Search This Blog

Saturday, January 10, 2009

IC PALSU MASIH HANTUI RAKYAT SABAH


PARLIMEN....Sudah beribu kali isu IC Palsu dibahas di Parlimen sejak buku IC PALSU diterbitkan, namun isu ini masih membarah.


KETIKA saya menulis dan mencetak buku IC PALSU Merampas Hak Rakyat Sabah, ramai membuat tafsiran yang pelbagai terutama mengatakan isu yang saya utarakan di dalam buku yang diterima sebagai bahan bukti di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 1999 sebagai tidak benar dan mengarut!

Tetapi sejak 1999 semakin ramai rakyat Sabah tampil memberi keterangan bahawa mereka menjadi mangsa kerana kad pengenalan mereka diklon dan aneh sekali kerana rapuhnya pemeriksaan Imigresen di pintu keluar iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan yang kononnya menjadi 'bubu' untuk memerangkap mereka yang menggunakan kad pengenalan palsu.

Persoalannya bagaimana ramai warga asing yang memegang kad pengenalan palsu bebas keluar masuk tanpa sekatan terutama menggunakan bilik VIP dan tidak melalui pemeriksaan Imigresen terutama yang keluar melalui Wilayah Persekutuan Labuan.

Ramai warga asing yang mendapat kad pengenalan palsu daripada Sabah hidup secara bebas di Semenanjung Malaysia.

Berikut, satu lagi kes yang dipaparkan sedutan peristiwa yang melibatkan PTI dengan ehsan akhbar Utusan Borneo yang bertajuk 'Duduk Sabah tapi disaman di Melaka dan Shah Alam' yang ditulis Oleh ABD NADDIN HAJI SHAIDDIN

KOTA KINABALU: Seorang kakitangan kerajaan, Amzari Spoh, 28, mendakwa menerima lima saman polis trafik dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) termasuk satu waran tangkap kerana kesalahan lalu lintas di tempat yang tidak pernah dilawatinya iaitu di Melaka dan Shah Alam, sejak 2006 hingga tahun lalu.

Kakitangan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Sabah itu berkata, beliau memnerima waran tangkap bertarikh 15 November 2006 kerana gagal menjelaskan saman dalam tempoh ditetapkan serta tidak hadir perbicaraaan di Mahkamah Majistret Alor Gajah, Melaka pada 4 September 2006.

“Saya terselamat daripada menerima hukuman penjara selepas berjaya menyakinkan polis Sabah bahawa kesalahan itu dilakukan orang lain yang menggunakan kad pengenalan saya yang hilang ketika rumah kami di Kampung Lok Batik, Tuaran di pecah masuk pencuri pada Februari 2006."

“Keterangan saya diterima kerana individu yang dikesan menggunakan dokumen itu tiada lesen memandu dan hanya menggunakan kad pengenalan ketika ditahan polis,” katanya kepada Utusan Borneo di sini, kelmarin.

Amzari menerima lima saman dikeluarkan polis trafik iaitu satu pada 2006 dan masing-masing dua pada 2007 dan tahun lalu manakala satu saman JPJ diterimanya pada 2007.

Beliau juga sudah membuat dokumen baru di Pejabat Pendaftaran Negara (JPN) di sini untuk menggantikan dokumen yang hilang dan ia diluluskan pihak terbabit yang dengan sendirinya kad pengenalan lama dibatalkan.

Katanya, apa yang mengejutkan beliau, ketika memperbaharui lesen memandu, awal bulan ini, pihak JPJ memaklumkan beliau perlu menjelaskan lima saman terlebih dahulu sebelum memperbaharui dokumen berkenaan.

“Saya amat terkejut kerana menyangka nama saya sudah dibersihkan daripada saman polis trafik dan JPJ kerana kesalahan dilakukan orang lain, malangnya apa yang berlaku adalah sebaliknya."

“Individu yang menggunakan kad pengenalan sepatutnya sudah ditahan polis dan JPJ kerana menggunakan kenderaan yang sama iaitu sebuah motosikal bernombor pendaftaran WJG 5882, sedangkan saya tidak memiliki kenderaan seumpama itu,” katanya.

Amzari turut meminta polis trafik dan JPJ mengeluarkan namanya daripada senarai lima saman berkenaan kerana ia membuatkan dirinya tertekan kerana kesalahan itu dilakukan orang lain.

Pada masa sama katanya, pihak JPN juga hendaklah membatalkan kad pengenalan lamanya kerana ia sudah dimiliki pihak tidak bertanggungjawab dan digunakan untuk menganiaya orang lain.

“Masalah saya sudah dirujuk kepada JPJ, polis trafik dan JPN dimana sepatutnya sudah lama diselesaikan dengan menahan pemilik kenderaan bernombor pendaftaran WJG 5882."

“Saya takut nama saya disenaraihitamkan oleh JPJ dan polis trafik kerana didakwa melanggar undang-undang lalu lintas.

“Lebih membimbangkan ada pihak yang menggunakan kad pengenalan saya melakukan jenayah dan saya akan menerima waran tangkap kali kedua atas kesalahan yang dilakukan orang lain,” katanya.

No comments: