Search This Blog

Wednesday, January 14, 2009

SURAT TERBUKA BUAT HAJIJI HAJI NOOR



YB DATUK HAJIJI HAJI NOOR

Surat Terbuka ini dipetik daripada blog http://nasirudinanjud.blogspot.com/

NASIRUDIN ANJUD
KG. TAMBALANG
PS 760 89208 TUARAN
SABAH

Jumaat, 17 Oktober 2008

YB Datuk Hj. Hajiji Bin Hj. Noor
Menteri Kerajaan Tempatan Dan Perumahan,
Kementerian Kerajaan Tempatan Dan Perumahan,
Tingkat 4, Blok C, Wisma Tun Fuad Stephens,
88999 Kota Kinabalu.

Yang Berhormat Datuk,

KESUKARAN HIDUP PENDUDUK KG. TAMBALANG TUARAN KERANA TIADA KEBENARAN LALUAN (Right Of Way) KE JALAN UTAMA.


Sukacita dimaklum bahawa saya, Nasirudin Bin Anjud, adalah pengundi berdaftar di kawasan P170 Tuaran dan N10 Sulaman dan ingin membawa ke perhatian Datuk suatu masalah dahsyat yang menimpa saya, keluarga dan penduduk setempat baru-baru ini iaitu kesukaran kerana tiada Kebenaran Laluan Jalan (Right of Way, RoW) ataupun jalan raya untuk kemudahan keluar masuk dari Jalan Utama ke kawasan kediaman kami, di Kg. Tambalang Tuaran.

Perkara kesulitan ini telah diadukan oleh Ibu saya sendiri iaitu Puan Warhana Bte Harun kepada Pejabat Daerah/Pejabat Tanah/Pihak Berkuasa Tempatan Tuaran (PD,PT&PBT Tuaran) melalui surat beliau bertarikh 2 Jun 2008. Kandungan surat tersebut antara lain menyebut mengenai sebidang tanah yang biasa digunakan untuk kemudahan keluar masuk dari kawasan rumah kami sekeluarga telah dijual oleh pemilik asalnya yang difahami berbangsa Cina kepada pembeli sekitar bulan Mei 2008. Difahamkan juga pembeli-pembeli baru adalah perkongsian adik-beradik Omar Salleh dan Awang Salleh atau penama-penama mereka yang difahamkan berketurunan ‘Suluk/Bajau’ beragama Islam yang juga merupakan jiran sempadan rumah kami.

Di dalam surat tersebut juga disebutkan bahawa pemilik-pemilik baru yang saya sebutkan di atas telah menotiskan secara lisan suatu tarikh untuk menutup dan memagar kawat jalan tersebut mulai Julai 1, 2008 yang lalu. Bimbang dengan ketiadaan jalan keluar masuk, Ibu saya telah mengadukan hal tersebut untuk memohon campurtangan daripada PD,PT&PBT Tuaran supaya segera menangani masalah tersebut.

Susulan daripada surat Ibu saya dan walaupun agak lewat menerima jawapan, difahamkan PD,PT&PBT Tuaran melalui ADO telah menetapkan suatu tarikh pada 26.09.08 untuk membincangkan perkara ini yang hanya disebutkan sebagai ‘Bicara Tanah’.

Dalam masa yang sama, pemilik-pemilik baru tersebut tanpa tolak ansur telah mula memagar dan menutup terus jalan tersebut sekitar bulan Julai 2008menggunakan kawat duri. Malapetaka dari penutupan jalan, telah menyebabkan penduduk-penduduk yang terbabit terpaksa meletak kenderaan di jalan utama dan memanjat pagar kawat berduri untuk menyeberang ke halaman rumah masing-masing saban hari. Antara penduduk-penduduk yang terlibat dalam malapetaka ini, selain daripada keluarga saya sendiri termasuklah Encik Abdullah sekeluarga, Encik Ispek Bin Hj. Nul sekeluarga, Encik Muji Hj. Ibrahim sekeluarga, Puan Azizah Satarali sekeluarga, Encik Kasang sekeluarga, Encik Salimat sekeluarga dan lain-lain yang kesemuanya 11 buah rumah. Perlu direkod bahawa dalam masa yang sama pegawai yang dikenali sebagai ‘Karim’ dari PD,PT&PBT Tuaran hanya membuat tinjauan sekali-sekala itu pun selepas dirayu berulang kali oleh penduduk.

Pegawai-pegawai dari Biro Pengaduan Awam selepas diadukan perkara ini oleh adik perempuan saya telah datang menyaksikan dan mengambil foto pelajar-pelajar sekolah yang memanjat pagar kawat berduri untuk keluar ke Jalan Utama dan seterusnya ke Sekolah. Namun tiada tindakan segera untuk menangani masalah secara serius.

Kesulitan ini telah membuat Ibu saya yang menghidap kanser tahap-3 tertekan. Nenek saya Puan Beduli Abdul Rahman yang sudah uzur dan perlu dibawa ke Hospital secara berjadual untuk merawat penyakit tuanya juga tidak terkecuali malahan menyulitkan perjalanan penduduk warga emas lain yang terpaksa melalui kawat berduri saban hari untuk keluar mendapat rawatan di Hospital.

Perlu saya fahamkan kepada Datuk bahawa hampir keseluruhan penduduk setempat yang terlibat dalam kesukaran ini adalah tergolong sebagai orang-orang yang disebut sebagai miskin tegar dan kebanyakan mereka hanyalah berharap kepada pemberian nafkah anak-anak. Bayangkanlah Datuk, orang sudah tua panjat kawat berduri, ibarat jatuh ditimpa tangga lagi dan terbiar tanpa pembelaan dari sesiapa pun.

Difahamkan bahawa pegawai-pegawai PD,PT&PBT Tuaran, secara sedar, sedia maklum dengan perkara ini pada keseluruhan masa tetapi apa yang mengikat mereka dari bertindak tidaklah dapat saya huraikan dan sering jadi tanda tanya. Dan apabila ditanya oleh penduduk yang terkesan mengenai jalan penyelesaian mereka, pegawai PD,PT&PBT Tuaran hanya suruh bersabar dan tunggu ‘bicara tanah’ nanti.

Seperti yang dijanjikan pada 26.09.08, ‘Bicara Tanah’ telah dijalankan di Pejabat ADO Tuaran dan dipengerusikan oleh ADO iaitu Encik Celestinus. Saya difahamkan oleh Ibu saya yang menghadiri ‘Bicara Tanah’ tersebut bahawa mesyuarat tersebut tidak berjalan dengan baik, Bukan sahaja tiada keputusan segera dicapai daripada mesyuarat tersebut bahkan keadaan menjadi tidak terkawal dengan tunjuk-menunjuk, teriakan dan tempikan suara oleh orang yang bertanggungjawab sepenuhnya menutup jalan tersebut iaitu Awang Salleh seperti orang ‘histeria’.

Saya berpendapat, sekiranya ADO tersebut mahir dan berpengetahuan menjalankan tugas, sepatutnya beliau telah mengambil langkah awal untuk meneliti laporan, memikir terlebih dahulu dan membuat persediaan rapi sebelum memanggil mesyuarat tersebut. Memandangkan beliau sudah sedia maklum tiada kesepakatan dari Omar dan Awang Salleh, ADO seharusnya boleh gunakan kuasa beliau sahaja untuk membentangkan sahaja jalan penyelesaian dan memutuskan keputusan berdasar fakta-fakta perundangan tanah. Sebaliknya ‘bicara tanah’ hanya sia-sia dan kawat duri masih meluka penduduk terpenjara.

Antara lain cadangan yang disebut dalam ‘bicara tanah’ juga menimbulkan tanda tanya kepada saya mengenai tahap kompeten ADO menjalankan tugas iaitu agenda mesyuarat yang ganjil mengenai roboh-meroboh dapur Ibu saya dan rumah Awang Salleh konon untuk beri laluan kepada pembinaan jalan kerana ianya saya anggap sebagai cadangan menghancur (destructive solution) di mana ADO sepatutnya cari penyelesaian yang membina (constructive solution). Bukankah jalan secara amnya dibina bengkang-bengkok untuk elakkan melanggar rumah dan struktur yang sudah lama didirikan? Saya kurang pasti apakah relevannya roboh meroboh dalam perkara memohon jalan keluar?

Beberapa pertemuan susulan dengan PD,PT&PBT Tuaran oleh Ibu saya sehingga hari ini masih juga tidak menjanjikan apa-apa penyelesaian dan malangnya keadaan memanjat kawat berduri oleh penduduk yang terbabit masih berterusan sehingga ke hari ini.

Datuk,

Saya amat terkesan sekali melihat penderitaan Ibu, Keluarga dan penduduk setempat lain. Oleh yang demikian saya terpaksa membawa ke perhatian Datuk kerana saya percaya Datuk seoarang prihatin dengan perkara-perkara yang menyukarkan rakyat apatah lagi di kawasan Datuk sendiri. Belum pernah saya mendengar ataupun menyaksi perkara sebegini di mana-mana jua tempat yang saya pernah diami di Malaysia atau pun tempat-tempat lain di dalam dunia. Sayangnya, ia berlaku di kawasan rumah keluarga saya sendiri di daerah yang Datuk menjadi ketuanya. Saya percaya Datuk belum dimaklumkan perkara ini, maka itulah Datuk belum bertindak untuk menangani masalah kami ini.

Untuk pengetahuan Datuk, saya sendiri berdepan dengan risiko kekerasan daripada Awang Salleh dan suku-sakatnya apabila saya bertindak menulis surat ini. Buktinya Datuk, saya sendiri pernah diugut untuk dipukul oleh ‘adik’ Awang Salleh yang diketahui dengan nama ‘Sabli’ seorang pemandu bas mini (saya letakkan simbol buka tutup kata kerana saya tidak kenal 100%) pada sekitar tahun 2000 di kaki lima Pekan Tuaran. Kata ‘Sabli’ saya ‘cari pasal’ dengan abangnya Awang Salleh sedangkan saya tidak pernah berdiri dalam jarak 10 kaki pun hampir dengan Awang Salleh apalagi untuk ‘cari pasal’.

Ibu-Bapa saya sendiri pernah membuat laporan polis terhadap Awang Salleh sekitar tahun 2000 kerana Awang Salleh mengguna kekerasan menetak mengguna parang panjang yang terkena pagar zink sempadan rumah kami hanya kerana Ibu saya tanyakan pendapat beliau mengenai pecah geran tanah yang dikongsi geran. Polis kemudian datang rumah Awang Salleh dan ‘nasihat’kan beliau sahaja.

Pada 14 Januari 2007 saya pula terpaksa buat laporan polis di Tuaran kerana dipukul dengan teruk secara berkumpulan oleh ‘Sabli’ dan anak saudara Awang Salleh iaitu anak kepada Arwah Asgari Salleh (abang kepada Awang Salleh) kerana saya dituduh mereka langgar lembu mereka di atas jalan raya milik kerajaan. Sedangkan kereta saya pandu Kembara SA5056W tidak sedikit pun bercalar atau ada kesan melanggar. Lembu pula masih berdiri dan makan rumput. Kes ini masih lagi dalam perhatian polis dan saya bercadang untuk membawa ke muka pengadilan.

Saya hanyalah seorang rakyat marhaen biasa yang sudah bermastautin di kawasan Datuk selama hampir 10 tahun. Walaupun saya belum lagi menjadi ahli UMNO, tetapi saya telah mengundi Barisan Nasional apabila saya berkesempatan dan tidak pernah mengundi Parti pembangkang.

Seperti yang Datuk tahu Omar Salleh dan anaknya (Awang tidak saya ketahui) adalah penyokong kuat Parti Keadilan Rakyat, PKR. Rumah beliau yang jadi markas PKR Kg. Tambalang sentiasa dipenuhi oleh orang-orang Parti keadilan Rakyat pada kempen dan pilihanraya bulan mac 2008 yang lalu dan menaikkan bendera PKR di rumahnya.

Bukan kami tidak rujuk kepada Pegawai Kemajuan Rakyat, Ketua Kampung dan sebagainya malah pelbagai cara sudah kami usahakan termasuklah mahu bayar pampasan tanah sekiranya ada kesudian pemilik tanah namun saya percaya kerana Awang Salleh dan Omar Salleh berputar-belit untuk menentang apa saja tindakan kami ini serta amat cenderung mengguna cara kekerasan. Pada suatu hari pada bulan Julai yang lalu Omar Salleh ada menemui ipar saya iaitu Jasmi Bin Slamat (seorang pegawai SUHAKAM) dan menggertak beliau bahawa tujuan mereka menutup jalan adalah untuk ‘mengajar’ Ibu saya.

Saya percaya Ibu saya adalah setulus-tulusnya manusia dan tidak perlu di’ajar’ lagi oleh Omar Salleh serta adiknya Awang Salleh dan ‘Sabli’ pemandu van yang amat tidak segan silu guna cara kekerasan. Baru-baru ini juga saya telah menerima berita sahih bahawa Encik Abdullah telah dipukul oleh orang-orang yang sama hanya kerana suara yang kuat dari ‘speaker’ radio beliau sedangkan ianya hanya berkumandang dalam rumah beliau sendiri dan tidak ganggu sesiapa.

Datuk,

Saya dengan takzimnya Wallahi, Wabillahi, watallahi bersumpah bahawa kandungan surat saya ini adalah semata-mata benar tiada yang lain melainkan yang benar sahaja.

Saya menyerahkan kepada kearifan Datuk yang sudah menjadi Pemimpin Tuaran paling disegani MERANGKAP Menteri bertanggungjawab berkenaan dengan Pihak Berkuasa Tempatan untuk menimbang serta mengambil tindakan untuk menyelamatkan kami penduduk-penduduk Kampung Tambalang yang secara sengaja dianiaya oleh juak-juak berniat jahat yang secara terang sanggup guna kekerasan dan apa saja cara untuk menindas sesama orang Islam. Saya yakin Datuk tidak akan sampai hati untuk melihat kami sekampung terus dianiayai oleh orang-orang yang tiada peri kemanusiaan ini

Sekian terima kasih.

Yang benar,

ditandatangani

_____________________

NASIRUDIN ANJUD

2 comments:

Ajin b. Gagah said...

Saudara Mutalib,
Selaku penduduk Tuaran dan mengenali situasi tempat yang di maksudkan oleh sdra Nasrudin Anjud ini, agak terkejut juga bilamana menatapi kes ini terpapar dalam blog saudara.

Penulisan beliau agak kemas penuh dengan detail yang mudah untuk di fahami. Isu yang di ketengahkan oleh sdra Nasrudin ini nampak nya berciri melodramatic dan traumatic.

Dalam pengalaman saya selaku Jurutera Daerah kanan dan pernah berurusan dengan kes-kes saperti ini agak terkejut kenapa kes yang mudah ini menjadi komplek .

Sabenar nya hal ini tidak lah begitu unik. Namun kerana tiada bantuan dan pemantauan serius dari pehak Pejabat Daerah atau agensi yang berkaitan, maka begini lah jadi nya. YB pun terlibat.

Entah siapa lagi di Malaysia ini yang akan turut terlibat kalau ia nya tidak dapat diurus dengan baik.
Walau macammana pun saya akan tunggu dan lihat kesudahan nya nanti.
Salam

Nasirudin Anjud said...

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Saudara MutalibMD kerana mengenengahkan permasalahan orang di Kampung Saya.

Untuk makluman saya telah berpindah dan belum pernah kembali ke rumah ibu kerana khuatir keselamatan saya tetapi sering mendapat berita dari masa ke semasa.

Baru-baru ini saya diberitahu oleh pakcik saya iaitu Encik Yusuf Bin Jata bahawa salah seorang penduduk yang masih terperangkap iaitu Muji Bin Hj. Ibrahim seorang warga emas telah disahkan sebagai pesakit buah pinggang kronik dan memerlukan belanja dialisis sebanyak RM2,000.00 sebulan. Yusuf sendiri ada melawat dan tertanya kenapa jalan masuk susah betul kena masuk kawat sana sini.

Persoalannya bagaimana kita hendak membantu atau beri peluang kepada orang lain untuk membantu sedangkan prasarana asas seperti jalan raya pun tidak diadakan. Kalau sakit teruk nanti bagaimana hendak ambulan datang ambil? Mungkin boleh kalau pakai helikopter ambulan. Itu pun kalau ada tempat hendak landing!

Kepada sesiapa yang berkemampuan dari segi kewangan, kepakaran undang-undang ataupun pihak berkuasa di sana sya amat hargai kiranya dapat memantau dan membantu dalam perkara ini.

Saya, selagi mampu akan terus beri khabaran ke sana sini supaya berita seperti ini sampai kepada seramai orang yang mungkin dan memberi peluang kepada yang ingin bantu untuk menghulurkan tangan. Saya tidak akan berpuas hati sehingga perkara ini diselesaikan secara baik oleh pihak berkuasa.

Kepada Solymone terima kasih atas sokongan yang diberikan.