Search This Blog

Sunday, December 28, 2008

SURAT TERBUKA BUAT KETUA POLIS NEGARA

Surat terbuka ini diterima melalui pos pada 26 Disember 2008. Nama penjenayah terutama pengedar dadah terpaksa ditapis untuk tujuan keselamatan, tetapi nama Pendatang haram India tidak ditapis. Pandangan Kamaruddin tidak semestinya pandangan blog ini.






TAN SRI MUSA HASSAN-Ketua Polis Negara













Kamaruddin Omar,
Kampung Gambaron,
Peti Surat 25, Telupid,
89300 Beluran


23 Disember 2008

Yang Berbahagia,
Tan Sri Musa Hassan,
Ketua Polis Negara,
Ibu Pejabat Polis Bukit Aman,
KUALA LUMPUR.

Yang Berbahagia Tan Sri,

POLIS MALAYSIA RASUAH DAN TIDAK JUJUR

Dengan segala hormatnya, saya ingin menarik perhatian Tan Sri berhubung perkara di atas.

2. SUKACITA saya sekiranya Tan Sri dapat mengambil tindakan susulan terhadap lebih 17 laporan polis yang saya buat daripada tahun 1982 sehingga 2002 (tidak termasuk tiga laporan polis yang baru saya buat di Balai Polis Karamunsing pada Disember 2008) kerana saya berkeyakinan hanya Tan Sri akan berjaya memulihkan imej PDRM sebelum bersara.

3. Untuk makluman Tan Sri, daripada 18 laporan (Nombor laporan tidak ingat) yang saya buat untuk melapor pelbagai kegiatan jenayah, namun hanya satu sahaja yang berjaya diselesaikan iaitu di Balai Polis Sungai Ringgit, Kota Tinggi Johor berikutan penangkapan 13 orang pendatang haram India pada 1999.

4. Selebihnya hanya dijawab masih dalam penyiasatan atau senyap begitu sahaja walaupun telah 26 tahun berlalu. Berikut saya kemukakan ringkasan dan insiden laporan polis yang saya buat untuk tindakan Tan Sri selanjutnya,

4.1 Oktober 1982 – Balai Polis Karamunsing, Sabah

Pendatang haram India menghina saya dengan mengatakan mereka ada kad pengenalan projek dan saya menggunakan pasport Malaysia terhad untuk tinggal dan bekerja di Sabah. Walaupun hanya berlaku pertengkaran kecil namun pada malamnya, saya diserang dan dicederakan di Sinsuran oleh 20 orang pendatang asing India dan Filipina yang diketuai seorang lelaki tempatan bernama Abdul Salam Mohd Ibrahim kerana diupah oleh seorang pendatang haram India bernama Gani yang bekerja di Taj Restoran, Kampung Air. Saya dipukul sehingga pengsan kerana pendarahan parah dan urat jari hantu saya putus. Orang awam yang menjumpai saya terbaring terus menghantar saya ke Hospital Queen Elizabeth dan hari berikutnya saya membuat laporan di Balai Polis Karamunsing terhadap Gani, namun sehingga kini tidak ada sebarang makluman berhubung kes berkenaan.

4.2 1984- Balai Polis Tuaran, Sabah

Hal ini terjadi di Papar. Ada seorang Pakistan bernama Harun yang tinggal di Tuaran datang ke Restoran saya di Papar (Bilal Restoran) lalu mengenalkan dirinya dan bertanya “Kamu ada IC kah?”. Lalu saya bertanya, “Kenapa kamu tanya?”. Kata Harun, “Kalau kamu tiada IC saya boleh bikin dengan harga RM2,000”. Saya tanya lagi, “Siapa yang bikin?”. Kata Harun, “Tuan Iqbal (Polis)?”. Saya kata, “Kamupun pendatang haram, mana satu orang bodoh yang boleh kasi IC sama kamu?”. Lalu dia ambil kad pengenalan birunya dan melempar ke muka saya sambil berkata,” Saya asli orang Sabah.” Keesokan harinya saya ke Balai Polis Tuaran dan berjumpa dengan OCPD berbangsa Cina dan membuat aduan terhadap Harun. Pada mulanya OCPD menyuruh saya duduk dan bila saya sebut nama Harun dan Tuan Iqbal, dia terus maki saya, “ Hei Bodoh, pergi berdiri di depan pintu saya.” Bila saya enggan berdiri, OCPD memberi amaran untuk menyumbat saya ke dalam lokap lalu saya terpaksa mengikut arahannya. OCPD mengarahkan seorang polis memanggil Harun dan ketika Harun tiba saya lihat mereka terlalu mesra dan seolah kenalan rapat. Harun duduk tetapi saya diarahkan berdiri. OCPD berkata kepada Harun, “Harun, orang ini mau buat laporan terhadap kamu kerana dia kata IC kamu palsu.” Kata Harun, “Kalau dia mau buat Laporan, biarlah tuan. Ini IC bukan palsu, Tuan Iqbal yang jamin,”. Lalu OCPD kata, “kalau kamu mau buat laporan. Buat laporan peringatan sahaja.”

4.3 1985- Balai Polis Papar, Sabah

Ada seorang lelaki India bernama Shafie mahu menyewa Restoran Bilal tempat saya berniaga. Kami membuat perjanjian atas namanya yang ketika itu memegang pasport antarabangsa India. Shafie mahu menyewa restoran berkenaan selama setahun. Selepas tiga bulan Shafie berniaga, taukey bangunan kedai memanggil saya dan berkata, “Kamaruddin, ada seorang lelaki India bernama Shafie dan dia mau sewa restoran kamu dan sanggup bayar RM10,000 sebagai gantirugi. Tapi saya kata tidak boleh kerana kami ada perjanjian dan dia pula PTI. Tapi India itu cakap sekarang dia sudah ada IC”. Sayapun berjumpa Shafie dan bertanya kenapa dia buat begitu. Shafie kata beliau tidak perlu bayar sewa kamu RM3,500, kalau dia sewa dengan Cina itu RM2,200 sahaja. Lagipun dia sudah ada IC. Saya kata kalau ada IC, tunjukkanlah. Lalu Shafie menghempas kad pengenalan birunya ke atas meja, “Tulislah nama dan nombor IC saya. Ini Original.” Saya pun menulis nama dan nombor ICnya seraya memberi notis dua bulan agar dia keluar daripada kedai. Saya membuat laporan polis di Balai Polis Papar dan saya menyiasat latar belakang dan tempat tinggal Shafie. Saya mendapat tahu Shafie memiliki dua pasport India, satu workpermit di Brunei (ada kedai kain di Brunei), satu workpermit di Sabah kerana dia ada tiga gerai kain di Labuan selain memiliki kad pengenalan projek. Memandangkan Polis Papar tidak mengambil sebarang tindakan, maka saya mengambil inisiatif menulis surat kepada pihak berkuasa Brunei, Pengarah Imigresen Sabah dan Pesuruhjaya Polis Sabah. Hanya pihak berkuasa berkuasa Brunei yang mengambil tindakan menyebabkan Shafie menyeludup anak Isterinya dari Brunei ke Labuan. Sehingga kini, Shafie tidak dapat dikesan dan dipercayai berada di Labuan denga menggunakan kad pengenalan projek.

4.4 1987- Balai Polis Karamunsing, Sabah

Seorang lelaki India yang pernah memukul saya dalam serangan hendap di Sinsuran, Abdul Salam Mohammad Ibrahim menghina dan memaki saya di majlis pengkebumian seorang lelaki India Muslim di Tanah Perkuburan Islam Penampang dengan mengatakan, “ Hei P**imak kamu, babi, kamu tidak dapat cabut satu pendatang haram India punya bulupun.” Saya hilang kesabaran lalu menumbuk dan menendang Salam dan terus ke Balai Polis Karamunsing buat laporan agar polis menangkap Salam kerana saya mendapat tahu bahawa Salam adalah dalang yang membuat kad pengenalan palsu dan projek untuk Pendatang Haram India. Tuduhan saya terbukti benar apabila Abdul Salam telah ditahan di bawah Seksyen 8, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 17 September 1995.

4.5 1988- Balai Polis Papar, Sabah

Seorang lelaki India yang berasal dari Pallical Kerala, India bernama Ansari telah bekerja dengan saya selama setahun (1983) di Restoran Bilal sebagai pembuat roti canai dengan menggunakan pasport India. Tetapi setelah tiga tahun kemudian saya mendapat makluman Ansari mendapat kad pengenalan melalui Jabatan Pendaftaran dengan menggunakan Sijil Akuan Palsu untuk mendapatkan sijil kelahiran pendaftaran lewat yang dibuat oleh seorang wanita keturunan India tempatan mendakwa Ansari adalah anaknya. Saya buat laporan agar polis menyiasat kes tersebut tetapi sehingga ke hari tidak mendapat sebarang maklum balas dan lelaki tersebut kini telah menjadi jutawan dengan memiliki rangkaian restoran seperti Restoran Bismillah di Lembaga Padi Inanam dan peruncit. Kini beliau seorang Naib Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Muslim (DPIM) Sabah.


4.6 1989- Balai Polis Keningau, Sabah

Dua orang pendatang haram India bernama Abu dan Yusof yang terbabit dalam kes membawa 25 orang India dari Kerala, India melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada 1988 untuk bekerja di kem kayu balak milik SFI di Sipitang tetapi oleh kerana merasa tertipu kesemua 24 (seorang meninggal dunia kerana Malaria) pendatang haram India melarikan diri ke Sinsuran, Kota Kinabalu dan membuat sidang akhbar mendakwa mereka ditipu Abu dan Yusof yang gagal membayar gaji dan menyambung pas lawatan mereka. Hal ini disiarkan di dalam akhbar Sabah Times dan ketika itu saya berada di Keningau dan terserempak dengan Abu dan Yusof. Saya tanya mereka kenapa aniaya 25 warga India tersebut. Abu menjawab secara kasar, “Ini bukan bapak kamu punya negeri.” Lalu Yusof pula menyambut, ‘Kamu jangan kurang ajar. Jangan campur kami punya urusan. Tempat kamu di Semenanjung, bukan di Sabah.” Lalu saya naik berang dan menumbuk Abu dan Yusof. Mereka lari ke Balai Polis Keningau dan ada seorang polis kawan mereka berpangkat Sarjan memarahi saya dan Abu mengambil kesempatan ini memaki saya dengan panggilan “Pu**mak” dan saya terus menumbuk Abu di hadapan Sarjan berkenaan. Sarjan tersebut mencabut pistolnya lalu mengacukan kepada saya dan berkata,” Kalau kamu kurang ajar, saya tembak kamu. Kalau tidak puas hati, kamu pergi buat laporan di balai.” Saya pun membuat laporan terhadap Abu dan Yusof kerana mereka pendatang haram yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri setelah pas lawatan mereka tamat. Tetapi sehingga kini tidak ada sebarang tindakan dan Yusof masih tinggal di Keningau dan Abu di Kuala Lumpur setelah mendapat kad pengenalan projek.

