Search This Blog

Saturday, January 17, 2009

PERLEMBAGAAN Vs PERLAMBANGAN?



TROY...Politik masa kini semakin penuh muslihat seperti kisah Trojan kayu yang menjadi legenda politik Rom di zaman dahulu.


SEJAK pengharaman UMNO pada 1988, Akta Pertubuhan telah dipinda bagi mengelakkan bukan sahaja UMNO, malah parti Komponen diheret ke Mahkamah oleh ahli yang tidak berpuas hati dengan sebarang keputusan parti.

Pindaan tersebut melibatkan Seksyen 18C, Bahagian 1A, Akta Pertubuhan 1966 yang akhirnya menyatakan;

“Keputusan sesuatu parti politik atau mana-mana orang yang diberi kuasa olehnya atau oleh perlembagaannya atau kaedah-kaedah atau peraturan-peraturan yang dibuat di bawahnya tentang pentafsiran perlembagaan, kaedah-kaedah atau peraturan-peraturannya atau tentang apa-apa perkara yang berhubung dengan hal ehwal parti itu adalah muktamad dan konklusif dan keputusan itu tidak boleh dicabar, dirayukan, dikaji semula, dibatalkan atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan, dan tiada mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk melayani atau memutuskan apa-apa guaman, permohonan, soal atau prosiding atas apa-apa alasan berkenaan dengan kesahan keputusan itu.”


Sehubungan itu, pemimpin parti terselamat daripada sebarang tindakan undang-undang kerana terdapat imunisasi dan semua pihak yang membawa parti ke mahkamah telah lucut keahlian secara automatik.

Ironinya, pindaan tersebut telah mencabul Fasal 4 (1) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi;

"Perlembagaan ini adalah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan yang berlawanan dengan Perlembagaan ini hendaklah terbatal setakat yang berlawanan itu."

Kekebalan Fasal 18 C Akta Pertubuhan membuatkan Ketua UMNO Bahagian Silam, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur tidak gentar dengan sebarang tindakan ahli yang membuat bantahan, tambahan pula mendapat sokongan erat daripada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman yang menyediakan laporan persidangan yang memihak kepada Nasrun.

Musa Aman, tanpa melalui mesyuarat Badan Perhubungan UMNO telah menghalalkan 'Penipuan dan Pembelitan' yang dilakukan oleh petualangan yang ingin mendapat kuasa secara tidak sah, sekalipun Videoklip 'Silam Mata UMNO Silam' dan Memorandum Bantahan telah menyediakan bukti yang melampaui keraguan munasabah.

Namun sehingga ke hari ini, Majlis Tertinggi belum membuat sebarang keputusan dan difahamkan Jawatankuasa Pengurusan Parti akan bersidang selepas Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu untuk membuat keputusan muktamad.

"Nasrun menang secara tipu dan kami tidak iktiraf dia sebagai pemimpin. BN akan kalah pada pilihanraya akan datang jika kekalkan keputusan pemilihan yang culas ini," ujar Kunsul Nahul salah seorang yang membantah dan telah menemui Setiausaha Kerja UMNO Pusat.

Kekebalan Seksyen 18 C ini bukan sahaja menyebabkan ahli UMNO gelisah dan tidak senang hati terhadap pucuk pimpinan, malah turut melanda Parti Keadilan rakyat (PKR) apabila lebih dua pertiga AJK yang telah dipilih secara sah meletakkan jawatan di dalam mesyuarat Agung Khas yang membuat undi tidak percaya kepada Ketua Bahagian PKR Batu Sapi, Datuk Nahlan Haji Damsal.

"Anehnya, Nahlan lantik AJK baru tanpa melalui persidangan agung dan masih memegang jawatan sehingga kini. Sahkah perwakilan yang dihantar menyertai Perhimpunan Agung Pusat baru-baru ini jika Bahagian yang sedia ada tidak wujud dan tidak sah apabila lebh dua pertiga AJK meletakkan jawatan," ujar Abdullah yang mempertikaikan kepimpinan Anwar Ibrahim yang memekakkan telinga terhadap aduan rasmi perwakilan.

Ramai ahli parti kini mempersoalkan apakah Perlembagaan Parti hanya menjadi Perlambangan keadilan sedangkan pada dasarnya ahli terpenjara di dalam kekalutan fikiran pemimpin yang ingin medapatkan kuasa dan mempertahankan kuasa sampai bila-bila.

No comments: