Search This Blog

Friday, January 23, 2009

KITAR SEMULA WARGA ASING KINI MEMBAHAYAKAN MALAYSIA?


PELAJAR...Kemasukan pelajar asing yang tidak dipantau menyumbang kepada kebanjiran pendatang asing ke negara ini terutama apabila mereka hanya menyamar sebagai pelajar tetapi bekerja di sektor maksiat.

KEGHAIRAHAN Kerajaan Malaysia mengitar semula warga asing yang berada di dalam negara ini akhirnya membebankan rakyat negara ini apabila kadar penggangguran meningkat secara mendadak akibat daripada penguncupan ekonomi dunia.

Pemberhentian lebih daripada 300,000 pekerja tempatan di seluruh negara begitu mengesankan terutama dalam industri pembuatan, perkilangan dan perkhidmatan kerana kesilapan bergantung kepada buruh asing sehingga ekonomi negara turut tergelincir dengan penurunan komoditi utama seperti sawit dan getah.

Kesilapan kerajaan membenarkan kemasukan warga asing dalam jumlah yang tidak terkawal sehingga menjangkau kepada tiga juta orang, hampir dua juta daripadanya tinggal secara haram setelah lima ratus ribu orang berjaya dihantar balik ke negara asal mereka melalui beberapa program pengampunan.

Sabah dan Selangor mengalami kesan ketara kebanjiran pendatang tanpa izin, walaupun pada mulanya mereka datang secara sah, tetapi terus tinggal di negara ini secara haram kerana gagal memperbaharui pas lawatan mereka dan ramai terjebak dengan sindiket dokumen dan kad pengenalan palsu.

Keputusan kerajaan untuk mengurangkan jumlah pekerja asing kepada 1.8 juta orang pada 2009 agak tersisih daripada sasaran untuk memastikan jumlah pekerja asing hanya 1.5 juta orang pada 2015 tidak mungkin dapat dicapai kerana kemasukan mereka dan pengampunan yang dilancarkan untuk warga Filipina dan Indonesia yang selama ini tinggal secara haram di Malaysia.

Kajian yang dilakukan di Sabah mendapati beberapa subsidiari kerajaan seperti Felda, Felcra dan Tabung Haji menggunakan pendatang asing paling ramai behingga berjaya mencatat keuntungan yang berlipat kali ganda kerana tidak perlu membayar levi.

"Hanya sepuluh peratus sahaja pekerja Felda mempunyai pas lawatan kerja sementara, selebihnya bekerja secara haram," ujar seorang kontraktor yang kesal kerana Agensi Pekerjaan Swasta tidak pernah membekalkan tenaga kerja baru sebaliknya mengitar semula pekerja mereka sendiri yang bekerja secara haram semua Gugusan Ladang Felda.

Kontraktor yang bernama Mokthar tersebut memberitahu mereka dibebankan dengan kos levi yang tinggi sedangkan agansi berkenaan hanya mengitar semua pekerja yang dibawa masuk secara haram untuk mengaburi mata penguatkuasa.

"Saya berani jamin, sejak 20 tahun lalu, agensi ini tidak pernah membekal walau sepotong pekerja asing. Semua ini orang saya," ujar Mokhtar yang agak berang apabila dicabar untuk membuktikan dakwaannya sehingga mengeluarkan semua dokumen bayaran dan salinan bayaran gaji pekerja asingnya.

Dalam pada itu, mengikut kajian yang dilakukan mendapati, lebih 297,000 ribu kanak-kanak pendatang asing dilahirkan setiap tahun oleh lebih 1.7 juta pendatang asing di Sabah dan daripada jumlah tersebut 93,000 yang sepatutnya melalui alam persekolahan telah tercicir sejak berusia tujuh tahun sehingga 15 tahun.

Mereka ini yang dianggap sebagai warga terapung kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri akan menjadi masalah yang besar kepada Sabah yang kini menghadapi kemelut pertembungan rakyat tempatan dengan warga asing, terutama dalam sektor pernigaan runcit yang dimonopoli warga asing.

Pada 12 November 2007, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah menggesa majikan segera menghentikan ‘ketagihan’ mengambil pekerja asing kerana ia memberi kesan negatif kepada pembangunan negara.

"Tindakan majikan mengambil pekerja asing sama ada secara sah atau haram, tanpa mereka sedari menghalang usaha kerajaan untuk melahirkan modal insan berkemahiran tinggi di kalangan rakyat tempatan," kata Abdullah ketika berucap di Perhimpunan Agung UMNO.

Tegas Abdullah, bagaimana teknologi perindustrian dalam pelbagai sektor ekonomi dapat dipindahkan kepada rakyat tempatan jika majikan banyak menggunakan pekerja asing yang mempunyai kemahiran yang rendah sehingga menyukarkan cita-cita negara kita hendak mencapai matlamat guna tenaga berasaskan ekonomi pengetahuan jika tenaga pekerja asing yang kurang kemahiran masih menjadi pilihan majikan.

"Kita cukup bimbang jika ‘ketagihan’ ini meresap dalam projek-projek di Wilayah Pembangunan Iskandar, Wilayah Ekonomi Koridor Utara, Wilayah Ekonomi Pantai Timur hingga tujuan asal untuk membantu penduduk tempatan tidak tercapai. Ini kerana sudah ada tanggapan bahawa penggunaan tenaga asing tidak dapat dielakkan kerana permintaannya dijangka semakin meningkat daripada majikan," kata Abdullah yang berharap langkah untuk memperketat prosedur pengambilan pekerja asing diharap tidak sekadar untuk meredakan kebimbangan rakyat.


PERMUDAH OPERASI... Timbalan Penolong Pengarah Kanan Imigresen, Fazlina Razali menunjukkan Sistem Penguatkuasaan Imigresen Bergerak (MIES).

Pengenalan Sistem Penguatkuasaan Imigresen Bergerak (MIES) bagi meningkatkan ketelusan dan kecekapan operasi membanteras pendatang asing tanpa izin yang sekali gus mengelak kes salah tangkap pekerja asing sah.

Walaupun sistem ini MIES membolehkan Jabatan Imigresen membuat pengesahan serta-merta status warga asing menerusi pemeriksaan biometrik, data kad pekerja dan rujukan nombor pasport atau dokumen lain bagi mengelak daripada menahan pekerja asing sah yang terlupa membawa dokumen atau permit.

Sebanyak 100 mesin penyemak data sistem bernilai RM9,000 setiap satu diagihkan kepada Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen dan Rela di seluruh negara bagi melicinkan operasi masing-masing.

Namun yang sering menjadi masalah utama ialah kehadiran ramai warga asing yang menggunakan pas pelajar walaupun mereka sebenarnya berkerja dalam sektor lain terutama sektor pelancongan dan pelacuran.

Kehilangan lebih 50,000 warga asing China yang kebanyakannya wanita dan 30,000 warga India masih menjadi misteri walaupun beberapa orang pegawai turus Jabatan Imigresen Malaysia telah ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah kerana terlibat dengan skandal mengeluarkan permit masuk dan pas kerja kepada warga asing.

Walaupun Sistem Biometrik diwar-warkan seolah-olah tidak ada lagi pekerja asing boleh membolosi sempadan negara ini dan mana-mana pendatang asing yang telah dihantar balik tidak dibenarkan memasuki sempadan negara ini, tetapi sehingga kini Jabatan Imigresen hanya berjaya merekodkan imbasan cap jari lebih sejuta daripada lebiha dua juta pekerja asing yang bekerja secara sah di negara ini.

Terbaru, pada 21 Januari 2009, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar Sudah mengatakan sudah tiba masanya pengambilan pekerja asing terutamanya dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan dihentikan segera selaras dengan keadaan ekonomi semasa negara yang turut merasai kesan kemelesetan ekonomi global.


PASPORT...Kemasukan pendatang secara rambang menyukarkan sistem pemantauan.

“Majikan patut memberhentikan pekerja asing terlebih dahulu, hantar mereka balik ke negara asal dan jangan ambil lagi. Mereka sepatutnya menggunakan sumber tenaga tempatan,” katanya yang membayangkan akan berbincang dengan Kementerian Sumber Manusia untuk memperketatkan lagi permohonan berhubung keperluan pekerja asing di negara ini dan meneruskan penghantaran balik pekerja asing yang tinggal secara haram di negara ini.

Walaupun kerajaan telah mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM5 bilion daripada RM7 bilion yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri pada november 2008, bakinya RM2 bilion lagi akan dikeluarkan minggu depan, namun ekonomi tempatan amat sukar untuk dipulihkan dalam jangka masa yang singkat kerana rangsangan tersebut tidak mensasarkan kesan kemelesetan ekonomi akibat kebergantungan kepada pekerja asing.

"Kita akan melancarkan pakej rangsangan ekonomi kedua tidak lama lagi bagi memastikan negara tidak terjerumus ke dalam kancah kemelesetan serius akibat ekonomi global yang semakin merudum," kata Najib yang menegaskan rangsangan tersebut akan ditentukan mengikut kesesuaian masa atau keadaan dan tumpuannya pada masa ini ialah untuk memastikan RM7 bilion digunakan secepat mungkin.

No comments: