Oleh: ALIMAN KASSIM
MUNGKIN dimomokkan dengan penguatkuasaan melalui operasi demi operasi, rakyat Sabah menjangkakan tidak ada lagi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang menggunakan dokumen palsu secara leluasa, sebagaimana jaminan setiap Menteri yang dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri.
Namun bagi seorang lelaki Timor (Warga Indonesia), Semon Nagga, 44, dengan bangganya memaklumkan bahawa dokumen ‘Burung-Burung’ itulah yang menyelamatkan beliau daripada sebarang operasi pihak berkuasa sejak tinggal secara haram di Sabah lebih 15 tahun lalu.
Dokumen ‘burung-burung' merupakan dokumen palsu yang dikeluarkan oleh pelbagai Sindiket Kad Pengenalan Palsu dan Bahagian Penempatan Jabatan Ketua Menteri Sabah; bebas digunakan di mana sahaja kerana pihak penguatkuasa seringkali akan meminta RM50 atau RM100 sebagai ‘tol atau pas jalan’ yang tidak perlu lagi diperiksa; sebaliknya Semon dipanggil bekerja dengan pegawai polis di Kunak.
Ketua Polis Daerah Kunak mungkin tidak tahu bahawa kakitangannya melakukan kesalahan jenayah dengan menggaji pendatang asing yang hanya memiliki ‘Burung-Burung’ yang kononnya dikeluarkan oleh Unit Penempatan, Jabatan Ketua Menteri Sabah.
Rahsia Semon terbongkar apabila beliau terlanggar bumper sebuah kenderaan ketika menunggang motorsikal bersama anak perempuannya, Alisabet, 11, pada 9 Ogos lalu di sebatang jalan di Kunak.
Ketika pemandu kenderaan tersebut bertanya sama ada Semon memiliki lesen memandu atau kad pengenalan, Semon dengan bangganya mengeluarkan dokumen ‘Burung-Burung’ bernombor 091385.
"Tidak ada (lesen memandu) cuma (dokumen) 'Burung-burung' ini saja,” kata Semon yang memaklumkan beliau bekerja dengan seorang pegawai kanan polis (nama dirahsiakan). Persoalannya, sama ada dokumen tersebut memang benar-benar dikeluarkan oleh Jabatan Ketua Menteri atau Sindiket Kad Pengenalan palsu tidak dapat dikenalpasti, namun dokumen ‘burung-burung’ berkenaan mencatatkan tarikh lahir Semon 00/00/66 dan mempunyai cap mohor Jabatan Ketua Menteri.
Namun selama 15 tahun, itulah dokumen yang digunakan Semon yang tinggal di Kunak Jaya untuk ke mana sahaja, termasuk ke Jabatan Ketua Menteri dan dapat melepasi semua sekatan jalanraya sebelum ini.
Bukankah Unit Penempatan Jabatan Ketua Menteri yang di bawah Potfolio Datuk Nasir Tun Sakaran hanya dikhaskan menjaga Pelarian Perang Filipina sejak era 70-an yang kini hampir kesemuanya memiliki IMM13, sedangkan Semon lahir di Adonara, Indonesia?
|
No comments:
Post a Comment