Search This Blog

Saturday, January 31, 2009

BUKAN SAYAP TETAPI UMNO YANG WAJAR DIBUBARKAN?


SILAP....Ismail menunjukkan keratan akhbar kenyataan Rithauedden yang dianggap tersilap dan memalukan Majlis Tertinggi UMNO.

CADANGAN Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudden Tengku Ismail agar Majlis Tertinggi UMNO membubarkan semua sayap parti sebagai jalan penyelesaian untuk menghapuskan politik wang adalah tidak wajar dan menjatuhkan maruah UMNO.

Ketua Pemuda Cawangan UMNO Tambalugu, Tuaran, Ismail Mohd Rosli berkata demikian sebagai mengulas tindakan Rithaudden yang membuat kenyataan media sebelum mendapatkan restu Majlis Tertinggi UMNO adalah perbuatan 'biadap' yang dilakukan seorang yang selama ini dipandang mulia oleh ahli UMNO.

"Perjuangan UMNO menjadi seolah tidak bermaya dan tidak bermakna lagi sekiranya semua sayap yang dtubuhkan mengikut Perlembagaan Parti dimansuhkan semata-mata untuk menghukum mereka yang tidak bersalah kerana merebut jawatan di dalam semua sayap parti dan mengganggap mereka sebagai penyubur rasuah di dalam UMNO," ujar Ismail yang berpendapat budaya potong dan cantas di dalam UMNO semakin berleluasa.

Adalah tidak munasabah kata Ismail jika Rithaudden membuat kesimpulan bahawa dengan pemansuhan sayap parti boleh menjamin rasuah politik akan dibasmi secata total di dalam UMNO kerana yang bertanding jawatan Majlis Tertinggi mempunyai banyak wang untuk diberi berbanding wanita, pemuda, puteri dan putera yang masih belum mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.

"Rasuah politik bermula di zaman Anwar Ibrahim merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO dengan Ghaffar Baba. Bukan dimulakan di bawah atau disayap parti, sebaliknya di Majlis Tertinggi dan bagi mengelakkan rasuah politik, sewajarnya UMNO Sabah dibubarkan dan ditaja semula," ujar Ismail yang melihat UMNO Sabah hanya mementingkan kroni dan proksi kerana ditadbir secara kurang bestari oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah seolah-olah UMNO Sabah adalah UMNO Sdn.Bhd.

Tambahanpula kata Ismail, UMNO Sabah telah diresapi pendatang tanpa izin sama ada yang menggunakan kad pengenalan palsu atau kad pengenalan projek sehingga membataskan hak rakyat tempatan menyertai UMNO.

"Budaya meminta-minta dan rasuah adalah budaya yang dibawa daripada negara asal mereka iaitu Indonesia, Filipina, India dan Pakistan. Mereka inilah yang menjahanamkan UMNO di Sabah sehingga rakyat tempatan memandang serong terhadap UMNO, namun ianya dihalalkan oleh pucuk pimpinan UMNO," ujar Ismail yang kesal kerana Majlis Tertinggi merestui semua ahli USNO diserap masuk ke dalam UMNO sekalipun kerakyatan mereka diragui terutama mereka yang tidak boleh mengundi walaupun telah lebih 30 tahun menetap di negara ini secara haram dan diberi suaka politik oleh pemimpin UMNO Sabah yang rakus kuasa.

Sehubungan itu, Ismail menggesa agar Majlis Teritinggi dan para Perwakilan yang akan menghadiri Persidangan Agung UMNO Pusat pada Mac 2009 agar dapat membuat resolusi untuk menyerahkan kes politik wang kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditubuhkan kerana beliau yakin Lembaga Disiplin UMNO tidak lagi berwibawa menangani isu rasuah politik di dalam UMNO dan hanya menghukum mereka yang tidak berjawatan atau berlainan pendapat dengan Majlis Tertinggi.

"Untuk apa kita ada dua undang-undang di Malaysia? Apakah Parlimen sudah menjadi kelas kambing dan terletak di bawah Lembaga Disiplin UMNO," tanya Ismail yang menggesa Lembaga Disiplin UMNO hanya menjalankan tugas menyuburkan rasa cinta terhadap parti dan meningkatkan mutu disiplin ahli dan menyerahkan tugas menghakimi rasuah politik kepada SPRM yang ditubuhkan dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agong setelah melalui perbahasan yang serius di Dewan Rakyat dan di Dewan Negara.

Kini tibalah masa dan ketikanya, Lembaga Disiplin UMNO mengambil pendekatan secara harafiah dan holistik mendidik ahli UMNO agar sayang kepada parti dan meremajakan semula landasan perjuangan UMNO yang semakin lari daripada asas penubuhannya agar tidak ditolak rakyat Sabah yang masih sebati dengan USNO dan perjuangan nasionalisme glokal.

No comments: