Search This Blog
Saturday, January 24, 2009
KEMBALIKAN WANG RAMPASAN ICAC KEPADA KERAJAAN NEGERI SABAH
AZIZUL berlatar belakangkan not $10,000 Dollar Singapura
WANG $16 juta Singapura yang dirampas di Hong Kong oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Hong Kong (ICAC) tahun lalu sewajarnya dikembalikan kepada Kerajaan Negeri Sabah sekiranya ianya milik kerajaan negeri dan bukannya milik pemimpin tertentu.
Ketua Cawangan UMNO Tampi-Tampi Darat, Azizul Sanarul membidas pemimpin di Sabah yang cuba memanipulasi kebaikan Perdana Menteri dengan memujuk pegawai kepercayaan Perdana Menteri supaya bersubahat mengakui wang yang dirampas daripada seorang peniaga tempatan dari Sandakan ialah wang Kerajaan Negeri Sabah.
"Jika benar wang tersebut wang Kerajaan Negeri, kenapa ianya tidak disimpan atau direkodkan di dalam Akaun Kerajaan Negeri Sabah dan di luar pengetahuan Gabenor Bank Negara Malaysia?" tanya Azizul yang juga aktivis UMNO ketika mengulas laporan mysabahkini.blogspot.com yang membongkar isu ini hasil temuduga dengan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Dr Jeffrey Kitingan.
Mengikut prosedur, adalah menjadi kesalahan di bawah Akta Acara Kewangan jika Kerajaan Negeri tidak menzahirkan wang simpanan atau rizab di dalam dan di luar negara kerana perlu di audit mengikut prosedur dan akauntabili kerajaan.
"Persoalan yang timbul sekarang, ialah bukan $16 juta ringgit Singapura, tetapi saya mendapat maklumat terdapat RM1.43 bilion yang disimpan di Hong Kong Central, Hong Kong di atas nama pemegang amanah, iaitu seorang peguam kanan di Sabah," ujar Azizul yang kesal kerana tangkapan ICAC membuktikan kejalangan pemimpin Sabah di luar negara.
Tegas Azizul, beliau tidak faham kenapa pemimpin berkenaan mahu mengheret Peguam Negeri Sabah di dalam kancah konspirasi sehingga memaksa Peguam Negeri Sabah meletakkan jawatan secara mendadak atas alasan mempertahankan prinsip.
"Saya merayu kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri agar jangan bersekongkol atau melindungi pemimpin yang rasuah kerana SPRM adalah peninggalan paling berharga Perdana Menteri kepada rakyat Malaysia dalam hal integriti," ujar Azizul yang akan memaklumkan kepada ahli UMNO dan rakyat Sabah melalui risalah cawangannya bahawa isu ini harus dibanteras sehingga ke akar umbi.
Kata Azizul untuk apa SPRM dilaksanakan jika pemimpin kanan kerajaan terlepas dengan memanipulasi undang-undang dan menyalahguna kuasa untuk kepentingan diri sendiri.
"Adalah tidak wajar kata Azizul, jika Peguam yang menjadi proksi pemimpin berkenaan dilantik sebagai Peguam Bela kerana menyalahi Akta Guaman disebabkan mempunyai kepentingan secara langsung dengan anak guamnya," ujar Azizul yang merasa ganjil dengan perlantikan peguam baru menggantikan Roderick.
Sebelum ini kata Azizul, kegiatan tidak bermoral Mantan Ketua Menteri Sabah, Datuk Osu Sukam juga dibongkar di luar negara dan kini seorang lagi pemimpin kanan melakukan jenayah penggubahan wang haram dan membiayai aktiviti keganasan cuba merasuah ICAC dan pegawai di Jabatan Perdana Menteri dan Peguam Negeri Sabah untuk melepaskan wang yang dibekukan.
Sehubungan itu, Azizul menggesa Pengerusi Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Said Hamdan membuka kembali fail siasatan kes berkenaan yang tergendala akibat pertukaran Puan Latifah Md Yatim ke Pulau Pinang.
"Kes yang berprofail tinggi seperti ini melibatkan pemimpin kanan kerajaan tidak wajar ditutup sebelum siasatan menyeluruh dijalankan. Alasan ianya berlaku di luar negara dan tidak melibatkan pemimpin berkenaan secara langsung bukanlah alasan kerana akta yang baru diluluskan parlimen sudah mencakupi segalanya," tegas Azizul yang memuji ketelusan SPRM sejak dinaik taraf sebagai Suruhanjaya.
Berhubung surat yang disebutkan Jeffrey dalam temuramahnya dengan mysabahkini, Azizul berpendapat surat tersebut adalah surat palsu yang cuba mengaburi mata ICAC sehingga mereka bertindak mendapatkan pengesahan daripada Peguam Negeri Sabah.
"Mungkin ada pihak yang membuat keuntungan di atas surat palsu berkenaan dan akan terlepas begitu sahaja jika Kerajaan Hong Kong mencairkan pembekuan wang sejumlah $1.43 bilion dan $16 juta yang disita di Lapangan Terbang Hong Kong," ujar Azizul yang turut kesal kerana media masa turut bersubahat tidak melaporkan kes berkenaan yang amat perlu diketahui rakyat Malaysia kerana wang haram cuba dibersihkan melalui kantung bocor Kerajaan Negeri Sabah.
BERPRINSIP....Roderick memegang prinsip guaman, manakala Musa cuba menyelamatkan dirinya dengan melantik peguam yang menjadi proksiny di dalam beberapa kepentingan.
Seperti Jeffrey, Azizul turut menggesa agar Kerajaan Negeri menyediakan kertas putih Kabinet bagi menjelaskan Isu Penggubahan Wang Haram yang melibatkan Ketua Kerajaan Negeri Sabah.
Dalam pada itu, Azizul turut menggesa agar Kerajaan Negeri Sabah segera melantik Peguam Negeri Sabah yang baru yang lebih berwibawa dan menolak perlantikan Richard Barnes sebagai peguam bela Ketua Menteri dalam Kes Ma Tzu kerana peguam berkenaan salah seorang tertuduh kerana akaun di Hong Kong dibuka di atas nama beliau sebagai proksi pemimpin kanan kerajaan yang memiliki wang berbilion ringgit di Hong Kong Bank.
"Saya merayu Pengerusi SPRM agar tidak memencilkan kes ini kerana saya percaya siasatan SPRM telah selesai. Rakyat sedang menanti keputusan siasatan SPRM walaupun mereka kecewa kerana Pengarah BPR Sabah, Puan Latifah ditukarkan ke Pulau Pinang ketika kes berkenaan memuncak," ujar Azizul yang meminta Perdana Menteri dan Timbalannya tidak melindungi pemimpin yang rasuah dan melakukan jenayah di luar negara.
Satu siasatan menyeluruh bagi kes berprofail tinggi harus dijalankan oleh SPRM bagi memulihkan imejnya yang tercalar berikutan kegagalan kes sebelum ini termasuk melibatkan Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Musbah Jamli; Pengurus Besar Kumpulan Yayasan Sabah, Daud Tampokong dan Siasatan Pembalakan Haram di Keningau yang telah senyap begitu sahaja.
"Rakyat Sabah yang hidup di bawah paras kemiskinan ingin tahu bagaimana pemimpin kanan mempunyai simpanan melebihi $1.4 bilion di Hong Kong Bank dan lebih RM4 bilion di Australia atas nama beberapa proksi," ujar Azizul yang akan mendedahkan bukti dalam waktu yang terdekat.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment