Search This Blog

Tuesday, January 20, 2009

SIAPA CEROBOH HUTAN SIMPAN KUNAK?


Kelihatan sudut kanan bawah pokok kelapa sawit yang sudah ditanam dalam kawasan hutan simpan Ulu Kalumpang.

Oleh: Ibrahim Tabir

KUNAK : Jabatan Perhutanan diminta supaya melakukan siasatan rapi dan terperinci berhubung terdapatnya pencerobohan hutan simpan Ulu Kalumpang, kira-kira 16 kilometer dari pekan Kunak , bersebelahan sebuah Ladang Kelapa sawit di sini.

Menurut seorang petani, Ali Ahmad, memberitahu pencerobohan itu dilakukan di kawasan yang agak terlindung dari penglihatan umum dan ia jelas dilihat apabila hanya boleh berjalan kaki ke kawasan itu dan dianggarkan kawasan yang diteroka sejak tahun 2006 itu sudahpun ditanam dengan pokok kelapa sawit di atas keluasan kira-kira tiga ekar.

Kawasan hutan simpan itu merupakan hutan tadahan air dan berstatus hutan primer(kekal) yang tidak boleh diusik oleh sesiapa.

Beberapa spesies fauna terdapat di hutan berkenaan yang sering ditemui antaranya, burung enggang (hornbill), spesies monyet borneo, babi hutan, dan rusa.

Bagaimanapun, kelibat kumpulan haiwan seperti rusa amat jarang sekali ditemui sekarang ini disebabkan aktiviti pembangunan kelapa sawit termasuk penerokaan di atas hutan simpan itu sekitar tahun 2005 dan 2006.

Ali berkata, Jabatan Perhutanan sebagai agensi yang bertanggungjawab dalam menjaga dan memulihara hutan-hutan simpan di negeri ini perlu menjalankan tanggungjawab mereka dengan berkesan supaya keberkekalan hutan khatulistiwa di negeri ini sentiasa terjaga dengan sempurna.

Menurutnya, masyarakat sudah tentu menaruh kepercayaan kepada Jabatan terbabit kerana agensi itu dipertanggungjawabkan memelihara khazanah yang tidak ternilai itu untuk tatapan generasi akan datang.

Dalam masa yang sama, jabatan tidak sepatutnya menjadi seperti 'Double standard' apabila berhadapan dengan orang ramai mengenai sebarang permohonan yang dikemukakan (mengambil contoh seperti Land Occupation Permit - OP) kerana kepercayaan masyarakat akan pudar terhadap kewibawaan jabatan terbabit sekiranya mereka tidak komited bersungguh-sungguh memikul amanah itu.

Kata Ali lagi, beliau hairan kenapa masih berlaku penerokaan hutan simpan yang dilakukan oleh syarikat atau individu tertentu sedangkan jabatan Perhutanan telah berkali-kali menjelaskan bahawa agensi tersebut kini mempunyai teknologi moden untuk mengesan sebarang aktiviti pencerobohan.

"Membenarkan orang lain meneroka secara kecil-kecilan di kawasan hutan simpan lama-kelamaan kawasan yang diteroka akan terus berleluasa, samalah juga seperti memusnahkan habitat flora dan haiwan semulajadi anugerah Tuhan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah, Datuk Sam Mannan tidak dapat dihubungi untuk ulasan lanjut.

No comments: