Search This Blog

Friday, December 19, 2008

BUKAN SALAH AKTA, TAPI SILAP KITA!


NAPAAN RABEKA

RANG Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2008 telah diluluskan tanpa menghadapi masalah, tetapi keadaannya tidak ubah seperti menukar kereta lembu kepada beca roda tiga.

"Jika pegawai BPR yang sedia ada diserap ke dalam SPRM tanpa tapisan hanya akan menyebabkan Suruhanjaya menjadi keldai tua yang tidak mampu berjalan," ujar Mantan AJK UMNO Bahagian Silam, Haji Napaan Rabeka.

Kata Napaan, beliau sudah hilang kepercayaan kepada BPR atau dengan nama baru SPRM kerana dikendalikan oleh orang yang sama dan hanya menukar akta yang sedia ada.

Bagaimanapun kata Napaan, beliau masih menaruh harapan agar beberapa kes berprofail tinggi yang dilaporkannya diambil tindakan sewajarnya jika SPRM berkuatkuasa.

"Saya amat kesal kerana bukti yang saya kemukakan lengkap, namun BPR hanya menutup sebelah mata ketika menjalankan siasatan. Saya tahulah yang saya lapor adalah Ahli Parlimen, tetapi dia bukan lagi Ahli Parlimen, kenapa tidak ambil tindakan?," ujar Napaan yang merujuk kepada Mantan Ahli Parlimen Silam, Datuk Haji Samsu baharun Haji Abdul Rahman.

Kata Napaan, Samsu menggunakan namanya dan keluarganya iaitu Rasid Afta, Peme Narel, Fatimah Eneta, Ahmad Sulaiman, Muhammad Eneta dan Normanah Tepoh membuat tuntutan palsu bantuan banjir bernilai RM6,500 setiap seorang walaupun mereka cuma memberi hamper bernilai RM70.

Menurut Napaan, tandatangan di baucer bayaran bukan tandatangannya tetapi beliau hairan kenapa BPR langsung tidak bertindak sebaliknya menukarkan pegawai yang menyerahkan bukti ke Putrajaya.

"Apakah BPR turut terlibat memusnahkan bukti yang dapat dengan susah payah? Jika tidak, tangkaplah Samsu dan hadap ke mahkamah," ujar Napaan yang jelak dengan sikap Samsu yang membuat tuntutan palsu sejumlah RM50,000.

Mengikut Napaan, dalam tuntutannya, Samsu mengakui rumah kesemua mangsa di Kampung Kokos, Batu 6, Segama Lama Lahad Datu ditenggelami air dan semua barang musnah, walaupun rumah beberapa mangsa berada di atas bukit.

"Kalau rumah mereka tenggelam, maka seluruh Lahad Datu akan tenggelam," kata Napaan yang terkejut kerana Pengarah BPR pernah mengugutnya untuk mengambil tindakan jika mendedahkan maklumat kepada umum mengikut Seksyen 214, Kanun Prosedur Jenayah.

Kini Napaan merasa serik untuk membuat laporan kes rasuah terutama melibatkan sebuah koperasi di Lahad Datu yang menggelapkan wang ahli dan melakukan pelbagai kesalahan rasuah dan pecah amanah, sebaliknya membuat laporan polis.

No comments: