Search This Blog

Saturday, October 23, 2010

TAHNIAH KPN, DI SABAH LEBIH RAMAI!





Written by Admin
Friday, 15 October 2010 02:26


Oleh: MOHD YATIM SUHAILI

PENULIS Kontroversi Sabah, Mutalib M.D merakamkan ucapan tahniah di atas kejayaan besar Polis diRaja Malaysia (PDRM) memberkas tujuh orang kakitangan Jabatan Imigresen dan dua orang warga asing di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) baru-baru ini.

“Kita harap Ketua Polis Negara yang baru tidak gentar menangkap pegawai kanan Imigresen termasuk berpangkat Jusa di Sabah kerana kes penyeludupan manusia dan pemerdagangan orang di Sabah amat tinggi; apatah lagi ramai warga asing yang mendapat kerakyatan melalui pintu belakang setelah rekod mereka di Jabatan Imigresen dilupuskan,” ujar Mutalib yang juga Editor Sabahkini.net.

Mutalib menegaskan bahawa beliau telah banyak membantu polis dengan merakamkan semua pemerhatian dan siasatan beliau serta bukti dalam beberaoa buah buku beliau seperti IC Palsu Merampas Hak Anak Sabah; IC PROJEK Agenda Tersembunyi Mahathir; Pengundi Untuk Disewa dan 007-Lelaki Malaysia Terakhir yang boleh dijadikan rujukan dan panduan polis dalam operasi mereka.

Kadar pembolosan dan pemerdagangan orang di Sabah begitu serius berbanding di Semenajung Malaysia kerana gejala rasuah di kalangan pihak berkuasa dan ramai warga asing yang telah mendapat kerakyatan secara tidak sah menjadi pelindung kepada PATI yang bukan sahaja bersetinggan di pinggir bandar, malah menyertai parti politik untuk mendapat suaka.

“Saya telah membuat begitu banyak laporan rasmi kepada Mantan Ketua Polis Negara berhubung isu ini dan berharap agar Tan Sri Ismail akan merujuk semua surat saya dan mengambil tindakan sewajarnya berhubung isu pasport terbang Filipina yang didalangi Pegawai Turus Jabatan Imigresen,” ujar Mutalib lagi yang tidak jemu-jemu membantu pihak berkuasa menangani masalah PATI dan penyeludupan manusia.

Kata Mutalib, beliau kesal kerana Wakil Rakyat di Sabah telah melantik begitu ramai ‘Warga Penyu’ iaitu mereka yang mendapat kerakyatan secara tidak sah sebagai Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri, Ketua Kampung dan Pengerusi JKKK sehingga membentuk koloni yang sukar ditembusi pihak berkuasa dan menjadi dalang menghalang kejayaan dalam setiap operasi bersepadu.

PDRM, kata Mutalib hendaklah menumpukan operasi memberkas warga Pakistan, India dan China yang berjumlah lebih 150,000 orang yang memasuki Malaysia secara sah, namun membiarkan pas lawatan mereka lupus sebelum membeli dokumen pengenalan diri secara tidak sah; namun rekod mereka masih berada dalam simpanan Jabatan Imigresen sejak sistem biometrik dilaksanakan.

Mutalib turut berbangga dengan kejayaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tujuh pegawai Imigresen berhubung penglibatan mereka dalam penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini.

Namun tangkapan tersebut hanya ‘sekadar untuk menunjuk-nunjuk’ kerana bukan lagi rahsia, bahawa setiap warga asing yang memasuki atau keluar daripada Sabah tanpa sebarang pengenalan diri begitu mudah di semua depoh imigresen, terutama di Tawau, Sandakan, Kudat, Keningau dan Labuan kerana rasuah sudah berakar budaya di kalangan pegawai Imigresen dan pendatang asing.

“Memberi dan meminta rasuah sudah kelihatan seperti menghulur atau meminta sebatang rokok di Depoh Imigresen. Malah setiap manusia yang mahu belayar atau mendarat sudah disediakan pengkeras untuk mempermudahkan mereka terutama yang menggunakan agensi atau cukong, apatah lagi perkhidmatan menyewa wang tunjuk sudah seperti berjabat salam,” ujar Mutalib yang menggesa agar Jabatan Imigresen memasang CCTV di semua Depoh Imigresen untuk memantau kegiatan kakitangannya yang membenarkan PATI membolosi Negara ini melalui pintu hadapan dengan bersulamkan wang.

No comments: