Search This Blog

Thursday, December 25, 2008

CASH GESA BPR BERTINDAK!


SIKAP lepas tangan Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung isu pengswastaan Pelabuhan Labuan kepada Labuan Liberty Port Management Sdn.Bhd (LLPM) menyebabkan anak syarikat Dewan Perniagaan Melayu Labuan (DPML) itu terlepas daripada tindakan walaupun bukti telah mencukupi.

“Kita tidak tahu apa yang mereka mahu lagi kerana sudah jelas pengswastaan pelabuhan bebas cukai berkenaan dikendalikan secara tidak sah dan pengswastaannya pula membelakangkan Dasar Pengswastaan dan Pengkorporatan Malaysia,” ujar Presiden Persatuan Pengguna Sabah dan Labuan (CASH), Datuk Patrick Sindu, setelah menerima kunjungan lebih 20 peniaga Labuan.

Menurut Patrick, adalah tidak mungkin BPR tidak mengetahui bahawa hanya Jabatan Laut Persekutuan yang mempunyai locus standi untuk meluluskan pengendalian pelabuhan dan bukannya Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG).

Adalah tidak wajar kata Patrick, Pelabuhan Bebas Cukai di Labuan boleh dikendalikan secara bebas dan mendorong berlakunya rasuah dan penyalahgunaan pelabuhan untuk kegiatan penyeludupan kerana Jabatan Kastam hanya memeriksa di pintu keluar dan bukannya di kawasan penempatan kontena yang boleh dimasuki secara bebas daripada jeti dan pantai.

“Caj penggunaan dan kadar harga penyimpanan kontena yang dikenakan terlalu tinggi sehingga membuatkan peniaga terpaksa menaikkan harga barang bagi menampung kos pengangkutan,” ujar Patrick yang telah menemui pegawai BPR beberapa kali namun tidak ada sebarang tindakan dilakukan.

Sehubungan itu, Patrick merayu Ketua Pengarah BPR agar membuka semua fail aduan Jawatankuasa Pengguna Pelabuhan dan mengarahkan pegawai kanan menjalankan siasatan berhubung pengswastaan Pelabuhan Labuan yang tidak mengikut peraturan.

“Jika hal ini tidak dapat diselesaikan dengan baik, saya fikir Penubuhan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia tidak banyak membantu,” ujar Patrick yang jelak kerana pihak penguatkuasa bersekongkol dengan mereka yang menyalahguna kelonggaran undang-undang untuk membuat keuntungan daripada kesengsaraan rakyat.





Kata Patrick lagi, surat arahan Ketua Pengarah Aduan Awam, Jabatan Perdana Menteri tidak dipatuhi dan diabaikan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) yang masih membenarkan LPPM mengendalikan Pelabuhan Labuan atas dasar bulan ke bulan.

“Kalau BPA pun tidak laku, kita tidak tahu mahu mengadu kepada siapa lagi,” kata Patrick yang turut menerima aduan ramai penduduk Labuan terpaksa membeli barang keperluan di Kota Kinabalu kerana harga barang di Labuan meningkat lebih 30 peratus sehingga membebankan penduduk Labuan.

2 comments:

lbnsabahan said...

What the BPR peoples doing????
Wasting TAX PAYERS money!!!!!
Pitty Malaysian rakyat!!!!

sabahanlbn said...

BPR are BN's political tools to punish opossition politicians and tagget ikan bilis only!!