Search This Blog
Sunday, January 11, 2009
AKU MENULIS BUKAN KERANA NAMA!
WALAUPUN sudah hampir sepuluh tahun berlalu, namun buku IC PALSU Merampas Hak Anak Sabah masih hangat dan dibicarakan secara terbuka. Buku-buku lain yang seangkatan dengannya iaitu Pengundi Untuk Disewa, IC Projek Agenda Tersembunyi Mahathir dan 007-Lelaki Melayu Terakhir hanya dibicarakan secara tertutup.
Memandangkan buku IC Palsu yang dianggap 'master piece' hanya tinggal tidak sampai 100 buah, maka saya mengambil kesempatan ini untuk memberikan peluang kepada warga Sabah agar mendapatkan buku berkenaan terus daripada MMS & CO seperti alamat yang tertera di dalam blog ini kerana saya tidak lagi bercadang untuk mencetak semula buku tersebut.
Sebagai mengimbas kembali isu IC PALSU di Sabah saya paparkan wawancara WARTAWAN ROCKY MABIN dengan saya.
ROCKY: Saya mengucapkan syabas kepada saudara kerana berjaya menghasilkan buku tersebut yang telah mendapat liputan meluas pihak media dan pemimpin politik di negeri ini, malah telah dibahaskan di Dewan Undangan Negeri dan Parlimen. Apa yang mendorong saudara menulis buku ini?
MUTALIB: Terima kasih. Ucapan syabas berkenaan bukan milik saya, sebaliknya milik rakyat Sabah kerana begitu prihatin terhadap hak dan kepentingan mereka sehingga telah membukakan mata pemimpin yang terlena selama ini. Saya hanyalah katalis atau penterjemah segala keluhan rakyat Sabah yang selama ini dihimpit oleh pelbagai karenah birokrasi dan tersepit oleh kepentingan politik golongan tertentu yang mem-percaturkan masa hadapan rakyat untuk merebut kuasa dengan menghalalkan apa cara. Buku ini adalah rakaman segala keluhan yang disuarakan oleh pemimpin dan rakyat Sabah sejak mencapai kemerdekaan pada 16 September 1963. Soal siapa mendorong saya menulis buku ini tidak timbul kerana sebagai penulis saya memikul tanggung jawab yang berat untuk menjelaskan kebenaran kepada rakyat dan pemimpin. Sebagai seorang Islam saya berpegang teguh kepada amanat Allah melalui surah pertama iaitu Iqra. Allah menyuruh manusia membaca. Apa yang hendak dibaca jika tidak ada apa yang ditulis? Itu fitrah manusia seperti saya dan juga saudara.
ROCKY: Melihat kepada isi kandungan buku ini ternyata mengandungi beberapa fakta rahsia sehingga menimbulkan kebimbangan di pihak ahli politik dan kerajaan. Tidakkah saudara bimbang jika saudara didakwa di mahkamah atau diambil tindakan undang-undang oleh pihak yang merasakan kepentingan mereka tergugat.
MUTALIB: Saya lebih bimbang jika saya tidak berani berkata benar. Segala fakta yang dikemukakan di dalam buku ini berdasarkan penyelidikan dan kajian yang agak ilmiah. Saya berpendapat isi kandungan buku ini tidak boleh memudaratkan rakyat Sabah atau kerajaan dan tidak ada apa yang perlu dibimbangkan. Saya tidak langsung berniat un-tuk menjatuhkan seseorang atau memalukan seorang yang lain. Hakikatnya saya terpaksa mendedahkan kebenaran walaupun terlalu pahit untuk diterima oleh pihak yang berkepentingan. Saya menulis buku ini melalui kacamata atau sudut pandangan seorang wartawan yang memegang konsep, amal makruf nahi mungkar. Soal ada pihak yang ingin mendakwa atau mengambil tindakan undang-undang terhadap saya ekoran penulisan buku ini, itu adalah hak mereka. Sebagai penulis, saya tegas dengan keputusan untuk mempertahankan fakta dan dakwaan dalam buku ini bahawa apa yang saya tulis adalah benar dan nyata. Apa yang saya tulis bukannya perkara baru. Rakyat Sabah lebih arif dan pemimpin lebih maklum. Cuma inilah kali pertama masalah ini didokumentasikan. Sebelum ini hanya perbahasan lisan. Jika adapun buku yang membicarakan hal ini tidak begitu mendalam dan sekadar membuat tanggapan, bukannya fakta atau bukti yang melampaui keraguan yang munasabah.
ROCKY: Buku ini agak tebal iaitu 526 muka itu. Kenapa saudara perlu menulis buku setebal itu sedangkan buku sebelum ini yang membicarakan hal yang sama hanya setebal 100 hingga 150 muka surat. Apa motif saudara sebenarnya ?
MUTALIB: Untuk membicarakan hak kerakyatan dan negara, buku ini masih terlalu nipis. Pada asalnya buku ini setebal 1,500 muka surat dan mengandungi 63 bab, tetapi melihat kepada senario tempatan yang memerlukan buku ini diterbitkan lebih awal, maka saya telah menyunting buku ini dan membahagikan kepada tiga bahagian. Bahagian pertama mengandungi 20 bab ini membicarakan masalah kad pengenalan palsu dan pengundi hantu seperti yang saudara baca dalam buku ini. Bahagian kedua dan ketiga akan menyusul kelak yang mencakupi hak kewarganegaraan, sistem pilihanraya, masa hadapan bangsa Malaysia dan politik Sabah. Buku ini perlu memberikan gambaran sebenar apa yang berlaku dan tidaklah memberikan apa-apa makna jika tidak lengkap dan kekurangan fakta.
ROCKY: Ada yang berpendapat dakwaan dalam buku ini tidak benar dan berdasarkan hipotesis atau andaian saudara sahaja?
MUTALIB: Saya telah menyajikan yang terbaik untuk pembaca. Jika saudara bersetuju dengan dakwaan demikian saya rasa wakil rakyat kita tidak perlu membuang masa membahaskan isu ini di dalam sidang Dewan Undangan Negeri atau Parlimen. Jika isu yang diutarakan dalam buku ini remeh dan tidak benar, kenapa Datuk Yong Teck Lee terdorong membuat laporan polis dan semua pemimpin di negeri ini meminta isi kandungan buku ini disiasat. Saya serahkan kepada kebijaksanaan pembaca untuk membuat penilaian. Kita telah merdeka lebih 36 tahun lalu dan apakah kemerdekaan itu memberikan makna jika kita masih perlu meminta izin kepada orang tertentu untuk berkata benar?
ROCKY: Saya melihat isi kandungan buku ini memaparkan maklumat sulit dan rahsia kerajaan. Sudah tentunya saudara mempunyai rangkaian pemberi maklumat yang mungkin terdiri daripada kakitangan kerajaan atau ahli politik yang tidak senang hati dengan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional. Bukankah begitu?
MUTALIB: Saudara bebas membuat telahan atau memberikan pandangan. Saya tidak merasakan bukti yang saya ketengahkan ini sebagai maklumat sulit kerana semuanya melalui saluran yang sah. Jika adapun dokumen sulit kerajaan, saya buat saduran. Sebagai wartawan, saya rasa saudara tidak akan mendedahkan pemberi maklumat dan adalah menjadi tanggung jawab saudara melindungi identiti pemberi maklumat.
Namun bagi saya pemberi maklumat utama saya ialah jabatan kerajaan seperti jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen dan Suruhanjaya Pilihanraya yang ditugaskan memberi penjelasan kepada rakyat berhubung sebarang kemusykilan. Apakah menjadi satu kesalahan jika ada rakyat Sabah yang menyerahkan kepada saya salinan kad pengenalannya kerana beliau diberi taraf warganegara “BELUM DITENTUKAN”, atau seorang majikan yang menyerahkan salinan bon jaminan pekerja asing yang melarikan diri daripada jaminan yang kini memiliki sekeping kad pengenalan melalui jalan yang tidak sah? Adakah daftar pemilih yang telah diwartakan dianggap sulit sedangkan setiap warga Malaysia boleh membelinya di pejabat SPR. Kerajaan Malaysia mengamalkan pentadbiran yang telus dan saya rasa tidak ada perkara yang perlu dirahsiakan. Semua jabatan kerajaan sedia memberikan kerjasama dan terpulang kepada kita cara mendapat dan menggunakan maklumat berkenaan.
ROCKY: Saya difahamkan bahawa saudara mantan setiausaha politik mantan Adun Lahad Datu dan telah dipecat kerana penerbitan buku ini?
MUTALIB: Saya hanya setiausaha sulit peribadi bekas Adun berkenaan dan Setiausaha Eksekutif Umno Silam. Saya bukan dipecat, sebaliknya meletakkan jawatan kerana enggan bersekongkol atau mengkhianati amanah rakyat Sabah dan anak cucu saya. Seperti yang saya nyatakan di dalam buku tersebut, saya telah mengemukakan surat perletakan jawatan sebanyak tujuh kali tetapi tidak diterima dan kali terakhir saya membuat keputusan nekad dan terus meletakkan jawatan pada 1 April 1997. Saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan mantan Adun berkenaan, sebaliknya saya tidak ingin menjadi talibarut melindungi pendatang asing yang bersembunyi di dalam Umno dan menggadai masa hadapan anak cucu saya jika terus bersubahat melindungi mereka. Buku ini saya terbitkan setahun selepas saya meletakkan jawatan melalui penyelidikan dan siasatan rapi selama lebih lapan tahun.
ROCKY: Sebelum saudara menerbitkan buku itu, adakah saudara menyedari bahawa buku itu boleh mengundang bahaya kepada diri saudara sendiri, terutama daripada pihak yang saudara dedahkan di dalam buku ini?
MUTALIB: Ajal, rezeki, jodoh dan maut kerja Tuhan. Jika di dalam Laoh Mahfuz saya ditakdirkan mati di Papua New Guinea pada tahun 2030, tidak ada yang berhak mencabut nyawa saya di Sabah. Sebagai penulis, saya tidak gentar menghadapi semua ini kerana telah bersedia sejak awal-awal lagi dan menerima segala ketentuan takdir Illahi dengan hati yang pasrah. Saya reda apabila diserang dan dicederakan sebanyak dua kali oleh pihak tertentu tetapi tidak mematahkan semangat saya untuk terus menulis. Kita ada undang-undang tetapi jika undang-undang tidak lagi boleh melindungi kita, kita serahkan segala-galanya kepada Allah.
ROCKY: Adalah difahamkan besar kemungkinan saudara boleh didakwa dalam Akta Rahsia Rasmi Kerajaan (OSA) atau Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana mendedahkan beberapa artikel membabitkan kerajaan.
MUTALIB: Itu hak kerajaan. Buku ini hak saya dan saya bebas menyuarakan hak sebagaimana dijamin oleh perlembagaan. Kerajaan pimpinan Barisan Nasional memberikan kebebasan kepada media dan mengamalkan toleransi pengaliran maklumat. Saya tidak nampak apa perlunya mereka mendakwa saya di bawah OSA atau ISA kerana semua maklumat di dalam buku ini bukanlah ditakrifkan sebagai sulit sebaliknya dokumen awam. Kalau saya dikenakan ISA semata-mata kerana berkata benar melalui buku ini, saya redha kerana telah memperjuangkan kepentingan dan hak rakyat Sabah yang selama ini diselindungkan. Namun saya tidak fikir Pak Lah atau Dr Mahathir akan bertindak sejauh itu.
ROCKY: Sudah berapa naskah buku itu telah diedar kepada umum?
MUTALIB: Sehingga kini buku ini telah dibaca oleh lebih 10,000 orang dan telah dicetak kali kedua sebanyak 10,000 naskhah lagi. Saya menjangkakan boleh menjual lebih 100,000 naskhah di seluruh Malaysia kerana ianya perlu dibaca oleh setiap warga Malaysia yang cintakan negara ini.
ROCKY: Tidakkah saudara perasan bahawa saudara telah membongkar satu sindiket besar yang mungkin boleh memudaratkan keselamatan negara?
MUTALIB: Keselamatan negara lebih terancam jika perkara ini tidak dibongkar. Umpama barah, jika dirawat awal, peluang untuk sembuh masih ada. Saya rasa kerajaan mempunyai cara untuk mengatasi hal ini dan tugas saya telah selesai kerana sekurang-kurangnya boleh dijadikan panduan untuk membasmi masalah ini hingga ke akar umbi. Itupun jika mereka mahu, jika tidak saya tidak dapat berbuat apa-apa. Kerajaan telah mengakui wujudnya sindiket ini melalui penangkapan ramai personel dan rangkaian sindiket kad pengenalan palsu dan mengeluarkan banyak nama yang meragukan daripada daftar pemilih.
ROCKY: Sebagai penulis, apakah tajuk buku yang bakal tuan hasilkan dan lebih sensasi pada masa akan datang?
MUTALIB: Saya sedang menyiapkan buku kedua berhubung isu keselamatan negara iaitu Pengundi Untuk Disewa (Voters For Hire). Buku ketiga saya DR ISA akan menemui pembaca pada penghujung tahun hadapan. Di samping itu, jangan lupa dapatkan sebuah Kumpulan Cerpen saya iaitu Fatamorgana dan sebuah koleksi misteri yang bertajuk Koleksi Sabah yang kini dalam pasaran.
ROCKY: Apa pandangan saudara berhubung laporan polis yang dibuat oleh bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Yong Teck Lee berhubung buku saudara?
MUTALIB: Alhamdulillah. Tak payah buat publisiti lagi kerana laporan polis tersebut telah melariskan buku ini. Itu hak Datuk Yong. Saya rasa Yong terlalu sayangkan negeri ini dan turut merasa bertanggung jawab, apatah lagi kawasan yang diwakilinya juga dibanjiri masalah kad pengenalan palsu terutama Pulau Gaya dan Kampung Likas. Datuk Yong lebih arif, saudara kena tanya dia apa motif sebenar. Saya tidak boleh membuat telahan. Saya rasa polis patut menjalankan siasatan rapi kerana saya hanya boleh memberikan klu dan polis mempunyai kuasa untuk menghadapkan mereka yang terlibat kemuka pengadilan.
ROCKY: Adakah pendedahan yang berani itu hanya setakat dengan buku yang saudara terbitkan itu?
MUTALIB: Tugas untuk membanteras kezaliman tidak terhenti dengan penghasilan buku ini sahaja sebaliknya berterusan dari semasa ke semasa. Saudara boleh baca rencana dan berita sensai saya yang tersiar di akhbar ini. Semua ini kesinambungan daripada buku itu. Saya anggap tugas mendedahkan kebenaran sebagai jihad dan harus berterusan.
ROCKY: Adakah saudara pastikan semua senarai nombor pengenalan palsu di dalam buku itu benar-benar palsu atau cuma andaian saja?
MUTALIB: Saudara patut tanya Jabatan Pendaftaran Negara kerana mereka mempunyai Locus standi berhubung kad pengenalan. Saya cuma mendedahkan fakta dan alibi yang sahih mengikut persepsi saya melalui siasatan yang rapi. Tidak boleh membuat tuduhan tanpa bukti. Jika pegawai pendaftaran enggan menukar kad pengenalan seseorang kerana telah mengesahkan kad pengenalan tersebut palsu, apa saya boleh buat melainkan menerima pengesahan tersebut kerana hanya mereka yang tahu kad pengenalan tersebut palsu atau tulen. Apa pandangan saudara jika seorang warga asing yang lahir di Filipina atau Indonesia dan datang ke Sabah menggunakan pasport tetapi kemudiannya memiliki kad pengenalan bermutu tinggi yang mencatatkan kod kelahirannya 12 iaitu Sabah dan bukannya 71 iaitu taraf warganegara? Saya tidak tahu apa tanggapan saudara jika cap jari di pasport sama dengan cap jari di kad pengenalan sedangkan Tuhan mencipta cap jari berlainan bagi setiap manusia. Saudara kena selidik sendiri.
ROCKY: Saudara tidak sebutkan siapakah dalang utama dalam projek KP palsu itu, bolehkah saudara dedahkan siapakah dalang utama dalam sindiket pemalsuan kad pengenalan ini?
MUTALIB : Sebagai wartawan kita berlandaskan etika kewartawanan iaitu tidak membuat tanggapan gampang dan mendedahkan informer kita. Kita juga akur kepada konsep tidak ada seorang yang boleh dianggap bersalah melainkan telah diputuskan oleh mahkamah. Saya rasa saudara patut tanya Pak Lah atau Dr Mahathir kerana semua tahanan ISA yang terlibat dengan sindiket pemalsuan kad pengenalan di bawah jurisdiksi Kementerian Dalam Negeri dan ketika itu Dr Mahathir menjadi menterinya dan kini Pak Lah. Saya tidak boleh membuat tanggapan negatif berhubung hal ini.
ROCKY: Apa tindakan pihak berkuasa terhadap saudara setakat ini, selepas saja buku itu berada di pasaran?
MUTALIB: Saya tidak menghadapi sebarang masalah buat masa ini. Tidak tahulah esok atau lusa. Apapun, jika pihak berkuasa menghadapi masalah, mereka boleh menghubungi peguam saya kerana buku ini telah dinilai oleh panel peguam sebelum diterbitkan. Saya tidak boleh memberikan sebarang maklumat kerana semuanya telah dinyatakan di dalam buku ini. Mereka bebas menyiasat dakwaan saya dalam buku ini. Saya tidak fikir pihak berkuasa akan menimbulkan sebarang masalah kepada saya kerana mereka bertindak berlandaskan undang-undang.
ROCKY: Gambaran saudara dalam buku itu cuma sepintas lalu, kenapa tidak sebutkan saja nama setiap individu yang terbabit dalam sindiket itu, biar orang ramai tahu?
MUTALIB: Apakah saya mempunyai hak untuk menjatuhi hukuman kepada pesalah terbabit? Ketika melaporkan perbicaraan kes rogol di mahkamah apakah saudara mendedahkan identiti defendan dan plaintif secara detil ketika hakim belum menjatuhi hukuman? Sudah tentu tidak. Saya tidak dedahkan pun saya rasa rakyat tahu siapa yang terlibat, tetapi kita tetap berdiam diri kerana kita menghormati keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
ROCKY: Difahamkan saudara berasal dari Kedah, kenapa prihatin dengan anak negeri Sabah? Apakah ada motif tersirat?
MUTALIB: Kenapakah saudara mengambil tahu masalah penghapuskan etnik Albania di Kosovo sedangkan saudara bukan rakyat Kosovo? Tetapi dalam hal ini saudara tersilap. Walaupun saya dilahirkan di Kedah, namun saya telah menjadi rakyat Sabah melalui proses undang-undang. Sebagai rakyat Sabah, saya membesar, hidup dan menyimpan hasrat untuk mati di negeri ini, saya tidak akan membiarkan hak kerakyatan negeri ini dicabul dan membiarkan anak cucu saya mengutuk saya kelak kerana tidak berani menyuarakan kebenaran. Tidak ada sebarang motif lain selain mempertahankan tanah air daripada petualang negara mengikut kemampuan kita. Saya mampu menulis, maka saya berjuang melalui bidang penulisan. Kalau saya mahu kaya, saya tidak perlu bersusah payah menerbitkan buku ini dan menghadapi segala ancaman tanpa sebab. Ada yang menawarkan RM2 juta jika saya menyerahkan manuskrip buku tersebut, tetapi saya lebih rela miskin daripada bersekongkol dengan mereka.
ROCKY: Ada apa-apa lagi yang saudara ingin sampaikan kepada pembaca?
MUTALIB: Selagi kita masih ada hak, jagalah hak kita. Sebagai rakyat Sabah, kita tidak mempunyai apa-apa lagi melainkan sekeping kad pengenalan dan satu undi. Kita berhak mempertahankan kedaulatan hak kerakyatan kita dan memberikan undi kepada parti pilihan kita. Kalau bukan kita, siapa lagi yang akan mempertahankan hak kerakyatan dan undi agar anak cucu kita kelak tidak menjadi pelarian di negeri sendiri kerana kesilapan kita masa kini yang terlalu bertolak ansur sehingga kita kehilangan hak ke atas negeri kita.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment