Search This Blog

Friday, January 30, 2009

MISI KEMANUSIAAN PBS KEMBALIKAN HARAPAN ALDY?

OLEH: ENDRA


KASIHAN...DR CHONG sedang memeriksa Aldy sembil dibantu ibu Aldy, Buhu.


PENDERITAAN adik Aldy Timbun, sembilan bulan yang mengidap penyakit ganjil sejak dilahirkan secara ceasarian di Hospital Kota Belud dan tinggal terpencil di pedalaman celah-celah Kem Paradise mendorong Persatuan Blogger Sabah (PBS) menganjurkan misi kemanusiaan membantu keluarga miskin ini mendapatkan rawatan terbaik untuk anak bungsu mereka.

Presiden PBS, MUTALIB M.D telah membawa Doktor Pakar Bedah daripada Pusat Perubatan Sabah (SMC), Dr Chong Eng Leong sejauh lebih 146 kilometer sebelum melalui jalan berbatu kelikir sejauh 27 kilometer merentasi Kem Askar Paradise, Kota Belud dan terpaksa melalui jambatan gantung yang uzur dan denai yang hanya dilalui kerbau untuk sampai ke rumah Aldy di Kampung Lasau Podi, Kota Belud.

Walaupun rumah yang hanya layak digelar 'reban ayam YB' menjadi tempat berteduh Aldy dan enam adik beradik bersama ibu bapanya dan seorang nenek tua yang uzur tidak mempunyai sebarang kemudahan asas kerana terperap di keranjang kemiskinan, namun tidak menghalang kedua ibu bapa dan nenek tuanya menunaikan tanggung jawab mereka sebagai pengundi dan penyokong kuat Barisan Nasional.

Bak kata pepatah, kelapa sepokok tidak mempunyai rasa yang sama, apatah lagi jika buah berlainan dahan sebagaimana nama bapa Aldy sama dengan Wakil Rakyatnya, Timbun, namun gagal menyelesaikan air yang bertimbun di kepala Aldy yang sudah bertakung sejak sembilan bulan yang lalu.



TEMBUS....Cahaya menembusi tengkorak Aldy yang digenangi cecair CSF.

Kata Mutalib, mujur, Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan begitu perihatin sanggup mengharungi kawasan terpencil tersebut semata-mata untuk menemui Aldy dan berkongsi penderitaan dengan bapanya, Timbun Tambakau (46 tahun) dan ibunya, Buhu Tongkisus (33 tahun) dan mendedahkan isu ini kepada mysabahkini.blogspot untuk perhatian umum.

Karenah birokrasi tidak sepatutnya terjadi, kerana pada pendapat Mutalib, sewajarnya, Klinik Kesihatan mengesan penyakit Aldy pada awal kelahiran dan tidak perlu menunggu selama sembilan bulan sebelum penyakitnya begitu kronik.

"Tidak ada wang dan kemiskinan bukan alasan kerana Kerajaan menyediakan rawatan percuma kepada penduduk Miskin di luar bandar, apatah lagi bagi penyakit serius seperti yang dihidap Aldy. Hospital Queen Elizabeth mempunyai Jabatan Kebajikan yang boleh membantu. Mana Pegawai Daerah dan Pegawai Kebajikan Kota Belud?," tanya Mutalib yang kesal dengan sikap sambil lewa Wakil Rakyat Kedamaian yang menganggap remeh aduan rakyat yang disampaikan kepadanya sejak Aldy berusia sebulan.

Adalah tidak wajar tegas Mutalib, Herbert Timbun selaku Wakil Rakyat dan Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna gagal membantu keluarga malang yang terpaksa menderita pada ketika kerajaan berusaha meningkatkan mutu dan taraf kesihatan penduduk luar bandar dengan memberi peruntukan yang amat besar kepada Sabah.

"Saya sudah menghantar SMS kepada YB berkenaan, tetapi tidak berjawab. Panggilan telefon juga gagal," kata Mutalib yang menggesa agar Timbun lebih prihatin terhadap masalah rakyat kerana tidak begitu serius ketika berucap di Dewan Undangan Negeri Sabah dengan mengaitkan namanya dengan bertimbun-timbun masalah dan jalan raya di kawasanya kebanyakannya licin seperti kepalanya.

Dalam pada itu, Dr Chong yang memeriksa Aldy mengesahkan bahawa kanak-kanak tersebut mengidap penyakit Hidrosephalus iaitu cecair semula jadi tubuh yang tersekat di dalam kepala.



Gambar kiri:
TIMBUN...Walau bertimbun janji, namun Timbun (kanan) gagal membantu Aldy dan keluarganya.

Gambar Kanan:
GANTUNG...Bayangkan nasib Aldy yang terpaksa melalui jambatan gantung untuk ke hospital? Mutalib, Dr Chong dan pegawai ahli Parlimen sedang melalui jambatan gantung ke rumah Aldy.




Mengikut Dr Chong, tubuh badan kita menghasilkan lebih kurang 500ml cecair cerebrospinal fluid (CSF) sehari tanpa henti untuk menggantikan CSF yang telah diserap. Pada keadaan normal, terdapat keseimbangan yang sensitif di antara kadar penghasilan dan penyerapan cecair CSF.

"Hidrosefalus terjadi apabila keseimbangan ini terganggu dan kadar penyerapan adalah kurang daripada kadar penghasilan cecair CSF. Walaupun terdapat banyak faktor yang dapat menyebabkan gangguan pada keseimbangan ini, faktor utama ialah halangan atau penyekatan pada mana-mana bahagian laluan pengaliran CSF," ujar Dr Chong.

Tegas Dr Chong, etiologi atau penyebab Hidrosefalus congenital (hadir semasa lahir) kemungkinan disebabkan oleh interaksi secara kompleks faktor persekitaran dan genetik.

"Contohnya stenosis aqueductal dan spina bifida. Sesetengah pesakit ini telah diklasifikasikan sebagai hidrosefalus kongenital dekompensasi iaitu hidrosefalus itu mungkin telah ada sewaktu dilahirkan dan kemungkinan ianya juga telah dirawat pada waktu awal pembesaran tetapi masih dan asimptomatik selama beberapa tahun," ujar Dr Chong yang menyatakan penyakit ini boleh dirawat jika masih di peringkat awal.

Tegas Dr Chong lagi, Hidrosefalus kongenital boleh didiagnos dengan cara menilai ukurlilit kepala iaitu sekiranya ukurlilit kepala adalah lebih besar daripada ukuran normal, berdasarkan carta piawai dan rujukan, ianya boleh dianggap bahwa hidrosefalus telah ada semenjak dari bayi walaupun mungkin ianya tidak simptomatik sewaktu bayi.


DERITA... Bayangkan jika anak atau saudara mara wakil rakyat mengidap penyakit seperti yang dideritai Aldy?

"Hidrosefalus perolehan berlaku setelah lahir, berlaku disebabkan oleh pendarahan intraventrikular, meningitis, kecederaan kepala, ensefalitis, tumor atau sist. Kadang-kadang doktor tidak dapat menentukan sebab hidrosefalus itu berlaku iaitu idiopatik (idiopathy) iaitu tanpa sebab," tegas Dr Chong yang mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Blogger Sabah yang menyampaikan berita ini kepada beliau.

Dengan ehsan Ahli Parlimen Kota Belud dan Hospital Queen Elizabeth, Aldy akan dibawa dari Lasau Podi dan dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth pada hari Isnin akan datang iaitu 2 Februari 2009 pada jam 11 pagi untuk menjalani rawatan dan pembedahan segera.

Para penderma yang ingin meringankan beban kewangan keluarga malang ini boleh berbuat demikian dengan memasukkan derma mereka ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) atas nama ibu Aldy, Buhu Tengkisus yang bernombor 12108-29-00013148-2.

Untuk rekod, 'Hydrocephalus' telah didiagnos oleh Ahli Perubatan Greek, Hippocrates iaitu 'hidro' yang bermaksud 'air' dan 'cephalus' iaitu kepala atau dengan kata lazimnya 'kepala berair'.

Di Malaysia, ianya berlaku satu daripada seribu kelahiran namun sewajarnya tidak menjadi masalah jika dikesan di peringkat awal dan kaedah pemulihan secara semula jadi amat sukar melainkan terpaksa menggunakan tiub seumur hidup untuk menyalurkan air yang bertakung di tempurung kepala ke dalam perut agar dapat diagihkan ke seluruh badan secara semula jadi.






Gambar Kiri:
USANG....Pondok usang yang menjadi tempat berteduh Aldy dan keluarganya yang hidup di himpit kemiskinan.



Gambar Kanan:
BSN....Salinan buku bank simpanan nasional yang menanti ehsan warga Malaysia.






















Gambar Kanan:
BAS?....Kenderaan pacuan empat roda ini dijadikan bas penumpang penduduk Lasau Podi ke pekan Kota Belud. Dr Chong sedang bercakap dengan bapa Aldy yang mahu membeli barang keperluan dengan menaiki bas modern?

Gambar Kiri:
SOKONG....Walaupun menjalani hidup sukar, namun keluarga Aldy tetap menyokong Barisan Nasional.

Gambar Tengah:
KERBAU... Jalan kerbau menuju ke rumah Aldy. Bagaimana jika Aldy terjatuh ke lumpur kerbau ini ketika ibunya membawanya ke hospital? Di mana keprihatinan wakil rakyat terhadap keluarga ini?

1 comment:

Malaysian Hollywood 2.0 said...

sungguh menyayat hati........ sesuatu perlu dilakukan segera untuk membantu meringankan beban Aldy dan juga keluarganya yang dihimpit kemiskinan tegar...

Ayuh bloggers semua..... pastikan mesej ini tersebar ke seluruh dunia dan sama samalah kita menderma untuk membantu rawatan susulan Aldy dan membantu keluarganya mencari sesuap nasi untuk meneruskan kehidupan seharian di dunia fana ini...

no akaun ibu Aldy ada dlm blog ini... untuk diderma masyakarat kita yg prihatin..........