Search This Blog
Thursday, January 15, 2009
TAUSUG VS IC PALSU
Di hadapan Pejabat Perdana Menteri Malaysia semasa menghantar buku IC PROJEK-Agenda Tersembunyi Mahathir? pada 26 Januari 2007.
EMPAT buku yang saya tulis mengenai IC Palsu dan Skandal Kewarganegaraan Sonsang iaitu (1) IC PALSU Merampas Hak Anak Sabah, (2) Pengundi Untuk Disewa, (3) IC PROJEK Agenda Tersembunyi Mahathir? dan (4) 007-Lelaki Malaysia Terakhir? telah menimbulkan pelbagai pandangan daripada keturunan Tausug di Sabah.
Namun hakikatnya saya tidak pernah mendakwa bahawa semua kaum Sulug @ Tausug itu Pendatang Asing Tanpa Izin (PTI) dan semua Pendatang Tanpa Izin itu Tausug.
Untuk mendalami lagi isu Tausug yang ditohmah sebagai Pendatang Asing oleh pihak tertentu dan mengesahkan dakwaan bahawa Tausug adalah 'Anak Negeri' Sabah, saya membaca buku TAUSUG & KESULTANAN SULU karya Asreemoro.
Buku Versi SEJARAH MELAYU dan HIKAYAT MERONG MAHAWANGSA ini ditulis oleh saudara Asreemoro mengikut gaya tulisan modern adalah penulisan semula buku sejarah mengikut sudut pandangan 'ex-parte' kerana ada kalanya anakronis dan menyimpang daripada fakta dan weelstenchauung.
Saya bangga dengan keberanian saudara Asree menulis buku berkenaan yang dibuat secara bersahaja berdasarkan fakta secara ex-parte dan bukannya secara ilmiah dan sudut pandangan seorang wartawan yang mengutamakan alibi dan bukti yang melampaui keraguan munasabah.
Buku Tausug & Kesultanan Sulu memberi natijah yang amat besar kepada sejarah modern terutama sangkutan kepada desakan politik Filipina sekalipun buku tersebut lebih kepada Sastera Sejarah yang dipapah turun daripada satu generasi kepada suatu generasi tanpa melalui ujian forensik dan pentarikhan radio karbon.
Saya telah menulis komen yang ringkat kepada Asreemoro melalui emailnya seperti berikut;
ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAH HIWABARAKATUH,
Saudara Asree, saya turut menjiwa tulisan saudara dan harap dapat dikomersilkan lagi dengan fakta dan logika. Harus diingat, tiada yang pandai tanpa membaca dan tidak semua yang membaca itu pandai. Selamat berkarya. Lawat blog saya http://mutalibmd.blogspot.com
Saya gembira apabila Asreemoro menjawab seperti berikut;
Wa alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh,
Syukran jazilan jazakallah kepada saudara Mutalib MD, kerana telah sudi membaca buku saya Tausug & Kesultanan Sulu. Sebenarnya sejak buku tuan sampai ke telinga saya pada 2007 lalu saya mula memasang niat untuk membeli. Mungkin ada maklumat yang saya sangat perlukan berada dalam buku tulisan tuan. Oleh kerana terlalu mahal saya gagal mendapatkannya, "mahal" sebab kandungannya yang mungkin eksklusif.
Pada dasarnya saya kurang bersetuju dengan kajian saudara disebabkan yang tuan sudah sedia maklum saya adalah dari kaum Sulu. Walaubagaimana pun, tuan berhak membongkarnya atas dasar tertentu yang mana tuan sendiri anggap sebagai perjuangan tuan, kerana sekiranya dilihat dari aspek lain kajian tuan memang ada kebenarannya. Benar sebab memang terbukti kebenarannya, tinggal lagi ia kelihatan terdorong oleh sikap kepartian (politik).
Dalam hal ini (Pemberian IC kepada kaum Sulu) saya berpandangan sekiranya ia memang sah dari segi undang-undang maka saya menyokong. Tetapi kiranya memang palsu dan menipu kaum Sulu (kaum Muslimin yang dianggap PTI) yang kemudian diperalat mengundi sebagai pengundi hantu, maka saya tidak setuju terhadap pemberian IC palsu, malah saya menentang keras.
Hal ini saya dah katakan kepada sahabat saya dalam PKR dan PAS, laporkan kepada polis kiranya ada kaum Muslimin Sulu yang diberi IC palsu, kerana ini bukanlah bantuan tapi penganiayaan.
Asreemoro
+6016-347 2849
http://tausug-global.blogspot.com
Sehubungan itu, saya petik Prakata Penulis dalam bukunya, TAUSUG & KESULTANAN SULU.
Bismillahirrahmanirrahim, SYUKUR alhamdulillah ku panjatkan ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan izin-Nya jua buku ini dapat disiapkan. Kesyukuran terhadap nikmat-nikmat yang tidak dapat dihitung. Nikmat iman dan Islam serta nikmat wasilah (menyampai risalah Ilahi) kepada umat manusia di muka bumi iaitu Rasulullah s.a.w, keluarganya dan para sahabatnya yang diredhai serta para ulamak haq (memberi peringatan) hingga kiamat.
Sebelum saya memulakan penulisan buku ini pelbagai pertanyaan diajukan kepada saya oleh sahabat-sahabat tentang isi kandungannya serta fakta-fakta yang saya perlu paparkan. Kerana menganggap tulisan seperti ini boleh mengancam keselamatan diri. Rasanya kalau saya diberi pilihan sama ada untuk terus menjadi seperti kambing dan lembu (hidup hanya untuk cari makan) atau mahu menjadi pembela “sesuatu”, saya tetap akan pilih pembela. Pembela kalau mati tetap ada harga diri dan mendapat nilaian di sisi-Nya. Walau bagaimanapun, sebagai warganegara Malaysia, saya meletakkan keselamatan negara sebagai keutamaan untuk dipertahankan.
Bagi saya pendedahan dalam buku ini tidaklah melibatkan keselamatan atau pun dianggap bahaya, sebaliknya memperjelaskan beberapa fakta kabur tentang Kesultanan Sulu serta tuntutan terhadap Sabah oleh para Sultan-sultan Sulu yang menyamar Sultan. Sudah tentu para penyamar ini didalangi oleh Filipina. Namun, dalam masa yang sama saya mengajak agar para pejuang bersenjata Moro menghentikan tentangan mereka terhadap Filipina. Kerana, hingga hari ini pun penentangan mereka masih juga tidak pernah menampakkan kejayaan melainkan kemusnahan masyarakat Moro bertambah teruk dengan menjadi pelarian dan berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Kemunduran dan kemelaratan semakin berleluasa.
Sebenarnya kunci keamanan di Sulu atau wilayah Moroland (Mindanao dan Sulu) hanyalah dengan meletakkan semula kuasa kesultanannya kembali berdaulat. Saya optimis bahawa hanya Sultan Sulu yang sah sahaja satu-satunya yang boleh dijadikan simbol keamanan dan perpaduan seterusnya layak menjadi “nakhoda” untuk membawa keluar “kapal” itu dari jeti Filipina. Sejak sekian lama kapal itu tertambat di jeti mereka tanpa penjagaan yang sewajarnya. Akhirnya karam dan para penumpangnya berenang ke kapal lain mencari perlindungan.
Sejak kemangkatan Sultan Jamalul Kiram-II pada 1936 tiada lagi sultan yang boleh diharapkan menjadi “nakhoda” kapal. Kerana kebanyakan individu yang mengangkat dirinya sebagai Sultan Sulu selepas itu tidak layak lagi jadi “nakhoda” ke-rana merekalah yang menyerahkan tali kapal mereka sendiri untuk diikat di jeti Filipina. Sejak itu pencarian rakyat Sulu terhadap Sultan mereka yang benar masih berterusan hingga ke hari ini. Kerana mereka tahu suatu hari nanti “nakhoda” yang benar pasti datang mengambil semula kapalnya dari jeti Filipina yang menyeksakan itu.
Semoga buku ini menjadi titik permulaan kearah tercetusnya pemahaman bahawa dengan mendaulatkan semula Kesultanan Sulu sahajalah yang boleh mengembalikan keamanan di Sulu dan Mindanao seterusnya dapat menyelesaikan masalah penghijrahan orang-orang Sulu ke Sabah. Akhir kata, segala maklumat yang baik didalam buku ini bolehlah dimanfaatkan sebaik mungkin oleh para pembaca. Manakala yang kurang nilainya terutamanya yang menyentuh sensitiviti sesetengah pihak saya memohon jutaan kemaafan. Semoga Allah s.w.t mengampuni kita semua. Amin.
Sekian dan terima kasih.
ASREEMORO 2007
Lebih menarik kerana dalam Bab 21 bertajuk: EKSKLUFSIF SURAT TERBUKA Asreemoro mencatatkan Ucapan YM Datu Lajamura Bin Datu Wasik seperti berikut;
Bismillahirrahmanirrahim,
PERTAMA : Kita kena kembali semula kepada sejarah. Mengapa kita perlu melihat sejarah? Kerana sejarah akan memberitahu kita segala-galanya di mana ia bermula. Kerana setiap peristiwa akan menjadi sejarah. Setiap yang terjadi akan tercatat sebagai sejarah. Sebab itu masalah dan kemelut hari ini perlu dilihat kepada sejarahnya dimana ia bermula. Setiap yang bermula pasti akan berakhir, inilah hukum alam atau sunnatullah. Dan kami berkeyakinan masaalan ini akan berakhir jua. Hujan ribut yang bermula semalam pastinya akan berhenti juga samada esok atau lusa. Hujan bom di negara asal kami (SULU) pastinya akan berakhir jua tetapi bagaimana? Dengan kembali melihat sejarah sebagai kompas.
Malaysia telah berusaha menganjurkan perdamaian (bersama OIC) antara Filipina dan pejuang MNLF atau MILF (Tidak termasuk Abu Sayyaf kerana di anggap pengganas) dengan harapan Selatan Filipina akan kembali aman maka masalah pelarian dan pendatang di Sabah akan dapat diselesaikan dalam masa yang sama umat Islam Moro di Selatan Filipina akan berkembang maju dan stabil. Kami mengucapkan jutaan terima kasih atas usaha dan keprihatinan kerajaan Malaysia, alhamdulillah. Persoalannya apakah kandungan yang menjadi isu dalam perdamian itu? Jawapannya tentu terserah kepada hasil muafakat atau persetujuan antara dua pihak iaitu Filipina dan Pejuang Islam? Malaysia sebagai penganjur bersama OIC tidak akan campur tangan hanya berkecuali kerana hanya pemerhati proses damai? Ya itulah jawapannya maka kita akan lihat proses damai hanya tinggal nama dan membuang masa kerana tidak melihat kepada permasaalahan utama.
Bukankah masaalah utama ialah orang Islam Moro itu mahu merdeka dari kerajaan Filipina? Maha suci Allah, sungguh kita telah berjaya diperbodohkan oleh kuffar selama ini. Tahukah tuan-tuan Filipina tidak akan melepaskan Sulu (atau Mindanao) itu kepada pejuang hingga kiamat sekiranya kita (Pejuang Islam) menuntut kemerdekaan? Mengapa? Kerana Sulu itu memang tidak dijajah dan sememangnya merdeka sejak zaman sebelum Spanyol hingga kini jadi bagaimana kita pandai-pandai mahu memerdekakan Sulu atau Moroland itu pula? Isu Kemerdekaan tidaklah timbul. Sebab itu kita perlu melihat sejarah sebagai cermin permasaalahan ini.
Kerajaan Filipina telah buat perjanjian dengan Kesultanan Sulu dahulu untuk menjaga dan membangunkan Sulu itu (bukan dijajah) tetapi perjanjian itu telah terbatal setelah Presiden Fedinand Marcos melanyak orang Islam Sulu dengan membunuh berpuluh ribu muslimin. Perjanjian Sultan Sulu dan Kerajaan Filipina (perjanjian Carpenter 1915 dan perjanjian selepasnya) telah terbatal dengan sendirinya setelah apa yang dilakukan oleh Ferdinand Marcos itu. Apakah anda tahu mengapa Ferdinand Marcos melancarkan peperangan itu? Sekiranya anda tahu siapa Ferdinand Marcos itu sebenarnya maka anda dengan sendirinya memahami kedudukan sebenar orang-orang Sulu itu. Sebab itu kami katakan perlu kembali kepada sejarah.
Sulu atau Moroland itu hanya ibarat "Sebuah kapal yang berlabuh di jeti Filipina". Pemilik kapal ialah kesultanan Sulu. Sultan Sulu punya panji atau benderanya sendiri yang dikenali oleh kerajaan Filipina itu (lihat panji di muka hadapan). Oleh sebab itu sesiapa yang datang mahu mengeluarkan Sulu itu dari tangan Filipina dengan membawa panji lain selain panji Sultan Sulu maka kerajaan Filipina akan memeranginya. Buktinya sekiranya anda mempunyai bendera sulu itu dan memacak di tepi rumah anda tiada sesiapa yang akan ganggu anda sekalipun askar Filipina lalu-lalang di situ. Tapi akan berlaku sebaliknya (ditangkap atau dibunuh) sekiranya anda menegakkan bendera selain bendera sulu itu kerana dianggap menentang Kesultanan Sulu yang mana kerajaannya telah diamanahkan kepada kerajaan Filipina sebagai penjaga. (Lihat penjelasan kami terhadap isu ini di bab yang lebih khusus)
KEDUA : Seperti yang dimaklumkan kepada rombongan kami oleh Pehin Seri Maharaja Dato Seri Utama Prof. Hj. Awang Mohd. Jamil Al-Sufri (Ahli Majlis Mesyuarat Diraja & Pengetua Pusat Sejarah, Negara Brunei Darussalam) ketika kami datang berjumpa beliau di pejabatnya di Brunei Darussalam bahawa tiada lagi waris kesultanan Sulu yang tinggal yang boleh menuntut hak kesultanan Sulu kecuali Keluarga Maharaja Adinda Aranan. Tetapi dengan syarat mesti berusaha terlebih dahulu mempersatuka umat Islam Sulu keseluruhannya, mengejutkan mereka dari lamunan peperangan yang didalangi kuffar agar meletak senjata dan bersatu menegakkan bendera Sulu. Kerana kapal yang dilabuh di jeti Filipina itu mesti dibawa keluar oleh nakhoda yang benar dan ikhlas. Dan sekarang Keluarga Maharaja Adinda waris Raja Kedua mesti tampil menyelamatkan ummat yang nasib mereka hanya diperjudikan oleh peperangan terancang oleh pihak tertentu. Pehin Prof. Hj. Awang Mohd. Jamil Al-Sufri mengingatkan kepada kami bagaimana Kesultanan Sulu dan Kesultanan Brunei adalah bersaudara. Sejak itu kami telah mengetahui mengapa peperangan Moro yang dilakukan oleh Presiden Ferdinand Marcos pada tahun 1972 itu sebenarnya "Ada udang disebalik batu".
Dan kami mula sedar peperangan itu telah memporak-perandakan perpaduan dan kestabilan Negara Sulu, kesultanan dan rakyatnya agar menjadi pelarian dan melarat. Dengan itu masyarakat Moro Sulu akan hanya menumpukan perhatian kepada perang yang sengaja dirancang itu agar tidak dapat pembangunan, pendidikan anak-anak dan terus menjadi bodoh selama-lamanya. Mereka sangat mengharap setelah orang Moro Sulu menjadi pelarian dan anak-anak menjadi buta huruf (sebab tidak mampu menghantar kesekolah) serta bapa-bapa mereka hanya sibuk berperang (perang jihad?) akhirnya Sulu tidak akan tertuntut kepada pemiliknya yang asal. Apakah kita masih tidak menyedari "Divide & Conquer" mereka? Maka kerja keras kami hari ini ialah mempersatukan sokongan rakyat Sulu dan kami para datu-datu Diraja Sulu akan tampil memikul amanah Allah dan RasulNya (untuk menegak Kalimah Allah kembali ke Sulu) dengan bantuan tuan-tuan guru yang menuntun kami agar dapat mengembalikan semula kedaulatan Kesultanan Sulu.
Sekiranya peperangan 1972 itu tidak disahut oleh Prof. Nur Misuari (MNLF) tentu rakyat Sulu hari ini tidak menjadi peminta-minta (Pelarian). Apakan daya telah pun berlaku peperangan itu malah hingga hari ini masih berlangsung. Ia ketentuan Ilahi yang tentunya punya hikmah. Jangan dikesali perkara yang dah berlalu tetapi kita merungkai dan mengambil hikmahnya sebagai pemangkin semangat meneruskan perjuangan. Perjuangan dalam bentuk baru iaitu kebangkitan rakyat menuntut hak nenek moyang mereka dengan mengembalikan kedudukan Kesultanan Sulu ketempatnya.
Sekiranya menjadi kenyataan hak nenek moyang rakyat Sulu diperakui dengan meletak Kesultanannya semula (berdaulat) maka rakyat Sulu akan berbondong-bondong kembali ke Negara Asal Mereka. Tidak perlu lagi menghambat mereka hari-hari untuk 'dilokapkan' dan dirotan kerana mereka akan kembali sendiri membina negara mereka Sulu. Tidak perlu lagi ahli politik menimbulkan isu IC palsu atau IC projek yang ditimpakan keatas rakyat Sulu itu yang sememangnya orang-orang Sulu tahu "mereka hanya jadi mangsa Politik"? Orang-orang Sulu bukan pendendam tapi akan tidak melupakan 'Pahit Manis' ketika menjadi pelarian di negara orang.
Apa yang kami harapkan ialah Malaysia dapat membantu kami demi keamanan dan kesejahteraan. Agar Malaysia memainkan peranan lebih aktif untuk kedamaian antara Filipina dengan Selatannya dengan membetulkan halatuju perjanjian damai itu. Selagi yang berhak masih tidak diberi haknya maka selagi itulah "Juru Damai" akan buntu malah akan menjadi hairan mengapa kedamaian tetap juga tidak tercapai. Kedamaian menjadi gagal kenapa? Kerana tidak melihat sejarah. Di Malaysia, apabila kaum-kaum lain (selain Melayu) meminta hak yang lebih dari yang ditetapkan oleh "Perjanjian Sosial" yang dipersetujui bersama sebelum ini, apa yang perlu dilakukan untuk menyelesaikannya? Rujuk semula sejarah dimana ia bermula, sejarah tidak akan berdusta melainkan mendedahkan kedustaan 'si pemutarbelit sejarah'.
Kami hanya melihat Negara Malaysia sahaja yang akan dapat membantu kami (dengan sokongan Badan Dunia dan OIC) disebabkan Malaysia sendiri adalah sebahagian dari "Sejarah Perang Moro MARCOS lawan MNLF" dahulu dan sebagai "Penerima Tunggal Pelarian Sulu". Kami percaya Malaysia akan dapat mencapai kata putus untuk Kedamaian sebagai "Juru Damai". Setelah itu Kerajaan Malaysia membantu kami memajukan ekonomi dan apa sahaja jenis bantuan yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat Sulu dan rakyat Malaysia.
Dalam masa yang sama Filipina sebagai "Negara Jiran" dan sahabat, akan terus manjalin kerjasama dengan Sulu. Tidak ada dendam dan sengketa. Filipina akan kembali kaya raya disebabkan tidak perlu lagi berhabis jutaan dollar malah berbillion dollar setahun untuk membiayai peperangan di Selatan. Kerana selama Filipina memerangi Selatan untun tunduk kepada kekusaannya, Filipina telah berjaya memiskinkan negaranya hinggakan wujud Bandaraya Sampah di Manila lantaran rakyatnya yang terlalu miskin maka apakah lagi yang boleh diharapkan dari Filipina untuk membangunkan Selatan?
Kami menyeru kepada umat Islam keseluruhannya agar membantu kami kerana tanpa bantuan anda menyelamatkan umat Islam Sulu ini maka kehancuran demi kehancuran akan bakal menunggu kita (kerana pendatang Sulu semakin ramai di Sabah). Sekiranya umat Islam tetap membiarkan kami maka kami hanya mampu mengatakan, "La hawla wala quwata illa billahil aliyyil 'azim" dan cukuplah Allah sebagai pembantu kami "Wa hasbunallaha wani'mal wakil".
Wassalam
Ulasan: Demikianlah keterangan dua perkara oleh YM Datu Uda @ Lajamura bin YM Datu Wasik-Aranan. Beliau berpandangan bahawa bukanlah kemerdekaan yang dituntut itu (sebab Sulu sejak dulu memang merdeka kerana tidak pernah dijajah) tetapi mengembalikan semula kuasa Kesultanan Sulu yang telah hilang itu kepada Kesultanan Sulu. Kerana dengan demikian kerajaan Filipina akan terus menjadi sahabat baik kepada Kesultanan Sulu. Peperangan dan penjualan senjata kepada orang-orang Moro di selatan mestilah dihentikan oleh Filipina kerana umum mengetahui segala senjata dan peluru yang dimiliki oleh orang Sulu itu adalah datangnya dari tentera kerajaan Filipina juga (atau pun baki persenjataan perjuangan Moro yang lepas). Tindakan kerajaan Filipina berunding dengan pejuang Moro seperti MNLF dan MILF itu tidak akan menghasilkan apa-apa buktinya wilayah otonomi di selatan itu sendiri telah dianak tirikan tanpa dihirau oleh kerajaan Filipina sendiri kerana pentadbirnya Prof. Nur Misuari itu bukannya sultan yang boleh dijadikan simbol perpaduan orang-orang Sulu.
Maka dengan hanya mengembalikan kedamaian yang "sebenar" di Sulu akan dapat menyelesaikan masaalah pertambahan pelarian perang, pelarian politik mahupun pelarian ekonomi di Sabah. Damai yang bagaimana? Damai yang mana 'sejarah kesultanan Sulu' dijadikan kompas. Kerana rakyat Sulu memerangi Filipina tanpa "kompas" sejak sekian lama. Gambaran situasi di Sulu pada hari ini ialah:
Ia seperti seorang anak lelaki yang bergaduh dengan anak jiran, si anak tetap melawan walau tidak mampu akhirnya dibelasah teruk. Di mana si ayah yang sepatutnya dapat menghalang pergaduhan itu? Adakah salah si ayah atau si anak hinggakan si anak itu tadi lebam di belasah? Sekiranya si ayah berada di dalam rumah sepatutnya si anak memanggilnya keluar untuk memperbetulkan keadaan demi mengelak kemusnahan yang lebih teruk. Apa yang berlaku ialah si ayah dikuncikan pintu dari luar oleh si anak. Lalu meneruskan pergaduhan....
Inilah akibatnya apabila si anak tidak menyedari atau sengaja lupa akan kewujudan ayahnya sebagai penyelesai masaalah mereka. Begitulah Sultan Sulu dengan rakyatnya. MNLF, MILF, Abu Sayyaf dan kumpulan-kumpulan kecil yang lain melancarkan perang JIHAD? keatas kerajaan Filipina yang dianggap menindas dan merampas hak mereka, hak kumpulan mereka? atau hak umat Islam Moro keseluruhannya? kalau iya mengapa berpecah belah? Mereka berpecah belah dengan menubuhkan kumpulan masing-masing tanpa menghiraukan sumber perpaduan yang mengikat mereka sejak hampir 400 tahun sebelum ini.
Simbol yang menjadi pengikat mereka sehingga tidak terkalahkan selama hampir 400 tahun lamanya. Simbol yang menjadikan "Empayar Kesultanan Sulu" sebagai sejarah kegemilangan Umat Muahammad saw di Nusantara. Simbol yang menyebabkan Umat Moro dikenal di seluruh dunia sebagai umat Muahammad saw yang gagah berani rela mati demi agama dan bangsa serta tanah air tercinta. Wahai umat Islam Moro!! Lihatlah kebelakang dimana anda bermula!! Berdoa'alah kepada Tuhan yang Maha Kuasa agar kita semua dapat dipertemukan dengan pemimpin yang dapat menyatukan kita semua seperti zaman kegemilangan kita yang lalu!! Iaitu pemimpin yang diredhai dari sulbi Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam para ahlul baitnya iaitu waris kesultanan Sulu yang sah. Begitulah do’a dalam tangisan orang-orang Sulu pada hari ini. Tangisan yang tidak mampu lagi melehkan air mata.
Wallahu a'lam.
PENGAKUAN MUTALIB M.D: Saya bukannya ingin mengkritik gaya atau buku tulisan saudara Asreemoro yang telah bersungguh-sungguh menggali sejarah dicelah Keruntuhan Kesultan Sulu, tetapi saya akan mengupas kenapa saya tidak bersetuju dan menentang tuntutan Filipina ke atas Sabah di suatu forum yang akan diadakan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan akan menjemput Saudara Asreemoro untuk menyampaikan kertas kerjanya dan saya akan membentangkan kertas kerja saya sebelum didokumentasikan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
3 comments:
Kenapa pengundi PAS Kuala Terengganu mesti undi UMNO kali ini
Banyak analisa berkaitan pilihanraya kecil Kuala Terengganu telah mula ditulis, saya masih belum baca semuanya, tapi rata-rata ramai yang mengambil pandangan bahawa pilihanraya kecil ini merupakan satu pertembungan UMNO-PAS dengan ditambah rempah Anwar Ibrahim dan PKR pasca pilihanraya kecil Permatang Pauh.
Saya tidak memandangnya begitu. Saya memandang pilihanraya kecil ini sebagai peluang terbaik umat Islam di Malaysia yang kebanyakannya memang orang Melayu, dengan berwakilkan pengundi Kuala Terengganu yang 80% nya Islam-Melayu, untuk mengisytiharkan ketidak sanggupan mereka dan kebencian mereka terhadap unsur-unsur dan elemen yang semakin kuat menentang kedudukan orang Islam sekaligus orang Melayu di Bumi Malaysia ini.
Mengapa saya kata begitu? Orang yang paling tidak minat politik sekalipun sedar bahawa dinamik negara kita telah banyak berubah pasca-PRU 12. Di mana-mana, cabaran terhadap Islam dan kedudukan Islam dan Melayu terserlah.
Kalau dulu, jarang-jarang sekali kedengaran cabaran terang-terangan terhadap kedudukan Islam dan Melayu. Kalau adapun, ia akan datang dari muka-muka yang sama, kalau tidak Karpal Singh, Lim Kit Siang atau mungkin bila melibatkan isu bahasa dan pelajaran, dari persatuan seperti Dong Jiao Zhong, itupun dalam konteks mempertahankan bahasa Cina. Dan bila timbul sahaja isu sebegini, kita boleh jamin yang sekurang-kurangnya Cina MCA, kalau takpun Gerakan, akan memperingatkan semua rakyat supaya menghormati kompleksiti negara kita dan menghargai apa yang kita ada. Isu akan jadi sejuk, dan semua orang boleh kembali bekerja seperti biasa.
Tidak sekarang. Tiba-tiba sahaja semua mahu mencabar Melayu dan Islam. Kalau dulu isu ketuanan Melayu sahaja diungkit, sekarang habis fatwa dari Majlis Fatwa Kebangsaan pun dipermainkan dan diperbodohkan. Hindu Sangam terang-terang meminta Majlis Fatwa rujuk dulu kepada mereka dalam isu Yoga baru-baru ini. Ini kurang ajar tahap tertinggi dan tidak boleh diterima sama sekali. Tan Lian Hoe, ketua wanita Gerakan yang merampas kerusi Gerik dari melayu UMNO secara tidak tahu malu, dengan selamba mencabar kedudukan Islam dan Melayu. Begitu juga Chua Soi Lek, pelakon filem blue. yang tak tau malu. Karpal Singh dan Lim Kit Siang biasalah, terus-terusan mempertikaikan kedudukan Islam sebagai agama rasmi dan Melayu sebagai kaum peribumi dan pemerintah bumi Melayu ini sejak asal.
Kenapa begini? Sebab sangka non-Muslim, penolakan terhadap BN adalah penolakan terhadap kedudukan Islam dan Melayu. Ini sebab Cina dan India tidak mengundi BN dalam PRU-12 atas dasar anti-DEB, atas isu Hindraf, atas isu Lina Joy, atas isu “body-snatching”, atas isu Mahkamah Syariah, atas isu Cina susah dapat kontrak kerajaan. Jadi mereka menyangka, kemenangan DAP, PKR dan PAS dalam PRU 12 ialah atas isu-isu ini.
Sedangkan di kalangan orang Islam yang mengundi DAP, PKR dan PAS pula, isu-isu dalam kepala mereka berlainan secara total. Malah ramai juga orang UMNO yang kali ini mengundi pembangkang, dan isu dalam kepala mereka hanyalah Pak Lah dan Khairy sahaja!
Bila jadi macam sekarang ini, apakah yang dapat orang Islam dan Melayu lakukan? Nak tulis dalam suratkhabar, sudahpun dibuat oleh Utusan dan Berita Harian, tapi dikata mereka propaganda dan tak boleh pakai. Ditulis dalam blog, dikata mereka barua UMNO, walaupun banyak artikel dalam website-website utama PAS seperti tranungkite yang turut menimbulkan keresahan orang Islam ini. Balik-balik, mereka merujuk kepada PRU-12 sebagai bukti yang semakin ramai setuju dengan mereka. Oleh itu, sekarang masanya untuk rakyat Malaysia menendang keluar status quo Malaysia yang berpaksi Islam dan Melayu, dan menukarkannya dengan sistem Barat seperti US dan Singapura, yang berdasarkan kepada hak asasi dan kesamarataan kononnya. Ini termasuk hak asasi untuk pendakwah Kristian mendakwah kepada remaja Islam, hak asasi untuk remaja Islam menukar agama, hak asasi untuk konsert-konsert sesat dibuat dimana-mana, hak asasi untuk sesiapa pun mempersendakan fatwa dan keputusan Mahkamah Syariah, dsb nya.
Semua orang Islam mahu perkara ini dihentikan.
Tapi apa sangkut-pautnya dengan topik di atas. Mudah.
Pada masa ini, masalah utama Cina dan India ialah UMNO. Bagi mereka, penolakan terhadap UMNO ialah penolakan terhadap kedudukan Islam dan Melayu. Mati hidup balik, Cina dan India tidak mahu lihat UMNO menang di KT. PAS mereka tidak risau, kerana bila BN kalah, mereka tahu PAS dalam PR tak akan jadi sekuat UMNO dalam BN. Lihatlah di Selangor dan tanyalah dengan orang2 PAS Selangor bagaimana PAS dilayan dalam kerajaan PR Selangor sekarang.
