Search This Blog

Thursday, January 8, 2009

SUHAILI MANGSA IC PALSU


SAH…. Suhaili hanya mempunyai satu mykad atau kad pengenalan untuk semua urusan. Imej A dan B merupakan Mykad Asal Suhaili. C adalah kad keahlian UMNO Suhaili. D kad pengesahan nama Suhaili daripada JPN. E merupakan kad ahli parlimen melalui saringan yang rigid. F salinan lesen memandu. G pula Cabutan Rekod SSM. H adalah rekod Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia.Perhatikan gambar I dan J merupakan salinan kad pengenalan Suhaili yang dicipta secara superimpose oleh pihak tertentu untuk memfitnah Suhaili.


IC PALSU semakin menjadi keresahan kepada rakyat Sabah berikutan tertangkapnya dua orang yang disyaki terlibat mengeluarkan dokumen pengenalan diri kepada warga asing di Lahad Datu baru-baru ini.

Saya telah menulis empat buah buku berhubung IC Palsu iaitu IC PALSU Merampas Hak Anak Sabah, Pengundi Untuk Disewa, IC Projek Agenda Tersembunyi Mahathir dan 007 Lelaki Malaysia Terakhir?

Walaupun Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hamid Albar mengatakan Polis tidak menyiasat kandungan buku IC Palsu, namun saya bersyukur kerana semua buku saya boleh dijual kepada umum.

Namun bagi dua orang pemimpin Sabah, Datuk Suhaili Abdul Rahman dan Nilwan Kabang turut dilibatkan dan difitnah terlibat dengan skandal IC Palsu.

Suhaili dan Nilwan adalah rakyat tempatan Sabah yang cuba disabitkan dengan kad pengenalan palsu sehingga mengundang campurtangan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan Polis yang dilihat lebih kepada sindrom politik.

Tumpuan saya lebih kepada warga asing yang memiliki kad pengenalan palsu atau projek dan merasakan sukar untuk pihak yang mendakwa untuk membuktikan Suhaili dan Nilwan menggunakan kad pengenalan palsu untuk kepentingan peribadi kerana setelah Jabatan Pendaftaran menggunakan sistem biometrik, hanya satu kad pengenalan yang boleh digunakan.

Pada pilihanraya 2008, calon PKR Kunak, Haji Beddu Kodosat membuat laporan polis yang mendakwa Nilwan Kabang sebagai penjenayah yang diburu di Indonesia dan nombor kad pengenalannya genap iaitu lazimnya dikeluarkan kepada perempuan. Namun bantahan Beddu ditolak atas alasan jenayah itu dilakukan di luar Malaysia dan nombor Kad pengenalan Nilwan disahkan Jabatan Pendaftaran Negara. Nilwan kini adalah Adun Kunak setelah memenangi kerusi Dun Kunak pada pilihanraya 2008.

Tetapi agak malang bagi Suhaili kerana laporan polis yang dibuat oleh seorang lelaki yang kononnya diupah oleh orang tertentu yang berkepentingan politik dan berniat menjatuhkannya menyebabkan Suhaili tidak layak dipilih sebagai Calon BN bagi kerusi Parlimen Labuan.

Dalam kes Suhaili, campurtangan BPR amat luar biasa apabila kes Suhaili dipaparkan di laman web Jabatan Peguam Negara sebagai kes yang belum selesai sedangkan Suhaili tidak pernah disiasat berhubung laporan polis yang dibuat sebaliknya BPR hanya merampas fail daripada pejabatnya.

Kes Suhaili ini pernah menjadi tajuk hangat di laman web Malaysiakini dan Malaysia Today sehingga buat pertama kalinya dalam sejarah, seorang pemimpin telah dihukum di luar mahkamah apabila Jabatan Peguam Negara mempamerkan kes Suhaili di laman web
http://www.agc.gov.my/

Laporan Polis 241/2007 telah menyebabkan Suhaili disiasat di bawah Seksyen 11 (a) Akta Pencegah Rasuah 1997 melalui kes HQ/BPR/KS:199/08/2007 dan diklasifikasikan sebagai kes belum selesai pada 14/01/2008.

Sehubungan itu, saya telah menjalankan siasatan rapi untuk mengkaji sama ada laporan polis dan siasatan BPR terhadap Suhaili benar atau mempunyai motif tersirat.

Laporan polis yang dibuat di Balai Polis Ampang oleh seorang lelaki yang bernama Mohd Adnan Jaafar yang beralamat di Lazenda Ware House, Patau-Patau, Wilayah Persekutuan Labuan adalah laporan palsu dan bertujuan untuk melakukan 'control damage' atas arahan pemimpin tertentu di Labuan.
 
Saya berpendapat sewajarnya polis mengambil tindakan tegas ke atas pelapor kerana telah berprasangka jahat terhadap Mantan Ahli Parlimen Labuan dengan melakukan ‘super impose’ terhadap mykad dan membuat tuduhan palsu yang tidak berasas.
 
Adnan mungkin didalangi oleh musuh politik Suhaili yang telah menimbulkan aduan yang serupa ketika Suhaili dipilih sebagai calon UMNO untuk Parlimen Labuan pada 2004.
 
Bagi saya adalah mustahil bagi anak jati Labuan seperti Suhaili, memiliki dua kad pengenalan setelah Kerajaan Malaysia menggunakan sistem Biometrik sejak tahun 1996 dan saya telah meneliti kes ini melalui siasatan yang rigid dengan menggunakan pelbagai parameter termasuk bantuan teknikal Jabatan Pendaftaran Negara melalui khidmat peguam saya.
 
Suhaili hanya ada satu kad pengenalan iaitu H04477025 atau 610506-12-5029 dan telah menggunakan kad pengenalan berkenaan untuk semua urusan rasmi dan tidak rasmi.
 
Peguam saya telah mendapatkan semua maklumat berhubung Suhaili dan mendapati dakwaan Mohd Adnan Jaafar adalah mengelirukan dan dibuat secara sedar untuk memfitnah Suhaili setelah percubaan rakan syubahatnya gagal pada 1999 iaitu menjelang penamaan calon.
 
Mengikut siasatan saya, semua rekod dokumen rasmi yang digunakan Suhaili telah melalui saringan yang amat rigid terutama di bawah Seksyen 5, Statut 235 Tahun 1983, Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 yang mengeluarkan kad ahli parlimen mengikut nombor rasmi kawasan Parlimen Labuan iaitu P166.
 
Jabatan Pendaftaran Negara juga, telah mengeluarkan kad pengesahan nama, JPN 1/18 bernombor 139474 bertarikh 28 Oktober 1999 bahawa kad pengenalan 610506-12-5029 adalah sah dan merujuk kepada Suhaili Abdul Rahman.
 
Begitu juga rujukan yang saya buat di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suhaili menggunakan kad pengenalan 610506-12-5029 untuk mendapatkan lesen memandu bernombor S 376695.
 
Semakan yang saya lakukan di Ibu Pejabat UMNO mendapati Suhaili menggunakan kad pengenalan 610506-12-5029 untuk menjadi ahli UMNO dan diberi nombor keahlian 0284478 dan sekaligus menangkis dakwaan Adnan bahawa Suhaili menggunakan kad pengenalan lain iaitu H0552181 untuk menjadi ahli UMNO.
 
Tidak cukup dengan rekod yang telah disebutkan, saya turut menjalankan semakan dengan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) mendapati  Suhaili hanya menggunakan kad pengenalan 610506-12-5029/ H04477025 untuk menjadi pemilih berdaftar bagi lokaliti 166/00/04/001 iaitu Kampung Ganggarak, Wilayah Persekutuan Labuan.
 
Manakala rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang kononnya Suhaili menggunakan nombor kad pengenalan lain untuk menjadi Pemegang Saham Saraequity Sdn.Bhd (354615-A) adalah tidak benar kerana Suhaili menggunakan kad pengenalan yang sama dengan semua dokumennya iaitu 610506-12-5029.
 
Sebagai penulis buku IC Palsu dan IC Projek, setelah menjalankan kajian daripada pelbagai aspek, kerana kemungkinan seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia pernah menggunakan kad pengenalan H0552181 atas nama Ahmad Suhaili Abdul Rahman dan saya percaya PATI berkenaan kini menyembunyikan diri di Gugusan Felda Sahabat setelah kad pengenalannya disahkan palsu.
 
Ahmad Suhaili telah cuba beberapa kali mendapatkan kad pengenalan daripada salah seorang agen sindiket bernama Andi Saidi Andi Kamaruddin, namun gagal setelah saya menjalankan gerakerja mengemaskini rekod keahlian UMNO Silam pada 1995.
 
Selain Ahmad Suhaili, saya mengesan ramai lagi PATI yang menggunakan kad pengenalan orang lain untuk menjadi ahli UMNO, terutama sekali jutawan Felda, Hassnah Cudang yang menggunakan kad pengenalan bernombor H0633269 milik Sita Riah Sabaran penduduk asal kampung Namukan, Kinabatangan tetapi kini Hassnah telah memperoleh kad pengenalan projek bernombor H0537491 dan mykad bernombor 650609-12-5300 sekitar 1993.
 
Saya mengesan sejumlah 16,693 kad pengenalan yang bersiri H0492001 hingga H0494500, H0540001 hingga H0547114, H0547115 hingga H0549999, H0550001 hingga H0553999 dan H0539801 hingga H0539999 yang tersilap dikeluarkan kepada PATI telah ditarik balik melalui surat Jabatan Pendaftaran Negara bil. JPN.KP (S): H/163/2/1(49) bertarikh  21 Mei 1996.
 
Walaupun ketika itu ianya masih dalam bentuk resit JPN 1/9 dan JPN 1/11, namun semua nombor kad pengenalan berkenaan tidak diiktiraf oleh Jabatan Pendaftaran Negara sejajar dengan surat di atas yang ditandatangani oleh Wan Md. Ariffin Bin Wan Ismail bagi pihak Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Malaysia.
 
Sehubungan itu, saya menggesa agar rakyat Malaysia di Labuan tidak perlu gusar kerana Suhaili bukanlah PATI, sebaliknya menjadi mangsa sindiket pemalsuan kad pengenalan yang telah dilumpuhkan oleh kerajaan dengan penangkap 40 orang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), termasuk 15 Pegawai JPN pada 1995.
 

No comments: