Search This Blog

Saturday, October 23, 2010

MERDEKA! KERANDA PLASTIK UNTUK SIAPA?





Written by Admin
Tuesday, 31 August 2010 00:04


Oleh: MUTALIB M.D

JIKA bom ikan yang dilemparkan ke rumah saya oleh orang suruhan Mantan Adun Lahad Datu, Datuk Haji Mohd Yusof Amat Jamlee meletup pada 1999; atau jika saya tidak cepat mendapatkan rawatan mata yang disembur asid setelah diserang curi oleh tiga orang upahan Yusof Jamlee, mungkin saya tidak lagi dapat menulis di ruangan Jendela Kuasa pada hari ini.

Serangan demi serangan fizikal dan mental yang dilakukan oleh orang suruhan Yusof Jamlee termasuk serangan beliau sendiri dan pemimpin Sabah yang lain termasuk Tun Sakaran Dandai, tidak pernah mematahkan semangat saya untuk menulis dan terus menulis membongkar kejalangan pemimpin yang telah mencemarkan nama baik UMNO, terutama yang terlibat dan bersubahat dengan Sindiket Kad Pengenalan Palsu dan IC Projek.


Walaupun tembuni saya ditanam di Kampung Parit Panjang, Mukim Lanai, Baling Kedah dan sewajarnya saya tidak harus menggadai nyawa memperjuangkan hak rakyat Sabah, namun tembuni anak-anak dan isteri saya ditanam di Sabah; apatah lagi mereka tidak berpeluang lahir dua kali seperti warga Indonesia, Filipina, Pakistan, India dan China yang mendapat kad pengenalan projek; maka saya terpaksa teruskan perjuangan yang belum berakhir ini secara ‘keseorangan’ kerana sikap berkecuali rakyat Sabah yang enggan memberikan sokongan material dan moral secara terbuka.

Dalam keadaan terkial-kial memburu hidup di penjuru nasib, saya terpaksa menggunakan segala simpanan yang ada untuk meneruskan perjuangan melalui http://www.sabahkini.net dan http://sabahkinimirror.blogspot.com kerana derma rayuan saya untuk mendapatkan dana bagaikan dipersenda kerana sejak dilancarkan tabung berkenaan, saya hanya menerima RM50 sahaja.

Kos untuk menyelenggara Sabahkini.net bukanlah murah kerana bukan sahaja terpaksa membaiki server yang sering digodam oleh penggodam professional yang diupah pemimpin dan musuh Sabahkini.net; malah terpaksa membayar gaji pekerja dan pemberi maklumat untuk mendapatkan maklumat yang sahih demi untuk menjaga kredibiliti Sabahkini.net yang ditohmah sebagai ‘Agen Yahudi’ untuk meruntuhkan Barisan Nasional atau portal milik pembangkang.

Sampai satu kemuncak, seorang pemimpin Sabah menawarkan RM2 juta dan dinaikkan sehingga RM20 juta untuk membeli Sabahkini.net dan diri saya agar tidak lagi menulis dan boleh menghabiskan sisa hidup di luar negara sebagai jutawan ‘fikir’ yang kaya kerana menjual fikiran dan maruahnya.

Memandangkan Sabahkini.net bukanlah untuk dijual, maka saya menolak semua tawaran kerana saya percaya suatu hari nanti, di saat saya menutup mata, ada warga Sabah akan meneruskan perjuangan saya yang entah bila akan selesai.

Sempena sambutan ulangtahun kemerdekaan Malaya (yang diwar-warkan sebagai kemerdekaan Malaysia, sedangkan pada 1957, Malaysia hanya ada dalam kotak fikir Tun Mustapha); maka saya menyeru rakyat Sabah yang ada maruah bangkit bersama semangat saya untuk memperjuangkan Sabah daripada sebarang bentuk penjajahan alaf baru dan petualangan anasir subversif seperti ‘Warganegara Penyu’ iaitu rakyat asing yang mendapat kerakyatan Malaysia secara tidak sah setelah mengoyak Perlembagaan Persekutuan.

Saya tidak mahu, satu hari nanti anak cucu saya akan kencing di kuburan saya disebabkan mereka marah kerana saya tidak berani menentang petualang yang ingin menjajah negara ini melalui percambahan klon baru manusia yang ‘bertubuh ayam tetapi berhati helang’ sehingga mereka menjadi pelarian di tanah air mereka sendiri.

Kehilangan 600,000 warganegara Indonesia, 300,000 warganegara Filipina, 50,000 warganegara China, 30,000 warganegara India dan 20,000 warganegara Pakistan setelah memasuki negara ini masih menjadi misteri bagi kerajaan yang terpaksa bersikap menyapu sampah ke bawah permaidani.

Walaupun hidup saya ibarat kais pagi belum tentu makan petang, namun saya sudah meninggalkan wasiat yang paling berharga kepada isteri dan anak-anak dalam bentuk buku iaitu IC PALSU Merampas Hak Anak Sabah; Pengundi Untuk Disewa; IC PROJEK Agenda Tersembunyi Mahathir? dan 007-Lelaki Malaysia Terakhir; namun saya kesal kerana tidak dapat meninggalkan apa-apa khazanah buat rakyat Sabah yang masih berperang dengan pemimpin yang gila kuasa, rasuah dan khianat.

Sehubungan itu, saya menyeru agar rakyat Sabah yang cintakan negeri ini agar berganding bahu bersama saya membantu memerangi pemimpin yang rasuah, salahguna kuasa, menjadi petualang dan pengkhianat negara kerana saya yakin bahawa pena lebih berbisa daripada mata pedang!

Saya tidak lagi mengharapkan sebarang bantuan kerana rayuan derma yang saya siarkan di Sabahkini.net seperti pengemis jalanan yang meminta kepada mereka yang tidak sudi memberi walau satu sen di belah tujuh, namun sanggup mengeluarkan ratusan ribu untuk membantu rakyat asing atas nama semangat kejiranan.

Saya hanya memerlukan kerjasama anda agar terus memberikan sokongan moral dengan menghantar email jika ada sebarang isu yang ingin dibongkar demi membina masa hadapan Sabah yang cemerlang.

Selamat Menyambut Ulang tahun Kemerdekaan Malaya yang sebenarnya sebuah keranda plastik yang disediakan khas untuk kita, tetapi siapalah yang bertuah menempah keranda berkenaan kerana Sabah hanya merdeka pada 16 September 1963 yang telah diaku terima secara rasmi sebagai Hari Malaysia pada tahun lalu?

No comments: