjadi badan yang cekap dan berwibawa dalam masa yang singkat kerana kemungkinan kebarangkalian melibatkan pindaan beberapa Akta dan pengenalan beberapa rang undang-undang yang berkaitan, namun kerajaan telah melakukan sesuatu secara serius dan memerlukan masa untuk menggapai integriti yang kini masih di luar jangkauan.
“Kita selama ini bercakap mengenai tangkapan dan rasuah, namun kita masih menanti bukti kesungguhan pendakwaan yang agak payah,” kata Salleh merujuk beberapa kes yang hanya sampai sekerat jalan dan tidak memulihkan keyakinan rakyat kerana kekangan birokrasi dan sistem pelaksanaan undang-undang yang diterima pakai di Malaysia.
Memberi terlalu banyak kuasa kepada seseorang atau sesebuah institusi juga akan menyuburkan rasuah dan kerajaan harus mencari mekanisme untuk mengelakkan perkara ini daripada berlaku.
Kata Salleh lagi, limitasi dan litigasi sering menjadi demarkasi kepada perlaksanaan sesuatu undang-undang secara berkesan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment