Search This Blog

Saturday, October 23, 2010

DUSUN KINI PEMASTAUTIN SEMENTARA, BUKAN LAGI ANAK NEGERI SABAH?





Written by Admin
Wednesday, 20 October 2010 21:03

TUNJUK….Mahali menunjukkan MyKad ‘pemastautin sementara’ yang diberikan JPN kepada beliau sedangkan pendatang asing menjadi Warganegara melalui jalan songsang.

Oleh : SHAIMON S JUMADI

SEORANG lagi Anak Negeri Sabah, Mahali Ensong, daripada suku kaum Dusun yang dilahirkan di Kampung Maliau Tongod, Lamag pada 15 Julai 1975 mendapat kad pengenalan bernombor 750715126129 berstatus ‘Pemastautin Sementara’ dengan tarikh luput pada 04 Disember 2013.


“Kenapa perkara yang mengaibkan ini menimpa saya? Apakah di bawah kerajaan BN kaum Dusun bukan lagi anak negeri dan setaraf dengan pekerja asing yang menggunakan pasport?” tanya Mahali dengan nada kesal kerana Jabatan Pendaftaran Negara langsung tidak bertanggung jawab.

Kata Mahali, apa gunanya Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) rakyat Sabah jika sebelum ini seorang warganegara diberi taraf penduduk tetap dan nasib beliau lebih malang kerana diberi taraf ‘Penduduk Sementara’.

“Apakah warga Pakistan, Filipina dan Indonesia yang lahir di negara mereka boleh mendapat tahap warganegara sedangkan saya lahir di Sabah dan kedua ibu bapa saya orang Dusun tetapi saya diberi taraf warganegara kelas anjing?,” tanya Mahali dengan nada geram.

Menurut Mahali, minggu lalu beliau telah pergi sekali lagi ke pejabat JPN Sandakan dan bertanyakan mengenai kedudukan kad pengenalannya, namun agak malang kerana Pegawai JPN Sandakan mengarahkan beliau memohon taraf Warganegara sebelum boleh memohon MyKad.

Mahali yang bertugas di Unit Penghias Bandar Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) selama 10 tahun dan sudah berumah tangga serta dikurniakan cahaya mata seramai 7 orang; saban hari sentiasa dihantui ketakutan apabila berhadapan dengan anggota Polis kerana status kerakyatannya yang bertaraf sementara.

Kata Mahali ekoran daripada statusnya sebagai ‘pendatang asing di bumi tumpah darahnya sendiri’, maka dia (Mahali) telah kehilangan hak mutlaknya sebagai seorang pengundi sedangkan warga-warga asing lainnya yang tinggal di negara ini, khususnya di Sandakan mereka telah layak mengundi dan memilih siapa bakal pemimpin mereka.

“Anak-anak saya yang bersekolah langsung tidak mendapat apa-apa bantuan daripada kerajaan kerana status saya sama seperti dengan orang Indonesia dan Filipina yang bekerja di sini memegang pasport atau IMM 13,” kata Mahali yang menyalahkan Pegawai JPN atas ‘khianat’ mereka.

Mahali menegaskan, jika senario ini tidak dikekang, dalam masa 10 tahun daripada sekarang Warga Pakistan, Indonesia dan Filipina yang sudah memegang Mykad akan menjadi Ketua Menteri dan menteri-menteri kabinet kerana mereka mempunyai MyKad atas bantuan pegawai JPN dan sudah pastinya Anak Negeri Sabah akan menjadi seperti rakyat Palestin di tengah kekejaman Israel.

“Saya amat sedih dan kecewa kenapa Jabatan Pendaftaran tidak kenal mana satu pendatang asing, mana satu anak tempatan. Saya sudah berkali-kali menjelaskan yang saya ini orang Dusun. Saya boleh bertutur bahasa Dusun dengan fasih, tapi merekapun masih tidak percaya. Kenapa orang Pakistan, orang bugis yang menyebut ikan jadi ikang, tetapi begitu mudah mendapat kerayaan Malaysia; berbanding dengan diri saya, apa maksud sebenarnya pihak Jabatan Pendaftaran Negara ini?,” tanya Mahali yang mendesak campurtangan Menteri Dalam Negeri.

Kata Mahali, bukan beliau seorang sahaja yang menjadi mangsa keadaan oleh JPN, bahkan ramai lagi keluarga dan kawan-kawan beliau yang sebangsa dengannya mengalami nasib yang serupa.

“Saya agak kesal kerana semua parti berasaskan Dusun seperti PBS, UPKO dan PBRS tidak langsung membantu ketika saya minta tolong atau ehsan membantu saya menguruskan kad pengenalan saya. Bukankah selama ini mereka kononnya berjuang menentang IC Palsu, tetapi apabila Anak Negeri dianiaya, mereka hanya berdiam diri,” kata Mahali yang terkilan dengan sikap hipokrit pemimpin Dusun di dalam Kerajaan.

2 comments:

Nurjhan said...

walaupun saya bukan berbangsa dusun, namun saya tetap paham dan 100% menyokong penuh apa yang disampaikan diatas. Kenyataan orang asing yang menjadi warganegara di bumi Malaysia, khususnya di Negeri bawah bayu semakin menjadi-jadi. Sikap prejudis JPN Sabah perlu dipersoalkan. Jangan sampai negeri Sabah dihujani dengan rakyat warga asing. Sekian terima kasih.

Ramdin said...

Saya berpendapat bukan sahaja en Mahali yg bermasaalan seperti yg terpapar diruangan ini. Masih ramai lagi yg mempunyai masalah sama terutama dipedalaman pedalaman seperti Paitan, Pinangah dan banyak lagi kawasan yg terpencil.
Ketika saya bertugas diladang swasta dikawasan Sugut, Beluran, ramai pekerja tempatan yg berkerja diladang. Ada diantara mereka tidak mempunyai mykad.Pada hal sudah bercucu.Didalam pengamatan saya, mereka ini tidak peka dan ambil ringan terhadap dokumen mykad. Tidak kurang pula warga asing yg mengambil kesempatan memberi mereka wang dan minta dijadikan anak angkat. Matalamat mereka untuk mendapatkan mykad sahaja.
Berbalik pada kes saudara Mahali tadi, ada baiknya beliau menyemak semula permohonan asal darimana kah punca kesilapan. Kenapa dia diarah memohon kewarganegaraan sedangkan dia adalah penduduk asal Sabah.Ada kesilapan yang tak disengaja dan ada kesilapan yg disengaja berlaku dalam jpn itu sendiri. Saya pernah dimaklumkan oleh pekerja tempatan dari Sugut, pernah satu ketika mereka datang ke Beluran untuk urusan ic. Mereka sampai Beluran agak lewat sebab mereka melalui jalan laut dan bot hanya 15 kuasa kuda. Setengah jam lagi habis masa pejabat.Pegawai JPN meminta mereka datang keesokan harinya.Keesokan harinya pegawai tersebut cuti pula.Untuk mengendali urusan ic tersebut orang lain tidak diberi 'authority'.Disini kita nampak kelemahan sistem pentadbiran.Sepatutnya jika pegawai tadi tahu dia cuti keesokan harinya, dia kena uruskan permohonan warga sugut yg jauh dipedalaman tadi. Akhirnya mereka pulang dgn hampa.