4.7 Disember 1997- Balai Polis Kuala Kubu Baru, Selangor (Dua Laporan)

Ketika itu saya tinggal di Ulu Yam Baru, Selangor. Saya dapati sekumpulan pengedar dadah yang diketuai oleh M menggunakan sebuah rumah berdekatan Balai Polis Ulu Yam Baru untuk menjalankan operasi pengedaran dadah. Saya memaklumkan Balai Polis Kuala Kubu Baru melalui telefon awam kerana saya melihat M memiliki pistol dan sejumlah besar bungkusan dadah. Berdasarkan laporan saya, pihak polis dari Balai Polis Kuala Kubu Baru segera bertindak menyerbu tempat persembunyian M dan merampas sejumlah lebih RM120,000 wang tunai hasil penjualan dadah dan sebuah kereta Honda Prelude milik M. Saya ke Balai Polis Kuala Kubu Baru pada hari kedua untuk mengetahui hasil siasatan polis kerana saya yang memberikan maklumat. Polis meminta saya meninggalkan nama dan nombor kad pengenalan serta nombor telefon kerana mereka masih menjalankan sisatan untuk mengesan dadah berkenaan kerana ketika serbuan tidak ada dadah ditemui walaupun Forensik dan Unit Anjing Pengesan mendapati kereta yang dirampas mempunyai kesan dadah. Keesokan harinya, isteri M datang berjumpa dengan saya, dia tuduh bahawa saya yang mengadu atau melaporkan kegiatan suaminya kepada polis. Saya tanya siapa beritahu, isteri M berkata bahawa polis yang memberitahu beliau. Isteri M mengugut saya, jika mahu selamat keluarkan suaminya daripada lokap. Walaupun saya menafikan, namun isteri M bertegas bahawa beliau mempunyai bukti bahawa saya yang membuat aduan. Dua hari kemudian, isteri M datang kembali ke kedai saya di Ulu Yam Baru dan meminta saya menjamin keluar suaminya kalau betul saya tidak buat. Atas nasihat kawan, jangan memusuhi M kerana membahaya diri dan keluarga disebabkan mereka adalah penjenayah. Saya membuka akaun di Bank Simpanan Nasional dengan wang sejumlah RM2,000 yang diberikan oleh isteri M. Lalu kami ke Mahkamah Kuala Kubu Baru untuk menyerahkan buku bank sebagai cagaran untuk menjamin suaminya keluar daripada lokap balai Balai Polis kerana isteri M tidak memiliki kad pengenalan. Setelah M keluar dia menunjukkan jari kepada saya seakan memberi amaran. M telah cuba merasuah Inspektor Azizul sejumlah RM30,000 untuk mendapat maklumat siapa yang membuat laporan kepada polis, tetapi pegawai polis berkenaan menolak tawaran M sebaliknya seorang lagi Inspektor Anti-Narkotik (nama tidak ingat) telah bersetuju menerima tawaran M melalui rundingan seorang Peguam bernama Seelan yang berpejabat bersebelahan dengan Balai Polis Rawang. Pada Januari 1998, M telefon saya dan ingin berjumpa dengan saya untuk bertanya adakah betul saya yang buat laporan kepada polis. Tetapi saya enggan berjumpa dengan M dan menafikan saya yang memaklumkan kegiatan haramnya kepada Polis. Pada 30 Februari 1998, M menelefon saya sekali lagi dan ingin berjumpa saya dan berjanji tidak akan mengapa-apakan saya. Dia mengucapkan terima kasih kerana saya menjamin beliau keluar dan saya termakan pujukannya. Saya memandu kereta saya sendiri, Proton Saga Iswara ditemani seorang kawan (keluarga M) pergi ke Cheras pada lebih kurang jam 7.00 malam. Kami berjumpa di sebuah restoran dan M meninggalkan saya sebentar kerana beliau ada urusan segera. Tetapi lima minit kemudian datang sekumpulan tujuh orang samseng India terus memukul saya menggunakan beruti di kepala dan mengheret saya ke dalam kereta. Kawan saya juga mengalami nasib yang sama. Saya dapati mereka (tujuh orang) termasuk pemandu berada di dalam kereta berkenaan secara berasak-asak dengan kami. Mereka merampas telefon bimbit, dompet dan kunci kereta saya. Kami di bawa ke sebuah perkampungan India di Sentul bernama Kasipillai dan diturunkan di sebuah kuil Hindu berdekatan landasan keretapi dan seramai 13 orang rakan mereka termasuk M menanti untuk menyiksa kami selama lebih kurang tiga jam. Mereka memotong badan saya dengan gergaji kayu, menikam lengan kiri, kedua peha saya dengan pisau dan memberi ugutan untuk menumbuk saya jika saya berteriak atau bergerak. Oleh kerana saya berteriak akibat kesakitan, mereka menumbuk dan menendang muka saya menyebabkan dua batang gigi saya patah. Mereka mendesak saya agar mengakui bahawa saya yang membuat laporan polis, kalau saya akui, mereka tidak akan seksa saya lagi tetapi mereka akan menyuntik saya dengan dadah melebihi dos. Saya tetap tidak mengakui tuduhan dan mereka naik berang terus mencabut pisau yang dicacak di lengan dan peha lalu terus menyentap rambut saya dengan kasar dan dua orang lelaki mengencing di muka dan kepala saya. Nasib rakan saya, Maniam lebih malang kerana M menculik isteri dan seorang anak lelakinya berusia dua tahun dan memberi amaran agar isterinya tidak membuat sebarang laporan polis jika engkar M akan menculik semua keluarga Maniam dan keluarga saya . Tiba-tiba satu pukulan padu hinggap di belakang kepala saya sehingga saya tidak sedarkan diri. Apabila saya pulih dari pengsan, saya dapati diri saya berada di dalam sebuah longkang di Cheras dalam keadaan separuh bogel (hanya berseluar dalam) dan berlumuran darah. Saya bangun perlahan-lahan dan sebuah teksi berhenti yang dipandu oleh seorang Melayu, Beliau memberi saya T-Shirt dan seluar pendek lalu saya meminta ehsan beliau menghantar saya ke Hospital Kuala Kubu Baru. Saya dimasukkan ke Hospital Kuala Kubu Baru selama empat hari dan menerima lebih 60 jahitan akibat cedera parah. Dua orang pegawai polis datang mengambil kenyataan daripada saya dan saya memberitahu bahawa saya dicederakan oleh M dan orang-orangnya. Polis menyuruh saya menandatangani kenyataan saya dan meminta saya ke Balai Polis Kuala Kubu Baru selepas keluar daripada hospital. Selepas empat hari ditahan di hospital, saya terus ke Balai Polis Kuala Kubu Baru dan berjumpa Inspektor Kararan dan seorang seorang pegawai berketurunan Benggali. Saya turut membuat laporan berasingan kerana kereta, kad pengenalan dan telefon bimbit saya yang dirampas oleh M. Mereka bertanya saya soalan yang sama dengan pegawai yang datang ke hospital. Saya menceritakan apa yang terjadi. Selepas memberi keterangan, pegawai polis berkenaan menyuruh saya kembali ke rumah dan berjanji akan datang esok pagi menemui saya di rumah. Sebagaimana dijanjikan, Inspektor Kararan dan pegawai Benggali datang ke kedai kopi saya dan meminta saya mengikuti mereka. Tanpa sebarang syak wasangka, saya pun mengikuti mereka kerana mereka meminta saya menunjukkan tempat saya disiksa. Tetapi apabila hampir tiba di tempat kejadian, kedua pegawai polis berkenaan menyaksikan pengedar dadah menjual dadah secara terbuka di kampung Kasipillai menyebabkan mereka membatalkan niat mereka ke tempat saya disiksa kerana bimbangkan keselamatan mereka. Mereka hantar saya pulang dan sehingga sekarang saya tidak mendengar sebarang perkembangan berhubung kes berkenaan.

4.8 1998- Balai Polis Sentul, Kuala Lumpur

Pada pertengahan Februari 1998, saya membuat laporan polis sekali lagi berhubung jenayah penculikan, mencederakan dan kecurian kereta saya. Seorang Inspektor (nama tidak ingat) bertanya saya. “kenapa mahu membuat laporan tentang pengedar dadah? Kerana itulah kamu susah, buatlah kerja kamu sendiri. Mereka mengedarkah, apakah kenapa kamu sibuk?” Polis tersebut memberitahu kereta saya ada di Balai Polis Cheras. Selepas saya membuat laporan, saya terus ke Balai Polis Cheras untuk mengambil kereta saya yang rosak teruk.

4.9 November 1998- Balai Polis Kim Seng Road, Singapura (Makluman Sahaja)

Selepas kejadian serangan M, saya berpindah ke Singapura, namun kehadiran saya di sana dapat dikesan oleh Sindiket Dadah Antarabangsa dan memberitahu M. Orang Suruhan M terus mencari saya di tempat penginapan saya di tingkat 13, Kim Seng Road, Singapura. Saya terpaksa menyamar sebagai abang kepada Kamaruddin apabila mereka menemui saya di rumah penginapan saya. Mereka menggertak saya agar memberitahu Kamaruddin bahawa jika mereka menemui Kamaruddin, mereka akan mencampakkannya dari tingkat 13. Lalu saya membuat laporan di balai polis di Kim Seng Road dan polis Singapura segera bertindak namun orang suruhan M tidak ditemui lagi. Saya dimaklumkan polis Singapura menghantar kawat ke Polis Malaysia, namun saya tidak mengetahui keputusan kes tersebut.

4.10 1999- Balai Polis Sungai Ringgit, Kota Tinggi, Johor Bharu

Saya membuat laporan tentang kehadiran 13 orang pendatang haram India yang tinggal secara haram di sebuah kebun kelapa sawit milik seorang India tempatan. Polis segera mengambil tindakan menyerbu dan menangkap 13 pendatang haram tersebut dan menyerahkannya kepada Jabatan Imigresen. Selepas dua minggu kemudian seorang tekong darat warganegara Sri Lanka menelefon saya dan memberi amaran jika beliau jumpa saya, seketul tulangpun polis tidak akan jumpa lagi. Saya masih trauma bagaimana warga Sri Lanka tersebut boleh mengenali dan mendapat nombor telefon saya sedangkan hanya polis yang menerima laporan yang mengetahui nombor telefon baru saya.

4.11 Januari 2000- Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur

Ketika saya turun daripada bas di hadapan Panggung Wayang Odeon dalam perjalan menuju ke Kompleks Sogo untuk membeli kasut saya terserempak dengan orang suruhan M yang pernah menyiksa saya. Saya cuba mengelak tetapi nasib malang kerana M dan dua orang suruhannya menunggu di hadapan Sogo. Saya terus melarikan menaiki lift ke tingkat 9 dan duduk di sebuah restoran. Enam orang suruhan M menunggu saya di luar restoran. Saya duduk lebih setengah jam sebelum ke telefon awam di luar restoran yang agak berjauhan dengan orang M. Saya menelefon 999 meminta bantuan. Setelah talian disambungkan ke Balai Polis Dang Wangi, polis yang bertugas meminta nombor telefon bimbit saya kerana ketika itu kehabisan kredit dan meminta saya menunggu di restoran tersebut. Menyedari kehadiran dua orang polis, kesemua enam orang M bergegas meninggalkan kawasan tersebut. Saya membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi tetapi polis berkenaan berkata laporan tersebut dibuat hanya untuk peringatan sahaja kerana kes tersebut adalah kes lama. Kesan daripada tindakan M dan orangnya, saya terpaksa bersembunyi di rumah selama satu tahun kerana bimbangkan keselamatan saya dan hilang kepercayaan kepada polis.

4.12 2006- Balai Polis Telupid, Sabah

Saya membuat laporan terhadap seorang pendatang haram India yang memiliki kad pengenalan projek bernama Daud Bin Said setelah semua aduan bertulis saya tidak mendapat layanan setimpal. Polis hanya memanggil Daud untuk memberi keterangan dan tidak membuat sebarang tindakan penyisatan susulan.

4.13 2006- Balai Polis Beluran, Sabah

Oleh kerana tidak berpuas hati dengan tindakan Polis Telupid, saya membuat satu lagi laporan polis di Balai Polis Beluran terhadap Daud Bin Said. Polis Beluran juga memanggil Daud untuk siasatan tetapi tidak ada sebarang tindakan drastik walaupun terbukti Daud memiliki kerakyatan secara tidak sah.

4.14 2006- Balai Polis Telupid, Sabah

Saya membuat laporan polis kerana orang suruhan Daud memberi amaran dengan menghantar surat dan menunjukkan sebutir peluru dengan berkata,” ini peluru cukup untuk kasi hilang kamu.Surat aduan yang kamu hantar ke Imigresen Sandakan sudah kami ambil balik. Nah tengok kamu punya tandatangan. Kalau sekali lagi kamu buat, memang ini peluru terpakai untuk ambil nyawa kamu.” Mereka memberitahu kepada saya, mereka memperolehi surat saya dengan harga RM5,000 sahaja daripada Pegawai Imigresen Sandakan. Namun tidak ada sebarang tindakan daripada Polis Telupid.

4.15 2006- Balai Polis Telupid, Sabah

Saya membuat satu lagi laporan polis terhadap agen rokok Dunhill yang juga keluarga Pang (Along) yang menceroboh, memecah masuk kedai saya dari pintu belakang dan mencuri wang serta showcase yang menempatkan rokok berkenaan. Kerugian saya lebih kurang RM4,000. Tetapi Polis Telupid tidak mengambil sebarang tindakan terhadap agen rokok berkenaan.

4.16 2006- Balai Polis Telupid, Sabah

Daud telah mengupah seorang Along (Ceti Haram) yang dikenali sebagai Pang, mengugut saya melalui SMS dan telefon. Dalam SMS, Pang memberi amaran berikut; “Kamu Keluar dari Telupid, kalau tidak kamu punya kepala saya kasi pecah dan kasi mati kamu.” Kemudian Pang menelefon saya dan berkata,” Hei Keling, Lu keluar dari Telupid, kalau tidak saya kasi bunuh kamu.” Saya menjawab “Kau di mana, saya mahu jumpa.” Pang berkata, “Saya tunggu di Jalan Raya depan rumahmu, kalau berani turunlah.” Saya terus memandu kereta saya ke arah yang diberitahu dan tiba-tiba Pang memecut keretanya dari belakang untuk melanggar kereta saya. Saya dapat mengelak dan berlaku kejar mengejar sehingga saya ke Balai Polis Telupid untuk membuat laporan. Kami bertengkar dan Pang memanggil saya, “Keling” di hadapan Polis yang bertugas. Ketua Balai Polis Telupid, Sarjan Aping terus menahan Pang dan dihadapkan ke mahkamah untuk mendapat perintah tahanan reman selama tiga hari setelah saya membuat laporan polis. Selepas tiga hari ditahan, Pang dibebaskan tanpa sebarang tindakan walaupun SMS bukti saya tunjukkan kepada Sarjan Aping.

4.17 2007- Balai Polis Telupid, Sabah

Ketika saya duduk minum di sebuah restoran India, seorang lelaki India yang menggunakan pas lawatan kerja sementara bernama Raja datang memaki hamun saya dengan berkata,” Kamu ini binatangkah manusia, kenapa kamu komplen pasal orang India.” Saya hilang kesabaran dan hampir melempar kerusi kepada Raja tetapi Raja melarikan diri. Beberapa minit kemudian, seorang konstable polis yang berasal dari Semenanjung Malaysia datang dan berkata di hadapan orang awam,”Hei Kamaruddin, ikut saya ke balai, kalau tidak saya tarik baju kamu atau saya gari kamu.” Saya pun ke balai dengan menaiki kereta polis. Sampai di balai seorang polis lagi memaki dan mencemuh saya dengan perkataan kesat sambil Raja mencebik bibir kepada saya. Dalam laporan polis yang saya buat, saya mendakwa Raja memaki dan menghina saya di khalayak ramai. Saya juga membuat laporan terhadap rakan Raja, iaitu Yassin yang merupakan seorang pendatang haram India. Tetapi polis tidak menjalankan siasatan dan tidak menangkap Yassin yang tidak memiliki sebarang dokumen yang ketika itu turut berada di Balai Polis Telupid.

5. Sehubungan itu, saya menggesa Tan Sri membuka semula semua kertas siasatan dan menubuhkan unit khas untuk menyiasat dakwaan dan laporan polis yang saya buat bagi memulihkan keyakinan orang awam yang semakin terhakis akibat sikap rasuah dan ketidak jujuran pegawai polis yang menconteng arang ke muka Tan Sri.

6. Bagaimanapun, saya hanya akan memberi keterangan di hadapan panel khas yang ditubuhkan atau di mana-mana mahkamah terbuka kerana saya tidak mempercayai Polis Sabah atau Selangor.

Sekian, Terima Kasih.


Yang Benar,


t.t


(KAMARUDDIN OMAR)
Mykad 590829-10-5633


Salinan Kepada;


YB Datuk Seri Hamid Albar,
Menteri Dalam Negeri,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 PUTRAJAYA.

Mutalib M.D,
Pengarah Biro Aduan Awam,
Persatuan Pengguna Sabah dan Labuan (CASH),
Lot G 59, Tingkat Bawah,
Kompleks Asiacity,
88300 KOTA KINABALU.

1 comment:

Unknown said...

adakah surat terbuka ini di jawab?
adakah surat terbuka ini membantu kamu?
adakah kes anda di buka semula ?