Jadi apa pilihan 80% pengundi Melayu KT kali ini. Tidak ada jalan lain, mereka mesti undi UMNO. Ahli PAS dan penyokong PAS juga buat satu kali ini mesti undi UMNO, jika mereka tidak mahu lihat anak cucu mereka dibesarkan dalam suasana hak asasi ala DAP dan Singapura di mana pendakwah kristian bebas berdakwah di sekolah dan universiti – kerana inilah cita-cita DAP.
Apa yang nak ditakutkan? Satu, memang sebelum ini pun ini kerusi UMNO – jadi kalau UMNO menangpun ia tak mengubah apa-apa. Dua, kalau PAS menangpun PAS masih minoriti dibandingkan dengan PKR dan DAP di Parlimen. Tiga, kalau PAS menang semakin kuatlah golongan yang ingin berbaik-baik dengan DAP, dan semakin besar kepala lah Cina dan India melihat UMNO hilang satu lagi kerusi.
Untuk orang UMNO pula, hentikanlah pendekatan agresif terhadap penyokong PAS di KT kali ini. Bukan senang untuk penyokong dan ahli PAS mengundi UMNO walau untuk kali ini sahaja, maka mereka harus diberi sebab yang baik untuk berbuat demikian. Orang UMNO kena beri orang PAS peluang untuk menjaga air muka mereka, iaitu mereka boleh mengundi UMNO kali ini sahaja semata-mata untuk menghantar mesej kepada orang bukan Islam supaya berhenti mencabar kedudukan Islam dan Melayu. Percayalah, kalau golongan anti-Islam ini lihat walau Melayu PAS pun akan menyokong UMNO bila keadaan terdesak, maka mereka akan mengurangkan kekurang ajaran mereka.
Tanggungjawab ini terletak pada ahli dan pengundi PAS Kuala Terengganu. Kalau orang UMNO sanggup berkorban mengundi PAS atau tidak mengundi langsung untuk menyaksikan Pak Lah berhenti jadi PM kerana merosakkan ekonomi negara dan kedudukan Islam dan Melayu, maka kali ini, bola berada di gelanggang penyokong PAS. Diharap mereka dapat melakukan apa yang terbaik untuk masa depan Islam dan Melayu untuk jangka panjang dan bukan dalam konteks PilihanRaya Kecil Kuala Terengganu ini sahaja.
Salam saudara Mutalib,
Pada saya setiap apa yg kita tulis kita perlu tahu apa implikasinya dan sejauh mana masyakarat bijak menilai apa yg kita suapkan ke minda mereka. Dlm isu ini secara peribadi saya melihat masyarakat masih tidak begitu bijak menilai isu sebenar ditambah lagi dgn keterbatasan pengetahuan mereka mengenai sejarah.
Pada saya org suluk adalah anak sabah yg byk berjasa pada sabah dan malaysia amnya, sekaligus hak mereka juga dirampas. Penggunaan nama bangsa atau sesuatu indakasi yg menunjukkan entiti kaum ini kurang tepat. Spt yg kita tahu wujudnya sebuah negara yg berdaulat adalah kerana terbentuknya 1 geopolitikal yg baru yg sama sekali menghakis keterhubungan yg terjalin dlm masyarakat sebelumnya. Dlm hal ini siapa pun akan berasa kurang senang bila mana hanya kerana ribuan nyamuk kelabu juga dibakar.
Saya melihat masyarakat masih kurang bijak menilai dgn isu yg di hadapkan pada mereka. Terutama golongan yg selama ini berpuak2 dan bersuku2 di sabah ini yg sejak mereka membuka mata melihat dunia mereka sudah di ajar oleh leluhur mereka terutama golongan kolonial yg mmg sgt bencikan bangsa suluk utk prejudis kpd org2 suluk. Saya melihat terlalu kerap perkara ini dan sikap prejudis spt ini diambil kesempatan utk dipolitikkan, iaitu politik perkauman, politik yg tidak sihat dan sekaligus menjadi bahan prejudis pada pd ramai individu samada yg terbatas, bersalah mahupun tidak, hanya dikeranakan sikap perkauman.
Sekian dr saya, wassalam.
Redzuan
Salam saudara mutalib
Rumusannya mudah sahaja,You can change Everything but you cannot change two things,(GEOGRAPHY AND HISTORY)
Post a Comment