Search This Blog
Thursday, January 15, 2009
HASSNAR CABAR ABAS ALI LETAK JAWATAN SEBAGAI PENGERUSI MUIS DAN ADUN BALUNG
LAPOR....Hassnar menunjukkan laporan polis yang dibuatnya di hadapan balai Polis Karamunsing terhadap Abas Ali.
MANTAN Ketua Daerah Sandakan, OKK Hassnar MP Ebrahim mencabar Pengerusi Majlis Agama Islam Sabah (MUIS), Datuk Syed Abas Syed Ali agar meletakkan jawatannya kerana bersikap hipokrit dan tidak layak menjaga hal ehwal Umat Islam di Sabah.
Kata Hassnar, Abas telah mencabul Fasal 3 Perlembagaan Persekutuan, menghina agama Islam dan melakukan jenayah menghina Mahkamah Syariah Pahang apabila membuat teguran secara terbuka berhubung hukuman enam sebatan yang dijatuhi terhadap seorang lelaki dan wanita yang meminum arak di khalayak ramai sebagai terlalu berat.
"Sebagai seorang Pengerusi MUIS, beliau tidak langsung menghormati Institusi Mahkamah Syariah apabila secara sedar telah mempersendakan agama Islam apabila mengkritik hukuman yang dijatuhi oleh Mahkamah Syariah sebagai tidak adil dan terlalu berat," ujar Hassnar yang menggesa agar Ketua Menteri Sabah, Musa Aman agar melantik personel yang berkelayakan menerajui MUIS.
Sebagai seorang Islam, kata Hassnar, Abas tidak boleh membuat kenyataan yang berunsur hasutan dan menghina agama rasmi Malaysia kerana keputusan berkenaan dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah.
"Apa hubungan Abas dengan pesalah dan kenapa beliau membela pesalah di luar mahkamah? Dari segi undang-undang, pesalah boleh memfailkan rayuan dan bukannya mewakilkan kepada Abas membuat kenyataan umum," tegas Hassnar yang menggesa agar Ketua Menteri tidak mempolitikkan agama Islam terutama perlantikan Pengerusi MUIS yang tidak langsung mempunyai latar belakang agama.
Kata Hassnar Abas sebenarnya pengecut dan berjubahkan agama Islam apabila gagal menjalankan tugas memastikan syiar Islam terpelihara dengan membiarkan ramai umat Islam di Sabah yang menyertai Islam melalui Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) telah murtad dan kembali kepada agama asal mereka disebabkan tiada bimbingan daripada MUIS dan USIA.
Kata Hassnar, beliau sedih kerana ada jenazah umat Islam yang telah dikebumikan di tanah perkuburan bukan Islam setelah meninggal dunia kerana MUIS memandang remeh isu agama Islam di Sabah.
"Saya juga mempunyai bukti campurtangan Abas di dalam satu kes perbicaraan apabila Abas bersubahat dengan seorang hakim membuat keputusan secara salah dan membelakangkan undang-undang," kata Hassnar yang menuding jari kepada Abas yang membantu seorang wanita yang disahkan murtad walaupun aduan rasmi dibuat kepadanya.
Oleh itu, Abas harus mengosongkan kerusi DUN Balung dan Pengerusi MUIS kerana telah melakukan jenayah syariah apabila menghasut umat Islam agar meremehkan hukuman Mahkamah Tinggi Syariah.
PENGERUSI...Kata Hassnar Inilah kerja dan sikap Pengerusi MUIS.
Hassnar turut mendesak Abas meminta maaf secara terbuka kepada Umat Islam kerana telah menyakiti hati umat Islam dengan mempersendakan agama dan mendorong Umat Islam mendekati khamar atau arak yang menjadi punca segala kejahatan.
Cadangan Abas agar umat Islam yang meminum arak dihantar ke pusat pemulihan sebagai cadangan orang hilang akal kerana wang rakyat terpaksa dibelanjakan untuk merawat orang yang merosakkan diri mereka dengan arak melainkan Abas bersedia menjadikan rumahnya sebagai pusat pemulihan arak.
"Saya mencabar Ketua Polis Negara agar tidak terlalu mengamalkan sikap double standard dengan menangkap Teressa Kok dalam kes azan sebaliknya membiarkan Abas menghina agama Islam sesuka hati," kata Hassnar yang berjanji akan mendedahkan segala salah laku Abas selama beliau menjadi Pengerusi MUIS.
Sebelum ini kata Hassnar, tindakan Mufti Negeri Sabah, Datuk Ahmad Alawi mengeluarkan fatwa mengharamkan pembinaan patung Ma Tzu sebagai mencampuri urusan penganut agama lain dan amat memalukan Umat Islam apabila penglibatan Mufti dalam kes Ma Tzu didengar di Mahkamah terbuka.
Dalam pada itu, Hassnar juga mencabar Mufti Negeri Sabah agar turut meletakkan jawatan sebagai hukuman dunia kerana bersubahat dengan Musa Aman mengeluarkan fatwa yang menyebabkan wujudnya sengketa agama di antara penganut Ma Tzu dengan agama Islam.
Hassnar telah membuat laporan polis di Balai Polis Karamunsing pada jam 12.24 tengahari, 15 Januari 2009 melalui laporan Karamunsing/000858/09 yang berbunyi;
"Pada 15 Januari 2009 lebih kurang jam 10.30 pagi, saya terbaca di muka surat 2 dan diruang bahasa malaysia akhbar daily express, semasa berada di kawasan Api-Api Centre Kota Kinabalu, Sabah, Pengerusi Majlis Agama Islam Sabah, Datuk Syed Abas Syed Ali telah mengeluarkan kenyataan menghina mahkamah. Kenyataan Datuk Syed Abas Syed Ali bahawa hukuman, 6 kali sebatan rotan ke atas Mohamad Nasir Mohamad dan Noorazah Baharudin, kedua–duanya beragama Islam, dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Syariah di Pahang, YA Abdul Rahman Yunus, kerana kesalahan meminum arak, dianggap berat adalah jenayah yang bertujuan menjatuhkan imej Mahkamah Syariah di Malaysia. Saya buat aduan ini supaya Polis diRaja Malaysia siasat dan ambil tindakan di bawah undang undang jenayah ke atas Datuk Syed Abas Syed Ali dan semua kakitangan akhbar yang menyiarkan kenyataan tidak bertanggung jawab seperti terkandung dan disiar oleh akhbar berkenaan. Photostatnya dikepilkan bersama laporan ini, pada 15hb januari 2009."
Dalam pada itu, Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan telah menjatuhi hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan mengikut hukum syariah ke atas seorang lelaki dan seorang wanita yang mengaku bersalah meminum arak.
Hakim Datuk Abdul Rahman Yunus menjatuhkan hukuman itu selepas kedua-dua tertuduh, Mohd. Nasir Mohamad @ Sulaiman, 38, dan Noorazah Baharuddin, 22, mengaku melakukan perbuatan yang dilarang oleh agama Islam itu tahun lalu.
NOORAZAH mengaku bersalah meminum arak di Mahkamah Tinggi Syariah di Kuantan smentara MOHD NASIR tenang ketika dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan enam kali sebat semalam
Mohd. Nasir dituduh meminum arak jenama Tiger Beer di Fun Pub, Holliday Villa, Cherating, pada 11 Julai lalu, pukul 11.37 malam. Dia telah berkeluarga dan mempunyai empat orang anak, bekerja dengan sebuah syarikat perkapalan di Kemaman, Terengganu.
Sementara itu, Noorazah yang bekerja sebagai seorang pelayan di sini, dituduh meminum arak jenama Heineken di Black Forest Pub, Jalan Gambut dekat sini, pukul 1.20 pagi pada 12 Julai tahun lalu.
Kedua-dua tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan dihukum di bawah Seksyen 4 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (Pindaan) 1987.
Berikut berita penuh yang ditulis Bernama tetapi disiarkan semua akhbar di Malaysia;
TAWAU, 14 Jan (Bernama) Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) Datuk Syed Abas Syed Ali berkata hukuman enam kali sebatan rotan yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Pahang terhadap seorang lelaki dan seorang wanita Islam di negeri itu kerana meminum arak adalah terlalu berat.
Sambil menyifatkan hukuman berkenaan sebagai tidak berkesan untuk mencegah umat Islam daripada minum arak, beliau sebaliknya mencadangkan supaya pendekatan pemulihan digunakan untuk mendidik umat Islam supaya tidak mendekati tabiat haram itu.
"Itu (sebatan) bukan caranya. Lebih baik umat Islam yang ditangkap meminum arak dihantar menjalani proses pemulihan untuk membolehkan mereka meningggalkan tabiat itu.
"Penagih arak bukan mudah untuk meninggalkan tabiat berkenaan. Ia seperti perokok yang sukar meninggalkan tabiat merokok," katanya kepada Bernama di sini, Rabu.
Syed Abas yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sabah kawasan Balung berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Syariah di Pahang yang mengenakan hukuman enam kali sebatan rotan terhadap Mohamad Nasir Mohamad, 38, dan Noorazah Baharuddin,22, seorang pelayan, kerana didapati bersalah meminum arak di sebuah pub di Pahang tahun lalu.
Selain hukuman rotan, Mohamad Nasir dan Noorazah juga masing-masing dikenakan denda.
Syed Abas berkata menggunakan pendekatan hukuman berat seperti itu bukan sahaja tidak berkesan dalam mendidik umat Islam supaya menjauhi perbuatan haram itu, malah ia tidak akan menyelesaikan masalah berkenaan.
"Jika inilah pendekatan yang diambil, lebih baik umat Islam diharamkan sama sekali daripada memasuki kelab malam atau pub kerana majoriti mereka yang mengunjungi tempat-tempat tersebut akan minum arak.
"Kalau tidak, beribu-ribu umat Islam akan disebat kerana meminum arak. Lebih baik mereka yang ditangkap minum arak ditahan seketika untuk membantu mereka meninggalkan tabiat berkenaan," katanya.
SALINAN laporan polis Hassnar.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Assalamu'alaikum...
Uncle! Hikhik. Akhirnya jumpa juga saya dengan blog uncle ni. Lama sudah saya cari selepas dengar orang cakap-cakap pasal blog uncle. Tapi baru hari ni jumpa.
Wah, best la blog uncle :-)
Nanti akan uncle jalan2 pergi blog saya pula ya.
Post a Comment