Search This Blog

Saturday, October 23, 2010

KES SAKUR TAN, PENGAJARAN UNTUK SABAH?





Written by Admin
Saturday, 07 August 2010 14:06

Oleh: MUTALIB M.D

SETELAH dua kali hampir kehilangan nyawa kerana cubaan membunuhnya gagal, Gabenor Sulu, Sakur Tan perlu bersyukur kerana beliau bernasib baik berbanding dengan rakyat Sabah yang ‘tidur tidak lena’ sejak warga Filipina membanjiri Sabah pada 1970-an sehingga kini, apatah lagi telah diberi kerakyatan songsang.


Ketika saya menelefon beliau, dalam nada lemah Sakur Tan mengakui pengebom berani mati berkenaan mensasarkan bom tersebut kepada beliau dan anaknya, Mayor Maimbung, Shamir; namun beristigfar kerana beliau hanya cedera ringan dan anaknya yang disangka cedera, tidak mengalami luka sebaliknya terkena serpihan cebisan tubuh mereka yang terbunuh dan tercedera.

Saya masih ingat sekitar 1974, ketika bersekolah di SRJK St. Stephen, Lahad Datu, saya pernah memberi makan kepada ramai pelarian perang termasuk dua orang yang saya tidak tahu nama mereka. Bapa saudara saya, Sarjan Hamzah yang menjaga semua tahanan yang ditempatkan di Kem Askar berdekatan Sungai Segangan meminta saya membantu beliau memberi makan tahanan atau pelarian yang ditempatkan di situ.

Setelah melanjutkan pelajaran menengah di SMK Agaseh Lahad Datu, saya terserempak dengan dua orang yang saya beri makan setiap hari selama lebih satu bulan di Kem Askar Segangan ketika makan di ‘Pasar Gantung’ Lahad Datu yang berdekatan dengan Pejabat Pos lama.

Mereka membelanjakan saya makan mihun sup dan memperkenalkan diri mereka sebagai Galib Andang dan Mujib Susukan yang mengakui bekerja dengan seorang pegawai Imigresen Lahad Datu sebagai penjaga ayam sabung sehinggalah mereka mendapat kad pengenalan biru melalui projek khas.

Setelah bekerja dengan Jabatan Audit Negara Malaysia, saya terserempak mereka menjual ikan di Pasar Ikan Kota Kinabalu dan selepas itu sepi sehinggalah Insiden Penculikan Sipadan dan Ligitan berlaku pada 2000.

Ketika itu saya tidak lagi bekerja dengan kerajaan dan menjadi penulis buku sepenuh masa setelah menghasilkan buku ‘IC Palsu Merampas Hak Anak Sabah’ pada 1999 sebagai ‘Signal’ kepada Kerajaan Negeri agar berwaspada dan menyelesai segera masalah PATI di Sabah.

Setelah insiden penculikan Sipadan barulah nama Galib Andang dan Mujib Susukan dengan wajah mereka terbayang di ruang mata saya dan minda bawah sedar saya meyakini bahawa merekalah orang yang saya beri makan di kem askar berkenaan (kini telah ditutup) kerana wajah mereka tidak dapat saya lupakan sepanjang hayat saya.

Deria keenam (Six Sense) saya telah lama menjangkakan mereka akan menjadi ‘detenator’ kepada bom jangka yang dipasang oleh pemimpin Sabah yang rakus kuasa dan menggunakan PATI yang mendapat kad pengenalan projek (termasuk Galib dan Mujib) sebagai ‘Fixed Deposit’ dalam perniagaan politik mereka.

Kini Galib atau nama popularnya Komander Robot dan Mujib masih sibuk menjawab ‘Audit Querry’ dengan ‘Mungkar dan Nakir’; hampir sejuta warga Filipina yang masih berkiblatkan ‘Jus Sanguinis’ berkeliaran di Sabah seolah-olah jerangkap samar yang telah dipasang di segenap ini bumi Vietnam; tetapi menjadi ‘bom jangka’ yang bergerak 360 darjah setiap hari dan akan meletup para bila-bila masa di Sabah.

Saya hampir menggantung pena apabila semua buku yang saya tulis berhubung isu PATI bukan sahaja mendapat cemuhan dan pujian masyarakat Sabah tetapi sikap pemimpin Sabah seperti ‘Haruan Makan Anak’ yang sanggup menggadaikan nasib dan masa hadapan anak jati Sabah demi sebuah kuasa politik yang tidak mampu dipertahankan, termasuk Datuk Pairin?

Apabila insiden Sebangkat berlaku pada 8 Februari 2010, saya tambah kecewa kerana Polis Sabah seperti cuba menyembunyi kegagalan mereka dengan mengemukakan pelbagai teori sedangkan selepas dua hari dua tebusan ini diculik, saya sudah mendapat maklumat bawa mereka sudah berada di Filipina yang telah saya dedahkan secara panjang lebar dalam Sabahkini.net.

Walaupun kes penculikan Sebangkat masih belum dapat diselesaikan dengan jayanya, namun kita bersyukur kerana dua mangsa culik berkenaan masih hidup sekalipun belum pasti bila dan bagaimana mereka akan dibebaskan apabila tuntutan ‘Food & Lodging’ para penculik belum dijelaskan juruperunding kerana beberapa masalah teknikal dan perhubungan.

Nasib dua mangsa berkenaan bergantung kepada budi bicara Kerajaan Filipina dan Malaysia yang masih bertarik tali; namun nasib rakyat Sabah masih berjerebu kerana penculikan akan berulang; jenayah yang dilakukan oleh PATI berterusan; Pengundi hantu akan muncul setiap kali pilihanraya menjelang; UMNO dan parti politik lain telah diresapi elemen PATI gagal melakukan sesuatu kerana jumlah mereka lebih ramai daripada rakyat tempatan yang menyertai UMNO?

No comments: