Search This Blog
Wednesday, January 21, 2009
IMM13 PALSU MASIH BERLELUASA DI SANDAKAN
TAHAN...Bot yang ditahan selepas didapati membawa nelayan asing yang menggunakan IMM13 palsu.
KEGIATAN memalsukan dokumen IMM13 untuk warga asing semakin berleluasa di Sandakan sekalipun pihak penguatkuasa mengetatkan undang-undang Imigresen ke Sabah.
Maklumat yang diterima daripada Persatuan Nelayan Kampung Pukat Sandakan telah mendorong pengendali blog menghantar team pemantau untuk mengesan kegiatan haram yang ini turut melibatkan pegawai Imigresen dan warga asing yang berkemahiran dalam bidang komputer.
Daripada pemerhatian yang dilakukan, team pemantau telah berjaya mengesan pergerakan beberapa nelayan asing yang dikhuatiri menggunakan dokumen IMM13 palsu untuk bekerja di bot nelayan tempatan.
Tindakan team pemantau menghubungi Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APPM) Sandakan tidak sia-sia apabila APPM berjaya memintas sebuah bot nelayan yang disyaki pada 20 Mei 2008.
POLIS...Laporan polis yang dibuat APPM berhubung tangkapan IMM13 palsu.
Tiga awak-awak bot nelayan berkenaan berjaya ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah Sesyen Sandakan mengaku bersalah setelah Jabatan Imigresen mengesahkan tidak pernah mengeluarkan IMM13 berkenaan kepada tiga awak-awak berkenaan.
"Hampir semua 50 bot pukat tunda yang berdaftar dengan persatuan ini menggunakan tenaga nelayan asing yang memiliki IMM13 palsu yang dikeluarkan sindiket haram. Perkara ini bukan baru, sudah lebih lima tahun," ujar Majali Malua (gambarnya tidak dapat disiarkan atas faktor keselamatan), salah seorang nelayan yang kecewa dengan sikap tidak acuh kerajaan membanteras pendatang asing tanpa izin di Sabah.
Majali agak kesal kerana semua nelayan pendatang asing yang menggunakan IMM13 palsu yang ditangkap pada 20 Mei 2008 hanya dipenjara selama tiga bulan setelah bot mereka disita.
"Kerosakan dan gangguan yang mereka buat selama ini menyebabkan kami tidak dapat tidur lena kerana mereka balik lagi ke negeri ini menjadi nelayan setelah menjalani hukuman," kata Majali kecewa kerana nelayan asing bebas masuk menangkap ikan di negeri ini dan mendapat subsidi diesel kerana bot mereka didaftarkan atas nama penduduk tempatan.
MAHKAMAH...Keputusan mahkamah ini membuktikan segala-galanya namun IMM13 masih bermaharajalela.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment