NOTA MAKLUMAN
Seorang HAMBA ALLAH yang sedang membuat PHD di Australia meminta EHSAN kawannya menghubungi saya merayu agar BAB 1 Buku saya bertajuk "007-LELAKI MALAYSIA TERAKHIR? dimasukkan ke dalam blog ini kerana amat perlu untuk memahamkan rakyat Sabah betapa pentingnya membaca buku yang mengandungi 19 Bab ini. Atas komitmen saya sebagai penulis, saya menghadiahkan bab ini untuk bacaan rakyat Sabah.
BAB 1 TINTA PENGARANG
“Lelaki sebenarnya bukanlah Lelawa semata-mata sebaliknya komitmen dan keberanian memperjuangkan ibupertiwi tanpa mengharapkan sebarang balasan sekalipun ianya dilakukan seorang wanita.”
MUTALIB M.D
Pengarang
007-LELAKI MALAYSIA TERAKHIR? bukanlah filem tetapi tajuk buku terbaru saya ini bagi mengupas isu Pendatang Asing Tanpa Izin yang meranjau masa hadapan negara yang kita cintai secara naratif dan komprehensif.
Tidak semua Lelaki itu adalah lelaki dan tidak semua wanita itu wanita. Di dalam setiap tubuh manusia terdapat kromosom Y dan X iaitu faktor yang menjadikan seseorang itu lelaki atau wanita secara sifat dan bukan pengertian lelaki sebenarnya.
Mungkin agak sukar untuk mencari siapakah 007-Lelaki Malaysia Terakhir? berbanding menonton filem James Bond 007 yang diasaskan Ian Fleming.
Kebanyakan tokoh yang layak digelar Lelaki Malaysia mungkin telah tiada lagi di dunia, namun mungkinkah telah berganti?
Lelaki Malaysia yang saya maksudkan bukannya semata-mata rakyat Malaysia menurut tafsiran Perlembagaan Persekutuan, namun Lelaki Malaysia menurut semantik dan apresiasi masyarakat majmuk Malaysia.
Mereka yang berjuang dan mengharapkan balasan dan menggelarkan diri mereka sebagai pemimpin bukanlah Lelaki Malaysia sebaliknya ‘Iblis’ yang bersarang di dalam tubuh Manusia.
Ramai lelaki tanpa segan silu mengaku sebagai Lelaki Malaysia namun telah menjadikan diri mereka gurkha, algojo, barua dan petualang negara dengan merompak hak rakyat dengan jawatan yang ada kepada mereka dan menjadikan rakyat sebagai kayu api untuk menanak nasi hidangan mereka.
Tumpuan saya mencari 007 Lelaki Melayu Terakhir hanya dalam bidang ketatanegaraan dan kedaulatan negara daripada segala bentuk pencerobohan dan kegiatan subversif yang mengancam keselamatan negara.
Bukanlah mudah untuk mengesan Lelaki Malaysia Terakhir yang sanggup menggadaikan nyawanya untuk negara yang tercinta mengikut kemampuannya tanpa mengharapkan sebarang balasan daripada kerajaan atau makhluk melainkan pasrah kepada ketentuan Illahi.
Tidak ada gunanya menggelar diri kita sebagai Lelaki Malaysia jika kita terlalu bacul untuk memerangi kezaliman dan petualang bangsa yang meletakkan Bangsa Malaysia di ambang kehancuran atau kepupusan akibat hakisan identiti dan jati diri.
Masihkah kita boleh menggelarkan diri kita sebagai Lelaki Malaysia jika kita membiarkan pendatang asing memasuki negara kita daripada segenap penjuru tanpa ada sesiapa yang berani menghalang?
Saya tertarik dengan komen seorang Lelaki yang menamakan dirinya sebagai PHILIP H apabila dengan penuh rasa keinsafan menulis madah yang tidak terfikir oleh Menteri Dalam Negeri atau Perdana Menteri Malaysia;
“Bayangkan tanahair sendiri, seperti rumah sendiri, yang dicerobohi pendatang asing, umpama orang luar yang memasuki rumah sendiri TANPA izin tuan punya rumah, berkelakuan buruk dan duduk atau terlantar di atas sofa Lorenzo yang mahal dan berkualiti, berludah di atas karpet yang cantik, merampas remote dan menonton Astro pada rancangan kesukaannya, kencing di dapur di tempat kita menyediakan makanan, serta TIDUR BERTELANJANG DI ATAS KATIL tuan punya rumah. Jika ANDA adalah TUAN PUNYA RUMAH, apakah perasaan anda? Fikir-fikirkan, dan renung-renungkanlah....”
Walaupun kita tidak mengenali Philip H, namun beliau mungkin Lelaki Malaysia Terakhir yang kita nanti-nantikan bagaikan pengikut Aurah Muhammadiah yang kebanyakannya pengikut Jemaah Al-Arqam yang diharamkan menunggu kemunculan Imam Mahdi yang belum menjelma.
Antara Imam Mahdi dan Lelaki Malaysia Terakhir adalah dua Lelaki yang berlainan kerana Lelaki Malaysia Terakhir tidak boleh menjadi Imam Mahdi, tetapi Imam Mahdi mungkin boleh menjadi 007-Lelaki Malaysia Terakhir jika sekiranya dia ditakdirkan muncul di Malaysia.
Buku ini bukan novel satira, sebaliknya rakaman peristiwa dan dunia lelaki yang dirakam dan dipapah turun dalam bentuk buku supaya menjadi panduan seluruh lelaki di Malaysia.
Dengan membiarkan warga asing memperkosa bumi Malaysia secara wewenang, saya tidak tahu apakah kita layak digelar atau menggelarkan diri kita sebagai Lelaki Malaysia?
Jika Mat Salleh, Mat Saman, Rundum, Sarjan Korom dan Komunta sanggup menentang Inggeris demi mempertahankan tanah ibu pertiwi daripada penjajah Inggeris, namun kita hari ini hanya membiarkan sahaja segala bangsa asing berdiri tegak di bumi kita tanpa rasa bersalah.
Tanah merdeka lagi bertuah ini semakin kehilangan daulatnya apabila boleh dipijak oleh sesiapa sahaja tanpa meminta izin daripada pemiliknya sekalipun kita meletakkan Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang sebagai rukun yang ketiga dan keempat dalam hiraki Rukun Negara kita.
Jika Tunku Abdul Rahman membuka pintu kepada dasar pecah dan perintah Inggeris yang memberikan pra-syarat agar menerima Orang India dan Cina atau sebarang bangsa yang berada di Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura sebagai Warganegara Malaysia atas dasar Jus Soli jika ingin merdeka, namun setelah merdeka, kita membuka pintu yang terlalu luas sehingga tidak lagi mampu dikatup.
Namun saya bersyukur kerana Perkara 14(1) (b) telah dipinda pada September 1962 untuk mengetatkan sedikit takrif kerakyatan yang diarkitekkan oleh British iaitu formula Jus Soli.
Pindaan tersebut seperti berikut;
“Bahawa kanak-kanak yang ibubapanya bukan Warganegara Persekutuan atau Pemastautin Tetap tidak akan menjadi warganegara dengan cara kuatkuasa undang-undang walaupun mereka lahir di Persekutuan.”
Pindaan dibuat untuk mengelakkan seorang perempuan yang mengandung masuk dan melahirkan anak di Persekutuan agar mendapat taraf warganegara.
Rakyat asing yang berpusu-pusu masuk tanpa izin ke Malaysia telah menjadikan kita keliru apakah Malaysia masih milik kita jika bangsa lain telah menjadi warganegara songsang dan berhak mendapat apa yang kita warisi daripada nenek moyang kita.
Kini ramai anak pendatang asing telah bernikah dengan anak kita dan kita terpaksa menerima benih tanpa identiti atau warga terapung yang akan menghilangkan status kita sebagai Warganegara Tulen Malaysia.
Malaysia bukan lagi milik Melayu kerana Perlembagaan Persekutuan hanya menggelarkan penduduk asal yang beragama Islam sebagai Orang Melayu, keturunan Cina sebagai Orang Cina dan keturunan India sebagai Orang India.
HORMAT…. Edham Abdul Karim, anak jati Kinabatangan menyeru agar para pemimpin negara menghormati Perlembagaan Persekutuan dalam urusan pemberian Kerwarganegaraan.
Dalam artikel 160 Perlembagaan Persekutuan, ‘Melayu’ ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat istiadat Melayu dan;
a) lahir sebelum hari Merdeka (31 Ogos 1957) di Persekutuan atau di Singapura atau ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan atau di Singapura atau pada hari Merdeka itu ia adalah berdomisil (bermastautin) di Persekutuan atau di Singapura; atau
b) dan ia adalah keturunan seseorang yang tersebut.
Manakala bagi kita di Sabah, mengikut artikel 161A (6) dalam perkara ini ‘bumiputera’ ertinya;
a) Mengenai Sarawak, seseorang warganegara dan ianya adalah seorang dari mana-mana satu kaum yang dinyatakan dalam Fasal (7) sebagai kaum asli negeri itu atau ianya adalah seorang yang berketurunan campuran yang berasal hanya daripada kaum-kaum itu; dan
b) Mengenai Sabah, seseorang warganegara dan ianya adalah anak atau cucu kepada seseorang dari suatu kaum asli Sabah dan telah lahir (sama ada atau tidak selepas Hari Malaysia) di Sabah atau bapanya, pada masa ia lahir itu adalah berdomisil di Sabah.
Sarawak beruntung kerana Artikel 161A (7) menyebut bahawa;
“Kaum-kaum yang akan disifatkan sebagai asli bagi Sarawak bagi Maksud-maksud takrif ‘bumiputera’ dalam fasal (6) ialah Bukitan, Bisayah, Dusun, Dayak Laut, Dayak Darat, Kadayan, Kalabit, Kayan, Kenyah (termasuk Sabup dan Sipeng), Kajang (Sekapan, Kejaman, Lehanan, Punan, Tanjung dan Kanowit), Lugat, Lisum, Melayu, Melano, Murut, Penan, Sian, Tagal, Tabun dan Ukit.”
Namun amat malang sekali apabila Perlembagaan Persekutuan tidak langsung menyatakan siapakah bumiputera atau anak negeri Sabah selaras dengan Fasal 161A (7) yang hanya dikhaskan untuk Sarawak sehingga rakyat Sabah tercari-cari identiti.
Oleh kerana itu, Sabah mengalami ledakan budaya dan kebingungan menentusahkan siapakah bumiputera atau anak negeri kerana tidak dinyatakan secara jelas di dalam Perlembagaan Persekutuan. Mungkin ada cerita di sebalik enigma ini?
Merujuk kepada Defination Of Native Ordinance Cap. 64 of The Law Of Sabah, taraf Anak Negeri dan kerakyatan ditakrifkan di dalam Kedua-dua fasal ini bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia, namun telah diterima pakai sehingga kini;
“Any person who is ordinarily resident in Sabah, is a member of a people indigenous to the Republic of Indonesia or Sulu Group of Island in The Philippine Archipelago or the state of Malaya or The Republic of Singapore, has lived as and been a member of a native community for a continuos period of five years immediately proceeding the date of his claim to be a native, has borne a good character through-out that period and whose stay in Sabah not limited under any of the provisions of the Immigration Act, 1959/ 63.” [Sec. 2 (1) (d)]
“Native Community” means any group or body or persons the majority of whom are natives within the meaning of paragraph (a) of Sub-Section (1) and who live under the provisions of the Rural Government Ordinance or of a Native Chief or Headman appointed under the provision of the ordinance.” [Sec 2 (2) (b)]
Kelonggaran tafsiran ini menyebabkan sesiapa sahaja boleh mendakwa diri mereka Anak Negeri kerana tidak dinyatakan secara jelas kaum atau keturunan etnik seperti Sarawak.
Oleh kerana itu sesiapa sahaja yang berasal daripada Republik Indonesia, rangkaian pulau Sulu di Kepulauan Filipina, Tanah Melayu atau Republik Singapura yang tinggal berterusan selama lima tahun, mengamalkan adat istiadat anak negeri dan berkelakuan baik boleh memohon dan diterima menjadi Anak Negeri Sabah.
Mungkin tidak ada siapa yang dapat memberikan jawapan kenapa 20 Ahli Parlimen Sabah (kini 25 orang) bagi setiap penggal pilihanraya GAGAL mengesyorkan Pindaan Perlembagaan Persekutuan terhadap Fasal 161A dengan memasukkan takrif bumiputera atau Anak Negeri bagi Sabah dan Labuan.
Walaupun Rang Undang-Undang berhubung Hakmilik Anak Negeri Labuan diluluskan Dewan Rakyat pada 2006, namun tidak ada Ahli Parlimen yang meminta dinyatakan takrif Anak Negeri mengikut konteks Perlembagaan Persekutuan.
Mengikut tarsiran Rang Undang-Undang 33/2006, ‘Anak Negeri’ mempunyai erti yang sama yang diberikan kepadanya dalam Seksyen 2 Ordinan Tafsiran (Takrif Anak Negeri) 1952 [Sabah Bab 64] sebagaimana terpakai bagi Wilayah Persekutuan Labuan menurut kuasa Perintah Wilayah Persekutuan Labuan (Pengubahsuaian Ordinan Tafsiran (Takrif Anak Negeri)) 1984 [RU. (A) 171/1984];
Adalah tidak keterlaluan jika kita berkata bahawa inilah ‘Grand Design’ yang dibuat oleh Pemimpin Persekutuan sebagai persediaan untuk ‘menjajah Sabah’ yang terkenal dengan ‘Lelaki Berani’ yang MENUDING JARI mencabar Ketuanan Melayu pemimpin UMNO dan cuba menanam Ketuanan Anak Negeri Sabah yang tidak termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sukarkah untuk memasukkan klausa takrif Anak Negeri atau Bumiputera bagi Sabah selaras dengan Fasal 161A (7) yang hanya dikhaskan untuk Sarawak?
Di awal penglibatannya dalam politik, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad juga menyedari hal ini sehingga mengeluarkan bidasan yang pedas pada tahun 1970 yang antara lain menyebut;
“..tiba-tiba mula jelaslah kepada orang Melayu bahawa dia tidak lagi dapat memanggil Tanah Melayu buminya. Tidak ada lagi Tanah Melayu :- Tanah untuk orang Melayu.” Dia sekarang seorang yang berlainan, seorang Malaysia, tetapi seorang rakyat Malaysia berbangsa Melayu yang kuasanya di Tanah Melayu, buminya sekarang ini bukan sahaja sama-sama dikongsikan dengan bangsa-bangsa lain, tetapi dikongsikan dengan tidak sama rata dan seolah-olah inipun tidak mencukupi, dia diminta pula untuk melepaskan dengan lebih banyak lagi kuasa yang ada padanya.”
Menurut Dr Mahathir, soal-soal hak istimewa bagi sesuatu kaum tertentu tidak boleh dimaafkan pada masa memulakan pembangunan sesuatu negara, tetapi jika tempoh hak istimewa tidak disekat, atau skop hak istimewa tidak ditentukan dengan jelas, maka pertikian yang berlanjutan mungkin berbangkit di kemudian kelak.
Berkenaan dengan pemberian hak istimewa dan mereka yang tidak mempunyainya berada di dalam kedudukan yang bertentangan, suatu sebab yang mungkin terjadi punca saling tidak mempercayai dan benci di kalangan rakyat.
Oleh itu tidak hairan jika Dr Mahathir menekankan bahawa golongan pendatang yang diberi taraf kerakyatan Jus Soli ini;
”... akan campurtangan dalam bidang politik pula dan mereka akan menentukan siapa yang akan membentuk kerajaan di negara kita. Kita sudah lihat ini berlaku di negara-negara lain di mana mereka menaik dan menjatuhkan kerajaan sesuka hati mereka....”
Namun akhirnya, Mahathir sendiri yang merekrut mereka melalui jalan songsang demi untuk mendapatkan kuasa politik di Sabah dan mempertahankan kuasa tersebut sampai bila-bila.
Dalam keadaan terkejut dengan kebanjiran rakyat asing di Malaysia yang diberi hak kewarganegaraan songsang, Mahathir masih sempat mengingatkan rakyat dengan formula berikut;
“Untuk mencapai kesamarataan maka bangsa-bangsa yang sungguh berlainan ini (orang Melayu & China) perlulah menyesuaikan diri antara satu sama lain. Undang-undang tidak dapat melakukannya. Ini hanya dapat dicapai melalui persefahaman, masa dan rasa muhibbah. Persefahaman dan rasa muhibbah pula hanya boleh dicapai jika pengertian kesamarataan kaum difahami oleh kesemua yang berkenaan.”
Sejajar dengan Fasal (1) Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi;
“Perlembagaan ini ialah undang-undang tertinggi bagi Persekutuan dan mana-mana undang-undang yang dibuat selepas daripada hari merdeka yang bertentangan dengan perlembagaan ini maka setakat mana pertentangannya, di sinilah terbatalnya undang-undang itu.”
Persoalannya adakah ‘Perlembagaan’ telah digantung apabila tafsiran bangsa dan kaum pribumi diserahkan kepada Kerajaan Negeri yang memerintah sedangkan ianya tidak ‘diangkat’ seba-gai hak yang tidak boleh dicabar kerana diperuntukkan di dalam Fasal 161A (7) Perlembagaan Persekutuan.
Apakah Kerajaan BN telah menjadikan Perlembagaan Persekutuan sebagai aksesori dan hiasan di bingkai pemerintahan yang mengamalkan corak pemerintahan ‘Authoritarian’?
Apakah wajar jika kita meletakkan semua kesalahan ini kepada DYMM Yang di-Pertuan Agong semata-mata kerana Fasal 153 (1) Perlembagaan Persekutuan menyebut;
“Adalah menjadi tanggung jawab Yang diPertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera mana-mana negeri-negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan perkara ini.”
Saya merafakkan sembah agar Lelaki Pertama Negara, DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sudi memperkenan dan mencemar Duli memastikan hak istimewa orang Melayu dan bumiputera di Sabah dipulihara oleh Kerajaan Barisan Nasional dan tidak ada rakyat asing ‘difaraidkan’ kerakyatan Malaysia tanpa melalui proses undang-undang.
Begitu juga, Perdana Menteri Malaysia yang menjadi Lelaki Kedua Negara dari segi hiraki namun Lelaki Pertama Negara dari segi legislatif, diharap akan menjadi 007-Lelaki Malaysia Terakhir yang akan memartabatkan hak rakyat Malaysia, mendaulatkan Ketuanan Melayu dan Ketuanan Anak Negeri di Sabah.
Sejajar dengan peri pentingnya Perlembagaan sesebuah Negara membuatkan seorang cendikiawan Melayu, Syed Hussien Alatas berpesan;
“Perlembagaan ialah satu piagam kecil bagi sebuah negara, sama seperti piagam PBB ia menyatakan persetujuan mengenai dasar-dasar yang dijunjung oleh sistem politik, parti dan ideologi yang berlainan. Sungguhpun perumusannya begitu mudah. Rukun Negara bertujuan untuk berfungsi sebagai carta pelaut di lautan bergelombang.”
Krisis Perlembagaan ini membuatkan isu pendatang asing dan kewarganegaraan songsang ini mungkin sukar untuk diselesaikan kerana telah diakuterima sebagai ’X-Files’ Kerajaan Persekutuan.
Pendedahan yang dibuat Mantan Ketua Menteri Sabah, Datuk Harris Salleh bahawa;
”Kerajaan Persekutuan boleh mendaftar mana-mana pendatang dalam masa tiga minit, tiga jam, tiga bulan atau tiga tahun. Tidak ada undang-undang yang menetapkan tempoh dan jika Kerajaan Persekutuan ingin mengubah corak mengundi di Sabah untuk selamanya, maka ia boleh dilakukan semudah menandatangani dokumen.”
Kenyataan Harris ini tidak pernah dicabar oleh mana-mana pihak dan dibuktikan apabila beliau berjaya mendaftar pendatang asing tanpa izin sebagai rakyat Malaysia dengan persekongkolan Datuk Seri Megat Junid Megat Ayub (Allahyarham) sebagaimana yang didedahkan oleh Hassnar M.P.Ebrahim di dalam buku IC Projek Agenda Tersembunyi Mahathir, ’Justice For Sabah’ dan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu dalam Petisyen Pilihanraya Likas 1999.
HASSNAR M.P EBRAHIM
Hassnar yang masih teguh dengan pendiriannya yang tegar memberikan kenyataan kepada polis menegaskan hanya akan bercakap di mahkamah terbuka sudah tentunya ada rahsia yang masih tersimpan rapi di dalam tangannya.
Ketika menghakimi Petisyen Pilihanraya Dewan Undangan Negeri Likas, Hakim Datuk Muhammad Kamil Awang dalam penghakimannya mengatakan bahawa;
”Pemimpin politik telah menyalahguna kuasa dan bertanggung jawab membenarkan dan merekrut warga asing di Sabah memiliki kad pengenalan sehingga membolehkan mereka mendaftar sebagai pemilih berdaftar, bukannya untuk kepentingan negara, sebaliknya kepentingan peribadi. Allah telah berikan saya kekuatan tanpa rasa bersalah atau takut untuk menjadi hakim sejati dan bukannya PAK TURUT.”
Mantan Pengarah Pendaftaran Sabah, Haji Sani Adnan yang tidak bersetuju dengan arahan Megat Junid merekrut pendatang asing tanpa izin sebagai rakyat Malaysia dan pemilih berdaftar merupakan saksi penting petisyen pilihanraya berkenaan yang ’dipadamkan’ sebelum memberi keterangan di dalam Petisyen Pilihanraya Dun Likas di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.
’Pembunuhan’ misteri Haji Sani di sebuah bilik hotel yang masih menjadi misteri sehingga kini hampir melumpuhkan semangat Datuk Muhammad Kamil Awang, namun ’roh dan keberanian’ Haji Sani berkata ’tidak’ kepada Megat Junid dan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohammad telah memberikan dorongan kepada ’minda bawah sedar’ beliau sehingga memutuskan pilihanraya berkenaan tidak sah kerana dicemari ’pengundi hantu’ dan ramai warga asing telah diberikan kerakyatan secara tidak sah untuk kepentingan politik.
’Syahid’nya Haji Sani ketika mempertahankan negara daripada kegiatan subversif yang dilakukan pemimpin negara telah mem-buatkan rakyat Sabah sedar bahawa Haji Sani adalah 007-Lelaki Malaysia Terakhir yang terpaksa dibunuh untuk menutup rahsia.
Walaupun ’Kewafatan’ Haji Sani sebagai Pejuang Negara tidak pernah dicatat sebagai Peristiwa Hari Ini Dalam Sejarah, namun doa rakyat Sabah daripada pelbagai anutan agama telah sampai ke sidratul muntaha agar roh Haji Sani ditempatkan di kalangan roh orang beriman dan masuk ke syurga tanpa sebarang hisab.
Kini hanya tinggal Datuk Muhammad Kamil Awang yang mungkin layak digelar 007-Lelaki Malaysia Terakhir di tengah kemelut institusi Kehakiman Malaysia yang memalukan negara berikutan pendedahan pelbagai skandal kehakiman termasuk Skandal Pita Video Linggam.
Pendedahan seorang lagi bekas tahanan ISA, Haji Jabar Khan Napi @ Yasser Arafat juga tidak pernah disangkal mana-mana pihak walaupun kenyataannya disiarkan di akhbar Harakah dan Internet berhubung penglibatan langsung Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Haji Aman merekrut 82,000 pendatang asing tanpa izin sebagai ahli UMNO dan pemilih berdaftar sekitar 1992 hingga 1993 yang kini menjadi kumpulan majoriti di dalam UMNO Sabah.
Mungkinkah Musa Aman juga layak digelar sebagai 007-Lelaki Malaysia Terakhir sekalipun diwar-warkan sebagai generasi pertama keturunan Pakistan yang telah berjasa kepada UMNO sehingga Sabah berada di dalam ’jajahan takluk’ UMNO melalui ’ahli yang disewa’ daripada Indonesia, Filipina, Pakistan, India dan sebagainya.
Musa telah membuktikan bahawa walaupun bapanya berasal dari Pakistan, namun darah Gunsanad Kina masih kental mengalir di dalam tubuhnya yang merupakan generasi ketujuh.
Apakah Pak Lah merestui kegiatan subversif Jabar, Zulkifli dan Karim?
SULTAN... Datu Akjan (belakang tiga dari kiri) bersama Sultan Sulu (songkok)?
Dalam keriuhan pemimpin Parti Bersatu Sabah dan NGO mencanangkan isu kerakyatan songsang secara berterusan dan berkala bergantung kepada keperluan, Perdana Menteri secara selamba menganggap dakwaan tersebut sebagai tidak tepat, diada-adakan dan fitnah membabi buta terhadap jentera kerajaan.
Pak Lah mungkin mengetahui kewujudan skandal IC Projek ini kerana beliau kenal benar dengan ’Kontraktor Membekal Tenaga Manusia Untuk Pilihanraya’, Datu Akjan Datu Ali Mohammad yang menjadi tokoh politik yang terkenal setiap kali menjelang pilihanraya kerana berkeupayaan membekalkan pengundi.
'PROFESSOR' DATU AKJAN DATU ALI MOHAMMAD
Walaupun buku saya bertajuk IC PROJEK-Agenda Tersembunyi Mahathir?, IC PALSU Merampas Hak Anak Sabah dan Pengundi Untuk Disewa telah dibaca dan dibentangkan di parlimen namun belum ada pihak yang berani tampil untuk menyaman atau menafikan kebenaran kandungan buku berkenaan.
Memandangkan Melayu bukan lagi ‘Bangsa’ sebaliknya ditakrifkan sebagai kaum atau etnik kerana Perlembagaan Persekutuan hanyalah mengiktiraf ‘Bangsa Malaysia’ sebagai Warganegara Persekutuan sehingga kita semakin nanar.
Saya tidak mempunyai masalah dengan Datu Akjan atau cemburu dengan kejayaannya yang hidup senang hasil kegiatan subversif sehingga muncul sebagai jutawan dan mendakwa sebagai orang yang paling rapat dengan Pak Lah semata-mata kerana menerajui PEKIDA Sabah, kononnya persatuan brainchild Pak Lah!
RASMI… Chong Kah Kiat turut memotong riben sambil disaksikan Akjan yang suatu ketika dahulu musuh ketat Chong Kah Kiat.
Layakkah Akjan yang sering memandu Ferari digelar 007-Lelaki Malaysia Terakhir sedangkan beliau mendapat kerakyatan secara songsang dan menjadi ‘petualang negara’ dalam kegiatan menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong?
MORO... Kumpulan pejuang Islam MORO ini memperjuangkan pembebasan Selatan Mindanao sebelum Kumpulan Abu Sayaff mencemarkan kesucian MORO. Ramai di antara mereka kini ’dianugerahkan’ kerakyatan Malaysia.
Dalam kebingungan kita mencari identiti 007 Lelaki Melayu Terakhir, ada baiknya kita merenung pendapat Oppenhiemer yang menjalankan kajian saintifik genetik (DNA) sebagai katalis untuk membukti secara ilmiah dan bukannya berdasarkan teori bahasa yang digunapakai oleh ahli antropologi dan sosiologi sebelum ini untuk mengkaji rumpun etnik atau pertalian sesuatu bangsa.
Oppenhiemer berpendapat;
“Hujah utama saya ialah genetik, bukan linguistik. Tetapi saya mahu memberikan gambaran sebenar. Bukti genetik menafikan hal ini. Sebahagian besar daripada penduduk Asia Tenggara ialah Orang Melayu, Borneo, Sumatra, Jawa dan Filipina. Saya menegaskan di sini bahawa asas kajian asal usul orang Polynesia-Kromosom Y. Para penyelidik dari Cincinnati, Houston, Stanford, Rhode Island dan Universiti Oxford membuat kesimpulan Asia Tenggara menjadi pusat genetik untuk dua penghijrahan di dalam sejarah, satu ke Taiwan dan satu lagi ke Polynesia. Para penyelidik mendapati Motif Polynesia (petanda material) 19 penanda ‘bialelic’ pada kromosom Y (satu sistem penanda daripada bapa) di kalangan 551 orang daripada 36 rumpun penduduk Asia Tenggara, Taiwan, Micronesia, Melanesia dan Polynesia. Yang mengejutkan, hampir tiada langsung kromosom Y haplotype dari Taiwan yang terdapat di Polynesia. Sebaliknya semua haplotype yang terdapat di kalangan orang Polynesia, Micronesia dan Taiwan terdapat pada penduduk Asia Tenggara”
Sehubungan itu, 007 Lelaki Malaysia Terakhir adalah berunsur futuristik dan tidak mungkin kita temui dalam waktu terdekat kera-na umum berpendapat masih belum muncul seorang Lelaki Malaysia di Abad ke 21 ini.
Grafik Kulit buku Lelaki Malaysia Terakhir ini hanyalah rekaan futuristik penulis dan tidak mencerminkan keadaan sebenar identiti tokoh. Serban dan janggut bukanlah bertujuan menghina tetapi ianya menjadi lambang Kelelakian Sebenar?
Menurut Raja Blogger Malaysia, Raja Petra Kamarudin, TIDAK ADA pemimpin di Malaysia hari ini yang layak dilabelkan sebagai LELAKI MALAYSIA kerana amat malang sekali, pemimpin yang berkaliber sudah tidak ada lagi di dunia ini.
Mereka yang layak dikategorikan sebagai LELAKI MALAYSIA seperti Tun Dr Ismail, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Ismail Ali dan sebagainya, terutama mereka yang berjuang untuk mencapai kemerdekaan negara ini dan meletakkan negara dan bangsa mengatasi diri mereka sendiri.
Kata Raja Petra, dunia telah berubah. Hari ini, semuanya mementingkan kemewahan dan kebendaan. Oleh itu tidak hairan jika masalah rasuah dan penyalah gunaan kuasa menggila di Malaysia.
”Saya tidak lagi berbangga menjadi rakyat Malaysia. Saya malu menjadi rakyat Malaysia dan berada di Malaysia. Saya tidak pernah terfikir semua yang hidup hari ini di bumi Malaysia layak diberi gelaran LELAKI MALAYSIA. Semua yang layak telah lama meninggalkan kita. Secara serius saya tidak perlu menjelaskan secara terperinci kerana saya maklum semua faham apa yang saya maksudkan dengan terminologi LELAKI MALAYSIA,” ujar Raja Petra dalam satu wawancara khas dengan beliau.
Saya memplotkan buku ini secara wawancara untuk mencungkil intipati Lelaki Malaysia daripada setiap tokoh secara tidak langsung dan anehnya semua tokoh berkenaan memberikan jawapan yang benar-benar ‘Lelaki’ atau ‘Maskulin’ tanpa gentar kepada musibah yang bakal menyusul jika tokoh yang mereka kritik akan bertindak balas.
Buku 007-Lelaki Malaysia Terakhir ini diadun secara eksperimental dan futuristik kerana Malaysia kini mengalami tsunami identiti akibat penghijrahan semua bangsa dan kahwin campur sehingga sukar untuk mencari identiti seorang lelaki Malaysia.
BERANI… Azizul Sanarul, satu-satunya Ketua Cawangan UMNO Sabah yang berani menghantar surat terbuka kepada Musa Aman dan menyerahkan kem-bali pingat A.S.D.K yang diterimanya. Apakah beliau layak menjadi 007-LMT?
LELAKI… Ramai yang tertanya-tanya apakah AMT UMNO benar-benar lelaki atau hanya sekadar berlelawa Lelaki walaupun berjiwa wanita? Jika mereka lelaki, kenapa gagal memartabatkan maruah dan menunaikan janji?
GAGAH… Mohd Lajim Ulama bangga dengan kehebatan Sultan Pahang, Sul-tan Haji Ahmad Shah Al-Musta`in Billah ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri`Ayatuddin Al-Mu`adzam Shah yang menyunting rakyat Pakistan sebagai Permaisuri. Apakah baginda layak menjadi 007-Lelaki Malaysia Terakhir?
JANTAN… Kejantanan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein terletak pada ke-ris hikmatnya yang mungkin setanding dengan Taming Sari?
Saya menjadikan diri saya sebagai contoh. Bapa saya adalah seorang Patani (Thailand) dan ibu saya kental dengan adat perpatih daripada etnik Minangkabau. Sehubungan itu saya berketurunan Patani kerana mengikut nasab ayah saya. Isteri pertama saya ber-keturunan Bugis-Suluk-Arab, isteri kedua berketurunan Bajau-Suluk. Namun dalam sijil lahir saya dan anak-anak saya, kami berbangsa Melayu dan bukannya Malaysia!
Mampukah anak bungsu saya, Mahathir Mohammad M.D menjadi 007-Lelaki Malaysia Terakhir sekiranya dia berbangsa Melayu dan bukannya Malaysia?
Sehingga hari ini, saya belum pernah melihat sebarang surat beranak yang mencatatkan Bangsa Malaysia sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan bagi membuktikan bangsa anak yang dilahirkan di Malaysia.
Lebih malang lagi jika kewarganegaraan seorang anak itu ‘Belum Ditentukan’ semata-mata kerana ketiadaan rekod ibu bapa atau kerana salah seorang ibu atau bapanya warga asing.
BUNG KARNO
Saya terpukau dengan ungkapan Bung Karno atau Sukarno, Presiden Pertama Indonesia apabila beliau menyebut;
“Di setiap negeri di mana pantainya ada pohon kelapa yang melambai maka di situlah wujudnya saudara sebangsa denganku bernama Melayu. Itulah duniaku dunia Melayu yang gagah perkasa di seluruh Nusantara. Bangsaku bangsa Melayu biarpun terpisah oleh gagasan percaturan politik penjajah namun garapan kasih sayang sesama sebangsa tetap subur kerana seluruhnya terhimpun dalam sebuah empayar besar bernama dunia Melayu.”
Bung Karno juga pernah mengungkapkan bahawa;
“Di mana nyiur melambai, kerbau berkubang, padi menghijau, itulah tanah airku, dari Sabang ke Madagaskar.”
Mungkin kata-kata keramat inilah yang tersemai dan bercambah tumbuh di dalam minda pemimpin Melayu di Malaysia yang mendominasi UMNO sehingga tergamak ‘memfaraidkan’ kewarganegaraan songsang kepada warga Indonesia kerana serumpun, sebudaya dan seagama!
Bak kata Bung Karno;
“Berikan aku seribu orang tua, aku hanya boleh menggoncang Gunung Mahamiru. Berikah aku 100 pemuda, aku bisa menggoncang dunia.”
Maka kegiatan merekrut pemuda Indonesia, Filipina, Pakistan dan India yang berusia 21 tahun ke atas mendasari intipati perjuangan UMNO mendaulatkan Ketuanan Melayu di Sabah sehingga Harris Salleh dan Musa Aman bukan sahaja mampu menggoncang Gunung Kinabalu, malah mampu menawan tampuk pemerintahan Sabah sekalipun berasal daripada kumpulan minoriti.
Untuk berlaku adil, saya tidaklah sampai hati menuduh Harris Salleh dan Musa Aman sebagai ‘murtad’ dan ‘tidak beriman’ kerana terlibat secara langsung merekrut warga asing yang diberi kerakyatan songsang sehingga menghakis hak mutlak anak negeri.
Musa Aman dan Harris Salleh hanya muncul sekejap dalam sejarah IC Projek di Sabah, tetapi puncanya daripada sistem perintahan Authoritarian yang diamalkan di Malaysia apabila ‘Perintah Perdana Menteri Malaysia’ menjadi undang-undang yang wajib dipatuhi oleh pelaksana danm penguatkuasa Undang-Undang di Malaysia.
Harapan kita kini hanya pada Allah yang akan memberikan ilham kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, sejajar dengan kedudukannya sebagai cucu seorang ulama yang kini menjadi ullil amri.
Walaupun Abdullah tidak mampu menandingi kehebatan iman dan amal nendanya, Haji Abdullah Fahim namun seluruh rakyat Sabah mengharapkan Pak Lah mampu menjaga nama baik nendanya dengan tidak bersekongkol dengan ‘Petualang Negara’ yang memberikan kerakyatan secara tidak sah.
Lirik lagu ‘Iman Mutiara’ nyanyian Kumpulan Raihan menarik perhatian saya;
“Iman tak dapat dijual beli dari seorang ayah yang bertaqwa. Ia tak dapat dijual beli, ia tiada di tepian pantai.”
Oleh itu, saya menaruh harapan yang tinggi agar Pak Lah menjadi seorang pemerintah yang adil sekiranya ditakdirkan menang besar pada pilihanraya umum pada 8 Mac 2008 ini dengan mengambil langkah drastik menarik balik kerakyatan songsang melalui proses undang-undang.
Sejajar dengan Sabda Rasulullah s.a.w, setajam-tajam senjata, tajam lagi pena pendeta, saya telah bertekad untuk membantu Pak Lah melalui mata pena sekiranya diperlukan membasmi spesis yang tidak diperlukan Malaysia ini kerana penghapusan etnik mengikut kaedah memberik kerakyatan songsang kepada warga asing lebih kejam daripada penghapusan etnik di Bosnia Herzegovinia.
Walaupun saya hanyalah penulis kecil yang tidak ternama dan tidak pernah memenangi sebarang sayembara atau anugerah melainkan dipilih sebagai Pemenang Anugerah Silver Hadiah Kewartawanan Sabah ketika bertugas sebagai Ketua Biro Pantai Timur Berita Sabah, namun bak kata Sayyidina Ali Abi Talib Karamallah Hu wajhu dalam bukunya ‘Nahjul Balagah’, jangan ditanya siapa yang berkata, yang perlu difikirkan apa yang dikata.
Bapa Pembaharuan Ekonomi China, Deng Xiao Peng berkata;
“Saya tidak peduli sama ada kucing itu merah atau putih; yang penting ialah kucing itu pandai menangkap tikus. Jangan berikan ikan kepada petani; berikan alat menangkap ikan kepadanya. Itu lebih baik.”
Persoalan penting di sini ialah bukannya faktor kucing merah atau putih, tetapi faktor kebolehan kucing tersebut. Saya bukanlah kucing, namun kebolehan yang saya ada ialah menulis tanpa rasa takut kerana yakin dengan KeEsaan Allah yang Maha Berkuasa dan Maha Perkasa untuk melindungi saya daripada segala ‘daki dunia’ yang cuba menggugat keyakinan saya untuk terus berkarya dan menghasilkan buku.
Saya tidak pernah meminta ikan daripada kerajaan kerana telah diberikan pancing iaitu peluang untuk menulis dan menghasilkan karya tanpa sekatan sekalipun Cawangan Khas dan KDN sering mengintai saya daripada jauh untuk merakamkan gambar dan melaporkan apa yang saya buat.
Penulis seperti saya adalah seniman yang menghidupkan budaya, boleh mempengaruhi minda rakyat dalam menentukan halatuju evolusi politik.
Saya teringat kata-kata Presiden Penulis Buku-Buku Politik Malaysia, S.H. Alattas @ Pak Habib bahawa seorang Penulis amat penting dalam proses evolusi politik dunia kerana boleh mendekati manusia sehingga ke bilik tidur. Buku penulis di baca sebelum mata terlelap atau terkadang kala sanggup bersengkang mata. Buku dibawa ke kamar kecil tetapi hairan kenapa Kerajaan tidak menggunakan penulis untuk mengubati penyakit masyarakat?
Kata Pak Habib lagi, Kerajaan haruslah sedar bahawa yang mengubah dunia bukanlah orang politik tetapi penulis. Buktinya lebih satu billion manusia menjadi Komunis setelah membaca buku ‘Das Kapital’ karya Karl Max.
Namun pengiktirafan ikhlas ‘Bapa Pembangunan’ Malaysia, Tun Abdul Razak terhadap golongan penulis seperti saya merupakan pemangkin semangat saya untuk memerangi kemungkaran dan menegak kebenaran sekalipun tidak mungkin berjaya dalam waktu terdekat.
Sudah lima Perdana Menteri memerintah Malaysia, hanya Tun Abdul Razak sahaja yang menghargai penulis. Walaupun Dr Mahathir seorang penulis, namun tidak pernah menghargai penulis seikhlas Tun Abdul Razak.
Allahyarham Tun Razak berkata;
“Saya berpendapat penulis yang berbakat sepatutnya mendapat kesempatan untuk menulis dengan ‘serius’ terus menerus dan dapat hidup lumayan dengan peker-jaannya itu. Dia tidak harus terpaksa melibatkan diri dalam pekerjaan-pekerjaan lain yang akan mengganggu kesempatannya untuk terus menerus berfikir, meneliti, belajar, mencari pengalaman menulis. Keadaan seperti ini belum pernah wujud di negara kita dan dengan kerana itu sudah banyak penulis kita yang berbakat di masa lalu hilang begitu sahaja.”
Dalam pada itu, Mantan Menteri Kewangan Malaysia, Tengku Razaleigh Hamzah mengakui dan mengiktiraf Tun Abdul Razak sebagai pemimpin berjiwa rakyat dan adalah Lelaki Malaysia Terakhir yang masih hidup dalam minda rakyat Malaysia.
“Dialah Bapa Pembangunan. Kita sering melihat wajahnya merentas desa, berjalan kaki, kadang-kadang menaiki basikal dan perahu, melihat keadaan di luar Bandar, membawa rancangan kemajuan ‘Buku Hijau’ nya ke kawasan terpinggir. Dia kelihatan tidak pernah berehat, tidak pernah penat (walaupun kita sering melihatnya berjalan merentas desa dengan tongkat), sehingga ada orang yang bertanya, bilakah masanya dia tidur?”
Legasi Tun Razak ini tidak diwarisi anaknya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang saya abadikan dalam dua buah buku saya, IC PALSU Merampas Hak Anak Sabah dan IC Projek Agenda Tersembunyi Mahathir kerana Najib tidak berkesempatan untuk berfikir sebagai seorang pemimpin dan bekerja sebagai seorang khadam rakyat.
Seandainya Pak Lah menamakan Najib sebagai penggantinya kelak bagi melengkapi Teori R.A.H.M.A.N, saya mengharapkan agar Najib akan meneruskan Legasi Tun Razak dengan menghormati penulis dan tidak berdendam terhadap penulis kecil seperti saya.
Walaupun Najib berketurunan Bugis, namun sehingga kini ketokohan Najib untuk membela nasib Bugis tempatan masih belum terserlah, tambahan pula tidak mampu menampan kemasukan Bugis ‘klon’ yang mendominasi UMNO di Sabah selain keturunan Bajau Suluk dari Filipina, Pakistan dan India.
Saya bersimpati dengan nasib Bugis ‘Klon’ yang dijadikan hamba abdi politik kerana anak jati Sabah sangsi dengan kehadiran mereka dalam pelbagai sektor.
Peranan mereka terlalu penting di Sabah terutama dalam penjanaan sektor ekonomi dan sumber manusia kerana sekiranya mereka ‘mogok’ semua sektor ekonomi akan terencat untuk satu tempoh yang agak lama kerana tidak ada ‘kumpulan sokongan’ yang boleh mengambil alih tugas mereka.
Rakyat tempatan yang menjadi tuan sebenarnya hanyalah ‘kuli’ kerana yang memegang ekonomi luar bandar dan bandar adalah orang Bugis ‘Klon’ yang dicipta oleh Kerajaan Barisan Nasional.
Hampir semua pemandu teksi yang mendapat permit atau yang memandu teksi di bandar di seluruh Sabah adalah ‘Bugis Klon’. Jika mereka ‘bercuti’ tidak ada teksi kerana rakyat tempatan dan Cina hanya boleh dikira dengan jari.
Pendek kata jika mereka mogok, tidak ada kanak-kanak dapat ke sekolah, tidak ada penumpang dapat menggunakan perkhidmatan awam ke seluruh Sabah, tidak ada sayur atau ikan dijual di pasar, tidak ada kuih di jual di pasar malam, tidak ada restoran dibuka dan Felda serta semua sektor perladangan gulung tikar kerana kerana majoriti ‘jentera pekerja’ ini Bugis dan ‘Klon’nya.
Memang tidak dapat dinafikan, tenaga mereka amat diperlukan untuk membangunkan Sabah yang masih mundur serba serbi sekalipun negeri ini dahulunya terkaya di Malaysia, tetapi akibat disalah tadbir oleh pemimpin yang mengkhianati amanah rakyat, maka Sabah hanya kaya di atas kertas sedangkan rakyat tempatan hidup dalam kepapaan.
Bukan sahaja bumiputera yang miskin, malah 250,000 Cina juga hidup di bawah paras kemiskinan. Jurang ekonomi yang terbesar sekarang bukanlah antara kaum, sebaliknya antara bumiputera yang terlalu kaya dengan bumiputera yang terlalu miskin dan Cina atau India yang terlalu kaya dengan Cina atau India yang papa kedana.
Walaupun kerajaan Barisan Nasional telah berusaha bersungguh-sungguh membasmi kemiskinan di Sabah, namun rasuah dan salahguna kuasa menjadi penghalang terbesar.
Dalam hal ini, saya amat tertarik dengan lirik lagu ‘Berita Kepada kawan’ nyanyian Ebiet G.Ade;
“Mungkin Tuhan mulai bosan melihat tingkah kita yang selalu salah dan bangga dengan dengan dosa-dosa atau alam mulai enggan bersahabat dengan kita. Cuba kita bertanya pada pohon yang bergoyang..”
Namun pohon yang bergoyang atau digoyangkan hanya dapat memberitahu kepada kita bahawa balak di hutan simpan telah ditebang, namun wangnya yang masuk ke kantung pemimpin dan hanya sedikit tercampak ke akaun Kerajaan Negeri Sabah.
Bak kata pujangga, terlalu ramai Sabah menjadi hamba kerana adanya penindas sehingga kita mula membenci penindas, tetapi kerana penindas itu kaya dan mampu membeli apa sahaja, maka beliau menggunakan kuasanya agar kita membenci hamba yang tertindas dan mendewakan penindas.
Oleh itu tidak hairanlah kita jika Raja Mendeling berkata;
“Cermin, sesuatu barang dicipta manusia tetapi cermin sangat layak untuk dijadikan alat pengukur diri. Cerminlah diri sendiri tiap-tiap hari, pasti kita dapat tahu dan dapat timbang siapa diri kita tanpa perlu bantuan sesiapa. Cermin boleh jadi alat pengukur diri.”
Marilah kita bermuhasabah diri untuk mengukur sejauh mana kesungguhan kita untuk menjadi Lelaki Malaysia Terakhir yang kental dengan semangat juang dan meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan diri kita sendiri, terutama berhubung soal kerakyatan yang dipandang remeh pemimpin kita yang memegang tampuk pemerintahan Negara.
Sejajar dengan amanat Professor Dr Syed Hussein Al-Attas;
“Menyentuh Pelan Integriti Nasional (PIN) dan penubuhan Institut Integriti Malaysia (IIM), Integriti bukan hanya terjejas kalau seseorang itu makan rasuah. Kalau tidak makan rasuah tetapi mempunyai sikap tidak peduli tentang kerja, amanah dan tanggung jawab, itu juga tiada integriti dan jejaskan hak rakyat.”
Jika Allahyarham Syed Hussein tidak lagi percaya kepada Integriti Kerajaan Malaysia, apatah lagi rakyat kebanyakan yang tertindas oleh karenah birokrasi yang disuburi rasuah.
Rakyat yang mengangkat pemimpin kini dinafikan hak mereka untuk menjatuhkan pemimpin yang khianat kerana proses pilihanraya dicemari rasuah, penipuan dan pembelitan.
Seorang ilmuan, Haji Agus Salim pernah berkata bahawa orang yang berakal menderita di tengah-tengah nikmat tetapi orang jahil merasa nikmat di tengah-tengah kecelakaan sebagaimana yang terjadi kepada pemimpin kita sekarang.
Sebagai rakyat Sabah yang menghirup nikmat kemerdekaan kita tentu terpana dengan pandangan Mantan Setiausaha Parlimen Kementerian Pelancongan Malaysia, Datuk Tengku Allaidin yang mengungkapkan;
“Apalah erti kemerdekaan selama lima puluh tahun jika nasib bangsa Melayu sama seperti lima ratus tahun dahulu. Nampak sahaja merdeka tetapi jiwa semakin parah terjajah dan kita semakin pengecut untuk mengambil hak kita.”
Begitu juga dengan pandangan sinis Ketua Satu Gapena, Tan Sri Ismail Hussein turut menyentuh hati saya apabila dengan nada sendu mengakui bahawa;
“Gapena merasakan hari ini adalah zaman paling buruk dalam sejarah Negara selepas Merdeka kerana sudah lahir ramai pengkhianat bangsa.”
Firman Allah dalam surah Al-Rum, ayat 54, marhumnya;
“Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah. Selepas berkeadaan lemah itu Dia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Dia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendakiNya dan Dialah juga yang Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa.”
Sehubungan itu, marilah kita sama-sama berfikir untuk membantu kerajaan mengatasi masalah kerakyatan songsang ini mengikut kemampuan dan kebolehan kita.
Professor di-Raja Ungku Aziz menyarankan agar kita berfikir secara menegak (apabila manusia mahukan sesuatu contohnya bonus, hadiah) dan secara mendatar (mahu mencapai apa yang dikehendaki atau menghuraikan sesuatu masalah).
Walaupun apa yang saya lakukan ini adalah sumbangan kecil daripada seorang rakyat Sabah, namun saya teringat Pak Lah pernah berkata bahawa;
“Benda yang kecil yang dilakukan oleh orang besar kepada orang kecil, besar ertinya pada orang kecil.”
Saya ingin menarik perhatian pembaca terhadap kajian seorang penulis Mesir, Muhammad Isa Dawus mengenai ‘Penghuni Bumi Sebelum Manusia’ yang mencatatkan bahawa;
“Mereka mengatakan bahawa Allah S.W.T menciptakan 18 umat yang berbeza-beza di bumi ini sebelum Adam a.s. Di antaranya, ada makhluk yang memiliki sayap dan suaranya ge-merincing. Ada yang bertubuh seperti singa dan berkepala seperti burung, memiliki rambut dan ekor serta suaranya bergema. Ada yang memiliki dia wajah, satu di hadapan dan satu di belakang dan memiliki banyak kaki. Ada yang memiliki tangan dan kaki seperti manusia dan suara mereka seperti jeritan bangau. Ada yang memiliki wajah seperti manusia, punggung seperti kura-kura, kepalanya bertanduk dan suaranya seperti gonggongan anjing. Ada yang berbulu putih dan berekor seperti lembu. Ada yang memiliki taring seperti babi dan telinga yang panjang. Dikatakan bahawa umat-umat itu melahirkan keturunan sehingga menjadi 120 umat. Allah S.W.T tidak mencip-takan makhluk yang lebih utama, lebih baik dan indah daripada manusia.”
Saya pernah terdengar seorang ilmuan Islam (nama tidak ingat) berkata bahawa Allah telah menciptakan Bangsa Polip yang memiliki sepasang sayap yang berjalur berwarna keemasan, berpakaian serba putih dan hampir menyerupai manusia berjanggut pada dagu lima juta tahun sebelum Nabi Adam a.s. diciptakan.
Kini setelah berjuta tahun manusia menghuni bumi, kerosakan yang dilakukan akibat kerasukan dan kerakusan makhluk bernama lelaki semakin sukar dibendung.
Kita sedar bahawa Tun Mustapha itu lelaki, Harris Salleh dan Megat Junid juga lelaki, Tun Mahathir dan Musa Aman juga lelaki, tetapi mereka telah memaksa lelaki lain melakukan penderhakaan kepada Allah, Rasul dan Pemerintah dengan menaja Skandal Pengeluaran Kad Pengenalan Projek kepada warga asing.
Apakah kita menerima mereka dengan senyuman manis dan wajah gembira semata-mata kerana mereka rumpun Melayu atau di’Melayu’kan hanya berpandukan mereka beragama atau memeluk agama Islam?
Di kesempatan yang amat terbatas ini, saya menyeru agar mereka yang mendapat Kad Pengenalan melalui Skandal IC Projek Mahathir, agar tidak berjubahkan agama untuk menghalalkan kegiatan haram lagi subversif semata-mata kerana telah berjasa memastikan kemenangan UMNO di Sabah.
Belum terlambat untuk mengembalikan dokumen yang didapati secara tidak sah sekalipun perbuatan tersebut umpama menghantar nyawa ke tali gantung, namun akan dianggap syuhada atau mati syahid jika sanggup berkorban untuk kesejahteraan Sabah setelah merampas hak anak yatim, fakir miskin dan para mujahid.
Sebagai pedoman agar iman kita tidak goyang dan tetap kukuh, marilah kita membaca doa daripada surah Al-Imran ayat 8 yang bermaksud;
“Ya Allah, Ya Tuhanku. Janganlah Engkau memesongkan hati kami setelah Engkau memberi petunjuk kepada kami. Dan kur-niakanlah kepada kami rahmat dari sisi-Mu. Sesungguhnya Engkaulah Tuhan yang sangat banyak pemberianNya.”
Dengan perasaan khusyuk dan tawadduk marilah kita berdoa ke hadrat Illahi berdasarkan makna ayat 286, surah Al-Baqarah;
“Ya Allah… Ya Tuhan kami, Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau tersalah. Ya Allah ya Tuhan kami, janganlah bebankan kami dengan bebanan yang berat sebagaimana Engkau telah bebankan orang yang terdahulu daripada kami. Ya Allah, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak terdaya kami memikulnya. Dan Maafkanlah kesalahan kami serta ampunkanlah dosa-dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah penolong kami. Oleh itu tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”
Akhir kalam saya ingin kita menelusuri maksud yang terselindung di sebalik ayat 11, Surah Al-Rad yang berbunyi;
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan Apabila Allah menghendaki untuk menimpakan sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu dan tidak ada sesiapa pun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya.”
Selamat membaca dan berfikir dengan penuh keinsafan!
No comments:
Post a Comment