Search This Blog
Friday, February 13, 2009
TIGA MINIT ADALAH DETIK PALING CEMAS: VALENTINO
LUKA...James menunjukkan jarinya yang cedera sambil diperhatikan oleh rakannya OKK Hassnar Ibrahim.
TIGA minit adalah masa paling pantas dalam hidup James Valentino Tanggar apabila beliau bertindak berani melalui minda bawah sedar dengan menyelamatkan mangsa yang cedera ditetak dengan parang dan ditembak dengan senapang patah buatan sendiri oleh pendatang asing tanpa izin.
"Saya terpaksa menepis parang yang tajam yang sebelum ini ditetak di kepala seorang pekebun kecil yang cedera parah demi untuk menyelamatkan diri saya. Saya terpaksa bergelut dengan tidak kurang lima orang pendatang asing yang menyerbu ke arah saya," kata James lagi sambil mengimbau saat mencemaskan dalam hidup beliau.
Ketika sedang bergelut, beberapa das tembakan dilepaskan dan terkena seorang pekebun kecil yang cuba mempertahankan beliau daripada serangan bertubi-tubi menyebabkan mangsa terbut terjatuh.
"Saya terpaksa menggendong mangsa dan melemparkannya mereka ke dalam kereta semata-mata untuk menyelamatkan mereka daripada terus dibelasah dengan parang dan senjata tajam," ujar James yang mengenali para penyerangnya kerana pernah melihat mereka ketika diperdaya polis pada 2008.
>CEDERA...Mangsa yang cedera ditetak yang sempat diselamatkan James.
Tegas James lagi, beliau hanya menyerahkan nasibnya pada Tuhan kerana pendatang asing berkenaan terus membidik picu sebanyak tiga kali tetapi mujur senapang buatan sendiri tersebut tidak meletup sehingga mereka berjaya melarikan diri dengan menaiki kenderaan mereka yang rosak teruk kerana dichainsaw dan ditembak dengan senapang patah.
"Mujur ketika diacukan ke kepala saya, senapang itu tidak meletup, jika tidak saya sudah jadi mayat," ujar James sambil menunjukkan gambar yang sempat dirakam termasuk wajah penjenayah yang melepaskan tembakan ke arahnya dan mencederakan seorang pekebun kecil yang tertembak di peha ketika melindungi James.
Menurut James, beliau cam semua penjenayah yang terlibat termasuk ketua mereka Alimuddin Mohd Ajay yang meluru ke arahnya untuk melakukan serangan sebelum diserbu oleh lebih 100 orang pendatang asing menyebabkan mereka terpaksa berundur.
BANTU....Salah seorang mangsa sedang dibantu mendapatkan rawatan.
"Kami berani masuk ke kebun berkenaan kerana Pemangku OCPD, Inspektor Dzulmoksari Ismail memberi jaminan bahawa ada lima orang polis berkawal 24 jam di Tingkayu," ujar James yang kesal dengan kejadian tersebut dan mengesyaki kejadian berkenaan ada hubung kait dengan pegawai polis peringkat atasan yang bersubahat dan melindungi penjenayah.
Tegas James lagi, tindakan nekad penjenayah berkenaan mengacukan senapang dan membidik picu ke arah kepalanya akan menjadi trauma seumur hidup tetapi tidak melemahkan semangatnya untuk mempertahankan hak dan anak negeri Sabah yang teraniaya.
Sebagai peguam, James kesal kerana injunksi mahkamah tidak dihormati sebaliknya pendatang asing bermaharajala lela kerana ada pihak yang melindungi dan mendalangi kejahatan mereka terutama pihak yang mempunyai kepentingan terhadap perebutan tanah berkenaan.
"Saya tidak percaya perkara sebegini boleh berlaku di Malaysia dan amat memalukan kerana mereka penjenayah menggunakan polis dengan niat untuk membunuh saya," ujar James yang akan membuat laporan polis di Kota Kinabalu esok.
Bagaimanapun James agak sedih kerana dua pekebun kecil terbunuh dan nasib tiga orang yang cedera parah belum diketahui lagi.
"Saya masih ingat ketika kami sedang berundur menyelamatkan diri, seorang pekebun iaitu jurukamera video kami sedang dikejar dengan parang. Amat menyedihkan kerana beliau tewas dan mayat beliau ditemui di bawah timbunan pelepah kelapa sawit," kata James sambil bertafakkur menghormati dua roh yang gugur ketika mempertahankan tanah tumpah darah mereka daripada dirampas pendatang asing tanpa izin.
Dalam pada itu, Alimuddin Mohd Ajay yang mengetuai serangan pendatang asing berkenaan menyerah diri di Balai Polis Kunak dan ditahan reman untuk membantu siasatan polis. Setakat ini polis mengesahkan hanya seorang ditahan berhubung kejadian yang meragut dua nyawa dan mencedera parah empat orang dan seorang peguam cedera ringan.
TEMBUS...Salah sebutir peluru yang menembusi kereta yang dinaiki James ketika beredar dari ladang berkenaan.
PECAH....Cermin kereta yang hampir berkecai diserang pendatang asing.
KENAL..James mengenali penjenayah yang menembaknya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
3 comments:
High time for Sabahan to chase away the Pilak
teruskan perjuangan james... menegakkan keadilan..
apa perkembangan terbaru isu Tingkayu. dengar cerita dari pekebun kecil isu ni masih di Mahkamah dan sekarang ada masalah lagi besar di tanah yang pernah menyaksikan kematian ini. Kalau sebelum ini dikaitkan pendatang Indonesia yang terlibat dalam isu ini tetapi sekarang difahmkan sekarang ni pendatang Filipina pula bermaharajalela di sana apabila mengugut dengan perkataan sambil memegang senjata tajam pekebun kecil ini agar menghantar kelapa sawit mereka ke sebuah kilang yang memang di'khaskan'. kalau tak 'NAHAS'. Dikatakan laporan sudah dibuat tetapi belum ada tindakan susulan. Walluhalam. Saudara boleh siasat dakwaan ini?
Post a Comment