Search This Blog

Tuesday, December 23, 2008

'JOCKEY PARKING SERVICES ATAU LANUN DARAT?


HARAM...Salah satu kompleks yang menyediakan kemudahan JPS


PERKHIDMATAN Jockey Parking Services (JPS) yang diamalkan di beberapa kompleks membeli belah dan hotel menimbulkan pelbagai rungutan di kalangan orang awam terutama kadarnya yang agak mahal menyebabkan Persatuan Pengguna Sabah dan Labuan (CASH) menerima tidak kurang daripada 73 aduan berhubung isu ini.

Presidennya, Datuk Patrick Sindu berkata, demi kepentingan pengguna dan orang awam, beliau meminta Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu memantau kegiatan berkenaan yang menyusahkan orang ramai terutama di kawasan terbuka (open space) dan hak orang awam.

“Kawasan ini tidak patut diperdagangkan kerana bercanggah bylaw dan kepentingan pengguna dan tidak ada pihak boleh menafikan hak pengguna untuk mendapatkan kadar rendah bagi tempat letak kereta yang dikendalikan oleh syarikat tertentu dan bukannya boleh dikendalikan sesuka hati oleh pemilik bangunan,” ujar Patrick yang sempat memantau empat lokasi iaitu Kompleks Asiacity, Hotel Hyyat Kinabalu, Warisan Square dan Sadong Jaya.



MAHAL...Kadar yang ditetapkan agak mahal ketika ekonomi semakin merosot.


Patrick mengakui pihaknya tidak dapat mengenalpasti apakah Pengendali JPS ini membayar sesuatu yuran kepada kerajaan atau tidak kerana belum ada sebarang pengumuman dibuat oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu apakah pemilik bangunan boleh mengutip yuran sesuka hati tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan.

Walaupun ada pihak menerima kaedah JPS, tetapi majoriti pengguna kurang berpuas hati kerana kawasan mereka berlalu lalang semakin sempit disebabkan tindakan pemilik premis menggunakan kawasan lapang sebagai tempat letak kereta walaupun mempunyai tempat letak kereta bertingkat.

“Ini agak janggal. Bukan kelab eksklusif. Tak patutlah kenakan bayaran parking yang tinggi. Kadar inflasi semakin tinggi, kuasa beli semakin merosot kerana ekonomi semakin teruk dan jika semua pihak mengambil kesempatan membuat wang di kawasan awam adalah sesuatu yang keterlaluan,” tambah Patrick yang menambahkata pihaknya akan mengunjungi Mayor Kota Kinabalu selepas Krismas untuk mengutarakan masalah rungutan pengguna termasuk JPS.

Dalam pada itu, seorang pengunjung Warisan Square agak berang apabila dikenakan bayaran RM5 bagi tempoh satu jam meletakkan kereta di kawasan awam tetapi dirompak untuk dijadikan kawasan letak kereta.

“Ini bukan lagi manusia, tetapi lanun darat. Mana patut letak saja RM5, walaupun lima minit?,” getus Mansor yang juga seorang guru kerana terpaksa membatalkan niatnya untuk meletakkan kenderaan di situ sebaliknya terus ke Wisma Merdeka.

Bagaimanapun, seorang pegawai kerajaan yang bercuti ke Kota Kinabalu agak terkejut apabila Hotel Hyyat Kinabalu mengenakan bayaran RM33 bagi satu jam letak kereta di tempat letak kereta yang disediakan untuk pengunjung hotel.

“Saya tidak tau apa mau cakap? Kenapa kerajaan biarkan perkara ini terjadi. Mana ada jockey, saya pandu sendiri dan inilah kali pertama saya disamun di siang hari di Sabah,” ujar Mayakub sambil mendengus kerana kesal dengan sikap hotel berkenan mencekik darah!

2 comments:

Anonymous said...

di one borneo pun mcm ada ni jps tau

Mutalib MD said...

Terima kasih atas makluman. Saya mengharapkan lebih ramai rakyat memberi makluman berhubung ketidak wajaran terutama kegiatan lanun darat yang menyimpangkan undang-undang untuk mengaut keuntungan dengan jalan yang mudah.