Search This Blog

Sunday, December 21, 2008

FAVOURITISME DALAM UMNO?






RAMAI pemerhati politik berpendapat amalan ‘Favoritisme’ semakin berleluasa di dalam UMNO yang menjadi sebab utama kenapa pemilihan semua peringkat kucar kacir.

Mantan Ketua UMNO Silam, umpamanya sanggup mengeluarkan kenyataan akhbar untuk menyaman Pengerusi Tetap Persidangan, Setiausaha Bahagian dan Urusetia Pemilihan yang dituduh melakukan penipuan.

Namun sehingga kini, Yusof belum memfailkan saman pemula di mana-mana mahkamah untuk mengheret mereka atau memfailkan injunksi untuk menghalang Nasrun menjalankan tugas sebagai Ketua Bahagian.





BANTAH...Yusof salah seorang daripada perwakilan yang membantah memberi amaran akan mengheret beberapa pihak ke Mahkamah sekiranya Majlis Tertinggi menolak bantahannya.


Ekoran daripada tindakan Majlis Tertinggi UMNO memecat AJK UMO Bahagian Tanah Merah, Abdul Rahman Ibrahim yang mengemukakan saman pemula dan berjaya mendapat Mahkamah Tinggi Kota Bharu bagi menghalang 32 ahli termasuk bekas Ketua Pemuda, Ikmal Hisham Abdul Aziz menghadiri mesyuarat bahagian tersebut.

Menurut surat dari ibupejabat Umno yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.bertarikh 18 November, 2008 memaklumkan pemecatan Abdul Rahman berkuatkuasa pada 4 November 2008..

Antara lain menyebut, mesyuarat jawatankuasa pengurusa Majlis Tertinggi Umno yang bersidang memutuskan keahlian Abdul Rahman gugur berkuatkuasa 4 November mengikut Fasal 20.7 Perlembagaan Umno kerana membawa perkara parti ke mahkamah.

Perlembagaan UMNO dan Akta Pertubuhan 1966 dipinda setelah Geng !! berjaya mengheret UMNO ke Mahkamah sehingga menyebabkan UMNO diharamkan dan ditaja semula.

Mengikut fakta kes, Pada Jun 1987, satu guaman sivil telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur oleh 11 orang ahli UMNO (yang asalnya 12 orang tetapi seorang menarik diri, kumpulan ini kemudiannya dikenali sebagai UMNO 11) di mana mereka telah memohon suatu relif termasuk suatu pengisytiharan bahawa pemilihan calon yang menang semasa Perhimpunan Agung UMNO April 1987 sebagai bertentangan dengan perlembagaan parti, tidak sah dan dianggap terbatal, serta tidak mempunyai kesan.

Fakta-fakta yang telah dipersetujui menyatakan 30 cawangan tidak diluluskan dalam empat bahagian dan lain-lain. Satu perkiraan yang mudah menunjukkan bahawa jika perwakilan daripada 30 cawangan yang tidak diluluskan dalam empat bahagian tidak diambil kira dalam Perhimpunan Agung, keputusan pemilihan akan mewujudkan suatu jurang undi yang amat tipis antara pemenang dan calon yang kalah.

Pada tahun tersebut, Dr Mahathir Mohamad menang tipis sebanyak 43 undi ke atas Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li), iaitu 761 berbanding 718 undi untuk jawatan Presiden UMNO.

Selepas beberapa siri perbicaraan yang mengambil masa selama tujuh bulan, kes tersebut telah dibicarakan di hadapan Hakim Harun Hashim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Februari 1988. Harun telah memutuskan bahawa di bawah undang-undang, beliau tiada pilihan melainkan mengisytiharkan UMNO sebagai pertubuhan yang tidak sah kerana wujudnya beberapa cawangan yang tidak didaftarkan dan dianggap tidak sah di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Menurut salah seorang UMNO 11, Abdul Rahim Abdul Rahman, keputusan hakim pada masa itu memeranjatkan mereka. Ini kerana UMNO 11 bukan bertujuan hendak mengharamkan UMNO tetapi hanya mahukan supaya keputusan pemilihan dianggap tidak sah dan diadakan semula.

Abdul Rahim berkata mereka mengambil keputusan untuk membawa kes tersebut ke Mahkamah Agung kerana rayuan mereka supaya pemilihan diadakan semula tidak dilayan. Mereka sebaliknya dituduh oleh Dr Mahathir dan Setiausaha Agung UMNO pada masa itu Tan Sri Sanusi Junid sebagai pengkhianat yang bertanggungjawab mengharamkan parti.
Menurut Datuk George Seah, Ketua Hakim Negara pada masa itu, Tun Salleh Abas, sudah membuat keputusan untuk melantik sembilan orang panel hakim untuk mendengar rayuan UMNO 11.

Arahan ini diberi pada 24 Mei 1988 tetapi pada 27 Mei 1988, Tun Salleh Abas berkata beliau telah digantung dari tugasnya bermula pada 26 Mei 1988.
Antara arahan Tun Salleh Abas yang diberikan kepada Pembantu Kanan Registrar dan disaksikan bersama Datuk George Seah dan allahyarham Tan Sri Hashim Yeop Sani adalah untuk mendengar kembali kes UMNO 11 pada 13 Jun 1988.

Dengan penggantungan tugas beliau sebagai Ketua Hakim Negara, kes rayuan UMNO 11 tidak dibicarakan oleh mahkamah yang dijadualkan pada 13 Jun 1988.

Apabila UMNO diharamkan oleh hakim Datuk Harun Hashim beberapa implikasi yang besar telah berlaku di Malaysia. UMNO 11 tidak berhasrat mengharamkan UMNO, parti penyelamat orang Melayu ketika itu. Mungkin Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri tidak menyangka parti UMNO akan diharamkan kerana beliau berdiam diri buat beberapa hari.

Tun Dr Mahathir Mohamad tidak senang semua masalah dalaman parti dibawa ke mahkammah. Masalah parti biarlah diselesaikan dan diputuskan oleh parti, bukan oleh orang luar iaitu para hakim. Sejak kes ini, tidak ada lagi masalah parti dibawa ke mahkamah dan perkara ini turut disokong oleh pelbagai pertubuhan dan parti pembangkang.

Akibatnya UMNO tidak lagi menjadi parti tunjang kepada parti pemerintah iaitu Barisan Nasional. Oleh yang demikian Tun Dr Mahathir Mohamad telah menyerahkan tugas Pengerusi Barisan Nasional kepada Presiden MCA ketika itu , Tun Ling Liong Sik. Dengan itu juga Tun Dr Mahathir Mohamad tidak layak menjadi Perdana Menteri Malaysia kerana parti teras telah diharamkan buat beberapa ketika.

Berlaku kekosongan 'Perdana Menteri Malaysia' buat beberapa hari sehinggalah UMNO Baru ditubuhkan. Menurut tafsiran Perlembagaan Persekutuan , Perdana Menteri Malaysia ketika itu ialah Tun Ling Liong Sik. Walaupun bagaimanapun tidak berlaku perlantikan watikah secara rasmi daripada Yang diPertuan Agung kepada Tun Ling Liong Sik.

Perkataan 'Baru' telah dikaburkan dari Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu ('Baru') kerana menurut tafsiran mahkamah, UMNO lama dan UMNO Baru adalah berbeza, bukan parti yang sama. Pengamal undang-undang memberi tafsiran berbeza-beza sama ada UMNO Baru sama dengan UMNO lama kerana Akta Pertubuhan tidak membenarkan perkara-perkara sebegini diputuskan oleh mahkamah.

Ramai pemimpin , ahli politik dan rakyat Malaysia berasa lega apabila UMNO telah ditubuhkan semula. UMNO II telah menjadi 'kambing hitam' untuk dipersalahkan . Campur tangan pihak eksekutif terhadap penghakiman dirasakan semakin ketara .
Semua aset UMNO lama telah dipindahkan kepada UMNO Baru. Antaranya ialah pejabat UMNO di setiap negeri, bahagian dan cawangan UMNO , Menara Dato Onn , syarikat perniagaan milik UMNO dan lain-lain. Walaupun bagaimanapun harta keseluruhan UMNO tidak dapat dikenalpasti.

Kemungkinan besar Yusof Jamli belum memfailkan saman pemula kerana memikirkan tidak mempunyai sebarang locus standi (hak di sisi undang-undang) kerana dengan membawa tindakan ke mahkamah, maka menurut fasal 20.7 perlembagaan UMNO, dia akan gugur keahlian di dalam UMNO dengan sendirinya.


LAPOR... Yusof membuat dua laporan polis mendakwa berlaku penyelewengan ketika persidangan agung 1 November.


Persoalan yang masih di dalam pertimbangan Yusof Jamli ialah untuk menentusahkan keputusan sama Persidangan Agung UMNO Silam yang diadakan pada 1 Novemer 2008 sah atau tidak adalah suatu keputusan parti yang tidak boleh dicabar disebabkan halangan di dalam Seksyen 18C Akta Pertubuhan.

Dalam pada itu, Mantan Naib Presiden MCA, Datuk Dr Chua Jui Meng mencadangkan agar Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi memberi badan kehakiman kuasa untuk bertindak terhadap parti politik dan perundangan bagi memulihkan keutamaan Parlimen.

Katanya dengan badan kehakiman diberi kuasa untuk bertindak terhadap parti politik, maka tidak ada lagi imuniti parti politik dalam proses undang-undang dan mahkamah.

"Mengetepikan bidang kuasa mahkamah ke atas parti politik seperti yang diperuntukan dalam Seksyen 18c Akta Pertubuhan boleh melindungi penyalahgunaan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin utama parti," katanya dalam satu kenyataan pertengahan 2008.

Beliau memberi contoh kes dakwaan Bahagian MCA Bukit Mertajam terhadap pemimpin-pemimpin parti yang ditolak oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang atas alasan bahawa mahkamah tidak mempunyai kuasa terhadap parti politik.

Bahagian MCA Bukit Mertajam mendakwa kepimpinan parti telah menyalahguna kuasa dengan memasukkan jumlah besar bilangan anggota palsu ke dalam bahagian itu.

Chua berkata Seksyen 18c Akta Pertubuhan "telah menghilangkan kuasa menegur dan mengimbangi yang melindungi hak anggota menerusi badan kehakiman" dan oleh itu, terdapat keperluan untuk meminda akta itu bagi memulihkan bidang kuasa mahkamah terhadap perkara undang-undang berkaitan dengan parti politik.

"Anggota harus dilindungi daripada dipecat kerana mereka mengemukakan aduan ketidakadilan dalam parti kepada mahkamah untuk penghukuman," katanya.

Chua percaya "keutamaan Parlimen harus dipulihkan dengan Eksekutif bertanggungjawab terhadap perkara itu."

"Tiada institusi kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan tidak harus dikecualikan daripada skop Parlimen. Pindaan harus dilakukan kepada semua akta yang tidak memasukkan organisasi ini dari reviu persidangan parlimen," katanya.
Dalam perkembangan lain, Bekas naib presiden Parti Progresif India (IPF) V. Mathiyalagan tidak ada locus standi untuk memfailkan injunksi menghalang Puan Sri Jayashree Gnanapandithan daripada terus berkhidmat sebagai presiden parti itu, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Peguam S.Selvam, yang mewakili Jayashree dan dua defendan lain berkata ini kerana permohonan untuk satu injunksi dan juga writ saman terhadap defandan difailkan oleh Mathiyalagan setelah beliau digantung oleh parti itu pada 12 Nov lepas dan seterusnya dipecat pada Ahad lepas oleh perhimpunan Agung IPF.

Selvam juga mengemukakan bahawa di bawah Seksyen 18B dan 18C Akta Pertubuhan 1966, mahkamah itu tidak ada bidangkuasa untuk mendengar dan melayan permohonan tersebut yang dipohon oleh Mathiyalagan kerana seksyen itu menyebut bahawa keputusan parti politik tersebut adalah muktamad dan konklusif.

Dengan memberikan beberapa contoh kes yang diputuskan Mahkamah Persekutuan, Selvam berkata ia menunjukkan bahawa keputusan parti itu mengenai pelantikan Jayashree sebagai presiden parti janganlah dicabar, dimansuhkan atau dikaji semula oleh mana-mana mahkamah dan dalam sebarang alasan.

Seksyen 18C Bahagian 1A, Akta Pertubuhan 1966 berbunyi;
“Keputusan sesuatu parti politik atau mana-mana orang yang diberi kuasa olehnya atau oleh perlembagaannya atau kaedah-kaedah atau peraturan-peraturan yang dibuat di bawahnya tentang pentafsiran perlembagaan, kaedah-kaedah atau peraturan-peraturannya atau tentang apa-apa perkara yang berhubung dengan hal ehwal parti itu adalah muktamad dan konklusif dan keputusan itu tidak boleh dicabar, dirayukan, dikaji semula, dibatalkan atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan, dan tiada mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk melayani atau memutuskan apa-apa guaman, permohonan, soal atau prosiding atas apa-apa alasan berkenaan dengan kesahan keputusan itu.”

Sehubungan itu, berlakulah sindrom ‘Favoritisme’ di kalangan pemimpin UMNO iaitu untuk menghukum atau membalas dendam terhadap tokoh yang disukai dengan menafikan hak mereka membuat atau memfailkan rasuah sekalipun bukti telah dilambakkan di hadapan mata.

Mereka akan mencari beberapa escapisme untuk melepaskan tokoh yang mereka sokong atau regu pilihan mereka sehingga pengadu bertindak diluar batasan dengan membawa kes ke Mahkamah dan berakhir dengan pemecatan pengadu.

Bagi Sabah, kes favoritisme berlaku hampir di semua kawasan termasuklah Beluran, Sepanggar, Kudat, Maudu, Tenom, Papar, Silam, Batu Sapi, Keningau dan sebagainya sehingga menyebabkan perpecahan di kalangan penyokong masing-masing.

Keenggganan Majlis Tertinggi atau Jawatankuasa Parti meneliti dan mengkaji kemungkinan kebarangkalian terdapat perbuatan sabotaj kepada parti yang dilakukan oleh pihak yang tertutuh atau dituduh memberi kelebihan kepada pihak yang mempunyai hubungan rapat dengan Ketua Perhubungan UMNO Sabah.

Dengan menyerahkan kuasa untuk mendengar atau membuat keputusan menyebabkan ada pihak yang memanipulasi saksi tertentu membuat laporan yang tidak benar dan malafide terhadap satu pihak lagi melalui pelupusan atau pendedahan bukti yang dikemukakan.
Akibatnya, politik wang semakin subur di dalam UMNO kerana rasuah telah dijenamakan juga sebagai iaitu wang politik dan bukannya politik wang.

Kelonggaran ini menyebabkan ramai pihak yang dilapor terlepas daripada tindakan Lembaga Disiplin UMNO sebaliknya pihak yang melapor mengalami nasib malang kerana menjadi buruan politik dan pudar masa hadapan.

Sehubungan itu, kes bantahan UMNO Silam umpamanya sengaja didiamkan dan dikembalikan kepada kebijaksanaan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah untuk menentusahkan persidangan berkenaan atau menolak bantahan yang difailkan secara rasmi lengkap dengan video klip bukti.

Kejayaan Datuk Rubin Balang bertanding sebagai Ketua Bahagian UMNO Tenom memberi tamparan hebat kepada Musa Aman yang memberi Kemenangan Tanpa Bertanding kepada Rizalman.

Namun Kemenangan Tanpa Bertanding Ketua UMNO Marudu, Jelani Hamdan telah dibatalkan dan ditewaskan dengan penuh konspirasi.

Apakah amalan Favoritisme ini akan berkekalan di dalam UMNO menjelang Mac 2009?

No comments: