Search This Blog
Tuesday, January 27, 2009
BISIKAN RAHSIA SHAFIE MEMBUAT YONG SEMAKIN BERBISA?
BISIK...Entah apa yang dibisikkan oleh Shafie kepada Yong sehingga Salleh ketawa besar seolah-olah mendengar bisikan rahsia Shafie.
SIKAP profesional Menteri Perpaduan Kebudayaan Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal menghadiri Majlis Perayaan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di seluruh Sabah wajar dicontohi oleh pemimpin lain di peringkat pusat.
"Kita puji sikap yang ditunjukkan Shafie kerana mesra rakyat dan tidak pernah menganggap kita sebagai musuh dan masih seperti kawan walaupun kita kini berlainan fahaman," ujar Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee dalam kenyataan ringkas kepada Mysabahkini.
Apakah bisikan rahsia Shafie akan membuatkan Yong semakin berbisa dalam politik Sabah apatah lagi ketika Barisan Nasional semakin kehilangan sokongan dan pembangkang semakin rancak mengendali teraju politik tanah air?
Jawapannya hanya ada pada Yong dan Shafie yang dilihat pemerhati politik sebagai meremajakan politik Sabah yang lesu di bawah era Musa Aman yang semakin kehilangan hala tuju berikutan beberapa tindakan tidak popular yang dilakukannya.
Shafie yang menembusi tembok sempadan kepartian menghadiri Majlis Rumah Terbuka Parti Maju Sabah (SAPP) di Dewan SMK Kian Kok bersama lebih 3,000 tetamu untuk memeriahkan majlis berkenaan membanggakan ahli SAPP dan rakyat Sabah yang lain.
Shafie yang ditemani Pengerusi Kraftangan Malaysia, Datuk Salleh Tun Said, diberi sambutan yang begitu meriah sekalipun ramai pemimpin politik berpandangan serong apabila dua kawan lama yang pernah berada di dalam Barisan Nasional masih erat dan berbisik bahasa rahsia yang hanya mereka mengertikan.
(Gambar Kiri)
PELUK....Pelukan erat dua kawan lama semakin mesra walaupun berlainan fahaman politik.
(Gambar Kanan)
HADIR...Shafie turut menghadiri Rumah Terbuka Parti Bersatu Sabah (PBS) bersama Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Sabah.
Selain daripada Rumah Terbuka SAPP, Shafie turut mengunjungi Rumah Terbuka PBS dan MCA di beberapa tempat yang berasingan di Kota Kinabalu.
Dalam kedudukan Shafie yang akan bertanding Naib Presiden UMNO, Shafie telah menunjukkan kematangan berpolitik dan diterima semua pemimpin Sabah termasuk pembangkang sesuai dengan kedudukannya sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah.
Memandangkan masa peralihan kuasa daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak semakin hampir, maka selaku regu yang paling sesuai dan akrab, bintang Shafie semakin cerah di persada politik tanah air, terutama di Sabah.
Kepulangan semakin kerap Shafie ke Sabah sudah pastinya akan berjaya mencuri kepercayaan lebih dua pertiga undi perwakilan Sabah untuk memastikan beliau mendapat tempat di dalam hiraki kepimpinan UMNO Malaysia dan menunjangi UMNO Sabah.
Ramai pemerhati politik meramalkan Shafie akan memenangi kerusi Naib Presiden berdasarkan sokongan akar umbi dan ketokohan Shafie selama ini jika momentum dan keterbukaan Shafie berterusan.
Sebelum ini ramai menjangkakan karier politik Shafie telah berakhir apabila beliau yang sebelum ini menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang paling kontroversi ditukarkan potfolio ke Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.
Namun bintang Shafie bertambah bergemerlapan apabila kementerian baru ini membolehkan Shafie menemui warga akar umbi dan pemimpin UMNO dengan lebih kerap kerana bidang modal insan yang sangat luas mencakupi perpaduan kaum, kepelbagaian budaya, keaslian kesenian dan keutuhan warisan.
Dengan Kementerian yang selama ini dianggap kelas kambing oleh menteri sebelumnya, Shafie telah berjaya menaiktaraf kementerian tersebut dengan perpindahan ke 'Wilayah Kebudayaan Dunia' di bangunan paling bersejarah dalam perjuangan bangsa Melayu.
Ketokohan Shafie yang sebelum ini dilantik sebagai Penasihat Persatuan Sabah Bajau Bersatu (USBO) semakin menyerlah dengan sokongan padu majoriti etnik Bajau di Sabah yang membentuk hampir 90 peratus ahli UMNO Sabah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment